Siapa sangka, gerak hati ibu kepada arwah Dayana Damsah yang maut dalam kemalangan jatuh gaung semalam menjadi kenyataan. Pada awal ibunya terbayang arwah terbabit dalam kemalangan sejak beberapa hari lalu.
Jelas ibu arwah, Endok Oti Ahmad, anaknya seorang yang bertanggungjawab dan meninggal setelah segala hajatnya tercapai termasuklah membawa dia dan suaminya menunaikan haji.
Gerak Hati Ibu Jadi Benar
“Sejak beberapa hari lalu, gerak hati saya sering terbayang arwah terbabit dalam kemalangan.
“Tak sangka pula perkara yang menjadi kerisauan saya benar-benar berlaku,” kata Endok Oti Ahmad, 65, yang anaknya, Dayana Damsah, 27, maut dalam kemalangan jalan raya di Kampung Kijang berhampiran Jambatan Merotai Besar di sini, semalam.
Dalam kemalangan jam 6 pagi, kereta dinaiki Dayana yang bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Umas-Umas (SK Umas-Umas) hilang kawalan lalu terbabas dan terjunam ke tebing sungai di lokasi kejadian.
Kemalangan itu turut mengorbankan rakan setugasnya, Nurizyani Kafli@Masri, 24, yang meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Tawau manakala pemandu kereta, Hasnaini Paiori, 38, dan Nur Zairah Aladin, 35, dilaporkan mengalami kecederaan parah.
Ketika kejadian, keempat-empat guru terbabit dalam perjalanan untuk bertugas di SK Umas-Umas. Mereka juga sering berkongsi kereta untuk ke sekolah.
Menurut Endok, sebelum ini dia pernah meminta Dayana bertukar ke sekolah lain yang dekat dengan kediamannya di Kampung Pasir Putih di sini, berikutan SK Umas-Umas agak jauh.
“Saya ada meminta dia bertukar sekolah lain yang lebih dekat kerana setiap hari terpaksa berulang-alik berikutan jarak antara sekolah dan rumah agak jauh.
“Bagaimanapun, saya berasa sangat sedih apabila anak yang baru melangsungkan perkahwinan minggu lalu (27 Julai) maut dalam kemalangan,” katanya.
Selepas Segalanya Tercapai, Arwah Meninggal
Endok berkata, arwah anaknya itu seorang yang pemurah dan suka bersedekah, malah kerap menginfakkan gajinya kepada pertubuhan serta badan amal termasuk rumah anak yatim.
Ads
Selain itu, katanya, arwah juga aktif dan sering terbabit dengan kerja sukarelawan selain mengedarkan bantuan kepada fakir miskin dan asnaf termasuk golongan ibu tunggal.
“Malah, semasa mula bertugas di SK Umas-Umas empat tahun lalu, dia pernah menyatakan tidak akan berkahwin selagi saya dan bapanya, Damsah Lonting belum merasa duit gajinya dan mengerjakan umrah.
“Arwah seorang yang cermat serta bertangungjawab dan dalam tempoh tidak sampai dua tahun berkhidmat sebagai guru, anak bongsu daripada empat beradik itu mampu mengumpul wang sehingga kami bertiga berpeluang menunaikan ibadah umrah pada 2018.
“Selepas semua hajatnya tercapai, arwah pergi meninggalkan kami,” katanya.
MW: Benarlah orang yang baik pasti Allah sayang. Selepas segala hajat dan impiannya tercapai, Dayana pergi buat selamanya. Al-Fatihah.
Insiden perlanggaran membababitkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya malam tadi. Mengakibatkan 47 penumpang cedera parah, 166 cedera ringan.
Salah seorang mangsa, Adzleen Syzarenna yang berusia 24 tahun ini menghubungi ibunya, Syafiza Abd Hadhib, 45. Memaklumkan yang dia terlibat dalam insiden perlanggaran itu.
Dalam keadaan menangis, dia beritahu ibunya tidak dapat merasa kakinya yang cedera. Malah, dia juga tak dapat bangun.
Hati ibu mana yang tenteram bila anak beritahu dirinya sakit. Ibunya yang terkejut dengan panggilan yang menggunakan nombor tidak dikenalinya itu secepatnya ke tempat kejadian.
Syukurlah dia dapat bertemu seketika dengan anaknya itu. Namun, Adzleen masih dalam keadaan trauma.
Tidak lama kemudian, anaknya yang bekerja di sebuah bank di Ampang itu di bawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan selanjutnya.
