Keluar pagi, balik petang atau malam, itulah rutin mak ayah yang bekerja, cari rezeki untuk keluarga. Kadang-kadang, seharian tak jumpa anak, mulalah rasa bersalah sebab tak dapat luangkan masa bersama anak-anak.
Bagi yang ibu yang bekerja, rasa bersalah pun ada dan anggap anak kurang perhatian kerana ibu keluar cari rezeki. Sedar-sedar anak dah membesar, cepatnya masa berlalu.
Perasaan rasa bersalah itu memang tak dapat lari bagi setiap mak yang bekerja. Sedangkan mak yang tidak bekerja boleh fokus pada anak seratus peratus. Bila sibuk dengan kerja tak dapat nak fokuskan pada anak, lebih teruk anak memberontak dan mulalah menyalahkan anak-anak.
Baik ibu yang bekerja jangan cepat rasa bersalah pada diri kerana tidak dapat berikan tumpuan pada anak-anak. Semua ini adalah aturannya. Bekerja untuk membantu keluarga dan pada masa yang sama ingin menjadi ibu yang terbaik.
Dr Redza Zainol turut berkongsi pengalamannya ketika merawat seorang pesakit dan kekecewaan yang dialami oleh seorang ibu kerana dia bekerja, tidak dapat beri perhatian pada anak-anak.
Pernah saya jumpa seorang ibu dan anaknya di klinik kanak-kanak sebab dia masih belum boleh bercakap.
Ads
Sesi kami agak lama sebab untuk kes begini saya akan bertanya itu ini pada ibunya. Sambil dia ni bercerita, saya perasan yang ibu ni makin serba tak kena.
Dari satu ayat ke satu ayat, penuh dengan nada kecewa. Muka berkerut dan nampak kusut. Saya pun sambung mendengar sampailah dia kata,
“Saya sebenarnya sibuk sangat kat tempat kerja. Balik rumah dah penat sangat. Saya biar je dia tengok TV.
Saya rasa dia tak dapat perhatian yang secukupnya dari saya. Saya banyak biarkan dia dengan nenek dia. Saya rasa saya yang tak pandai nak besarkan dia.”
Lambat sungguh baru saya nak tersedar.
Ibu ni diselubungi dengan rasa bersalah. Dia fikir dialah punca anaknya masih belum boleh bercakap.
Ads
Saya terangkan baik baik pada dia, ada bermacam sebab lain sampai anak boleh jadi macam ni. Dia pandang pada saya, nampak dia sedikit lega.
Ujian Buat Ibu-ibu
Besar sungguh ujian kaum ibu ni.
Ada hari berkejar-kejar tak sempat masak dan hanya jamu anak dengan masakan dari kedai, dah terasa seperti ibu yang gagal.
Susu badan tak cukup sampai terpaksa susukan anak dengan susu tepung, boleh timbul rasa seperti ibu yang gagal.
Keluar bekerja sebab nak bantu tambah pendapatan keluarga tapi pada masa yang sama tak dapat nak besarkan anak di depan mata. Ada yang terasa seperti ibu yang gagal.
Ads
Kita tak duduk dalam kasut mereka, kita tak tahu sisi hidup ibu-ibu ni. Sebutlah yang baik baik pada mereka.
Untuk ibu di luar sana, berhentilah rasa bersalah. Keluar mencari rezeki dan membantu suami, tak sedikit pun mengurangkan kebaikan kalian sebagai seorang ibu.
Kalian dah buat sehabis baik untuk keluarga. Anda ibu yang baik.
Mingguan Wanita : Ibu yang bekerja belum tentu anak tidak boleh dapat kasih sayang dan perhatian pun. Malah, ibu yang tidak bekerja atau surirumah, juga belum pasti akan dapat memberikan kasih sayang sepenuhnya. Renung-renungkan.
Suami tengah kerisauan sekarang bila isteri masing-masing mula menunjukkan pelbagai design barang emas terbaru di pasaran. Memang boleh buat silau mata! Hati pula tak keruan, alahai. Isteri nak mintak ‘top up’ barang kemas lagi la tuh! Lebih-lebih lagi tak lama dah nak raya Aidiladha kan?
Suami jeling pada isteri. Hmm..Rasa dah cukup semua; dah dibelikan rantai, gelang dan cincin. Tak cukup lagi?
Sekarang ni umpama trend wanita-wanita tengah ‘galak’ beli emas. Ikutkan wanita suka beli emas menjelang hari perayaan. Tapi tahun ini, pandemik Covid-19 membuatkan suasana berbeza.
Selepas kedai emas mula dibenarkan beroperasi semula, barulah demam membeli barang kemas kembali menggebu. Tapi sekarang ni nak beli emas pun senang je. Tak payah pergi kedai emas pun dah boleh beli emas. Asal ADA BAJET!
Banyak kedai dan orang persendirian yang membuat jualan secara online. Beli emas di Fb je. Tapi hati-hati ye. Jangan sampai ada yang tertipu!
Suami Mula Risau…
Bila bercakap barang kemas, ada wanita yang sukakan barang perhiasan daripada emas kuning, ada juga daripada emas putih. Tapi emas kuning lebih diminati kerana ia boleh digadai semula. Berbeza dengan perhiasan emas putih yang hanya sesuai untuk simpanan sahaja kerana susut nilai yang tinggi. Perumpamaannya, ‘tak laku’ kalau nak gadai. Hanya orang yang benar-benar berduit akan beli emas putih sebagai koleksi peribadi.
Yang ruginya, kalaulah dalam keadaan ‘sesak’ dan tersepit, emas putih tak boleh digadai untuk dapatkan duit. Lain lah emas kuning. Boleh digadai untuk dapatkan duit tunai.
Apa pun terpulang pada cita rasa wanita itu. Ada yang beranggapan perhiasan emas putih tampak elegan dan classy. Manakala emas kuning nampak mewah. Masing-masing ada pendapat tersendiri
Suami Kena Tanam Dalam Hati, Ini Pelaburan
Siapa yang cakap beli emas membazir? Tak ada membazirnya. Harga emas sentiasa akan naik. Kalau nak tunggu harga emas turun, bila tu?
Tapi ada hari harga emas akan turun sedikit. Jadi, seeloknya bila dah ada target nak beli emas, survey harga pasaran emas pada hari tersebut. Itu juga dapat membantu anda berjimat dan membeli emas dengan harga yang lebih menguntungkan.
Sebab tu orang kata, kena ada ilmu juga bila hendak beli emas untuk menggelakkan tertipu atau terbeli dengan harga yang tak sepatutnya. Kena tengok apakah berbaloi jika ‘trade in’dan sebagainya.
Wanita Nak Berhias Sambil Melabur
Memang banyak pilihan lain dalam pelaburan emas seperti beli coin emas dan sebagainya. Tapi, ramai wanita yang lebih tertarik untuk membeli emas dalam bentuk perhiasan diri seperti rantai, gelang dan cincin. Bukan apa, bolehlah dipakai dan digayakan. Kalau beli syiling emas, memang kena simpan je lah. Tak bolehlah nak pakai dan melawa kan?
Tapi itu normal, barang kemas boleh menambah seri penampilan seseorang wanita. Tapi jangan ‘over’ sampai macam ‘kedai emas bergerak’. Bahaya tu!
Isteri Pula Kenalah Timbang Rasa Ye…
Tak boleh dinafikan lagi, wanita dan emas memang tak dapat dipisahkan. Kalau yang boleh memisahkan adalah ‘duit’. Sebab itu ramai yang sanggup bermain ‘kutu’ untuk membeli barang kemas atau membayar ansuran dengan kedai emas. Jadi tak terasa sangat bila tak bayar sekali gus.
Apapun di pihak isteri pula, janganlah kedekut dan tak nak bertimbang rasa. Barang kemas banyak dalam simpanan, tapi bila suami dalam kesempitan dan minta tolong , sampai hati pula dia tak nak benarkan digadai seurat dua.
Dalam rumah tangga kenalah ada tolak ansur. Bila senang, suami belikan barang kemas. Bila susah, tolonglah suami tu pula. Ada wanita jang kata, tak elok beli emas dengan niat nak digadaikan kelak. BUKAN GITU! Tapi, kita tak tahu bila hidup kita akan diuji. Tak selamanya kita senang. Daripada nak meminjam sana sini, lebih elok gadaikan emas yang ada. Bila dah okay, tebus balik. Malah siapa tahu, bila rezeki dah ada semula, suami akan tambah koleksi barang kemas anda itu. Siapa yang untung? Isteri juga kan?
Suami ini sedih dan menyesal kerana kasih sayangnya disia-siakan oleh isteri tersayang. Akhirnya mereka memilih cerai sebagai jalan terakhir. Ikuti luahannya kepada Mingguan Wanita.
Sebagai lelaki normal, Sham juga ingin berkahwin dan membina keluarga sendiri. Namun, ditakdirkan dia sukar mendapat jodoh sehinggalah usianya mencecah 38 tahun. Itu pun ahli keluarga yang carikan calon.
Jodoh Tiba Untuk Bergelar Suami
Tuhan saja yang tahu betapa gembiranya hati Sham apabila mak long memberitahu lamarannya telah diterima. Mak long merupakan ibu saudara yang menjaganya sejak kecil setelah ibu kandungnya meninggal dunia. Ayah pula berkahwin lain dan tidak pernah lagi peduli tentang dirinya.
“Mak long harap kau bina keluarga bahagia nanti ye. Mak long sentiasa doakan kau bahagia,” ujar mak long.
“Baik mak long. Sham akan cuba untuk menjadi suami dan seorang ayah yang baik kelak.” Balas Sham. Dia memang menyimpan azam untuk membina keluarga yang bahagia dan menjadi seorang ayah yang baik dan bertanggungjawab. Tidak seperti ayahnya.
Meriah
Akhirnya Sham telah selamat melangsungkan perkahwinan dengan Mastura, seorang guru, gadis yang berusia pertengahan 30-an. Sham sebenarnya seorang sangat kreatif dan berjiw seni. Dari dulu dia membantu mak long menjalankan kerja-kerja membuat pelamin, hantaran dan sebagainya.
Dia juga mampu menjahit dan mempunyai kedai jahit sendiri. Sham kuat bekerja dan tidak hairan jika dia mampu membeli rumah dan kereta. Pendek kata, Sham mampu memberikan kesenangan untuk keluarganya.
Majlis pernikahan Sham berlangsung meriah di sebuah dewan di pekan kecil tempat tinggalnya. Pelamin, hiasan dewan dan hantaran semua dibuat sendiri oleh Sham. Dia ingin yang terbaik untuk majlis perkahwinannya.
Layan Isteri Dengan Sepenuh Kasih Sayang
Selepas berkahwin, Mastura tinggal di rumah yang dibeli Sham dan dia berulang alik ke sekolahnya kira-kira 40 minit. Sham melayan Mastura bagai menatang minyak yang penuh. Baju-baju kerja Mastura juga dijahit sendiri dengan pelbagai fesyen terkini.
Sham juga mengajar Mastura untuk menjaga wajah dan tubuh. Dahulunya Mastura yang berpenampilan ringkas mula pandai bergaya dan makin cantik. Sham pula rasa gembira dan tidak kisah bila ada yang mempertikaikan tindakannya itu. Tidak takutkah nanti jika Mastura diambil orang? Bagi Sham, dia yakin Mastura akan setia dan sayang padanya walau pun mereka berkahwin atas aturan keluarga.
Berubah
Selepas tiga bulan, Mastura hamil dan Sham adalah orang yang paling gembira. Mastura semakin dimanjakan. Segala kehendak dituruti. Akhirnya Mastrua selamat melahirkan sepasan bayi kembar. Sham sendiri yang menjaga Mastura sepanjang tempoh berpantang dan sanggup menjaga bayi kembarnya sendiri. Walau penat tapi dia bahagia kerana Tuhan telah makbulkan doanya untuk memiliki sebuah keluarga.
Mastura kembali ‘pasang badan’ selepas habis berpantang. Sham tidak kisah malah menggalakkan asal tidak seksi. Anak-anak juga Sham yang jaga memandangkan dia bekerja sendiri.
Ternyata kebebasan yang Sham berikan kepada Mastura telah disalahgunakan. Satu hari Mastura meminta izin untuk bermalam di rumah rakannya kerana banyak kerja yang harus diselesaikan. Sham mengizinkan tanpa banyak soal.
Terbongkar
Apabila Mastura pulang keesokan harinya, dia kelihatan biasa dan sibuk melayan si kembar. Cuma Sham hairan mengapa Mastura memakai tudung seharian berada di rumah. Lewat petang, Sham pura-pura tidur di dalam bilik bersama si kembar. Mastura membuka tudung dan bersiap hendak mandi. Kuasa Tuhan, Sham terpandang sesuatu yang amat memeranjatkannya. Ada beberapa kesan lebam di leher isterinya! Sham terus bingkas bangun dan Mastura terperanjat besar. Tanpa berkata apa-apa Sham hanya mampu menuding jari ke leher Mastura.
Tiba-tiba saja Mastura terduduk sambil menangis. Dia sedar kecurangannya telah terbongkar. Sham menelefon mak long dan berapa orang ahli keluarga lain. Malam itu juga Sham bertanya kepada Mastura bersaksikan mak long dan yang lain. Mastura mengaku dia telah menjalinkan hubungan sulit dengan seorang lelaki dan mereka sudah terlanjur. Sham hampir pitam mendengarkan pengakuan Mastura.
Malu Suami Lelaki Lembut
Kata Mastura, dia sebenarnya malu apabila mengetahui suaminya seorang lelaki yang lembut. Sebab itu dia tidak pernah kenalkan Sham kepada rakan-rakannya. Bahkan, katanya kalau dia tahu Sham begitu, sudah pasti di menolak untuk dijodohkan dulu. Mastura mengaku tidak pernah ada rasa sayang pada Sham. Hanya ada rasa simpati kerana Sham teramat baik baginya.
Dipendekkan cerita, talak digugurkan malam itu kerana Sham tidak sanggup menerima kecurangan Mastura. Apatah lagi sedar Mastura tidak pernah sayang padanya. Atas persetujuan bersama, anak-anak diletakkan di bawah jagaan Sham.
Tiga tahun berlalu, Sham masih belum berjumpa pengganti. Namun dia bahagia dengan putera puterinya yang makin membesar. Merekalah yang menjadi keutamaan. Namun jauh disudut hati, dia tetap seorang lelaki yang inginkan belaian seorang isteri. Luarannya dia lembut, namun jiwanya lelaki sejati…!
Berita terkini, kanak-kanak 11 tahun yang berkahwin dengan peraih getah berusia 41 tahun, kini hanya mampu menahan rindu terhadap suaminya itu apabila dia kini ditempatkan di Pusat Kebajikan Thailand, sejak awal bulan ini.
Ibunya, Aminah Itam, 47, mengakui anaknya yang dipanggil Ayu itu amat merindui dan mahu menemui suaminya tapi tidak dibenarkan pihak berkuasa Thailand.Aminah berkata, Ayu hanya dapat menatap wajah suaminya dalam telefon bimbitnya.
Dikeluarkan Selepas Umur 18 Tahun
Katanya, Ayu kini berada di Pusat Kebajikan Thailand, tidak jauh dari pekan Sungai Golok dan hanya boleh dikeluarkan selepas berumur 18 tahun.
Aminah yang juga warga Thailand, berkata dia dan suami juga ditempatkan di pusat kebajikan itu dengan semua perbelanjaan makan dan minum ditanggung kerajaan Thailand.
“Kami hanya menemani Ayu untuk tempoh beberapa bulan saja dan kerajaan Thailand berjanji untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada saya dan suami.
“Mungkin selepas ini kami akan tinggal di Thailand dan berhenti mengambil upah menoreh getah di negara ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Panggong Lalat, di sini, hari ini.
Pulang Ke Thailand
Beliau pulang ke rumah sewanya pagi tadi untuk mengambil semua barangan serta pakaian untuk dibawa pulang ke Thailand.Aminah akan pulang ke Thailand semula petang ini kerana pihak berkuasa negara itu tidak membenarkannya memasuki Malaysia bagi tempoh lama.
Pada 18 Jun lalu, kisah perkahwinan Ayu dan peraih getah itu menjadi viral selepas isteri kedua lelaki itu mendedahkan perkara itu di dalam laman sosial Facebook.
Berikutan itu, lelaki terbabit yang tinggal di Kampung Lalang, Kuala Betis, sudah didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang atas dua tuduhan baru-baru ini.
Peraih getah itu kemudian didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang atas dua tuduhan iaitu berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran. Dia kemudia dikenakan hukuman denda RM1,800 bagi kedua-dua kesalahan itu.
Semoga keputusan yang dibuat ini adalah yang terbaik demi masa depan kanak-kanak ini.
Keluarga Allahyarham Mustaqqeem Mansor merayu siasatan terperinci dijalankan berhubung tragedi Gunung Liang yang meragut nyawa beliau. Ibunya, Rohani Saad, reda dengan ketentuan Ilahi namun mempersoalkan mengapa anaknya ditinggalkan di puncak gunung tanpa laporan polis atau bantuan segera.