Kata penulis, Khadijah Mohamad Nor, kisah yang dikongsikan ini didedikasikan untuk arwah kakaknya yang berjuang melawan kanser sebaik disahkan hamil tiga bulan.
Hebatnya arwah kakak, dalam disahkan kanser bertekad meneruskan kandungan hingga selamat bayinya dilahirkan. Malah kakaknya yang sentiasa menjaga solat dalam apa jua keadaan dihadiahkan kesempatan olehNya menunaikan umrah biarpun baru dua minggu usai menjalani pembedahan.
Tulisnya,
Hari ini (ketika status ini dimuatnaik) umat Islam di Malaysia dan yang seangkatan dengannya meraikan Hari Raya Aidiladha yang sinonim dengan ibadah korban.
Perayaan ini disambut sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sanggup menyembelih anaknya, Nabi Ismail AS kerana menurut perintah Allah SWT.
Firman Allah SWT di dalam surah Al-Hajj ayat 37 yang bermaksud:
“Daging-daging dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (Keredhaan) Allah, tetapi Ketaqwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayahNya kepada kamu dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik”.
Berkat keikhlasan Nabi Ibrahim melaksanakan suruhan Penciptanya, maka Allah Yang Maha Baik telah menukarkan seekor kibas yang besar sebagai ganti korban Ismail.
Subhanallah, banyak sebenarnya ibrah yang boleh kita dapati melalui kisah Nabi Ibrahim yang sanggup berkorban apa sahaja demi Tuhan yang dicintai.
Ini termasuklah meninggalkan isteri tersayang, Siti Hajar di padang pasir yang tandus bersendirian bersama anak mereka, Ismail.
Kakak Hamil Tiga Bulan Dan Disahkan Kanser
Berbicara tentang aspek ini, hatiku terpanggil untuk berkongsi kisah pengorbanan arwah kakak, Siti Annisah Mohamad Nor ketika diuji dengan masalah kesihatan.
Aku dan arwah hanya berbeza jarak setahun. Dia anak kelapan, manakala aku anak kesembilan daripada 14 beradik (7 lelaki dan 7 perempuan).
Allahyarhamah disahkan menghidap penyakit paling digeruni kaum Hawa, kanser payudara pada usia 31 tahun.
Lebih menyedihkan berita itu diterima ketika arwah sedang hamil anak keempatnya pada usia kandungan hampir tiga bulan.
Masih kekal dalam ingatanku pada tarikh 13 Disember 2013 bila mana arwah kakak memaklumkan perkara tersebut kepada kami semua melalui group WhatsApp keluarga.
Allahuakbar, aku yang ketika itu berada di sebuah sekolah di Ampang untuk mendaftarkan persekolahan anak terkedu membaca mesej tersebut.
Secara tiba-tiba air mata mengalir keluar tanpa dipinta.
“Abang, kak Nisah confirm kanser payudara stage 3. Ya Allah, kesiannya dia,” tuturku pada suami di sisi.
Demam On Off Dekat Sebulan Lamanya
Suasana tiba-tiba sepi seketika. Kegembiraan kami untuk mendaftarkan anak terbantut dek berita yang tidak diduga.
Kerana apabila menyebut tentang kanser, sudah terbayang di mataku ia pasti berakhir dengan kematian. Cuma persoalannya cepat atau lambat.
“Ya Allah kepadaMu kami berserah. Kurniakanlah kekuatan pada kakakku menghadapi ujian hidupnya. Selamatkanlah kandungannya,” tulus doa yang kupanjatkan buat kak Nisah dalam hati.
Sebelum arwah membuat pemeriksaan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), dia telah menghidap demam yang on off hampir sebulan.
Ia diikuti dengan rasa lemah-lemah badan selain mempunyai ketulan di bahagian pangkal lengan.
Seminggu selepas keputusan diagnosis diperoleh, kak Nisah memberitahu kami sekeluarga bahawa dia enggan meneruskan rawatan kemoterapi sebaliknya mahu mencuba rawatan alternatif terlebih dahulu.
Tujuannya cuma satu kerana ingin menyelamatkan bayi dalam kandungan.
Ads
“Akak bukan tak sayangkan nyawa, tapi siapa tahu baby ini anak perempuan. Lepas ni mesti akak dah tak boleh mengandung lagi,” katanya menjelaskan hasrat hati yang begitu mahukan anak perempuan selepas dikurniakan tiga anak lelaki.
Kami hanya akur mendengar penjelasannya walaupun dalam hati bimbang bagaimana dia akan meneruskan kehamilan di saat berdepan penyakit yang mengancam nyawa itu.
Apa yang pasti, kakak sangat kuat dan tidak pernah berputus asa mencuba pelbagai rawatan alternatif dalam usaha melawan kanser payudara.
Malah, dia dan suaminya, Azwan Abdullah sanggup mengeluarkan wang sehingga RM30,000 semata-mata untuk membeli ubat daripada seorang pakar yang dikatakan mampu menjadi penawar kanser yang dihidapi.
Besar Jumlah Wang Ringgit, Tenaga Dilaburkan Untuk Rawatan
Ketika menziarahinya di rumah mertua, aku melihat deretan ubat yang dibeli itu memenuhi ruang meja makan bersaiz besar.
Daripada ubat jenis tablet, serbuk hinggalah cecair, semuanya ada.
“MasyaAllah..macam mana kak Nisah nak makan ubat ni. Banyaknya,” bisikku sendirian.
Dalam proses ikhtiar untuk pulih, arwah sentiasa berusaha mencari rawatan yang dirasakan sesuai.
Habis wang ringgit, tenaga dan masanya digunakan bagi tujuan tersebut.
Apa yang lebih mengejutkan, sewaktu dimasukkan ke hospital akibat komplikasi kehamilan, kakak begitu tegar untuk tidak memberitahu doktor bahawa dia merupakan pesakit kanser payudara.
“Lecehlah kalau beritahu doktor, nanti macam-macam prosedur pula nak dibuat. Allah ada,” ucap kak Nisah tanpa sebarang riak kebimbangan di wajahnya.
Dengan tubuhnya yang kurus, kami rasa sayu dan hiba melihat keadaannya tetapi kesedihan itu tidak dipamerkan ketika melawatnya.
“Kita semua kena kuat, jangan tunjukkan perasaan sedih depan Nisah. Dia perlukan sokongan kita semua,” nasihat kakakku, Siti Hanim, 45, pada kami adik-beradik.
Berkat doa semua dan kuasa Allah, arwah kakak akhirnya selamat melahirkan bayi perempuan secara normal pada 24 Mac 2014 ketika usia kandungannya tujuh bulan.
Bayi pramatang seberat 1.3 kilogram itu diberi nama Fatimah As-Syifa dan dia menjadi simbol kekuatan kakak sebagai pesakit kanser.
Menurut seorang lagi kakakku, Siti Mariam, 40, dia tidak dapat melupakan saat mendengar perbualan seorang jururawat dengan arwah.
“Payudara sebelah kanan puan dah keras sangat. Bengkak susu ni. Nanti puan tuam dengan tuala panas ye untuk kurangkan bengkak tu,” ucap jururawat tersebut sambil menekan-nekan bahagian payudara arwah yang membengkak.
Pada waktu yang sama arwah membuat mimik muka seolah-olah meminta kak Siti jangan memberitahu perkara sebenar kepadanya.
“Disebabkan tak tahan melihat situasi itu, akak terus lari keluar dari wad dan menangis semahunya,” imbau kak Siti mengenai peristiwa lalu.
Ads
Usai tempoh berpantang, kak Nisah tetap enggan mendapatkan rawatan kemoterapi di hospital.
Akhirnya Kakak Mengalah, Lakukan Rawatan Di Hospital
Dia masih setia dengan rawatan alternatif hasil sokongan kumpulan rakan-rakan survivor kanser.
Pernah satu ketika, arwah mengajak abang ipar, Mohd Fauzie dan kakak, Siti Hanim menemaninya ke Kelantan untuk menjalani rawatan alternatif disebabkan suaminya tidak dapat turut serta atas kekangan tugas.
Memandangkan mahu bermusafir jauh, suamiku menawarkan kereta Viosnya untuk digunakan semata-mata mahu kak Nisah berasa selesa.
Bagaimanapun selepas keadaan kesihatannya semakin merosot, kakak akhirnya bersetuju dibawa ke hospital.
Itupun selepas dipujuk mak dan abah.
Sejak itu sekitar Mac 2015, HUKM mula menjadi rumah keduanya.
Kakak berjaya menjalani lapan cycle kemoterapi selain beberapa rawatan radioterapi.
Sentiasa Jaga Solat Walau Diuji Sakit Tenat
Apa yang sangat kami kagumi, walaupun dalam keadaan menahan sakit dan kurang bermaya, arwah kakak tidak pernah meninggalkan solatnya.
“Dia akan minta bantuan untuk berwuduk dengan cara semburan air.
“Waktu den ratakan air wuduknya, kelihatan wajahnya tenang sekali. Allahurabbi…kuatnya kak Nisah,” jelas adik perempuan bongsu kami, Siti Salbiah, 27, yang sering menemani kakak di hospital termasuk ketika menginap selama tiga minggu di sebuah homestay di Melaka bagi tujuan berubat.
Sepanjang kakak dirawat di hospital, saya akan cuba melawatnya sekerap yang mungkin kerana ia terletak berdekatan dengan pejabat Kosmo di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.
“Ijah, nanti tolong belikan akak milo ye kalau datang. Milo dah habis,” antara mesejnya melalui WhatsApp yang masih ku simpan hingga kini.
Pada awal Januari 2016, kakak menjalani pembedahan mastektomi untuk membuang sebelah payudaranya.
Ironinya pembedahan itu dilakukan hanya dua minggu sebelum tarikh arwah dijadualkan menunaikan umrah bersama suaminya.
Dalam keterujaannya untuk ke Tanah Suci, kami sekeluarga yang risau tentang keadaan kesihatannya.
Namun, Subhanallah… kakak berjaya melaksanakan ibadah umrah dengan sempurna.
Berseri-seri Kakak Tunaikan Umrah
Wajahnya penuh berseri ketika menghantar gambar berlatarkan Kaabah di group WhatsApp keluarga.
Ads
Alhamdulillah. Setinggi-tinggi kesyukuran kami panjatkan pada Ilahi atas nikmat yang dikurniakan padanya.
Bagaimanapun, sebagai manusia yang telah ditentukan ajalnya, tiada yang mampu menghalang takdir Allah.
Sebagaimana firman Allah dalam surah Ali Imran, ayat 145 yang bermaksud:
“Sesuatu yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya.”
Selepas mengharungi tiga tahun yang penuh dugaan sebagai pesakit kanser payudara, kakak akhirnya dijemput pulang bertemu Ilahi pada hening pagi 15 Oktober 2016, dua hari selepas hari lahirku.
Kali terakhir melawatnya pada 13 Oktober bersama hari Khamis malam Jumaat, arwah sudah tidak mampu berbicara.
Bening matanya seolah-olah mahu berkata sesuatu, namun tidak terluah.
Selesai membacakan surah Yassin buatnya, aku memegang tangan kakak dan mengucup dahinya lama sambil berkata: “Malam esok den datang lagi ye kak Nisah. Den minta maaf atas segala salah silap.”
Entah mengapa, selepas habis kerja keesokan harinya, badan terasa lemah membuatkan niat untuk pulang ke kampung menziarahi kakak seperti yang dijanjikan kepadanya tidak kupenuhi.
“Takpelah abang, esok pagi-pagi la kita balik. Nanti terus lawat kak Nisah. Macam tak larat pula nak balik malam ni,” syorku kepada suami yang kemudian menurut sahaja keputusan itu.
Kakak Sudah Pergi Untuk Selamanya
Bagaimanapun, deringan telefon kira-kira pukul 4.30 pagi mengejutkanku dari lena.
“Kak ijah, kak nisah dah takde. Dia meninggal pukul 4 tadi. Abang Azwan baru bagitau,” sayup-sayup suara seorang lagi adikku, Khamsiah mengkhabarkan berita sedih itu.
Ya, ternoktah juga penderitaan kak Nisah di dunia. Apa yang pasti, semangat juang dan ketabahannya berdepan ujian hidup sangat kami kagumi.
Bak kata pepatah, kasih ibu membawa ke Syurga, itulah makna pengorbanan seorang ibu yang sukar dicari ganti.
Begitu juga dengan pengorbanan suami arwah, abang Azwan yang telah melaksanakan tanggungjawab menjaga kakak dan anak-anaknya dengan baik.
Apa tidaknya, sepanjang arwah sakit abang Azwan yang merupakan cinta hati kak Nisah sejak mereka berusia 14 tahun, menguruskan makan pakai dan persekolahan anak-anak.
Kini, walaupun telah berkahwin lain dan dikurniakan seorang anak lelaki bersama isteri barunya, dia tetap akan meluangkan masa membawa anak-anak arwah kakak ke rumah mak dan abah.
Ahmad Atoillah, 12, Mahmud Said Mamduh, 11, Ahmad Zahid, 8, dan Fatimah As-Syifa, 5, kini membesar dengan sempurna.
Dan pastinya Syifa yang mewarisi wajah persis arwah uminya akan sentiasa menjadi lambang ketabahan dan kekuatan seorang wanita bergelar ibu dalam perjuangan melahirkan anak itu ke dunia.
Mohon hadiahkan Al Fatihah buat arwah kakak, Siti Annisah Binti Habibah sebagai bekal buatnya di alam barzakh.
Semoga rohnya berbahagia di sisi Tuhan dan dikurniakan ganjaran syurga tertinggi, Syurga Firdaus asbab pengorbanan yang telah dilakukan. InsyaAllah Amin…
Selamat Hari Raya Aidil Adha 1440H buat semua. Semoga rahmat dan kasih sayang Allah yang tiada batasan sentiasa memayungi kita hendaknya.
Telah sampai ajalnya. Seorang remaja yang berjaya selamatkan dua rakannya akhirnya lemas selepas rakannya dapat dibawa ke tebing.
Mulianya pengorbanan remaja ini, dia pergi buat selamanya selepas menggadaikan nyawanya untuk orang lain.
Ketika kejadian menurut saksi kejadian, mangsa tak menjerit meminta tolong, hanya tangan saja kelihatan melambai-lambai sebelum dia tenggelam. Setelah selamatkan rakan, semoga syurga jadi balasan.
Tak Menjerit, Tangan Melambai Sebelum Tenggelam
“Mudin (mangsa) tak menjerit minta tolong, tapi kami nampak tangannya melambai-lambai sebelum perlahan-lahan tenggelam dalam sungai,” kata saksi kejadian lemas, Mohd Amirul Adam Mohd Zaid.
Dalam kejadian 5.15 petang hari ini, mangsa, Wan Mohd Azamudin Wan Aznan, 16, ditemukan lemas dalam sungai di Kampung Perupok, Tikat, Kota Bahru, Kelantan ketika cuba menyelamatkan dua remaja lain.
Mohd Amirul Adam, 12, berkata sebelum tragedi itu, dia bersama tiga rakannya bermain bola di padang tidak jauh dari sungai itu sebelum dia tersepak bola ke dalam sungai itu.
Menurutnya, seorang rakannya, Adam turun ke dalam sungai untuk mengambil bola, namun lemas dan meminta tolong sebelum seorang lagi rakan iaitu Arif cuba menyelamatkannya.
Cuba Selamatkan Rakan, Semoga Syurga Jadi Balasan
“Arif turut lemas seperti Adam dan apabila melihat keduanya dalam keadaan tercungap-cungap di dalam air, Mudin (mangsa) yang berada tidak jauh dari lokasi segera terjun ke dalam sungai.
“Mudin berjaya menyelamatkan dua rakan saya dengan memikul keduanya di belakang, namun sebaik hampir ke tebing, dia (mangsa) kelihatan tidak berdaya sebelum lemas.
“Dua rakan diselamatkan penduduk kampung, namun Mudin yang masih dalam sungai kelihatan melambai-lambai tangan dan semakin lama semakin tenggelam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Jenazah mangsa ditemui Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di dasar sungai dan ahli keluarga serta rakan tidak dapat menahan tangisan sebaik mangsa dibawa ke darat.
Situasi menjadi semakin sebak apabila bapa mangsa, Wan Aznan Wan Ibrahim, 52, membacakan doa sebaik anak sulungnya itu ditemui.
Selain itu, sahabat karibnya, Wan Mohd Shahiran Wan Mohd Shahriman, 15, beberapa kali dilihat menangis di hujung kaki mangsa yang sudah dibawa ke dalam trak polis.
Ditemui Di Dasar Sungai
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba Zukeri Shafie berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5.23 petang.
Beliau berkata, seramai 19 anggota termasuk lima PPDA daripada BBP Kota Bharu terbabit dalam operasi berkenaan.
“Mangsa ditemui pada 6.38 petang di dasar sungai yang agak berselut pada kedalaman kira-kira 3.3 meter dan jenazah dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk proses bedah siasat,” katanya.
MW: Al-Fatihah. MW merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa. Tinggi sungguh budi pekertinya hingga sanggup mempertaruhkan nyawa sendiri demi menyelamatkan nyawa orang lain. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa Wan Mohd Azamudin Wan Aznan dan menempatkannya di kalangan orang beriman. Amin.
Suami isteri yang menentukan kebahagiaan dalam rumah tangga. Usaha perlu dilakukan bersama dan bukan di bahu satu pihak saja. sayang, cinta, pengorbanan, persefahaman dan kesetiaan memang antara perkara yang menjadi tunjang utama dalam perkahwinan. Mengekalkan keharmonian rumah tangga juga bukan mudah. Tak sedikit suami atau isteri sanggup berkorban apa saja demi memastikan rumah tangga mereka berkekalan hingga ke syurga.
Ikuti perkongsian daripada Dr. Syed Yusainee Yahya, daripada Promind Training And Consultation, yang juga kolumnis ruangan Nota Untuk Isteri Di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Pengorbanan Suami Isteri
Perkahwinan adalah ikatan suci antara dua manusia berlainan jantina. Ikatan ini adalah rasmi yang berpandukan undang-undang dunia dan hukum agama. Rumah saya tidak ada TV, tetapi selalu jugalah dengar orang membawang tentang kisah dalam drama atau filem bagaimana peritnya suami atau isteri berkorban menanggung derita semata-mata mempertahankan perkahwinan itu.
Kadang kala terfikir juga, adakah itu yang sepatutnya berlaku iaitu kita mesti menjadi ‘bodoh’ hingga hilang segala-galanya demi suami atau isteri itu? Adakah cinta dalam perkahwinan itu menjadi tiket ke syurga atau tiket ke neraka? Itulah yang saya ingin kongsikan dalam nota kali ini.
Hilang Hak
Perkahwinan tidak bermakna yang pihak lelaki atau pihak perempuan kehilangan hak-hak mereka. Apa yang utama ialah kebijaksanaan untuk menguruskan hak-hak itu sebagai suami dan isteri. Sebagai contoh, perkahwinan tidak semestinya kita berhenti memajukan diri. Masing-masing wajar berfikir memajukan diri sendiri dan diri pasangan supaya ‘perkahwinan’ itu menjadi lebih baik pada masa depan.
Apakah akan berlaku jika suami tidak memberi peluang isteri yang berpotensi untuk maju dalam kerjaya sedangkan dia sendiri tidak mahu melakukannya? Bagaimana pula jika isteri tidak menghargai peluang yang suami berikan hingga terdorong ke arah yang tidak sepatutnya? Saya tahu anda tentu ada jawapannya.
Ada satu peraturan kewangan dalam rumah tangga. Duit suami ialah duit isteri dan duit isteri hanya isteri punya. Sebagai suami, saya berani kata situasi ini lebih berat kepada isteri. Terus terang cakap, apabila sesi makan-makan keluarga, bila masa membayar selalunya saya akan beri dompet kepada isteri. Dia yang akan pergi ke kaunter dan bayar.
Kenapa saya buat begitu? Sebab saya mahu tunjukkan kepada tiga orang lelaki dalam keluarga saya, bahawa suami kena ada keyakinan, kemampuan dan besar hati untuk memberikan dompet kepada isteri. Dulu mereka pernah tanya “Dalam dompet Lid tu ada berapa ringgit?”. Bulat mata saya; “Entah! Lid pun tak tau”. Setakat ini tidak pernah lagi isteri datang semula suruh saya gesek ‘Kad kredit’ sebab tak cukup tunai.
Bukan sebab duit dalam dompet saya itu sentiasa cukup tetapi saya tahu Anis, isteri saya yang comel itu akan tolong tambah jumlah yang belum cukup. Dalam hal ini kedua-dua pihak mesti jujur apabila tidak berkira untuk keluarga. Sikap isteri ahli syurga itu tentu sangat dihargai oleh suami.
Faham
Semasa saya berkahwin dulu, usia saya belum 25 tahun. Tidak berapa lama lagi usia akan masuk ke siri 50-an (sebelum kira diskaun!). Ini bermakna setelah hampir 25 tahun hidup sendiri baru saya beristeri dan setelah hampir 25 tahun bersama rasanya saya baru faham 25 peratus tentang perangai isteri saya. Teringat masa awal perkahwinan dulu kami juga ada cabaran sendiri. Mungkin kelemahan saya cuba mengubah Anis seperti yang saya mahu dan Anis pula cuba mengubah saya menjadi seperti yang dia impikan. Setelah suku abad barulah saya faham bahawa itu tidak mungkin berlaku.
Akhirnya kami menyesuaikan diri sendiri demi seorang lagi. Nyata perkara itu lebih mudah dan lebih membahagiakan. Betullah seperti nasihat yang pernah saya berikan kepada seorang rakan yang hanya tinggal selangkah lagi untuk berpisah dengan suaminya kira-kira 5 tahun lalu. “Apabila kita berkahwin, tidak semua kehendak kita itu menjadi penting. Mungkin kita sendiri tidak penting lagi. Yang penting ialah kita mesti kekal bersama dan mencari bahagia dalam diri seorang lagi itu demi anak-anak”. Saya lihat dalam fb dia bersama suami dan anak-anak pergi Umrah bersama. Sejuk hati saya melihat kawan saya itu bahagia semula.
Komunikasi Antara Suami Isteri
Satu lagi yang menjadi bunga kepada cinta syurga ialah cara kita berkomunikasi dalam rumah tangga. Komunikasi ini bukan sekadar bercakap atau mendengar. Apa yang lebih penting ialah mengendalikan bahasa badan atau isyarat-isyarat tanpa suara yang hanya difahami dengan hati dan perasaan.
Kita tidak perlu bercakap kasar atau memaki hamun untuk menempah tiket ke neraka kerana melukakan hati suami atau isteri. Dengan mimik muka, berdiam diri, lirikan mata atau bunyi helaan nafas sudah cukup membuatkan pasangan kita rasa didera, marah, bosan dan sebagainya. Cinta apa namanya itu? Ya, Cinta Neraka!
Pakar Motivasi dan penceramah terkenal, Azizan Osman juga menjadi salah seorang pesakit Covid-19. Malah lebih buruk, bukan hanya dia seorang, malah melibatkan ramai ahli keluarganya.
Bayangkan Azizan Osman sendiri hampir hilang nyawa, malahan 31 ahli keluarga dijangkiti Covid-19, manakala ibu mentua meninggal dunia setelah positif Covid-19.
Ikuti perkongsian Azizan Osman di akaun Facebooknya sekaligus mengesahkan dia terus kekal positif dan berjuang setelah dijangkiti Covid-19.
Azizan Osman Hampir Hilang Nyawa
Covid hampir meragut nyawa saya!
1.44pm, Jumaat 15 Jan 2021 – Saya dah hampir maut! Nafas saya sesak! Doktor kata peluang saya amat tipis!
Tapi sesuatu berlaku yang membuktikan kekuasaan Allah SWT… Dengan nama Allah Yang Maha berkuasa yang memiliki seluruh alam…
Saya dan keluarga diuji dengan Virus Covid-19… 31 ahli keluarga saya dijangkiti Covid dan ibu mertua saya telah kembali ke rahmatullah…
Tak mudah untuk saya kongsikan betapa sedih, perit dan ngeri pada waktu itu, tapi sangat penting untuk saya kongsikan sebagai seorang MenThor, saya nak anda tahu proses ini dan mengapa saya dan RichWorks terus buat apa yang kami buat hingga hari ini.
31 Ahli Keluarga Dijangkiti Covid-19
7 Januari 2021, saya dan keluarga terdedah kepada individu yang positif Covid-19 dan saya sendiri dijangkiti. Covid is real, the struggled is real, it’s a real fight kalau you ada pada simptom atau tahap yang teruk.
Saya cuba untuk menangis ketika menulis ini tapi pada waktu itu Alhamdulillah saya ada keluarga saya, saya ada Mak saya… isteri saya, Datuk Jerry… you are an amazing friend…
Pada waktu itu, saya fikirkan tentang anak didik saya, saya fikirkan Team RichWorks, saya fikirkan semua yang tak henti DM/PM saya sehingga hari ini… yang buatkan saya walaupun tahu tiada harapan, ia beri saya semangat. Semangat untuk hidup…
Masa itulah saat penentu untuk pergi atau kekal… You tak boleh bernafas, you tak boleh tarik, you tak boleh hembus hanya gunakan machine untuk terus survive dan fight dengan otak, emosi dan diri.
Peluang Kedua Bukan Sekadar Suka-Suka
Do you want to live? Do you want to fight? That was the moment… Dan insyallah, ini masanya untuk saya betulkan segalanya, peluang kedua ni bukan sekadar suka-suka.
Saya percaya ada sebab Allah bagi peluang ini untuk saya buat segalanya dengan lebih baik, to be a better MenThor insyallah…
Melihat bagaimana pandemik ini begitu kritikal hingga ada yang tekad bunuh diri,
Seorang ibu yang mencuri ubat untuk anak-anak,
Ada yang mencari rezeki di tempat sampah,
Kerajaan yang sedang berkira-kira untuk total lockdown yang akan beri impak pada pekerjaan ramai orang dan bisnes, Tekanan perasaan dan banyak lagi dalam berita semasa…
Ini semua cukup memberi kesan pada saya betapa saya belum berjaya bantu bangsa saya untuk berjaya.
Saya sedar misi saya belum selesai seperti kata Mak, ramai lagi anak bangsa yang ketinggalan, perlukan bimbingan terutama dalam dunia bisnes ini. Saya akan terus buat apa yang kami buat hingga hari ini.
Apatah lagi dengan keadaan pandemik, ratusan ribu hilang pekerjaan, bisnes tengah struggle dan mereka tak nampak lagi hala tuju yang perlukan ilmu dan bimbingan saya.
I’m a Covid Survivor! I fight to live! And this is my journey…
MW: Pesakit Covid-19 bukan sahaja diserang dengan kesakitan, malahan kekuatan emosi juga terjejas jika tidak dikawal dengan baik. Saat berdepan antara hidup dan mati, tentu sahaja semangat yang kental amat diperlukan, sokongan keluarga dan orang sekeliling sangat-sangat membantu. Tahniah Azizan Osman kerana telah sembuh sepenuhnya.
Warga emas tegur remaja main motosikal maut dipukul besi cota. Seorang lelaki warga emas berusia 60 tahun maut selepas dipercayai dipukul dengan sebatang besi cota dalam kejadian di Kampung Buluh, Gual Ipoh pada petang Khamis.