“Ibu Rehat Ya…”Nampak tenang tetapi hakikatnya inilah luahan penuh vokalis kumpulan Akim & The Majistret, Akim Ahmad, atas permergian ibunya Aminah Bahari, 54, yang meninggal dunia semalam.
Suami Stacy Anam, Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad, 27, berkongsi khabar sedih itu menerusi akaun Instagram peribadinya.
“Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum. Innalillahi wainna ilaihi roji’un. Dukacita saya ingin maklum, ibu saya, Aminah Bahari kembali ke rahmatullah sebentar tadi. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas Allahyarhamah. Amin ya rabbal alamin.
“Ibu tenang ya di sana, Insya-Allah Akim akan kirimkan apa saja untuk ibu. Ibu rehat ya!”
Selain isterinya, Stacy Anam, perkongsian berkenaan turut mendapat simpati daripada pengikutnya, termasuk selebriti tanah air seperti Datuk Aznil Nawawi, Hazama, Radin Era, Aweera, Aiman Tino, Marsha Milan, dan Along Cham.
Ads
Sebelum berita kematiannya ibunya, Akim meminta pengikut dan peminat beliau supaya mendoakan kesihatan ibunya, tanpa menjelaskan penyakit dihidapi arwah ibunya. Salam takziah dari team Mingguan Wanita, moga arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan solehah.
Ads
AL- FATIHAH.
“Apabila meninggal dunia seorang anak Adam maka putuslah segala amalannya kecuali tiga iaitu: Sedekah yang ditinggalkan semasa hidup, ilmu yang di menfaatkan dan anak yang soleh yang mendoakan kedua ibu bapanya.”
-Hadis Riwayat Luqman Hakim-
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Pada mulanya Mohd Adli bin Yahya tidak dapat menerima hakikat bahawa anaknya Mohd Luqman Shariff mengalami autism. Bertahun juga dia berada dalam tahap ‘penafian’ atau denial terhadap apa yang berlaku pada anak keduanya ini.
Luqman disahkan mengalami autism ketika berusia setahun lebih. Adli tidak percaya dengan pengesahan doktor. Dari satu doktor ke satu doktor lain dia membawa Luqman. Semua doktor yang ditemuinya memberi keputusan yang sama. Tetapi Adli tetap tidak puas hati.
Disebabkan kecewa dengan keadaan Luqman, Adli sentiasa memarahi Luqman. Semasa Luqman masih kecil, seringkali dia marah pada Luqman kerana tidak mampu melakukan apa yang sepatutnya dilakukan oleh kanak-kanak sebayanya pada ketika itu. Buatlah apa sahaja. Luqman tidak pernah melawan.
Tetapi Adli sedar Luqman tahu kenapa dia kena marah melalui riak pandangan mata anaknya itu. Daripada perbuatan Luqman, dia ingin memegang tangan anaknya itu tetapi Luqman enggan memegang tangannya kembali kerana tahu Luqman dalam keadaan marah.
Sering memarahi anaknya itu juga akhirnya memberi kesedaran pada Adli. Terdetik juga dalam hatinya. “ Kenapa aku perlu marah pada anak aku ini? Dia tidak bersalah.”
Akhirnya lama-kelamaan Adli mula berubah. Dia perlu buat sesuatu demi Luqman. Demi masa hadapan anaknya itu, Adli sanggup berhenti kerja demi mahu membantu Luqman dalam belajar menguruskan diri sendiri. Harapannya hanya satu. Adli tidak mahu Luqman terkapai-kapai sendirian bila tiba masanya dia dan isterinya sudah tidak ada di dunia ini.
Kini Luqman berusia 19 tahun. Banyak perubahan yang berlaku pada Luqman. Adli mengharapkan sebelum dia menghembuskan nafas terakhir, Luqman mampu berdikari, mempunyai kerja sendiri dan hidup tanpa bergantung pada orang lain.
Autisme Café Project Malaysia
Pada masa itulah, Adli telah membuka Autisme Café Project Malaysia sebagai satu usaha membantu anaknya dan remaja autism lain dalam belajar mencari wang sendiri untuk menyara kehidupan mereka pada masa hadapan kelak.
Autisme Café Project Malaysia ini terletak di Puchong, Selangor. Ia bukan setakat kafe. Jika tidak berniaga di kafe itu, Adli akan membawa anaknya dan beberapa remaja autism lain berniaga di bazar. Kadangkala mereka juga akan melakukan khidmat katering.
Banyak kerja yang dilakukan oleh semua remaja autism di kafe ini. Setiap remaja diberi kerja mengikut kesukaan mereka. Ada yang suka main air akan disuruh membasuh pinggan. Ada yang pandai bercakap di suruh bekerja di bahagian hadapan.
Sebelum ini Luqman suka main air. Adli menugaskan anaknya itu membasuh pinggan. Seronok sungguh Luqman melakukannya sehingga pernah sekali itu dia basuh 200 biji pinggan tanpa henti. Betapa fokusnya Luqman pada kerjanya.
Selepas itu Adli telah memberi tugasan baru pada Luqman. Luqman perlu mengisi nasi lemak di dalam sebuah bekas plastik bertutup.
“Luqman mengambil masa setahun untuk pandai mengisi nasi lemak yang ada sambal, ikan bilis, timun dan telur. Sebelum ini, jika kita suruh isi nasi lemak dalam bekas dan tidak suruh masuk bahan-bahan yang ada, sudah pasti tidak masukkan.
“Pada suatu hari, saya pandang belakang untuk buat satu kerja. Sebelum itu saya minta dia siapkan nasi lemak. Selepas habis kerja, saya pandang semula ke hadapan untuk melihat adakah nasi lemak siap diisi dalam bekas. Saya lihat bekas plastik sudah diisi dengan nasi lemak yang lengkap segala bahan-bahannya.
“Saya rasa hendak menjerit pada orang ramai yang ada di sekeliling untuk memberitahu kejayaan Luqman itu. Dari situ saya tahu bahawa Luqman boleh diajar. Dia juga sudah faham apa itu konsep nasi lemak yang mesti ada nasi, sambal, ikan bilis, timun dan telur.
“Pada pandangan orang luar apa istimewanya dapat menyiapkan satu bekas nasi lemak. Bagi saya yang mempunyai anak autism jenis pertengahan, ini adalah satu kejayaan besar. Jika ibu bapa lain berasa amat gembira dengan pencapaian cemerlang anak dalam akademik tapi bagi saya, perasaan gembira dapat melihat Luqman siapkan nasi lemak dengan sempurna itu,” katanya dengan panjang lebar.
Setiap Hari Minta Maaf
Bapa kepada enam orang anak ini bersyukur kerana Luqman sudah dapat sedikit kemahiran. Sebagai bapa, Adli tidak minta banyak.
“Saya sedar kemampuan Luqman. Cuma saya minta Luqman dapat berdikari. Itu pun sudah cukup bagi saya. Sekarang ini, Luqman masih banyak lagi yang perlu dipelajari. Perlahan-lahan saya mengajarnya,” kata bapa yang cukup prihatin.
Banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh Adli untuk anaknya itu. Selain berhenti kerja dari sebuah syarikat swasta, Adli juga tidak menaiki kereta demi mahu mengajar anaknya itu cara-cara menggunakan pengangkutan awam.
“Saya korban masa dengan membawa Luqman menaiki komuter, tren LRT dan bas. Saya mahu dia rasa bagaimana menaiki pengangkutan awam. Saya juga mahu dia jadi normal. Memang nampak perubahan pada Luqman,” jelasnya lagi.
Memiliki anak autism adalah cabaran besar. Salah satu perkara yang perlu difahami adalah anak-anak ini akan buat perangai pada bila-bila masa sahaja. Bagi Adli, jika Luqman buat perangai, itu adalah satu perkara biasa baginya. Dia sanggup telan apa sahaja demi anaknya itu.
“Saya sedar Allah bagi saya dugaan ini sebab dia mahu saya sedar dan menghargai apa yang saya ada. Setiap apa yang Allah bagi ini ada sebabnya. Kalau saya kenangkan balik, inilah sebab Allah bagi Luqman pada saya.
“Nasihat saya kepada ibu bapa yang memiliki anak autism dan masih dalam tahap ‘penafian’ adalah agar mereka cepat sedar. Apabila sudah sedar perlulah pula ibu bapa ini redha dengan apa yang berlaku. Ada hikmah di sebalik apa yang Allah berikan kepada kita. Hanya kita sahaja yang tidak tahu.
“Ketahuilah apabila kita menafikan keadaan anak kita itu dan sebaliknya mengajar anak dengan cara biasa, ia seperti menyeksa mereka. Anak autism ini ada hati dan perasaan. Jangan siksa mereka kerana kelak hubungan akan jadi renggang. Pahit di luar kita nampak tetapi parut di dalam kita tidak nampak.
