Ikhtibar Dari Kisah Nur Alya Damia, YB Nurul Izzah Dan Adik 10 Tahun, Yang Mana Semua Mangsa Ini Puncanya Lelaki

Di sebalik berita-cerita panas mengundang resah gelisah masyarakat netizen; dari kisah YB Nurul Izzah Anwar dengan teguran tudungnya, tragedi pembunuhan pelajar perempuan Nur Alya Damia sampailah cerita pilu anak perempuan 10 tahun tercemar emosinya. Ada ikhtibar yang perlu kita semua ambil peduli.

Membaca teguran Bapa Viral Kebangsaan, Khairul Hakimin Muhammad membuatkan kita tersedar akan sesuatu. Bukan semata-mata mahu menuding jari salah siapa. Tapi lihat jauh ke dasarnya. Puncanya.. semua ini bermula dari mana.

Nur Alya, Nurul Izzah & Adik 10 Tahun Adalah Mangsa Lelaki

Saya masih belum move on dengan pemergian Nur Alya. Kisah cinta yang akhirnya meragut nyawa seorang pelajar yang membawa kepada banyaknya perbincangan besar di media sosial.

Saling salah menyalah. Saling tengkar bertengkar. Sedang ianya asyik tersebar, lalu pula video panggilan Azrul yang menegur YB Nurul Izzah tentang tudungnya. Berkait terus hal baju dalam dan yang seangkatan dengannya.

Sedang mahu menulis status ini, datang pula berita menggemparkan di Bandar Baru Bangi tentang seorang pemandu van sekolah berumur 47 tahun memaksa kanak-kanak berumur 10 tahun melakukan oral seks di dalam van dan diugut dengan berbagai ketakutan.

Hari ini, kita lebih suka berbincang dari berbuat. Pumpang sana, pumpang sini. Perempuan kata lelaki kena tundukkan pandangan, lelaki pula kata perempuan perlu memakai pakaian yang menutup aurat. Lalu hebahlah serata, berperang mana hak mana yang hebat. Lalu masing-masing rugi.

Nur Alya, Nurul Izzah dan adik berumur 10 tahun itu adalah mangsa kepada lelaki. Jadi lelaki menjadi pesalah besar dalam hal begini.

Namun, di sebalik besar dan hebatnya lelaki itu, ia dilahirkan oleh seorang wanita. Yang mana kaum yang diperlakukan secara jahat itu adalah yang sama jenis dengan ibunya sendiri.

IKLAN

Keluarga Berpecah, Bergaduh Tak Sudah

Negara tenat dengan masalah ekonomi. Masyarakat tenat dengan hal moral, sekolah tenat dengan masalah guru dan pelajar dan keluarga penat dengan hal anak-anak yang tidak terdidik, terbiar dan akhirnya menjadi binatang yang terpelajar.

Minggu lalu, kami ada bersembang tentang nak siapkan buku tentang ibu muda yang pernah diganggu hidupnya secara seksual. Lalu melahirkan anak. Bagaimana mereka ini cekal dalam hidup dan terus bangun melawan jahatnya manusia yang ada di sisi mereka.

Kawan kami, sepupunya sendiri pernah jadi mangsa. Ianya bermula dari rumah yang dipenuhi dengan celupar ibu bapa sampai kerap mencarut, kemudian banyaknya gadget tak terkawal.

Berkawan dengan sesiapapun hingga ibu bapa biarkan sahaja. Nak balik, balik. Tak mahu, sudah. Janji hidup dan tak ganggu kehidupan ibu ayah yang sibuk bekerja.

IKLAN

Balik kampung beraya, merogol sepupu sendiri. Dan si perempuan sudah pun selamat melahirkan anaknya. Yang lelaki sudah pun selamat di penjara kerana yang perempuan masih di bawah umur.

Keluarga berpecah. Bergaduh tak sudah. Dan ia merosakkan keseluruhan institusi itu sendiri. Lalu saling salah menyalah. Ayah, salahkan ibu yang tak reti mendidik anak. Ibu marahkan ayah yang tak bertegas dengan anak. Jiran membenci, keluarga sendiri memusuhi. Apa lagi kawan sekerja dan yang lain mengenali. Semua berundur terus. Itu keturunan jahat dan kena jauhi.

Kawan-kawan anak seorang pun tak muncul. Dan paling sedih, apabila dibuka laptop dan telefon mamat ini, bersepah gambar lucah di banyaknya folder dan aps.

Barulah semua menggigil.

IKLAN

Kawan-Kawan.. Budaya Jangan Jaga Tepi Kain Orang Tak Lagi Relevan

Ini adalah kerosakan institusi. Dari rumah, sekolah, kawan dan masyarakat, semuanya sepakat merosakkannya sama-sama.

Budaya tak boleh sibuk tepi kain orang ini sudah semakin tak boleh pakai. Kena tegas dan sentiasa ambil tahu.

Zaman internet semakin laju, setiap selak kain, setiap sehelai serta bidang ela, meter dan depa, kena prihatin dan peka.

Anak-anak adalah anugerah kita. Biar sekarang kita berperang jadi garang dan raksasa kepada anak-anak, didik sampai dia tahu, faham dan takut kepada kesalahan dan kesilapan, dan yang penting dia jadi orang dan tidak menghancurkan orang lain.

Itu kena jadikan matlamat. Mesti!

Khairul Hakimin Muhammad,
Takut.

Sumber/Foto : Khairul Hakimin Muhammad

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI