Berita

Guru Sebabkan Kematian Pelajar Bakal Didakwa Dalam Masa Terdekat, Sudah Dibebaskan Dengan Jaminan Polis

Share

Guru  sebabkan kematian pelajar bakal didakwa dalam masa terdekat, sudah dibebaskan dengan jaminan polis. Insiden seorang cikgu yang didakwa tertekan pedal minyak sehingga mengakibatkan kematian pelajar tingkatan satu, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13 di hadapan surau sekolahnya bakal didakwa dalam masa terdekat.

Dalam kejadian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas Ahad lalu, seorang guru juga Ustazah  telah direman semalam hingga hari ini bagi membantu siasatan  berhubung kematian pelajar terbabit.

Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13 meninggal dunia akibat dirempuh kenderaan dipandu seorang Ustazah

Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pendakwaan terhadap guru berkenaan  mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara 5 hingga 10 tahun selain denda antara RM20,000 ke RM50,000 jika sabit kesalahan.

“Hari ini (Selasa) guru berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas direman selama dua hari,” katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Bulan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Selasa.

Insiden pelajar meninggal di sekolah akibat dirempuh selepas selesai solat Zuhur ini menarik perhatian ramai  termasuk meminta pihak berkuasa menyediakan pakaian menutup aurat bagi tahanan wanita kerana jelas dan nyata pakaian reman dikenakan Ustazah berkenaan tidak menutup aurat ketika dibawa ke mahkamah semalam.

Orang ramai meminta pihak berkuasa mengkaji semula pakaian reman bagi tahanan wanita berikutan aurat tangan terdedah berikutan kes ini

Tindakan bapa kepada arwah pelajar yang memaafkan Ustazah itu turut menerima pujian ramai kerana berhati mulia.

Mohd Azaudin Abdullah, 43 yang juga bapa kepada arwah Nur Fatimatul Hawa memaklumkan dirinya sudah memaafkan guru yang dipercayai terlanggar anaknya akibat tertekan pedal minyak di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas baru ini.

Jelasnya, dia telah memaafkan guru berkenaan.

“Saya redha dengan takdir yang menimpa anak. Ketika tiba di sekolah masa kejadian, saat saya bertanya siapa yang langgar arwah, Ustazah ini mengaku dia yang terlanggar Fatimatul Hawa.

“Saya tak marah sebaliknya hanya berdiam diri. Kami sudah redha dengan takdir terjadi.

Bapa kepada arwah sudah memaafkan Ustazah yang secara tidak sengaja terlanggar anaknya itu dalam kejadian di sekolah.

Semalam, Majistret Wan Mohd I’zzat Wan Abdullah mengeluarkan perintah  tahanan reman ke atas wanita berusia 57 tahun itu bermula pada Isnin.

Tahanan reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu guru berkenaan tiba di mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman pada jam 8.40 lagi.

Dalam pada itu, guru berkenaan yang juga mengajar Pendidikan Islam turut meminta maaf kepada keluarga arwah selepas tidak sengaja tertekan pedal minyak kenderaan utiliti sukan dimilikinya.

Ibu saudara mangsa, Zuraifah Mohd. Noor, 43, yang memelihara arwah dari kecil berkata, dirinya ada bertemu dengan Ustazah berusia 57 tahun itu semalam sewaktu hadir membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu..

“Dia peluk saya,  memohon maaf kepada saya dan  menyatakan dia tidak sengaja tertekan pedal minyak SUV (kenderaan utiliti sukan) dipandunya,”katanya dalam pertemuan empat mata dengan Ustazah semalam.

Published by
Almaswa Haji Che Ros