“Sebab itu jugalah apabila saya ingat apa yang pernah saya buat pada Luqman dahulu saya rasa sedih. Sekarang ini setiap hari saya akan minta maaf pada Luqman. Luqman tidak boleh bercakap tetapi saya rasa dia maafkan saya,” katanya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tahniah buat penerbit popular, Datuk Ziela Jalil yang telahpun menyambut bakal menantu dalam majlis pertunangan anaknya, Dr Hajjah Puteri Julia Nabilah Binti Tan Sri Megat Junid pada 12 Mei yang lalu. Dr Julia selamat bertunang dengan Dr Dziya Faqhran Bin Dato’ Mahmod Fauzi.
Sekitar majlis pertunangan itu telahpun dikongsikan oleh Ziela dalam instagram miliknya. Cantik berseri-seri sungguh Julia dalam persalinan rona merah jambu lembut itu. Wajahnya persis ibunya, pesonanya lembut dan jelita.
Anak gadisnya itu merupakan lulusan dari Royal College of Surgeons di Ireland. Ziela atau nama sebenarnya Norzilah Abdul Jalil ternyata ibu yang cekal. Membesarkan anak-anak sendirian selepas kematian arwah suaminya Tan Sri Megat Junid Megat Ayub, yang pernah memegang portfolio Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna bukanlah satu perkara yang mudah. Namun, wanita cekal ini buktikan beliau ibu yang hebat.
“Wrapping up Mother’s Day with 2 of the most amazing mums I have the privilege of having 🙂 Mama and of course my future MIL.” Tutur Julia yang bahagia dikurniakan dua orang wanita hebat dalam hidupnya. Tentunya, sambutan Hari Ibu bagi wanita ini amat bermakna sekali.
Sememangnya berbeza benar mood sepanjang majlis pertunangan anak Ziela Jalil ini. Bagaikan taman-taman yang mekar dengan bunga-bungaan. Hiasan pelaminnya pun sungguh unik dan tersendiri. Menurut Ziela, usaha mencantikkan dekorasi majlis pertunangan anaknya itu dilakukan oleh Razak Flora.
“SubhanaAllah, it’s more than I could ever imagine.” luahnya dalam statusnya.
Beliau bersyukur kerana dikurniakan dengan team yang hebat sepanjang menjayakan majlis pertunangan anak perempuannya itu. “It’s more than I could ever ask for. Thanks again Razak.”
Sememangnya kasih sayang seorang anak itulah yang membuatkan seseorang ibu itu kental. Begitulah Ziela takkan pernah tak menyayangi anaknya. Malah kasihnya sampai ke Jannah.
Bukan mudah untuk membesarkan anak-anak sendirian. Dan ini disaksikan sendiri oleh anak-anaknya itu. Melihat betapa kentalnya jiwa seorang ibu bak besi waja. Itulah yang melekat di hati Julia, menjadikan ibu bagai superheronya sampai bila-bila.
Tidak hairanlah Ziela pernah diangkat menjadi sebahagian ikon Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam usaha mereka menjadikan tahun 2018 sebagai Tahun Perkasakan Wanita.
Pasti nasihat ibu mengiringi setiap perjalanan kehidupan anak-anak. Doa ibu melengkapkan lagi sokongan jiwa anak-anak untuk lebih cemerlang di kemudian hari. Dan inilah yang dikongsikan anaknya, Julia.
“To Mama, the woman I have always and forever will look up to, the ironlady who has bent backwards to raise my brothers and i, my woman of steel, my very own superhero.
“Thank you for everything you have taught me, everything you have given me. Thank you for the lessons I’ve learnt through the words that you’ve spoken as well as the words that hid between your smiles, your anger, your tears.
” Thank you for raising me to become who I am today. Thank you for always telling me that I am capable of anything. Thank you for your constant support, your constant blessings.
“Thank you for the prayers you whisper when i’m asleep, and the tears you’ve shed because of me. I could live this life for 1,000 years, and relive it all over again, and even then I could never repay all that you have given me. Happy Mother’s Day Mama.”
Di sebalik berita-cerita panas mengundang resah gelisah masyarakat netizen; dari kisah YB Nurul Izzah Anwar dengan teguran tudungnya, tragedi pembunuhan pelajar perempuan Nur Alya Damia sampailah cerita pilu anak perempuan 10 tahun tercemar emosinya. Ada ikhtibar yang perlu kita semua ambil peduli.
Membaca teguran Bapa Viral Kebangsaan, Khairul Hakimin Muhammadmembuatkan kita tersedar akan sesuatu. Bukan semata-mata mahu menuding jari salah siapa. Tapi lihat jauh ke dasarnya. Puncanya.. semua ini bermula dari mana.
Saya masih belum move on dengan pemergian Nur Alya. Kisah cinta yang akhirnya meragut nyawa seorang pelajar yang membawa kepada banyaknya perbincangan besar di media sosial.
Saling salah menyalah. Saling tengkar bertengkar. Sedang ianya asyik tersebar, lalu pula video panggilan Azrul yang menegur YB Nurul Izzah tentang tudungnya. Berkait terus hal baju dalam dan yang seangkatan dengannya.
Sedang mahu menulis status ini, datang pula berita menggemparkan di Bandar Baru Bangi tentang seorang pemandu van sekolah berumur 47 tahun memaksa kanak-kanak berumur 10 tahun melakukan oral seks di dalam van dan diugut dengan berbagai ketakutan.
Hari ini, kita lebih suka berbincang dari berbuat. Pumpang sana, pumpang sini. Perempuan kata lelaki kena tundukkan pandangan, lelaki pula kata perempuan perlu memakai pakaian yang menutup aurat. Lalu hebahlah serata, berperang mana hak mana yang hebat. Lalu masing-masing rugi.
Nur Alya, Nurul Izzah dan adik berumur 10 tahun itu adalah mangsa kepada lelaki. Jadi lelaki menjadi pesalah besar dalam hal begini.
Namun, di sebalik besar dan hebatnya lelaki itu, ia dilahirkan oleh seorang wanita. Yang mana kaum yang diperlakukan secara jahat itu adalah yang sama jenis dengan ibunya sendiri.
Negara tenat dengan masalah ekonomi. Masyarakat tenat dengan hal moral, sekolah tenat dengan masalah guru dan pelajar dan keluarga penat dengan hal anak-anak yang tidak terdidik, terbiar dan akhirnya menjadi binatang yang terpelajar.
Minggu lalu, kami ada bersembang tentang nak siapkan buku tentang ibu muda yang pernah diganggu hidupnya secara seksual. Lalu melahirkan anak. Bagaimana mereka ini cekal dalam hidup dan terus bangun melawan jahatnya manusia yang ada di sisi mereka.
Kawan kami, sepupunya sendiri pernah jadi mangsa. Ianya bermula dari rumah yang dipenuhi dengan celupar ibu bapa sampai kerap mencarut, kemudian banyaknya gadget tak terkawal.
Berkawan dengan sesiapapun hingga ibu bapa biarkan sahaja. Nak balik, balik. Tak mahu, sudah. Janji hidup dan tak ganggu kehidupan ibu ayah yang sibuk bekerja.
Balik kampung beraya, merogol sepupu sendiri. Dan si perempuan sudah pun selamat melahirkan anaknya. Yang lelaki sudah pun selamat di penjara kerana yang perempuan masih di bawah umur.
Keluarga berpecah. Bergaduh tak sudah. Dan ia merosakkan keseluruhan institusi itu sendiri. Lalu saling salah menyalah. Ayah, salahkan ibu yang tak reti mendidik anak. Ibu marahkan ayah yang tak bertegas dengan anak. Jiran membenci, keluarga sendiri memusuhi. Apa lagi kawan sekerja dan yang lain mengenali. Semua berundur terus. Itu keturunan jahat dan kena jauhi.
Kawan-kawan anak seorang pun tak muncul. Dan paling sedih, apabila dibuka laptop dan telefon mamat ini, bersepah gambar lucah di banyaknya folder dan aps.
Barulah semua menggigil.
Ini adalah kerosakan institusi. Dari rumah, sekolah, kawan dan masyarakat, semuanya sepakat merosakkannya sama-sama.
Budaya tak boleh sibuk tepi kain orang ini sudah semakin tak boleh pakai. Kena tegas dan sentiasa ambil tahu.
Zaman internet semakin laju, setiap selak kain, setiap sehelai serta bidang ela, meter dan depa, kena prihatin dan peka.
Anak-anak adalah anugerah kita. Biar sekarang kita berperang jadi garang dan raksasa kepada anak-anak, didik sampai dia tahu, faham dan takut kepada kesalahan dan kesilapan, dan yang penting dia jadi orang dan tidak menghancurkan orang lain.