Ustaz, Ibu Arwah Tak Ada Duit Nak Bayar Kos Urus Jenazah Anaknya..

Apabila Allah mahu menguji hambaNya, dia berikan sama ada ujian kesenangan mahupun kesusahan. Begitulah dengan cerita ujian ibu uzur ini yang cukup menyentak perasaan.

Bila mana dia tidak punya duit untuk uruskan jenazah anak sulungnya. Lebih memilukan itulah satu-satunya anak yang bekerja di rumah itu.

Apa yang dilalui ibu uzur ini adalah catatan pengalaman benar yang dilalui Ustaz Rafie Zainal, Pengerusi Skuad Pengurusan Jenazah – SPJ Malaysia.

Beliau menerima panggilan daripada bapa saudara awrah yang memintanya bantuan.

Ustaz, Ibu Arwah Tak Ada Duit Nak Bayar…

“Seusai saya menguruskan jenazah di Kemensah, Hulu Kelang, saya menerima panggilan dari seorang lelaki yang meminta bantuan SPJ Malaysia menguruskan jenazah anak buahnya di hospital dan menghantar jenazah ke rumahnya di Felda Palong 8, Gemas, Negeri Sembilan.

“Ustaz, saya nak minta jasa baik ustaz. Ibu arwah tak ada duit nak bayar kos pengurusan jenazah anaknya ni. Dia ibu tunggal dan anak-anak yang lain masih kecil. Saya sendiri pun tak mampu ustaz,” rayu bapa saudara arwah ketika dia menghubungi saya.

IKLAN

“Tak apa tuan, kita selesaikan dulu jenazah arwah. Tentang kos jangan difikirkan,” saya hanya menjawab ringkas.

Arwah, Satu-satunya Harapan Keluarga

Arwah berusia 21 tahun merupakan anak sulung dan satu-satunya yang bekerja dalam keluarganya. Dia menjadi mangsa tikaman di dada ketika berada di rumah sewanya di tempat dia bekerja di Melaka. Arwah meninggal dunia ketika baru sampai di Hospital Serdang setelah berpindah hospital dari Melaka.

Sejak dari awal saya sampai ke bilik mayat, saya melihat ibunya yang uzur berkerusi roda hanya mampu menangisi jenazah anak sulungnya yang merupakan satu-satunya harapan keluarga. Kami segera memandi dan mengkafankan arwah.

IKLAN

Setelah selesai, kami terus bertolak ke rumah arwah. Perjalanan sejauh 160 kilometer ke rumahnya itu memakan masa hampir 2 jam. Sampai di sana, sudah ramai ahli keluarga dan jiran tetangga yang telah pun menunggu.

Adik-adik Memandang Sayu Jenazah Abang

Rumahnya sederhana. Kelihatan adik-adik arwah yang masih kecil di sisi ibunya yang masih sugul dalam tangisnya. Seusai solat jenazah, kami pun meminta diri untuk pulang.

Ahli keluarga dan saudara arwah tidak henti-henti mengucapkan terima kasih di atas bantuan pihak kami. Saya memandang wajah ibu arwah, perlahan si ibu mengucapkan terima kasih dengan nada yang perlahan. Anak-anaknya masih bersama di tepi ibunya memandang sayu jenazah abangnya.

IKLAN

Saya terfikir, bagaimanalah nasib keluarga ini untuk meneruskan kehidupan selepas ini. Salah seorang saudaranya ada memberitahu saya yang ibu arwah hanya bergantung pada ‘duit felda’ saja untuk menyara kehidupan mereka selain bantuan dari arwah anak sulungnya sebelum ini.

Kadang kita merasakan hidup kita susah, rupanya masih ramai yang jauh lebih susah dari kita. Maka bersyukurlah dengan apa yang kita miliki.

Semoga Allah swt memudahkan segala urusan hidup mereka. Aamiin.”

Sumber/Foto : Skuad Pengurusan Jenazah – SPJ Malaysia, Ust. Rafie Zainal, Pengerusi Skuad Pengurusan Jenazah – SPJ Malaysia, Majlis Usrah Nur Fattah

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI