Kisah murid tahun tiga itu mendapat perhatian selepas Noor Ileyana berkongsi video di TikTok yang menunjukkan anak sulungnya itu memberi hadiah istimewa sempena Hari Ibu, Ahad lalu.
‘Guna duit raya beli cincin emas untuk mama.’Masih kecil tapi pandai hargai ibu yang banyak berkorban untuknya. Hadiah kecil ini benar-benar membuatkan banyak hati ibu yang tersentuh.
Dalam usia Sembilan tahun, dia sanggup menggunakan kesemua wang yang dia simpan untuk gembirakan hati seorang ibu. Syabas!
Guna Duit Raya
“Saya sudah lama nak beri hadiah kepada mama, saya nak bagi mama seronok. Nanti saya nak belikan mama kereta dan rumah pula,” kata Muhammad Adam Shah Muhammad Shahrul Iznie.
Kanak-kanak itu baru berusia sembilan tahun, namun bijak menghargai ibunya, Noor Ileyana Mohammad, 30, dan menunjukkan kasih sayang termasuk dengan pemberian hadiah.
Terbaharu Muhammad Adam Shah membelikan cincin emas buat ibunda tercinta menggunakan duit raya dan simpanannya.
Kisah murid tahun tiga itu mendapat perhatian selepas Noor Ileyana berkongsi video di TikTok yang menunjukkan anak sulungnya itu memberi hadiah istimewa sempena Hari Ibu, Ahad lalu.
Menurut Noor Ileyana yang menetap di Taman Aur Mesra, Taiping, Perak, Muhammad Adam Shah menjual bunga api Ramadan lalu dan menyimpan wang jualan untuk membelikannya cincin emas.
Ads
Masih Kecil
“Saya juga memberinya upah kerana membantu di kedai inai pengantin saya, cuma tak sangka Adam (nama panggilan Muhammad Adam Shah) gunakan wang itu dan duit raya diterima berjumlah RM1,500 untuk belikan saya cincin.
“Ikutkan, saya sudah ada cincin, namun Adam bersungguh untuk hadiahkan kerana menyimpan hajat itu sejak tahun lalu.
“Kami ke kedai emas kelmarin (Isnin) dan saya sekadar bantu tanya pekerja mengenai cincin mana yang boleh dibeli mengikut bajet Adam,” katanya.
Menurut Noor Ileyana, sebagai ibu, dia terharu selepas menerima pemberian Muhammad Adam Shah apatah lagi pemberian itu bukan sedikit nilainya.
Ads
“Adam juga sudah beri ‘amaran’ kepada saya untuk tidak menyimpan sahaja cincin pemberiannya, sebaliknya sentiasa memakainya.
“Dia beri saya hadiah itu mungkin kerana nampak saya susah payah cari rezeki membesarkannya walaupun kami sering bertekak.
“Bagaimanapun, saya ada beritahunya yang saya akan pulangkan semula cincin itu andai satu hari dia perlukan wang untuk sambung pengajian atau ada keperluan mendesak,” katanya.
Ramai Mendoakan Yang Baik
Noor Ileyana bersyukur perkongsiannya di TikTok menerima maklum balas positif dan berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakannya dan Muhammad Adam Shah.
“Alhamdulillah, rata-rata doakan yang baik. Saya juga doakan Adam berjaya capai impian bergelar jutawan muda suatu hari nanti,” katanya.
Mingguan Wanita : Keperibadian Adam lahir daripada ibunya. Tahniah buat anak dan ibunya. Semoga Adam menjadi anak yang soleh dan taat kepada orang tuanya. Insyallah.
Memang ada bezanya perasaan apabila menerima duit secara tunai di tangan berbanding secara pemindahan online. Bukan apa zaman teknologi ini, bersedekah boleh dalam pelbagai cara bagi memudahkan urusan. Namun, perasaan gembira yang dialami oleh penerima pastinya berbeza apabila ia diterima secara ‘cash’ di tangan.
Pagi tadi saya hulur lah beberapa keping duit rm50 pada isteri saya.Ya Rabbi dia punya suka sampai cium tangan saya. Padahal kalau saya transfer online kemain banyak pun dia buat rilek sahaja.
Saya jadi teringat seorang sahabat saya yang suka bersedekah ni. Dia dah jutawan dah pun. Dia bagitahu yang dia suka bersedekah dengan bagi duit cash.
Katanya itu lebih mengembirakan penerima. Saya pernah cuba juga pada mak ayah saya. Memang beza bila kita transfer secara online dan bagi cash di tangan ni.
Bila bagi cash pada emak ayah kita sendiri, kita boleh tengok mimik wajah gembira mereka. Ya Allah. Ekspresi gembira tersebut memang lebih bernilai daripada wang berjuta ringgit!
Kawan-kawan,
Jika balik beraya kali ni. Tak salah kiranya kita hulurkan duit pada mak ayah, kaum kerabat dan paling utama sekali pada isteri dan anak anak kita.
Niatkan untuk gembirakan mereka kerana Allah Taala, insyaAllah kegembiraan mereka akan menjadi kegembiraan terbesar buat diri kita.
Tak penting berapa nilainya, yang penting adalah nilai keikhlasan, kasih sayang dan tanda ingatan kita kepada mereka. Itu yang paling utama.
Status WhatsApp yang dimuat naik Rohani Abdullah, 47, menunjukkan keindahan Taman Negeri Royal Belum, Perak ketika melalui kawasan itu menjadi menjadi status terakhir sebelum dia terkorban bersama suaminya dalam kemalangan semalam.
Dalam kemalangan di Kilometer 76 Jalan Raya Timur Barat, Gerik-Jeli berdekatan Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Titiwangsa, Gerik, jam 6.45 petang, Rohani dan suaminya, Azmi Imas, 46, maut di tempat kejadian.
Manakala dua anak mereka, Nur Aina Fatiha, 18, dan Muhammad Adam Darwish, 14, cedera.
Anak saudara Rohani, Wan Rubiah Wan Sulaiman, 40, berkata, dia ada membalas status dimuat naik arwah ibu saudaranya pada 6.15 petang semalam.
“Arwah ibu saudara memuat naik status itu ketika melalui kawasan berkenaan dan saya sempat komen bagi tahu pemandangan di sana (Taman Negara Royal Belum) cantik.
“Pada masa sama, saya sempat berpesan kepadanya supaya berhati-hati, namun panggilan diterima daripada sepupu (Muhammad Arif Haiqal, 20,) yang juga anak kepada arwah tidak lama kemudian memang mengejutkan saya.
“Arif beritahu adiknya (Nur Aina Fatiha) telefon memaklumkan mereka kemalangan dengan ibu bapanya masih berada dalam kereta, sementara mereka pula berada di luar,” katanya.
“Saya tidak tahu bagaimana keadaan mereka, tetapi Aina minta kami berdoa sambil minta kami datang ke sana segera.
“Saya cuba tenangkan Aina dan minta dia jaga adiknya sebelum dimaklumkan mereka dibawa ke Hospital Jeli, Kelantan untuk rawatan manakala ibu dan bapanya pula dibawa ke Hospital Gerik,” katanya.
Katanya, arwah ibu saudaranya ada berpesan kepadanya untuk membawa neneknya, Semek Abdul Rahman, 80, yang menghidap penyakit darah tinggi ke Hospital Hulu Terengganu, semalam.
“Biasanya, arwah yang akan bawa nenek (Semek) dan dia bersungguh-sungguh minta tolong kerana dia tak sempat pulang ke Terengganu.
“Saya memintanya supaya tidak risau dan minta dia sekeluarga berhati-hati,” katanya.
Jenazah yang tiba dari Hospital Gerik disembahyangkan di Masjid Felda Tersat selepas solat Isyak sebelum dikebumikan dalam satu liang lahad.
Jenazah suami isteri ini telah selamat dikebumikan. .
Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan apabila anak pasangan terbabit, ahli keluarga dan kenalan tidak dapat menahan sebak ketika pengebumian dijalankan dan selesai jam 10.30 malam, semalam.
Nahas mengorbankan pasangan suami isteri di Kilometer 76 JRTB Gerik-Jeli, berdekatan RnR Titiwangsa, Gerik berlaku selepas kenderaan mereka hilang kawalan semasa melalui selekoh.
Nahas jam 6.45 petang semalam itu mengorbankan pemandu Nissan Latio, Azmi Imas, 46, dan Rohani Abdullah, 47, manakala dua anak mereka cedera.
Siasatan awal mendapati nahas dipercayai berlaku apabila Nissan Latio dinaiki pasangan itu dari arah Gerik dipercayai hilang kawalan semasa melalui selekoh lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan.
Akibat pelanggaran itu, pasangan suami isteri disahkan meninggal di tempat kejadian manakala tiga lagi mangsa dibawa ke Hospital Jeli untuk mendapatkan rawatan.
Mingguan Wanita : Semoga keluarga arwah tabah berdepan ujian berat ini apatah lagi anak-anaknya yang kehilangan kedua ibu bapa serentak. Al-Fatihah.
Masalah yang selalu berlaku bila pasangan nikah luar negara bila mempertikaikan tentang status hubungan suami isteri sah atau tidak. Lebih menyedihkan tentang status anak yang telah dilahirkan.
Mungkin nampak senang bila nikah luar negara tapi kita tak tahu kesan akan datang pada isteri dan anak-anak. Akan banyak timbul masalah yang berkaitan dengan pewarisan, harta pusaka dan sebagainya.
Walaupun ada sebab-sebab tertentu pasangan kena nikah luar negara. Tapi jangan ambil mudah dan tak tahu, kena daftarkan perkahwinan di negara asal. Apa yang dibimbangkan perkara berbangkit pada masa akan datang.
Inilah yang dikongsikan oleh Roslina Sabiyah tentang kes yang viral tentang status anak seorang selebriti yang berbin/binti kan Abdullah. Mungkin tak nampak sekarang tapi bila anak itu akan mendirikan rumahtangga, isu harta pusaka dan sebagainya
Fahami apa yang dkatakan dan kesannya pada pasangan dan anak bila berkahwin luar negara.
Secara biologinya, dia memang anak kepada Halim Othman. Tetapi secara undang-undangnya, dia tetap anak kepada “Abdullah”. Apa maksudnya?
Undang-undang tidak/belum mengiktiraf kedudukan mereka sebagai bapa dan anak kandung.
Kalau Myra nak kahwin nanti, bapanya tak boleh walikan dia. Kalau nak walikan dia kena ada bukti yang dia bapa kepada Myra, paling koman tunjukkan kad pengenalan dan sijil nikah ibu bapa. Sijil nikah tak ada memang kena mohon Wali Hakim kat mahkamah syariah lah jawabnya.
Kalau Halim meninggal nanti, Myra tak boleh tuntut harta pusaka dia. Asas tuntutan dalam harta pusaka ialah waris-waris mestilah yang sah di sisi undang-undang. Antara bukti untuk menunjukkan seseorang waris itu sah di sisi undang-undang ialah dengan memohon sijil faraid di mahkamah syariah. Nak mohon sijil faraid kena ada bukti surat beranak dan sijil nikah. Surat beranak bin/binti Abdullah. Sijil nikah pulak tak ada. Memang tak dapat nak tolong.
3. Isu Nasab dan Keturunan.
Apa status Myra sebenarnya. Anak yang dilahirkan di luar daripada pernikahan yang sah ada 2 kemungkinan sahaja iaitu anak tak sah taraf ataupun anak wati’ syubhah.
Anak wati’ syubhah ialah anak yang dilahirkan akibat persetubuhan yang berlaku bukan dari perkahwinan yang sah akibat keraguan tertentu iaitu sama hukumnya dengan nikah fasid.
Anak wati’ syubhah, jika berjaya disabitkan nasabnya di mahkamah syariah, maka dia boleh dibintikan kepada bapanya, boleh berwalikan bapanya dan berhak mendapat hak perwarisan daripada bapanya.
Namun beban pembuktian untuk menentukan status anak ialah terletak ke atas ibu bapanya. Mereka kena failkan permohonan pengesahan nasab anak di mahkamah syariah. Jika mereka mendakwa telah bernikah di luar negara, beban pembuktian untuk mengatakan pernikahan itu wujud ialah ke atas pasangan suami isteri tersebut. Mahkamah hanya perlu melihat kepada dokumen atau bukti-bukti pernikahan tersebut. Hanya ada 3 kemungkinan sahaja yang berlaku di Mahkamah :
a) Dokumen nikah luar negara ada. Rukun nikah semua lengkap dan sah. Maka mahkamah akan sabitkan pernikahan tersebut sah dan boleh didaftarkan di pejabat agama malaysia. Nasab anak juga sabit anak sahtaraf. Perintah tersebut boleh dikemukakan di JPN dan pihak JPN akan menukar bin/binti anak tersebut kepada nama bapa sebenar selaras dengan perintah mahkamah. . b) Dokumen nikah luar negara ada. Tapi ada rukun nikah yang diragui contohnya pernikahan dibuat oleh jurunikah tak bertauliah ataupun wali yang tak layak. Mahkamah akan sabitkan pernikahan tersebut sebagai pernikahan yang fasid, mengarahkan untuk difaraqkan dan pasangan tersebut perlu bernikah semula di Malaysia. Nasab anak tersebut akan disabitkan sebagai wati’ syubhah. Perintah tersebut boleh dikemukakan di JPN dan pihak JPN akan menukar bin/binti anak tersebut kepada nama bapa sebenar selaras dengan perintah mahkamah (anak wati’ syubhah sama statusnya dengan anak sahtaraf).
c) Dokumen nikah luar negara tiada. Kena tunjukkan usaha untuk cari. Buat carian di pejabat agama yang didakwa telah menjalankan pernikahan di luar negara tu, buat carian di pejabat konsulat atau datangkan saksi yang boleh bagi keterangan untuk menyokong dakwaan yang pernikahan tersebut memang telah dijalankan.
Mahkamah akan memeriksa semua keterangan dan kalau berjaya akan dapat perintah seperti 2 contoh di atas. Tapi jika tak ada langsung dokumen dan usaha? Maka, beban untuk menafikan bahawa pernikahan tersebut tak wujud/tak sah dan anak tersebut anak tak sah taraf adalah terletak ke atas ibu bapa anak tersebut.
Contoh Halim saya gunakan sebab memang dia dah terang-terangan declare 1 malaysia. Dan mungkin ada masyarakat yang keliru dengan kenyataan beliau untuk mengekalkan nama Abdullah sebagai binti anaknya.
Nak kekalkan nama Abdullah tu tak ada masalah langsung sebenarnya yang penting sabitkan dulu nasab anak tu di mahkamah syariah. Pihak JPN memang tak boleh buat apa-apa selagi tak ada perintah dari mahkamah syariah berkenaan isu tersebut.
Jika dah disabitkan nasabnya, walaupun berbintikan Abdullah, dia akan dapat semua hak-hak seorang anak untuk diwalikan oleh bapanya, dapat hak faraid dari bapa dan dapat nasab keturunan bapanya. Ini bukan isu tak kisah dan tak nak menyusahkan. Ini melibatkan isu penting tentang status anak dan hak.
Jangan Ambil Mudah Hukum Nasab
Nasihat saya pada halim, jangan mengalah dan putus asa. Cuba usahakan lagi, kesian Myra. Jangan kata kes dah terlalu lama sebab ada je kes yang dah berlaku 20 tahun dulu tapi masih boleh disahkan di mahkamah sebab pihak-pihak usaha juga bawa saksi.
Jangan ambil ringan dengan bab-bab nasab dan hukum ni. Ini bukan kes terpencil. Sebenarnya bukan nasihat untuk Halim sahaja tapi ramai lagi di luar sana yang ada masalah yang sama seperti ini sebenarnya. Tolonglah ambil cakna.
Pengajaran untuk yang belum terjebak, jangan buat keputusan singkat. Nikah luar negara memang cepat dan mudah. Tapi fikirkanlah kesan jangka masa panjangnya. Kalau terpaksa juga nikah di luar negara atas sebabsebab yang tak dapat dielakkan, bila dah balik malaysia cepatlah buat pengesahan di mahkamah syariah dan daftarkan pernikahan tersebut di pejabat agama. Kesannya tak nampak sangat kepada lelaki/suami. Tapi yang jadi mangsa ialah isteri/anak-anak.
Cuba bayangkan pula kesannya pada isteri? Nak kata dah nikah pun tak ada dokumen yang sah. Nak kata dah cerai pun, sijil nikah tak ada macamana nak cerai. Kalau nak berkahwin lain?
Satu sahaja cara, dia boleh declare yang dia belum pernah bernikah dan seolah pernikahan yang terdahulu tak wujud barulah dia boleh berkahwin lain. Lagipun memang tak ada dokumen langsung kan. Jadi apa status anak daripada perkahwinan terdahulu? Anak tu tak salah. Yang salah ialah mak ayah yang tak fikir panjang.
Ambik pengajaran. Yang baik jadikan tauladan yang buruk jadikan sempadan. Biar tahu jangan keliru.
Mingguan Wanita : Apa-apapun, kena daftarkan perkahwinan. Mungkin sekarang tak nampak kesannya, tapi akan datang lagi banyak masalah yang timbul. Jangan jadikan isteri dan anak mangsa.