Ibu ayah arwah Nurly Shahirah tidak terima tetamu bermula 2-5 Julai, “Bagi peluang Umi dan abah berehat.” Kehadiran tetamu yang tidak putus-putus sejak pemergian Allahyarhamah Nurly Shahirah Azman pada 9 Jun lalu membuatkan keluarganya memohon sedikit ruang untuk berehat.
Menerusi perkongsian seorang individu dikenali sebagai Ahmad Nazrul di Facebook, keluarga arwah memutuskan untuk tidak menerima sebarang kunjungan orang ramai selama empat hari, bermula 2 Julai hingga 5 Julai 2025.
“Untuk makluman, pihak keluarga Allahyarhamah Nurly Shahirah tidak akan menerima kunjungan sepanjang tempoh tersebut. Rumah keluarga arwah juga ditutup buat sementara waktu.
“Kami berharap orang ramai dapat memberikan kerjasama dan memahami situasi mereka. Terima kasih,” tulisnya dalam hantaran yang dimuat naik sekitar jam 8.34 malam, Sabtu.
Perkara itu turut mendapat perhatian abang kepada arwah, Najmuddin Azman, yang memuat naik semula kenyataan tersebut sambil memohon agar masyarakat memahami keadaan keluarganya ketika ini.
Menurut Najmuddin, ibu bapa mereka belum berpeluang berehat sepenuhnya sejak kejadian yang menimpa adiknya kira-kira tiga minggu lalu.
“Kami harap orang ramai beri ruang untuk umi dan abah berehat. Sejak kejadian itu berlaku, mereka belum betul-betul dapat rehat. Insya-Allah, bila ada kelapangan nanti, bolehlah datang menziarah,” katanya.
Difahamkan, pada Sabtu petang, pihak keluarga turut memasang tali penghadang di kawasan pusara Allahyarhamah Nurly Shahirah.
Langkah itu diambil susulan dakwaan terdapat individu yang melakukan perbuatan khurafat dan syirik, termasuk mengambil tanah kubur arwah untuk tujuan tidak sepatutnya.
Terdahulu, Allahyarhamah Nurly Shahirah merupakan antara 15 individu yang terkorban dalam tragedi kemalangan membabitkan sebuah bas dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik, Perak, pada 9 Jun lalu.
Sumber: Facebook Najmuddin Azman dan Ahmad Nazrul
Baca artikel lain juga: Nahas Pelajar UPSI, Muhammad Zahim Antara Yang Terselamat, Alami Kecederaan Di Bahagian Pinggang
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE