kj

Hari pertama persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung didalam Parlimen pagi tadi menimbulkan kekecohan. Ia gara-gara Ahli Parlimen PAS dan Barisan Nasional (BN) bertindak keluar dari Dewan Rakyat sebagai tanda tidak berpuas hati dengan perlantikan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof sebagai Speaker baharu.

Namun perkara yang mencuri tumpuan ramai apabila Ahli Parlimen Rembau dari Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin enggan turut serta mengikut jejak langkah keluar memboikot persidangan Dewan Rakyat kerana menghormati institusi Parlimen.

Ada Cara Lain Suarakan Bantahan

Katanya, pendirian berbeza yang pasti mengundang persepsi dan spekulasi pelbagai pihak itu turut diambil bagi memastikan imej BN sebagai pembangkang berwibawa tidak dipandang remeh.

“Itu bukan cara kita menyatakan bantahan pada hari mengangkat sumpah, sebaliknya wujud keperluan untuk menghormati dewan dan majlis yang sedang diadakan.

“Ada cara lain untuk menyuarakan sebarang bantahan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Awal pagi tadi, Khairy adalah antara beberapa individu daripada blok pembangkang yang mengambil pendirian untuk kekal di dalam dewan dan mengikuti majlis angkat sumpah ketika Ahli Parlimen PAS, BN, MIC dan MCA melancarkan boikot.

IKLAN

Difahamkan, Datuk Seri Anifah Aman (BN-Kimanis) dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Bebas-Masjid Tanah) yang sebelum ini bekas Ketua Puteri UMNO turut mengambil pendirian sama dengan Khairy untuk tidak bertindak keluar daripada dewan.

Tonjolkan Imej Pembangkang Berwibawa

Mengulas lanjut, Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO berkata, cara lain untuk menyuarakan bantahan termasuk melalui sesi perbahasan usul titah Yang di-Pertuan Agong atau sebaik selesai majlis perasmian, esok.

IKLAN

“Bagi saya lebih baik kita menghormati majlis dan tidak membuat sebarang tindakan yang boleh mencemarkan imej BN sebagai pembangkang berwibawa,” katanya.

Ditanya pandangan terhadap ahli parti yang bertindak memboikot sidang Dewan Rakyat, Khairy hanya berkata: “Saya hanya cakap bagi diri sendiri, bukan untuk pihak lain.”

Mengulas kemungkinan bakal dikenakan tindakan disiplin kerana mengingkari pendirian majoriti ahli partinya, Khairy berkata, ia terpulang kepada percaturan kepemimpinan tertinggi UMNO.

IKLAN

Katanya, keputusan untuk kekal berada dalam majlis dan tidak meninggalkan dewan adalah pendirian tepat, selaras imej pembangkang berwibawa yang ingin ditonjolkan BN pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Saya hanya buat keputusan pada pandangan yang difikirkan betul, iaitu untuk menghormati majlis mengangkat sumpah,” katanya.

Mingguan Wanita mengharapkan semoga arena politik Malaysia dapat dijalankan dengan lebih matang dan berwibawa.Setiap wakil ahli parlimen yang dipilih memikul tanggungjawab besar dan diberi keyakinan membawa suara rakyat.Laksanakanlah dengan penuh bertanggungjawab.

Sumber: Bharian

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI