“Harap dikurniakan anak kembar” selepas 3 tahun kahwin, Nadiyah Shahab sedia bergelar ibu. Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga sudah pasti inginkan zuriat.
Begitu juga dengan pasangan pelakon yang juga pemilik nama sebenar Sharifah Nadiyah Syed Fuad Al Shahab atau Nadiyah Shahab dan suami Ben Ali.
Sebaik mendirikan rumah tangga pada tahun 2018 wanita ini sibuk dengan karier seni dan menyempurnakan pengajian Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Singapura.
“Harap Dikurniakan Anak Kembar”
Selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga, Nadiyah merasakan ini masa yang sesuai untuk mempunyai anak.
Nadiyah juga sudah bersedia untuk melangkah ke satu fasa baharu dalam hidupnya iaitu bergelar ibu.
“Ketika awal perkahwinan, kami merasakan hanya bersedia untuk bergelar ibu bapa selepas kerja selesai.
Ads
“Tetapi kami belajar bahawa tidak ada kerja yang akan selesai kerana akan sentiasa ada perancangan baharu.
“Saya tak mahu mengandung, kemudian bersalin dan selepas itu tinggalkan anak dengan pembantu. Atas sebab itu saya tangguhkan dulu hasrat untuk memiliki cahaya mata.
“Memandangkan kami dah buang masa tiga tahun, jadi saya harap dikurniakan anak kembar sebab keluarga saya ada banyak sejarah anak kembar,” ujarnya.
Jadi ‘Suri Rumah’ & Tumpu Pada Anak
Pelakon cantik ini juga menambah sudah bersedia untuk menjadi ‘suri rumah’ apabila bertukar status kelak dan memberi tumpuan kepada anak.
Ads
“Sejak beberapa tahun lalu saya dah puas bekerja, belajar. Jadi saya beritahu Ben, kalau ada rezeki saya mahu beri tumpuan kepada anak.
“Saya nak menikmati perjalanan sebagai ibu dan pengalaman membesarkan anak,” jelasnya yang juga menguruskan perniagaan Absolut Chocolat dan beberapa cabang lain perniagaan menerusi pengurusan acara dan artis.
‘Sentiasa kekal konsisten, agar tak ketinggalan.’ Graduan Perakaunan UiTM diiktiraf 10 terbaik dunia.
Tentu tiada kata yang dapat diungkapkan selain rasa syukur apabila segala penat lelah terbayar dengan kejayaan yang diperoleh.
Mendapat pengiktirafan di peringkat dunia bukan sesuatu yang mudah. Namun Hannah Mustazah membuktikan dirinya mampu berada sebaris dengan insan-insan hebat lain.
Pelajar Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Hannah Mumtazah Ahmad Murshidi sekali lagi mengulangi kejayaan membanggakan apabila dinobatkan graduan terbaik ketiga negara dan kelapan dunia.
Pencapaian gadis 22 tahun itu adalah hasil keputusan cemerlang dalam peperiksaan antarabangsa The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) United Kingdom (UK), yang didudukinya bulan lalu.
Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, dia bersyukur menerima pengiktirafan itu selepas bersaing dengan 3,877 graduan di seluruh dunia dan 500 graduan di negara ini.
Katanya, kejayaan berkenaan tidak dapat dikecapi tanpa sokongan ibu bapa dan rakan selain komitmen tinggi pensyarah fakulti pengajiannya.
“Saya sentiasa kekal konsisten supaya tidak ketinggalan dan merujuk kepada pensyarah untuk menerima maklum balas dalam hal peperiksaan atau latihan kelas.
“Perkara itu harus diutamakan kerana ia ruang untuk penambahbaikan dan pemahaman saya bagi sesuatu subjek yang dipelajari,” katanya menerusi kenyataan dari UITM, hari ini.
Sebelum ini, Hannah Mumtazah Ahmad Murshidi dianugerahkan pencapaian tertinggi dalam peperiksaan program perakaunan profesional sesi Jun 2021.
Beliau memperoleh keputusan cemerlang dalam Financial Management (FM) dan Strategic Business Reporting (SBR).
Dalam pada itu, Hannah Mumtazah berharap memperoleh pekerjaan yang boleh merealisasikan cita-citanya menjadi akauntan bertauliah.
Bagi tujuan itu, beliau akan terus berusaha menimba ilmu, kerana banyak pengalaman atau pengetahuan yang masih belum dimilikinya.
“Saya bersedia untuk kekal komited dengan tanggungjawab yang bakal disandang di alam pekerjaan kelak,” katanya yang sebelum ini pelajar lepasan Kolej Matrikulasi Selangor melalui program Jurusan Perakaunan Profesional (JPPro).
Selepas itu, beliau melanjutkan pengajian program profesional ACCA di UiTM.
JPPro adalah program yang ditubuhkan hasil kerjasama di antara Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (BMKPM), UiTM dan ACCA Malaysia.
Program terbabit adalah salah satu laluan bagi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat perakaunan profesional, ACCA(UK) di UiTM.
Dalam pada itu, kenyataan itu menyatakan, UiTM kekal dalam melakar kejayaan demi kejayaan pelajar program perakaunan profesional di peringkat nasional dan antarabangsa.
Kejayaan Hannah Mumtazah dan pelajar lain adalah bukti kemampuan Fakulti Perakaunan UiTM dalam melahirkan graduan yang berdaya saing selaras dengan tanggungjawab meningkatkan bilangan akauntan bertauliah Bumiputera di Malaysia.
Bagi pihak Fakulti Perakaunan dan UiTM, pencapaian Hannah Mumtazah sangat membanggakan dan diharapkan kejayaan itu akan menjadi suara harapan buat semua pelajar untuk terus cemerlang.
Mingguan Wanita : MW mengucapkan sekalung tahniah kepada Hannah Mumtazah atas kejayaan yang sangat membanggakan ini.
“Gugurnya air mata ayah kenangkan nasib anak.” Di mana Jude Angel, baby hilang di Beaufort, Sabah hingga kini masih belum ditemui.
Berat mata memandang, lagi berat bahu memikul. Sama sekali tidak dapat bayangkan bagaimana perasaan mak dan ayahnya saban waktu menanti anak yang hilang ditemui semula.
Mengalir air mata ayahnya kenangkan bagaimana keadaan Jude Angel buat masa ini, namun jauh di sudut hati seorang bapa merasakan anaknya masih hidup.
Di mana Jude Angel Jeremy, bayi berusia 18 bulan yang hilang di Beaufort , Sabah? Keberadaannya menimbulkan tanda tanya, malah sehingga kini si kecil itu belum ditemui.
Bayi perempuan itu dikhuatiri hilang selepas dipercayai keluar dari rumah dalam kejadian di Kampung Batu 66, Beaufort pada 9 Julai lalu.
Kehilangan Jude Angel disedari neneknya kira-kira jam 8.30 pagi setelah mendapati pintu rumah terbuka dan mangsa tidak ditemui di sekitar kawasan rumah.
Memasuki hari keenam (semalam) operasi mencari dan menyelamat (SAR), Ketua Balai Bomba dan Penyelamat, Mohamad Hasbullah Nenggok menerusi penstriman langsung di laman sosial Facebook Kupikupi FM 96.3 menyatakan pihaknya meneruskan usaha mengesan Jude Angel.
“Bomba menumpukan pencarian di kawasan sekitar rumahnya, kira-kira 2 hingga 3 kilometer (km) radius dari pusat kawalan Bomba.
“Kami menggunakan bantuan orang kampung dan tujuh buah bot seperti hari-hari sebelum ini, menyusuri anak sungai dan Sungai Padas sehingga ke Batu 60, dalam radius 4 hingga 5 km.
“Setakat ini kami belum menemui sebarang petanda atau petunjuk lokasi adik jude angel. Kami masih mencari secara rambang dan logik. Malah, kami juga mengalu-alukan bantuan daripada (pakar) menerusi spiritual, yang boleh berkomunikasi dengan alam lain. Kami tidak menolak,” kata Mohamad Hasbullah.
Pihaknya mengakui masih belum menemui sebarang petunjuk bahawa Angel hilang, disembunyikan (alam ghaib) atau melibatkan jenayah penculikan.
Katanya, keadaan hujan, angin kuat dan air sungai deras antara cabaran ditempuhi para petugas dan orang kampung yang terlibat dalam operasi SAR.
“Kemungkinan esok kami akan meneruskan lagi (SAR). Namun jika esok masih belum menemui sebarang petunjuk, ia mungkin akan ditangguhkan sehingga mendapat pentunjuk daripada keluarga atau penduduk kampung,” ujarnya.
Operasi SAR melibatkan kekuatan 60 orang daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.
Menerusi sebuah video yang tular di laman sosial TikTok, bapa Jude Angel, Jeremy Sundang, 39, tidak dapat menahan sebak, air mata seorang bapa berlinangan menceritakan detik akhir bersama anak tersayang.
“Sebelum saya dan isteri keluar menghantar barangan jualan ke pasar Tamu, Jude Angel menangis.
“Sempat menidurkan Jude Angel sebelum ke pasar,” katanya sebak hingga menitiskan air mata. Petani itu berkata tangisan si kecil pada pagi itu seolah-olah memberi petanda.
Selepas meninggalkan rumah pada jam 6.00 pagi, kira-kira pukul 8.00 pagi dia menerima panggilan. Katanya si isteri kelihatan kelam kabut dan memberitahu Jude hilang.
Kepada Deasoka.com, Jeremy meluahkan harapan menemui semula Jude Angel.
“Meskipun tahu operasi mencari (pihak penyelamat) akan berakhir pada esok, tetapi kami sekeluarga tetap meletak harapan tinggi.
“Jauh di sudut hati saya sebagai seorang bapa, dia (Jude Angel) masih hidup dan firasat kami dia masih ada lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Jeremy menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus lumus terlibat dalam usaha pencarian terbabit.
Ketika ditanya sama ada terdapat petanda atau petunjuk setakat ini, beliau mendedahkan tiada perkara pelik berlaku.
“Bagaimanapun sebelum kejadian, saya ke tamu dia (angel) kelihatan agak manja dengan menangis yang mana secara kebetulan dia kurang sihat sebab gigi baru tumbuh.
“Dia juga ada meminta didukung dan naik ke atas badan saya, saya kemudiannya mendodoinya sehingga tertidur,” katanya.
Warga maya rata-rata mendoakan Jude Angel ditemui segera dan memberi kata-kata semangat buat keluarga bayi itu.
– “Semoga dipermudahkan pencarian anak ini.”
– “Semoga dipermudahkan pencarian Baby Jude.”
– “Hanya mampu mengirim doa setiap detik, aamin.”
– “Moga ditemui segera adik Jude Angel.”
Keprihatinan masyarakat Malaysia akan nasib Jude Angel menjadikan hashtag #prayforbabyjudeangel #prayforjudeangel tular di laman sosial Facebook.
Mingguan Wanita : Semoga ada keajaiban dan Baby Jude Angel dapat ditemui dan selamat hendaknya.
Sumber : Sinar Plus, Facebook Kupi Kupi FM 96.3, Deasoka.com
‘Berkenalan ketika belajar di luar negara.’ Wanita ini dilamar dengan mas kahwin RM450K. Wow bertuahnya badan!
Kalau sudah jodoh tak akan ke mana. Hubungan yang bermula sekadar senior dan junior di pusat pengajian. Kemudiannya beralih kepada adik dan abang angkat. Kini siapa sangka bakal bergelar suami dan isteri.
Malah lamaran lelaki Arab ini menjadi viral dan mencuri tumpuan netizen apabila dia dengan besar hatinya memberi mas kahwin sebanyak RM450K kepada gadis yang berasal Konawe Selatan, Sulawesi Tenggara ini.
Nilai mas kahwin luar biasa ini menunjukkan bahawa betapa ikhlasnya lelaki ini untuk menyunting wanita yang dicintainya.
Pasangan ini sudah berkenalan selama 4 tahun ketika menyambung pengajian dan menerusi laporan dari Tribun News, pasangan ini bakal mendirikan rumah tangga pada Disember akan datang selepas keluarga lelaki datang ke Indonesia untuk melamar gadis tersebut.
Dalam pada itu, bapa kepada wanita yang dikenali sebagai Dr. Dilla Faradhilla, anaknya telah berkenalan dengan jejaka berasal dari Jeddah ini ketika menuntut di Fakulti Perubatan Universiti Perubatan Medical di Beijing, China.
“Dr. Ahmad Tariq Said Ahmed Ali adalah senior kepada anak saya di sebuah kampus ternama di China.
“Mereka berkenalan selama lebih empat tahun dan anak saya asalnya ragu-ragu terhadap masa depan hubungan mereka kerana dia belajar di luar negara.
“Anak saya mula yakin dengan hubungan cinta mereka selepas melihat kesungguhan Dr. Ahmed untuk mengahwininya,” katanya.
Difahamkan, majlis pernikahan mereka akan diadakan di kediaman keluarga pengantin perempuan di Desa Montaha, Kecamatan Angata.
Dr. Ahmed juga akan menguruskan proses pendaftaran pernikahan di Kedutaan Besar di Jakarta dan keluarganya turut perlu menguruskan visa semasa majlis pernikahan nanti.
Mingguan Wanita : Semoga hubungan ini berkekalan hingga ke akhir hayat.
Cukup menyayat hati kemalangan tragis antara dua buah kereta yang berlaku semalam, dua maut manakala empat lagi cedera yang melibatkan Proton Saga dan Nissan Sentra.