Perlanggaran yang membabitkan 213 penumpang itu dipercayai berhenti selama 15 minit dan bergerak semula selama beberapa saat sebelum berlanggar.
Perlanggaran LRT : Penumpang Terpelanting Dan Jatuh
Impak kuat daripada tren yang berhenti mengejut itu mengakibatkan para penumpang terpelanting dan jatuh. Ada juga penumpang cedera akibat terkena serpihan cermin tingkap tren yang pecah.
Tidak lama selepas kejadian, pasukan keselamatan tiba dan berjaya mengeluarkan kesemua penumpang. Mangsa di bawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.
Sekitar jam 6 pagi ini, perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya sudahpun beroperasi seperti biasa menggunakan satu landasan (single track).
Bagaimanapun, penumpang dijangka perlu menunggu dengan lebih lama berbanding biasa, dengan kekerapan tren setiap 10 minit pada waktu puncak.
Prasarana operasi LRT laluan Kelana Jaya itu disokong oleh perkhidmatan lima buah bas perantara dua tingkat secara percuma. Dengan kekerapan antara 15 hingga 20 minit pada waktu puncak untuk membawa penumpang ke mana-mana stesen di antara Stesen Pasar Seni dan Stesen Ampang Park.
Siasatan awal mendapati, tren tersebut bertembung dengan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji secara kawalan manual tanpa diselaras dengan pusat kawalan.
Ketika ditimpa musibah atau berada dalam keadaan yang sedih, ramai di antara kita yang berasa MALANG. Malah ada yang pertikaikan takdir dirinya. Reaksi negatif ini menunjukkan seseorang tidak mempunyai kekuatan diri yang sebenar.
Mana mungkin Allah mahu menzalimi hamba-Nya? Malah jika kita teliti, manusia hamba yang paling Allah S.W.T sayangi. Kita bukan sahaja dibekalkan dengan paras rupa yang unik malah kita dilengkapkan Allah dengan akal fikiran serta diberi emosi untuk menikmati hidup ini. Gunakan kelebihan yang Allah berikan ke jalan benar.
Terperangkap Dalam Masalah Sehingga Yakin Diri MALANG
Akal yang diberi mesti dipandu dengan al-Quran dan ajaran agama Islam, barulah ia membentuk kita menjadi insan cemerlang di dunia dan akhirat. Sehingga kini, sepanjang hidup saya terlalu ramai insan yang saya temui berputus asa dengan diri dan bersangka buruk dengan Maha Pencipta.
Di bibir orang sebegini, hanya perkataan negatif yang terbit. Mereka tidak jemu-jemu berkeluh kesah sehingga terperangkap dalam masalah selamanya. Malah ada yang asyik cakap dirinya MALANG.
Sebenarnya setiap jawapan itu ada pada kita. Cuma kita kena bijak menangani situasi atau dugaan yang Allah berikan. Dugaan adalah bukti kasih sayang Allah, Dia mahu mengangkat darjat kita menjadi insan mulia. Ujian akan membuatkan kita menjadi insan tabah dan berjiwa kental. Lihat orang-orang yang berjaya mengharungi ujian, hidupnya lebih bermakna dan bahagia.
Mental & Rohani Kena Kuat
Dalam hidup ini, apa pun boleh berlaku. Banyak perkara di luar jangkaan kita. Lantaran, kita mesti sentiasa persiapkan mental, rohani, emosi dan fizikal. Caranya mudah, kita mesti set minda agar sentiasa positif, berlapang dada dan bersangka baik dengan setiap ujian yang Allah berikan.
Set minda dengan perkara-perkara yang menjadikan kita insan hebat…Katakan kepada diri kita tabah, sabar, kuat semangat, setiap yang berlaku ada hikmah. Pada masa yang sama, sentiasa bermohon kepada Allah agar diberi kekuatan untuk menempuh ujian tersebut.
Apabila kita set minda sebegini, emosi, fizikal dan rohani kita akan bergerak selari. Orang yang mindanya positif dapat dilihat menerusi tindakan fizikal yang juga positif, emosinya stabil dan semangatnya tidak goyah.
Kita mempunyai pilihan untuk menjadi insan hebat. Jadi buatlah keputusan dengan tepat, latih minda berfikir secara positif. Kekuatan minda sangat luar biasa, jika dipacu dengan betul ia menjadikan kita insan yang benar-benar hebat.
Jangan Aniaya Diri Sendiri
Contohnya pesakit kanser, ramai yang mempunyai minda positif akhirnya bebas kanser dan menjalani hidup bahagia bersama keluarga. Namun orang yang mindanya negatif akan diselubungi kesedihan dan fizikalnya menjadi lemah. Tindak balas ini hasil daripada cara kita set minda.
Jika kita set minda, aku mesti kuat dan bersemangat. Aku pasti boleh lakukan, insya-Allah segalanya tidak mustahil. Didik minda berfikiran positif, anda pasti terkejut dengan hasil luar biasa ini.
Kuasa minda positif menghantar mesej kepada tubuh dan emosi untuk bergerak ke arah positif. Jadi mengapa menganiaya diri dengan berfikir negatif dan merendah-rendahkan diri serta keupayaan sendiri?
Pilihan di tangan anda…Masih belum terlambat untuk berubah. Jadilah insan yang menghargai diri dan sentiasa bersyukur dengan nikmat Allah. Setiap kali kita bersyukur, Allah akan tambahkan nikmat. Bersangka baik dengan Allah, hikmahnya pasti membuatkan anda lebih bahagia dan temui ketenangan yang tidak dapat diungkap. Ingat! Tiada siapa yang MALANG, fikir yang baik-baik ye.
Bebel sebab sayang, bebel sebab amanah. Sayang semua.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Pelakon, penyanyi, pengacara dan penyampai radio, Hunny Madu akhirnya mengesahkan yang dia sudah mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan jejaka Itali bergelar chef di ibu kota, Fedrighi Francesco pada 2 Mei lalu.
Hunny sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Khairul Azhar Abdul Wahid, namun menemui titik noktah pada Oktober 2018. Mereka berkahwin pada 2010.
Majlis Nikah Ringkas
Majlis pernikahan dilakukan secara atas talian memandangkan situasi pandemik COVID 19 masih belum reda. Malah majlis pernikahan yang diadakan di kediaman keluarganya di ibu kota itu tidak membabitkan tetamu.
Suaminya yang memeluk agama Islam sejak Februari lalu sudah menetap di Malaysia sejak Januari 2018. Mereka berkenalan sekitar awal Januari tahun lalu.
“Kami hanya maklumkan keputusan berkahwin ini kepada keluarga terdekat dan kawan rapat saja. Majlis nikah itu memang begitu ringkas dan hanya disaksikan adik beradik, ibu bapa dan dua anak saya. Ustaz yang bertugas menjadi saksi pernikahan kami berada di lokasi berbeza.
“Baju nikah pun kami pinjam sebagai memenuhi syarat kerana keterbatasan waktu untuk menyiapkan yang baru. Cukup sebegitu untuk jadi memori kenangan saya dan suami,” ujarnya.
Tambah Hunny lagi sepatutnya, majlis resepsi sepatutnya diadakan bulan September lalu.
“Namun terpaksa ditunda kerana ada hal yang tak boleh saya kongsikan. InsyaAllah majlis yang dirancang itu akan diadakan pada masa yang lebih sesuai waktu mendatang,” katanya.
Bercuti Di Langkawi Umpama Bulan Madu
Pasangan ini juga sempat ke Pulau Langkawi untuk percutian keluarga yang turut membabitkan dua anaknya, Eva Medina, 8, dan Adam Musa, 3.
“Nak kata bulan madu pun tidak. Tapi percutian baru baru ini itu umpama bulan madu bersama keluarga kecil saya,” ujarnya.
Hunny juga memanjat kesyukuran kerana dipertemukan dengan suami yang disifatkan cukup baik kepada dirinya, anak serta keluarga.
“Saya bertuah ada dia. Dia buat saya bahagia. Semoga hubungan kami ini akan kekal sampai ke jannah. InsyaAllah,” katanya.
Mohon Maaf
Dalam pada itu, Hunny juga ingin memohon maaf kepada pihak yang terasa dengan gambar posnya bersama cinta hati yang dianggap keterlaluan dikongsi di Instagram.
“Semua itu timbul sebab ada yang tak tahu perkara sebenar yang saya dan dia sudah berkahwin. Sebab itu saya ambil kesempatan untuk meleraikan persoalan itu,” sambungnya.
Sumber Foto: Instagram Hunny Madu
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Nahas SUV di Bukit Kawah meragut nyawa sepasang bakal pengantin apabila Toyota Fortuner yang dinaiki terjunam ke dalam gaung. Baca kronologi penuh, siasatan polis dan peringatan keselamatan jalan raya.