Benarkan anak-anak, selagi adanya ibu ayah, selagi itulah doa dari seorang ibu untuk anaknya akan terus mengalir dan berpanjangan. Lagi-lagi ibu yang bangun malam dan solat di sepertiga malam, mendoakan untuk anak-anak. Bukankah doa ibu itu tiada hijab.
Maka, terbukalah ruang rezeki untuknya dan anak-anaknya. Bak perkongsian Da’i Hamidah atau nama penuhnya Hamidah Abdul Razak ini, sebenarnya ibu itulah asbab paling mudah untuk anak masuk ke syurga.
Tapi ada syaratnya, hadamkan perkongsian ustazah ini.
Tadi makan dengan mak, rasa syoq sangat tengok mak sihat, lalu makan. Alhamdulillah atas segala nikmat yang dikurniakan. Benarlah selagi kita masih ada ibu atau ayah, kita perlu bertambah-tambah syukur.
Ads
Kerana mereka kita akan beroleh banyak barokah dan kerana mereka segala permintaan kita In sya Allah akan dikabulkan asbab doa mereka yang begitu luar biasa.
Tetapi apa yang lebih besar ialah mereka kunci mudah untuk insan yang bergelar anak masuk ke syurga jika kita melayani mereka dengan baik tika di dunia.
Ads
Terima kasih mak selalu doakan adik, selalu bangun malam doa, solat hajat untuk adik. Mak memang ibu yang sangat sempurna. Semoga Allah Taala panjangkan umur mak dalam keberkatan dan semua amalan diterima Allah Taala.
Sebagaimana pesan Da’i Hamidah sebelum-sebelum ini, anak yang baik dengan orang tuanya, hidupnya akan dipermudahkan, malah doanya dimakbulkan.
Maka, itu janganlah pernah rasa lelah untuk berbuat baik dengan mak ayah ya. Orang kata, itu pun salah satu cara untuk menjemput rezeki yang tidak disangka-sangka. Berbaktilah terus dengan orang tua mu dengan seikhlasnya.
MW : Moga Allah memberikan ganjaran pahala untuk anak-anak yang tak bersungut menjaga kedua orang tuanya. Amin
Setiap orang mengimpikan untuk berkahwin dan mempunyai pasangan yang dapat terima kita seadanya. Bukan hanya suka pada awal-awal perkahwinan sahaja. Selepas itu, pasangan mulah tawar hati sebab dah kenal perangan dan peel pasangan. Mula rasa menyesal dengan perkahwinan ini.
Jangan begitu, ikatan perkahwinan yang suci ini usah dicemari dengan penyesalan, terimalah pasangan seadanya, baik buruknya. Itulah teman kita yang mampu menerima susah senang bersama.
Bebelan isteri, merajuk dan sebagainya adalah lumrah yang biasa dihadapi oleh seorang yang bergelas isteri. Tambah-tambah bila sudah mempunyai anak. Sebab itu, suami kena faham dan kenalah membantu dalam urusan rumah tangga.
Perkongsian daripada Khairi Syazwan ini, boleh membuka mata pada suami di luar sana. Terimalah pasangan seadanya.
“Kahwin ini, mula-mula je rasa suka. Dah lama-lama nanti, isteri tu mula la tunjuk taring. Membebel situ, membebel sini. Serabut nanti jadinya.”
Terdengar perbualan antara sahabat aku dengan kawannya yang seorang lagi. Aku hanya diam mendengar perbualan mereka yang begitu rancak berkaitan perkahwinan.
Sahabat-sahabat aku ini semuanya dah berhajat untuk punyai tempat mengadu rupanya. Moga dimurahkan rezeki sahabat-sahabat yang ingin berumah-tangga. Ameen.
Berbalik kepada perbualan pertama tadi, mereka kata pernikahan ini hanya terasa suka pada babak-babak awal pernikahan sahaja, selepas itu macam-macam lah yang akan terjadi.
Sebenarnya ramai juga yang aku pernah jumpa berkata begini, hatta yang sudah berkahwin pun berkata begini. Aku tidak tahu apa sebenarnya yang mereka fikirkan.
Aku sendiri pula sebenarnya sangat tidak bersetuju dengan kata-kata mereka. Kenapa mereka perlu berkata begitu? Nampak macam mereka ini sangat merendahkan martabat wanita. Padahal si isteri inilah kelak yang akan bersama c suami kelak, menjadi penyejuk mata, penenang hati dan pengubat rindu di kala kesepian ingat itu.
Aku ingin ingin berkongsi pandangan aku tentang alam perkahwinan. Iyalah dah ramai sangat yang aku jumpa berkata perkara yang sama. Tak sedaplah kita yang mendengarnya.
Sahabat, perkahwinan ini bukanlah hanya bersebelahkan satu pihak sahaja, bukanlah menyebelahkan di pihak lelaki sahaja. Tetapi perkahwinan ini melibatkan kedua-dua belah pihak, baik di pihak lelaki, perempuan serta keluarga di kedua-dua belah pihak. Baik buruk mereka perlulah kita sedia untuk terima sebagaimana kita menerima kekurangan pasangan.
Dalam perkahwinan, perlulah kita sama-sama memahami pasangan masing-masing, perlulah saling berlapang dada untuk kebaikan suami isteri.
Iya, aku mungkin faham bagaimana perangai seorang wanita. Banyak ragam mereka, kalau ada yang tak kena pasti akan naik angin kan?
Tapi begitulah, kalau dah anggap diri itu dah sedia nak kahwin tak perlulah cakap yang bukan-bukan. Takut nanti akan terjadi betul-betul, terbawa kepada perkara yang tidak diingini. Na’uzubillah min zalik.
Wanita ini,
Terciptanya mereka itu dari rusuk seorang lelaki,
Bukanlah dari kaki untuk dialasi,
Bukan juga dari kepala untuk dijunjung,
Bahkan dekat di bahu untuk dilindung,
Dekat jua di hati untuk dikasihi.
Dunia ini hanyalah sebuah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan itu adalah wanita yang solehah.
Jadi, cubalah ubah mentaliti terhadap perkahwinan. Benda ini bukan perkara yang boleh dibuat main atau ambil mudah. Ia berkaitan soal kehidupan kita. Ke mana akan kita bawa pasangan itu kelak? Syurga atau sebaliknya?
Pastinya ramai sekali yang tidak bersetuju kerana aku tiada pengalaman di alam perkahwinan ini.
Sekali lagi peringatan, aku hanya ingin berkongsi pandangan.
Allahua’lam.
Moga kita semua dikurniakan pasangan yang soleh, solehah serta dapat menjadi teman di dunia dan akhirat.
MW: Moga ia memberi manfaat kepada pasangan di luar sana. Jadilah pasangan itu sebagai teman dan kawan dunia akhirat. Aamiin
Sumber: Khairi Syazwan
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Mak ayah adalah orang terpenting dalam membentuk dan mendorong kejayaan anak-anak dalam hidup mereka. Titipkan tujuh pesanan ini untuk mereka pegang dalam mengejar kejayaan. Bukan saja untuk duniawi semata-mata.
Jagalah Allah SWT nescaya Allah SWT sentiasa menjagamu. Anak-anakku, fahamilah oleh mu bahawa Allah SWT itu Tuhanmu. Justeru, yang kamu jaga itu adalah hubunganmu dengan Allah SWT.
Ingatlah sedalam-dalamnya, peganglah sekuat-kuatnya bahawa Allah SWT tidak pernah meninggalkan kita walau sedetik pun. Maka usahlah kita mengambil pilihan untuk tidak bersama-Nya di mana sahaja wajah kita berpaling, di mana sahaja kaki kita melangkah dan di mana sahaja nafas kita sedut.
Anak-anakku, janganlah kamu mengatakan yang kamu mahu mendekatkan diri kepada Allah SWT sedangkan kamu tidak mahu terikat dengan-Nya. Keterikatannya itu adalah satu matlamat para kekasih-Nya.
Justeru, ikatlah perasaanmu hanya dengan Allah SWT. Janganlah kamu suka bercerita kedekatanmu dengan-Nya tetapi hatimu sentiasa dekat dengan material duniamu. Usahlah kamu berangan-angan tentang-Nya sedangkan kamu cukup takut meninggalkan darjat, pangkat, harta duniamu.
Wahai anak-anakku, utamakanlah pelajaran dan ilmu. Ketahuilah oleh mu, ramai yang berpelajaran tetapi tidak berilmu maka jiwanya kosong. Mereka sanggup melakukan apa sahaja demi mengisi jiwanya.
Begitu juga ada orang berilmu tetapi tidak berpelajaran maka hidup bermakna biar tidak ke mana. Anak-anakku, alangkah indahnya kamu memiliki keduanya kerana itu menjadikan kamu sebaik-baik hamba. Pelajaran akan menjadi tongkat dunia mu manakala ilmu menjadi penjaga akhirat mu agar kamu tidak tersasar di sebalik keindahan dunia yang penuh tipu daya.
Anak-anakku, berusahalah untuk diri mu. Usah kamu bersandar pada orang lain kerana ayahanda tidak senang mendengar ungkitan. Setiap sandaran kita perlukan pulangan. Setiap pertolongan orang itu perlukan pembalasan walaupun tidak diminta. Ada yang mahukan balasan yang material. Ada juga yang hanya mahukan doa. Tak kurang juga yang mahukan balasan sikap dan sifat. Semuanya itu bentuk pembalasan.
Namun, kita mungkin tidak dapat memberinya sepanjang hidup kita. Justeru, anak-anakku, berusahalah sedaya upaya dengan akal dan kudrat kurniaan Allah SWT agar kamu mengurangkan sandaran kamu terhadap orang lain.
Ia menjauhkan kamu dari rasa sakit hati apabila setiap yang disandarkan menjadi ungkitan biarpun sandaran yang diberi sudah terbalas sekian lama. Ingatlah anak-anakku, jangan sesekali kamu mengungkit kerana ungkitan itu memadamkan rasa. Orang yang mengungkit tidak pernah terguris rasa tetapi orang yang diungkit akan selalu ngilu perasaan.
Apabila kamu berpasangan kelak, taati pasanganmu daripada dua sudut nescaya hidup kamu bahagia hingga akhir hayat. Taatlah dengan zahir, tunaikan tanggungjawab mu sebagai orang yang diamanahkan.
Berikanlah khidmat kepada pasanganmu dengan penuh rasa cinta dan kasih sayang. Setiap pasangan itu perlu saling berkhidmat antara satu sama lain. Taatilah pasanganmu dengan perasaan.
Usahlah biarkan perasaan mu diisi dengan ketaatan kepada yang bukan haknya. Ingatlah anak-anakku, sentiasalah dahulukan yang berhak. Jangan biarkan dia melihat apa yg tidak disukainya. Jauhkan pendengarannya dari apa yg dibencinya. Jaga hidungnya agar tidak mencium apa yg tidak digemarinya.
Wahai anak-anakku, berhentilah mengkritik orang lain sebelum kamu mengkritik dirimu sendiri. Nasihatilah dirimu sebelum menasihati orang lain. Jagalah kata-katamu kerana sepotong ayat yang tidak dijaga akan melukakan hati sepanjang hayat.
Kelak nanti kamu tercari-cari mengapa orang berjauh hati dengan mu. Kasihanilah dirimu sebelum kamu mengasihani orang lain agar rasa kasihan yang kamu berikan kepada orang lain datangnya dari lubuk hati dan perasaanmu dan bukan produk keluaran bibirmu.
Berbicaralah dengan lisan lembut dan suara yang rendah. Kata-kata yang kamu lontarkan adalah personaliti kamu. Sentiasa rendahkan suaramu agar nanti kamu tidak tersasar tinggi suara pada Tuhanmu. Jadilah kamu orang yg bermanfaat untuk orang lain.
Jadilah kamu orang yang bisu dalam memperkatakan kelemahan orang lain. Jadilah kamu orang yang buta melihat kekurangan orang lain. Jika tidak, kesemuanya akan menjadi sikap dan sifatmu kelak.
Anak-anakku, ayahanda wariskan kepadamu apa yang hak untuk kamu. Usahlah kamu tamak. Usahlah kamu berkira. Belajarlah untuk memberi dan menerima. Jangan kamu pertikai apa yang bukan hak kamu kerana itu semua membuka pintu kenistaan.
Jangan kamu ambil apa yang bukan hak kamu dan jangan kamu berikan kepada orang yang tiada haknya. Ia menjadikan kamu jatuh ke lembah ketidakadilan. Ia pasti merosakkan silaturahim antara kamu dan orang lain.
Anak-anakku, jangan pernah kamu takut untuk melakukan sesuatu yang baru kerana setiap orang yang berjaya pasti pernah melalui kesilapan. Jika kamu takut silap maka kamu akan sentiasa silap. Wahai anak-anakku, inilah yang ayahanda suratkan. Semoga ia menjadi pedoman hidup mu agar kekal ber’Tuhan’.
Artikel: Dato’ Dr. Azhar Haji Sarip, NLP Gold Master Trainer (NFNLP, USA)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Anak cemerlang pastinya jadi kebanggaan mak ayah. Semua mak ayah nak anak-anak cemerlang dalam hidup. Sebab itu zaman sekarang mak ayah sanggup buat apa saja demi memastikan cahaya mata kesayangan berjaya dalam akademik. Sanggup hantar kelas tuisyen mahal. Tapi, kita terlupa untuk didik anak jadi insan beradap yang tak biadap!
Mendidik anak adalah satu proses pembelajaran sepanjang hayat. Setiap fasa kehidupannya merupakan fasa baru dalam pembelajaran kita sebagai ibu bapa. Ilmu dan pengalaman adalah dua guru penting yang memandu setiap gerak geri kita sebagai pendidik.
Oleh yang demikian, terus-meneruslah mencari ilmu dan berkongsi pengalaman. Yakinlah dalam setiap perkara yang berlaku dalam kehidupan kita ada Allah yang merencanakannya. Sudah pasti wujud hikmah dan pedoman yang Dia ingin untuk kita kutip dan pelajari. Bukalah minda dan pandanglah dengan mata hati insya-Allah, kita akan temui.
Rakan penjaga yang dihormati, antara perkara penting yang sering menjadi bualan adalah persediaan minda anak-anak. Setiap ibu bapa mahu melihat zuriat mereka cemerlang dalam pembelajaran. Bahkan kita sentiasa meletakkan prestasi akademik sebagai penanda aras kepada kecemerlangan seseorang.
Persepsi ini menyebabkan kita tercari-cari tempat yang terbaik untuk anak belajar malah lebih cepat dia boleh belajar secara formal, lebih cepatlah mereka akan dihantar ke pusat-pusat pembelajaran. Ia tidak salah, malah tuntutan zaman ini memerlukan persediaan awal daripada segi membaca, menulis dan mengira sebelum masuk ke sekolah rendah lagi.
Jika tidak, mereka ini terpaksa menduduki kelas-kelas pemulihan yang dengan mendengar namanya sahaja boleh mendatangkan persepsi-persepsi negatif terhadap anak-anak yang baru ingin belajar. Maka untuk itu, anak-anak harus diberikan pembelajaran asas ini agar dia berjalan beriringan dan tidak ketinggalan. Hal ini bertujuan bagi mengelak emosi anak-anak tercalar dan motivasinya untuk belajar terganggu.
Namun demikian, pembelajaran ini haruslah diiringi dengan pembelajaran adab yang merupakan buah kepada ilmu. Orang yang berilmu dapat dilihat dengan tingkah lakunya yang beradab. Manakala orang yang beradab sudah pasti dia adalah orang yang berilmu. Zuriat yang sedang kita didik bukan sahaja memiliki akal untuk dijaga dan diberikan makanan. Malah dia juga adalah rangkuman roh, hati, nafas dan jasad yang perlu diraikan selaku seorang insan.
Insan yang beradab akan lahir apabila akal, hati, roh, nafas dan jasadnya mengenal Tuhan yang Esa dan mengetahui kedudukannya sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya. Dengan penjelasan dan pemaknaan ini seseorang itu akan mengetahui teritori kehidupannya sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya. Dia tidak akan melakukan sesuatu yang melampui batas dan bersikap adil iaitu meletakkan sesuatu kepada tempat yang sepatutnya. Dalam apa jua keadaan dia akan tahu meletakkan dirinya pada posisi yang sepatutnya. Perkara inilah yang dipanggil adab.
Jika kita ingin melahirkan insan yang beradab, anak-anak kita harus diasuh untuk melihat kehidupannya dengan cara pandang Islam. Mereka harus diberitahu tentang hakikat diri mereka sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya. Sebagai langkah awal, pembelajaran harus dimulai dengan pelaziman daripada persekitaran.
Kita sebagai orang dewasa harus mencorakkan persekitaran ubudiyyah (kehambaan) dalam persekitaran rumah kita. Bersegera menunaikan solat, menitik beratkan solat berjemaah, lazimi doa dan pengharapan kepada Allah. Percaya setiap perkara yang berlaku adalah aturan Allah dengan melazimi bersangka baik kepada Allah.
Rajin berusaha kerana sebagai hamba kita harus rajin berusaha kerana kita adalah hamba, termasuklah mengenal ABC, membaca, mengira dan menulis, ia adalah sebuah usaha untuk mendapatkan ilmu. Dapat atau tidak bukan urusan kita kerana sebagai hamba, limit kita adalah berusaha dan berharap namun dengan bersangka baik kepada Allah, pasti Allah akan berikan hajat kita pada masa dan kesesuaiannya. Sebagaimana hadis Qudsi menyebut; “Rasulullah s.a.w bersabda, Allah berfirman, Aku adalah sebagaimana sangkaan hamba-Ku”.
Pelaziman ini akan disimpan ke dalam minda bawah sedar anak-anak kita kemudian akan diprogramkan. Program ini akan dilancarkan apabila terdapat situasi yang hampir sama terjadi dalam kehidupan mereka. Ditambah pula dengan pemaknaan iaitu menerusi ilmu yang sentiasa diberikan akan meneguhkan pelaziman yang diperoleh oleh anak-anak tadi.
Oleh yang demikian, sama ada adab atau ABC? Kedua-duanya harus diberikan secara beriringan kerana anak-anak kita adalah hasil cantuman komponen akal, roh, jasad, emosi dan hati yang perlu diraikan kesemuanya untuk membentuk dirinya selaku insan. Malah membentuk insan yang beradab adalah rangkuman kesemua komponen insan. Wallahualam…