Aduh rimasnya jika setiap kali memasuki kediaman, bau asap rokok melekat di baju dan fabrik yang ada di dalam rumah. Ya, itulah ‘kesengsaraan’ yang perlu dihadapi oleh suri rumah yang mempunyai suami yang dikategorikan sebagai perokok tegar.
Bayangkan, anda baru tiba di rumah selepas penat di pejabat, dijamu pula dengan bau yang kurang menyenangkan di rumah. Memang boleh merosakkan mood!
Wanita sememangnya memainkan peranan yang penting dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Tidak kira sama ada Wanita tersebut berkerjaya atau seri rumah, mereka memainkan peranan utama dalam membentuk persekitaran dan Kesihatan yang baik untuk keluarga dan kediaman.
Tidak dinafikan, sebagai isteri dan ibu, pilihan mereka memberi impak yang besar terhadap kesejahteraan keluarga. Salah satu keputusan yang perlu diberi perhatian khusus terutamanya jika suami adalah seorang perokok adalah sama ada membenarkan merokok dalam rumah di mana pilihan tersebut bakal memberi impak jangka panjang.
Wanita dan kanak-kanak merupakan golongan paling ramai menderita diserang penyakit berkaitan rokok akibat pencemaran asap rokok daripada perokok tegar yang berada di sekitar mereka. Laporan kesihatan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya mendapati pencemaran asap rokok antara penyebab utama 80 peratus risiko serangan penyakit membabitkan golongan berkenaan.
Kedua-dua golongan ini bukan perokok, namun terdedah asap rokok terutama daripada perokok di kalangan ahli keluarga. Walaupun wanita tidak merokok, tetapi jika terdapat ahli keluarga mereka masih mengamalkan tabiat merokok, risiko mereka sekeluarga diserang penyakit berkaitan rokok adalah tinggi.
Menurut Pengurus Pengurusan Projek dan Integrasi Pengetahuan di PMI, Mark Bently, berkata apabila seseorang menyalakan sebatang rokok, asap rokok yang dilepaskan mengandungi lebih 6,000 jenis bahan kimia dengan sekurang-kurangnya 100 telah diklasifikasikan sebagai bahan kimia berbahaya dan berpotensi bahaya, yang mana bahan toksik inilah sering dikaitkan sebagai penyebab penyakit berkaitan merokok. Antaranya termasuklah masalah pernafasan, kanser paru-paru, emfisema, dan lain-lain lagi.
Aktiviti merokok adalah pertaruhan terhadap kesihatan. Malah, wanita menghadapi risiko unik seperti komplikasi semasa kehamilan dan potensi kesuburan yang berkurangan.
Oleh yang demikian, amat penting bagi wanita memastikan persekitaran kediaman bebas dari asap. Beberapa langkah boleh diberi perhatian antaranya termasuklah menetapkan peraturan jelas tentang larangan merokok di dalam rumah, mendidik ahli keluarga tentang bahaya merokok dan asap rokok kedua serta mengamalkan pengudaraan rumah yang baik.
Namun, apabila diminta untuk berhenti merokok, ramai yang sukar melakukannya. Ini disebabkan oleh nikotin yang terdapat dalam tembakau yang menyebabkan ketagihan. Namun, nikotin tersebut bukanlah penyebab utama penyakit berkaitan merokok. Penyebab utama penyakit tersebut adalah disebabkan oleh asap rokok.
Sememangnya merokok mendatangkan lebih banyak kemudaratan dari aspek kesihatan dan kehidupan seharian. Ia bukan sahaja menjejaskan kualiti kehidupan si perokok, malah ia memberi impak terhadap individu di sekelilingnya.
Oleh yang demikian, tabiat merokok perlu dihentikan untuk menjadikan kualiti hidup lebih bermakna dan bebas dari pelbagai gejala penyakit yang boleh memberi impak negatif terhadap gaya hidup secara menyeluruh. Walau bagaimanapun, tidak semua perokok boleh ataupun mahu berhenti merokok, jadi bagaimana nak kurangkan kemudaratan tersebut?
Sebagai alternatif, produk seperti snus, vape, tembakau yang dipanaskan (HTP) dan e-rokok dilihat sebagai antara kaedah untuk mengurangkan kemudaratan merokok. Ini disebabkan produk alternatif ini tidak melibatkan proses pembakaran. Contohnya, produk tembakau yang dipanaskan cuma memanaskan tembakau manakala vape pula memanaskan cecair nikotin. Walaupun ia tidak bebas daripada risiko, namun ia merupakan suatu usaha yang kurang berbahaya berbanding dengan rokok tradisional.
Sebagai usaha mengurangkan tabiat merokok, negara-negara seperti Jepun yang telah merangkul produk bebas asap rokok telah menunjukkan penurunan yang ketara dalam jumlah perokok. Pada tahun 2016, Jepun mencatatkan 43.6 bilion batang rokok yang dijual dalam negara telah merosot sebanyak 43 peratus kepada 25 bilion batang pada tahun 2021.
“Walaupun tumpuan di sini adalah pada Jepun, ia bukan satu-satunya negara itu menerima pengurangan bahaya tembakau. Contohnya, Public Health England telah menyatakan bahawa “peranti penghantaran nikotin alternatif, seperti produk vape nikotin, boleh memainkan peranan penting dalam mengurangkan beban kesihatan yang besar disebabkan oleh tabiat merokok.” – Tomoko Lida, Pengarah, Penglibatan Saintifik Serantau Asia di PMI
Apa-apapun, paling baik adalah untuk seseorang berhenti merokok sepenuhnya. Seseorang yang mahu berhenti merokok bolehlah mendapat nasihat atau dapatkan bantuan professional. Tetapi kalau usaha ni pun gagal, maka perokok tegar bolehlah menggunakan pendekatan pengurangan kemudaratan tembakau (THR) dimana mereka boleh beralih kepada produk alternatif seperti produk bebas asap yang kurang mudaratkan kesihatan walaupun ia tidak bebas risiko.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI