Rata-rata rumah sekarang hanya mempunyai tandas duduk berbanding tandas cangkung. Malah ada yang mempunyai tabiat sering membawa telefon ke tandas, melayan media sosial, main games, tengok you tube atau apa sahaja sambil duduk membuang air besar, melepas hajat. Rupanya dua perkara ini boleh menjadi punya kepada penyakit buasir.

Tandas Duduk Punca Buasir

Tandas duduk sebenarnya antara punca utama buasir. Bila mana usus besar (kolon sigmoid) mereka yang menggunakan tandas duduk ketika membuang air besar tidak dapat berfungsi secara normal.

“Penggunaan tandas duduk menyebabkan najis tidak dapat keluar habis dan perlu diteran untuk keluar.

“Tetapi, walau sekuat manapun meneran, najis tidak dapat keluar habis dan tersimpan di dalam kolon sigmoid sehingga bertahun-tahun.

“Malah bila meneran, hanya 50 peratus tekanan atau tenaga digunakan untuk mengeluarkan najis manakala selebihnya akan mengundur semula menyebabkan komplikasi penyakit lain pula.

“Ditambah dengan gaya hidup masyarakat kurang makan buah, sayur dan minum air menyebabkan najis jadi keras.

“Apabila najis keras ini sering dipaksa keluar dengan meneran dan sering bergesel pada dinding usus, maka lama-kelamaan terjadilah buasir,” demikian penjelasan pakar estetika, Kapten (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanapi.

Guna Tandas Duduk, Main Telefon Dalam Bilik Air Jadi Punca Buasir
Kapten (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanapi menunjukkan rawatan membuang tisu buasir menggunakan teknik ‘safute beim’.

Jenis Buasir

Buasir atau hemoroid, terhasil daripada regangan berulang kali ketika pergerakan usus dan diburukkan lagi jika pesakit turut mengalami masalah sembelit. Ia terbahagi kepada dua jenis, iaitu di dalam atau terkeluar daripada dubur. Buasir dalam paling kerap terjadi iaitu meliputi 90 peratus daripada pesakit.

“Buasir dalam mempunyai empat peringkat yang mana selalunya peringkat satu dan dua hanya memerlukan pesakit mengikut nasihat doktor dan menukar corak pengambilan makanan atau dirawat menggunakan teknik ikatan getah pada buasir.

“Buasir luaran pula adalah salur darah vena di bahagian bawah kulit luar daripada dubur.

“Ia lebih teruk kerana pesakit berasa sakit, berdarah, gatal atau bengkak ketika membuang air besar.

“Bagaimanapun, rasa sakit itu berbeza antara setiap individu. Ada yang berasa tidak selesa dan ada yang berasa panas atau amat pedih.

“Kesakitan teruk yang dirasai mungkin disebabkan salur darah yang tersumbat akibat darah beku.

“Pendarahan ketika membuang air besar adalah gejala utama buasir yang mana sekitar 70 peratus penghidapnya mengalami masalah pendarahan setiap kali membuang air besar,” katanya.

Bawa Telefon Ke Tandas

Jelasnya,‘ketagihan’ masyarakat moden terutama anak muda terhadap permainan telefon pintar popular seperti Player Unknown’s Battle (PUBG), Mobile Legend dan Fortnite selain aktif melayan media sosial sehingga ke dalam tandas, juga menyumbang kepada terhasilnya buasir.

Kata Dr Zulkafperi, fokus pada permainan telefon atau media sosial ketika di dalam tandas boleh menyebabkan kita secara tanpa sedar menahan diri dan boleh menghilangkan keinginan membuang air besar.

“Apabila menahan diri daripada membuang air besar, rasa ingin ‘melepas hajat’ itu akan hilang dengan sendiri sebelum kembali lagi kemudian”

Sekiranya kita masih lagi tidak membuang najis, sekali lagi rasa hendak buang air besar hilang dan begitulah seterusnya.

“Apa sebenarnya terjadi ialah setiap kali keadaan itu berlaku, usus besar akan menyerap air daripada najis menjadikannya keras dan besar.

“Najis keras dan besar ini menyebabkan berlakunya sembelit.

“Ini diburukkan lagi dengan cara hidup terutama membabitkan makan dan penggunaan tandas duduk.Lama-kelamaan akibat najis besar dan keras ini sering bergesel pada dinding usus, maka terhasillah buasir.”

“Selain itu, tabiat membaca dalam bilik air terlalu lama boleh menyebabkan buasir menjadi teruk.

“Pastikan juga anda tidak duduk dan berdiri terlalu lama serta jangan mengangkat barang berat,” ujarnya ketika ditemui di Klinik Keluarga & Surgeri, Pusat Perdagangan Pelangi Damansara, Petaling Jaya.

Guna Tandas Duduk, Main Telefon Dalam Bilik Air Jadi Punca Buasir

Rawatan Teknik ‘Safute Beim’

Terdapat banyak kaedah untuk membuang buasir dicipta dan digunakan namun Dr Zulkafperi berkata, yang paling cepat, mudah dan selamat adalah dengan menerusi teknik ‘safute beim’.

“Teknik ini mengurangkan risiko pendarahan iaitu cuma satu peratus sahaja, mengelakkan jangkitan kuman juga dengan risiko satu peratus dan pesakit tidak berasa sakit.

“Ia rawatan yang sangat menjimatkan masa hanya memerlukan antara lima hingga 15 minit sahaja.

“Pesakit juga pulih dengan cepat sekitar dua minggu,” jelasnya.

Lebihkan Pengambilan Serat

Sebagai langkah pencegahan, katanya, pengambilan serat adalah kaedah rawatan selamat, berkesan dan murah.

“Lebihkan pengambilan serat dalam pemakanan dengan buah-buahan, sayur-sayuran hijau dan bijirin bagi memastikan kelancaran proses pembuangan najis.

“Serat akan melembutkan dan meningkatkan saiz najis serta mengurangkan kebarangkalian pesakit untuk meneran semasa membuang air besar.

“Keadaan ini seterusnya dapat mengurangkan tekanan pada dubur dan kejadian buasir dapat dielakkan.

“Selain itu, pengubahsuaian gaya hidup yang boleh dilakukan bagi mencegah dan merawat buasir adalah pengambilan air yang banyak, kurangkan pengambilan lemak, kerap bersenam, menjaga kebersihan dubur dan kurangkan meneran semasa di dalam tandas,” katanya.

MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jadi pesanan buat yang selalu bawa telefon dalam tandas, tak kiralah main games,tengok youtube, layan media sosial atau apa pun, elakkanlah.. kerana ia boleh jadi punca kepada penyakit buasir.

Baca Disini: Wanita Dipatuk Ular Sawa Yang Menumpang Teduh Dalam Mangkuk Tandas!

Sumber: Hmetro

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI