Hikmah di sebalik musibah. Di saat menjalani tempoh PKP di rumah, terlalu banyak sebenarnya nikmat yang Allah SWT anugerahkan dalam kita tak sedar.

Hikmah Tersembunyi

Jika sebelum ini, ibu bapa sibuk bekerja hingga kadangkala sukar mencuri ruang untuk bersolat berjemaah bersama anak-anak, tapi kini segala peluang itu muncul di depan mata. Hanya tinggal raih dan rebut saja! Sesungguhnya sangat rugi bagi mereka yang memandang musibah yang melanda dari sudut negatif sahaja sedangkan hikmah diketepikan.

Diharapkan tiap perubahan positif yang berlaku dan kebiasaan membaca al-Quran semasa PKP dan Ramadan ini tidak akan terhenti, seterusnya menjadi norma baru dalam kehidupan kita.

Cabaran Covid-19

Bagi keluarga Hajah Haryanni binti Harun https://www.facebook.com/personajannah.resources dan suami, Haji Abdul Razak bin Osman, yang bekerja dari rumah (WFH) sepanjang PKP, mereka mengambil apa hikmah dan natijah yang sedang berlaku sekarang.

“ Bila dilaksanakan PKP, bagi saya ini adalah PELUANG YANG ALLAH BAGI, bukan manusia yang cari. Supaya kita dapat sama-sama muhasabah diri dan bergantung pada-Nya.

“ Sebagai seorang ibu yang bekerja dari rumah, saya sangat menghargai peluang ini kerana sebelum ini, banyak masa dihabiskan di pejabat. Tiap hujung minggu pula sering kali bertugas di luar daerah. Jadi, saya sangat bersyukur Allah bagi ruang untuk saya berada di rumah, dapat beribadah dengan suami dan anak, juga ibu bapa saya.” Ujar Hajah Haryanni memulakan bicara.

IKLAN

Hikmah Di Sebalik Covd-19, Hargai PELUANG ALLAH BAGI Beribadah Bersama KeluargaDapat Bersama Mak Ayah

Dia juga bersyukur kerana dapat bersama mak dan ayah tersayang sepanjang tempoh PKP ini.

“ Saya bertuah kerana tinggal berdekatan dengan rumah ibu bapa, sekitar 30 langkah saja dan dalam tempoh PKP ini, saya sekeluarga tinggal di rumah mereka. Terus terang, nikmat yang saya rasai sukar untuk digambar dengan kata-kata bila dapat kumpul dan beribadah bersama-sama, yang dulu sangat jarang diperoleh.

“Sebenarnya sebelum Ramadan lagi, kami sudah solat berjemaah dan baca al-Quran bersama-sama. Sekurang-kurangnya waktu maghrib dan isyak setiap hari kami solat bersama termasuklah pembantu rumah kami.” Jelasnya.

Ubah Ruang Tamu Jadi Musola

Tambah Hajah Haryanni, untuk keselesaan beribadah, mereka sekeluarga juga telah mengubah ruang tamu rumah menjadi musola.

Sebenarnya sebelum PKP, ada rakan yang berkongsi di media sosial foto-foto orang yang mengubah suai satu sudut rumah mereka sebagai ruang untuk beribadah sepanjang Ramadan. Ia juga telah mencetuskan idea untuk saya melakukan hal yang sama. Di rumah mak dan ayah, ada satu ruang tamu lain yang jarang dipakai kecuali untuk menerima tetamu yang ramai. Atas persetujuan mak dan ayah, kami ‘tukar’ ruang tamu itu menjadi musola.

“ Alhamdulillah, Ramadan ini, saya, suami dan empat anak iaitu Irdina Najihah, Jazlina Natasya, Arina Nuhaa dan Muhammad Umar Ali berpeluang berjemaah dan tadarus al-Quran bersama ayah, Hj Harun bin Ahmad Saruji dan emak, Hjh Noor Azian binti Omar serta pembantu kami, Wati.

“ Inilah yang dikatakan hikmah di sebalik musibah. Musola ini juga dapat mengubat hati ayah yang sedih kerana tidak dapat ke surau walau pun rumah kami berdepan surau saja. Selepas mengerjakan solat tarawih, kami tadarus beramai-ramai. Sebelum Ramadan lagi ayah akan bacakan tazkirah di antara waktu maghrib dan isyak.” Tambah Hajah Haryanni.

Didik Anak-Anak Cinta Al-Quran

Menurutnya, dalam mendidik anak-anak, ibu bapa kena tunjukkan contoh barulah anak-anak akan ikut secara semula jadi. Nak anak baca al-Quran, ibu bapa kena mulakan dulu, hari-hari kena baca. Malah ibu bapa pun tak boleh berhenti belajar tentang al-Quran.

“ Tempoh PKP ini, anak saya yang bongsu, Selasa hingga Khamis dia akan mengaji secara online bersama seorang ustaz yang merupakan Imam masjid Majlis Daerah Perak Tengah. Ustaz akan minta dia baca satu muka surat dan ustaz akan beri komen. Anak lelaki saya itu juga dilantik sebagai bilal setiap kali kami solat Jemaah dan dia yang akan membaca doa selepas solat. Bila bacaannya telah diperbetulkan ustaz, ia membuatkan dia rasa lebih yakin.” Jelasnya.

Al-Quran Syifa Untuk Penyakit Fizikal, Mental Dan Jiwa

“Al-Quran adalah penyuluh iman, pemangkin taqwa dan panduan hidup yang sangat lengkap. Al-Quran juga boleh menjadi syifa untuk segala keresahan terutama tempoh PKP. Saya keluarkan juga turut mengikuti program Word#QuranHour pada 13 Mei lalu,” Ulas Hajah Haryanni lagi mengakhiri bicara.

https://www.mingguanwanita.my/terima-kasih-allah-memilihku-sebagai-pesakit-covid-19-syukurku-merasa-nikmatnya-ashraf-muslim/