Pengalamannya dalam dunia pengurusan kewangan dan juga industri perbankan menjadikan Idayu Idris cukup cemerlang dalam lapangan kariernya bersama syarikat insurans dan takaful terkemuka, AIA Malaysia. Selaku seorang ejen atau lebih dikenali sebagai Perancang Hayat, isteri kepada Khairulnizam Yusof dan ibu kepada tiga permata hati kesayangan; Alya Athirah (19), Aina Hadfina (15) dan Naufal Nufail (7) ini cukup bijak mengatur rutin dan tugasan hariannya.

Setelah hampir sedekad meninggalkan dunia korporat, wanita ini kembali membuat kemunculan dalam bidang yang sememangnya menjadi kepakarannya. Mengakui keputusan kembali bekerja dan menguruskan perniagaan ini turut mengambil kira perihal anak-anak dan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri, akhirnya dengan dorongan berterusan daripada suami membuka pintu hati Idayu untuk mula mengatur langkah dalam bidang keusahawanan bersama AIA sejak September 2018.

Idayu benar-benar terkesan dengan peristiwa yang menimpa rakan serta ahi keluarga terdekat. Apa yang meremukkan hatinya lagi, apabila melihat ada diantara mereka sehingga ke tahap meminta-minta apabila diuji dengan masalah kesihatan serius dan hilang punca pendapatan akibat hilang pekerjaan. Menyaksikan sendiri kegetiran hidup yang dilalui insan terdekat membuatkan Idayu nekad dan meletakkan kariernya sebagai satu jihad mendidik anak bangsanya.

“Sejujurnya peristiwa ini adalah realiti sebenar yang terbentang di depan mata saya dan menjadi asbab untuk menyertai AIA. Melihat rakan-rakan dan ahli keluarga terdekat diuji dengan masalah kesihatan dan kewangan cukup meruntun rasa. Saya rasa terpukul dan terpanggil apabila perkara seumpama begini menimpa orang yang berada dekat dengan saya. Ilmu pengurusan kewangan yang lemah membuatkan mereka terpaksa meminta-minta dan mengemis di saat memerlukan.

“Seperkara lagi menyentuh perihal perlindungan pendapatan dan pengurusan harta pusaka serta hibah, masih ramai yang belum arif tentangnya. Saya rasa bertanggungjawab untuk mendidik dan memberi pendedahan ini kepada rakan-rakan seagama khususnya,”terangnya.

Idayu Idris Mahukan Karier Yang Menyantuni Keluarga
Memastikan ada masa diperuntukkan untuk keluarga tercinta antara rahsia kejayaan Idayu Idris.

Persepsi Salah Tentang Takaful

Bukan mudah untuk wanita berusia 40 tahun ini, membuka hati untuk kembali bergelar wanita bekerjaya. Berkongsi bidang karier yang sama dengan suami membuatkan mereka mudah berbicara perihal yang berkaitan.

“Kerjaya ini adalah sebuah jihad bagi saya dalam mendidik masyarakat bumiputera khususnya dalam menguruskan kewangan. Menyedari kurangnya kesedaran mengenai pengurusan kewangan dan masih ramai yang tidak memahami kepentingan dan konsep perlindungan insurans serta takaful itu sendiri.

“Bukan mudah sebenarnya untuk saya putuskan untuk kembali dalam bidang ini. Tetapi setelah mengkaji dan meneliti dari pelbagai sudut, saya memberi peluang kepada diri saya sendiri untuk menyahut cabaran ini buat kali yang kedua.

“Anggapan saya benar-benar meleset. Ternyata bidang insurans dan takaful bukanlah seperti yang saya bayangkan sebelum ini. Mungkin terdahulu beban kerja yang terlalu banyak dan imbuhan yang diperolehi tidak setimpal dengan kerja keras dan pengorbanan saya membuatkan saya fobia. Ekoran daripada tanggapan itu saya mengambil masa yang agak lama untuk memutuskannya walaupun saya tahu saya mampu untuk beraksi cemerlang. Hampir setiap hari saya solat istiqarah minta agar diberi petunjuk. Alhamdulillah Allah permudahkan urusan.

“Segala usaha selama ini membuahkan hasil yang lumayan. Syukur kerana dipertemukan dengan Ms Sally dan Alvin Pu daripada agensi insurans yang bernaung di bawah AIA. Walaupun mereka berlainan bangsa dan agama, tapi keikhlasan mereka untuk sama-sama berjaya dan memberi peluang kepada anak Melayu menjadi sumber kekuatan saya bagi membantu rakyat Malaysia khususnya dalam mengurus kewangan untuk masa depan yang lebih terjamin.

“Istimewa bersama AIA, organisasi ini menawarkan program kemasukan eksklusif untuk Perancang Hayat yang terpilih untuk memulakan kerjaya dalam bidang ini. Program yang pertama seumpamanya dalam industri insurans dan takaful di Malaysia membantu meningkatkan profesionalisme para Perancang Hayat baru dengan melengkapkan diri mereka dengan kemahiran dan ilmu untuk cemerlang dalam bidang ini. Program selama 18 bulan ini turut memberikan pengkhususan kepada latihan yang fokus terhadap pengetahuan kewangan, pemasaran media sosial, latihan bertaraf global, khidmat pementoran dan skim pembiayaan,”kongsi Idayu menutup bicara. Mahukan karier yang lebih fleksibel dan bermakna seperti Idayu? Layari www.aia.com.my/eliteacademy 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI