Ini 8 Tip Untuk Mak Ayah Amal, Bantu Anak Tenang Dalam Dewan Peperiksaan

Apabila musim peperiksaan sudah bermula, tentulah hati tenang itu yang diharapkan bukan saja oleh calon malah mak ayah. Sebab bila jiwa berserabut, bergolak-golak atau terlebih yakin, semua itu akan buatkan apa yang dihafal tidak keluar semasa menjawab kertas dalam dewan peperiksaan. Untuk bantu anak tenang jawab kertas peperiksaan, mak ayah boleh amal 8 tip dari pakar motivasi terkenal, Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah ini.

Bila Mak Ayah Boleh Mula

Amalan ini boleh dilakukan sama ada di rumah atau di tempat kerja atau di mana sahaja ketika anak-anak sedang berada di dewan peperiksaan. InsyaAllah, segalanya dipermudahkan dan anak-anak akan dapat menjawab dengan tenang dan menepati kehendak soalan dengan mudah dan baik.

Bila anak-anak sedang menduduki peperiksaan, ibubapa juga turut terheret sama. Resah gelisah, risau takut anak tak dapat jawab soalan dan sebagainya sering menghantui.

Ada ibubapa yang mengambil cuti daripada kerja kerana untuk memberi sokongan moral kepada anak-anak yang sedang menduduki peperiksaan ini. Banyak dilihat di dalam status Facebook, telegram dan Twitter ibubapa yang berkongsi perasaan gementar dan takut mereka. Seolah-olah ibubapa pula yang menduduki peperiksaan.

 

Ini 8 Tip Untuk Mak Ayah Amal, Bantu Anak Tenang Dalam Dewan Peperiksaan
Doakan anak menjawab dengan tenang dalam dewan peperiksaan. Kredit foto : Berita Harian

8 Tip Untuk Ibu Bapa Membantu Anak Yang Ambil Exam

Antara sokongan spiritual dan amalan yang boleh ibubapa lakukan semasa anak – anak di dalam dewan peperiksaan tidak kiralah peperiksaan UPSR, PMR, SPM ataupun peperiksaan-peperiksaan lain yang penting untuk anak-anak ialah:

1. Berpuasa Sunat Pada Hari Anak-anak Menduduki Peperiksaan

Antara doa yang paling dimakbulkan oleh Allah ialah doa ibubapa. Doa orang yang berpuasa juga amat mudah dimakbulkan oleh Allah. Jadi jika ibubapa yang berpuasa dan mendoakan kejayaan untuk anak-anaknya pastilah lebih makbul.

2. Lakukan Solat Taubat Dan Solat Hajat

Lakukan solat sunat taubat dan solat hajat memohon agar anak tenang serta dapat jawab semua soalan peperiksaan dengan cemerlang.

Allah amat suka hambaNya yang seringkali bertaubat. Jadi pastinya doa yang tulus ikhlas daripada orang yang bertaubat akan mudah diperkenankan Allah.

3. Baca Quran Dan Hadiahkan Pahala Kepada Anak

Baca Quran dan pahalanya diniatkan untuk dihadiahkan kepada anak-anak yang sedang menduduki peperiksaan agar terang hati dan tenang fikiran.

4. Lakukan Solat Dhuha

Lakukan solat dhuha di pejabat, di rumah ataupun di surau sekolah sewaktu menunggu anak-anak yang sedang berjuang di dewan peperiksaan. Doalah untuk kejayaan anak di dalam solat dan selesai solat.

5. Sedekah Di Masjid, Rumah Anak Yatim Dan Hadiahkan Pahala Untuk Anak

Semoga amalan ini akan memudahkan doa ibubapa untuk kejayaan anak-anak dalam peperiksaan akan mudah termakbul. Ini adalah kerana amalan sedekah amat disukai Allah. Orang yang menerima sedekah ini juga mungkin akan mendoakan kejayaan dan kesejahteraan pemberi sedekah.

6. Berterusan Berzikir Dan Berdoa

Sama ada anda berada di pejabat, di rumah ataupun di sekolah menunggu anak-anak yang sedang berada di dewan peperiksaan, jangan putus-putus berzikir dan berdoa kepada Allah untuk kejayaan anak-anak di dewan peperiksaan.

Allah akan mengingati kepada hambaNya yang mengingati lebih daripada hambaNya mengingatiNya. Moga amalan berzikir dan berdoa dengan berterusan ini akan memudahkan Allah memakbulkan doa kita supaya anak-anak berjaya dalam peperiksaan.

7. Hantar Gelombang Positif Kepada anak

Ini adalah law of attraction dan law of vibration. Kita yakin dan bayangkan yang positif. Bayangkan wajah anak dan yakin dia dapat jawab semua soalan dengan tepat. InsyaAllah mereka berjaya di dewan peperiksaan.

Hadith Qudsi, Allah berfirman:
Aku berada dalam sangkaan hamba-Ku tentang Aku, dan Aku bersama-nya ketika ia menyebut Aku. Bila ia menyebut Aku dalam dirinya, Aku menyebut dia dalam Diri-Ku. Bila ia menyebut Aku dalam khalayak, Aku menyebut dia dalam khalayak yang lebih baik dari itu. Bila ia mendekat kepada-Ku satu jengkal, Aku mendekat kepadanya satu hasta. Bila ia mendekat kepada-Ku satu hasta, Aku mendekat kepadanya satu depa. Bila ia datang kepada-Ku berjalan kaki, Aku datang kepadanya berlari-lari”.
(HR. Al-Bukhari, Muslim, Ibn Majah, At-Tirmidzi, Ibn Hanbal)

8. Benar-benar Bertawakkal Kepada Allah Dan Redha Dengan Segala KetentuanNya

Setelah segala usaha kita dan anak kita buat sepanjang tahun sebagai usaha untuk menghadapi peperiksaan ini, inilah masanya kita bertawakkal kepada Allah yang maha mengetahui.

Moga amalan oleh ibubapa semasa anak di dalam dewan peperiksaan ini ataupun peperiksaan-peperiksaan lain akan memberi kejayaan yang didambakan. Ia juga akan dapat memberi ketenangan kepada anak yang sedang berjuang di dalam dewan peperiksaan dan juga kepada ibubapa yang menunggu di luar.

Segala hasilnya nanti kita serahkan kepada Allah jua. Moga Allah jayakan semua anak-anak yang sedang meduduki peperiksaan. Aameen,

Sumber/Foto : Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah, astroawani.com

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI