Dek kerana anak dan isteri tak jawab panggilan telefon, akhirnya kerusi jadi habuan buat anak dan isteri.
Kejadian yang berlaku di Hulu Terengganu ini berpunca daripada sikap panas baran bapa yang tidak dapat menerima bila isteri dan anaknya memberi alasan tidak mendengar telefon daripadanya.
Tidak sanggup berdepan dengan sikap panas baran bapa yang sering memukul dia dan ibu selama ini, seorang anak bertindak membuat laporan polis mendedahkan perbuatan tidak berperikemanusiaan lelaki itu kelmarin.
Gadis berusia 19 tahun itu nekad melaporkan kejadian apabila dia dan ibunya berusia 50-an dibelasah suspek berusia 65 tahun dengan kerusi hanya disebabkan tidak menjawab panggilan telefon di rumah mereka di Kuala Berang di sini Sabtu lalu.
Gara-gara Tak Jawab Telefon
Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari ini, dua beranak itu pergi ke bandar untuk membeli barang dapur dengan menaiki motosikal.
“Setibanya mereka di rumah, suspek sudah menunggu di hadapan pintu utama dalam keadaan yang tidak berpuas hati lalu bertanya kepada anak gadisnya kenapa tidak menjawab telefon.
“Mereka memaklumkan yang tidak dengar kerana berada di atas motosikal sebelum warga emas itu meminta telefon bimbit milik isterinya lalu dipecahkan menggunakan tukul besi.
“Masih tidak berpuas hati, suspek mengambil kerusi di dapur dan terus memukul kedua-dua belah paha dua beranak itu sehingga lebam,” katanya ketika dihubungi.
Menurut sumber, lelaki itu turut memukul mereka menggunakan papan pemotong makanan selain menumbuk dan menampar pipi sehingga mengalami kecederaan.
“Pada awalnya, mangsa membuat keputusan untuk mendiamkan diri kerana memikirkan kehidupan mereka sekeluarga serta dalam masa sama, kasihankan ibunya dan ingin menjaga maruah keluarga.
“Tetapi sikap ayahnya semakin menjadi-jadi mendera mereka sekeluarga, malah dalam masa sama, ibunya yang sudah tidak tahan sering dipukul suspek menghubungi adiknya yang tinggal di Kuala Lumpur bagi mendapatkan bantuan,” katanya.
Pihak Polis Buat Siasatan Lanjut
Jelas sumber, penderitaan dua beranak itu terus dimaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya sebelum suspek ditahan untuk siasatan lanjut, petang kelmarin.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian. Katanya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
MW: Sikap panas baran jika tidak dikawal memang buruk padahnya. Mujur kedua-dua mangsa selamat dan mengambil tindakan cepat untuk melaporkan kepada polis.
Dalam dunia ini banyak tabiat pelik dan kadang-kadang tak masuk dek akal. Selain orang mengandung yang kerap dikaitkan dengan tabiat pelik, kanak-kanak kecil juga seringkali dikaitkan dengan pelbagai tabiat pelik.
Begitu juga dengan remaja ini yang dikaitkan dengan tabiat peliknya yang suka mengunyah dan menelan rambut. Bayangkan rambut pun dia makan. Perkara ini terkantoi bila doktor terjumpa 7 kilogram gulungan rambut seorang remaja di India.
Rambut Pun Dia Makan
Di New Delhi, seorang remaja perempuan di India mempunyai tabiat pelik apabila gemar mengunyah dan menelan rambutnya sejak beberapa tahun lalu.
Perkara itu terbongkar selepas doktor merawatnya mendapati sesuatu yang aneh iaitu terdapat gulungan rambut di dalam perutnya.
Sweety Kumari, 17, menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta di daerah Bokaro, Jharkhand, penghujung bulan lalu.
Dalam pembedahan selama enam jam itu, doktor berjaya membuang tujuh kilogram (kg) rambut dari dalam perutnya.
Memetik laporan Daily Star, doktor yang mengetuai pembedahan GN Sahu berkata, ia adalah kali pertama dia berdepan dengan kes seperti itu selepas bertugas selama 40 tahun.
Pada awalnya, doktor mengesyaki remaja itu menghidapi ketumbuhan berdasarkan pemeriksaan pertama menggunakan kaedah ultrabunyi.
Tabiat Aneh Telan Rambut
Doktor kemudian berasa curiga selepas mendapat tahu remaja terbabit mempunyai tabiat aneh iaitu gemar menelan rambut.
Hanya selepas pemeriksaan lanjut, doktor mendapati ada gumpalan rambut di dalam perut Kumari.
Dalam pada itu, media melaporkan keadaan itu dikenali sebagai Sindrom Rapunzel adalah antara masalah kesihatan yang amat jarang di dunia.
Menurut Jurnal Perubatan Britain, terdapat kira-kira 90 kes seumpama itu di seluruh dunia pada 2018.
MW: Jangan pelik ya dengan tabiat pelik manusia kerana terdapat banyak ragam manusia yang kadang-kadang kita tak terjangka dek akal.
Sememangnya figura yang bernama Ustaz Ebit Lew dikenali ramai dengan sikapnya yang cukup pemurah dan suka bersedekah.
Baru saja membuka pasar raya di beberapa cawangan yang diberi nama Elewsmart dengan menawarkan harga yang murah, ikon yang berhati mulia ini telah memperkenalkan FoodBank yang bakal tersedia di semua cawangan ElewsMart.
Tak Pernah Lupa, Dulu Tak Ada Duit Nak Makan
Menerusi perkongsian di laman sosial, Ustaz Ebit Lew menerangkan tujuan utama FoodBank ini ialah untuk membantu golongan yang memerlukan.
“Doakan yer…FoodBank di semua cawangan Elewsmart ini menjadi asbab seramai mungkin orang dapat dibantu. “Inilah antara niat saya mula-mula dulu buka elewsmart. Ingin cawangan elewsmart di setiap tempat. Di setiap elewsmart ada FoodBank. Mereka yang benar perlu boleh ambil sahaja. Free jer. Tanpa mengira bangsa dan agama. Buat mereka ingin memberi juga boleh. Setiap hari elewsmart akan letak semua barang asas di rak ini. “Saya ingat dulu selalu tiada duit nak makan. Semua gaji niat beri dekat mak ayah di kampung. Sebab masa tu keluarga susah. Pernah sekali masa kerja orang selit rm2 dalam poket. Gembira sangat rasa. Sebab boleh makan nasi. “Kami juga akan terus cari mereka yang memerlukan untuk dibantu. Semoga Allah permudahkan semuanya-ebitlew “Saudaraku disebalik ujian ada rahmat FoodBank Take What You Need Give What You Can
Tak Kira Agama & Bangsa
Murni sungguh usaha Ustaz Ebit Lew. Kehadiran FoodBank ini membolehkan mereka yang memerlukan berpeluang mengambil barangan yang tersedia secara percuma. Selain itu, orang ramai juga turut berpeluang meletak barangan pada rak yang tersedia.
Tahniah buat pasangan popular Azad Jasmin dan isteri tercinta Eira Syazira yang menyambut ulang tahun perkahwinan yang kesembilan pada 16 September lalu.
Paling menyeronokkan buat si isteri, Azad telah memberikan kejutan paling manis baru-baru ini apabila meraikan ulang tahun mereka secara kejutan.
Perancangan sejak dua bulan lalu oleh Azad akhirnya berjaya dilunaskan dengan ‘komplot’ ahli keluarga, sanak saudara, teman media dan blogger.
Bersanding Atas Pelamin & Makan Beradab
Azad merancang meraikan ulang tahun perkahwinan mereka termasuk bersanding semula buat pertama kali di atas pelamin dan makan beradab.
Malah kejutan menjadi lebih berganda apabila pihak Emas Rozita beroperasi di Ipoh menghadiahkan set barang kemas berupa cincin, rantai, gelang dan anting anting bernilai RM15,000 kepada Eira.
“Jika selama ini saya yang lebih ke depan dalam bab menganjurkan sesuatu termasuk meraikan ulang tahun perkahwinan kami. Dia (Azad) hanya bersetuju dan menjadi ‘Mr Okey’.
“Cuma sekitar dua bulan lalu, dia cakap nak buat sesuatu kononnya nak menghabiskan masa bersama menikmati ‘candle light dinner’. Syaratnya saya tak boleh tanya apa pun dan tengok telefon bimbitnya.
“Malah serba serbi persiapan daripada memilih gaun yang nak dipakai dan jurusolek pun dia sediakan. Saya tak sangka pula rupa rupanya dia buat sesuatu yang di luar kotak fikiran. Memang terkejut hingga rasa sebak apatah lagi ada keluarga, teman rapat dan pihak media serta blogger yang ‘bersengkongkol’ dengannya,” kata Eira.
Ada Turun Naik
Bagi Eira, sepanjang perkahwinannya yang dibina bersama Azad sejak 16 September 2011, pasti ada turun naik.
“Awal perkahwinan pasti ada rasa cemburu kalau suami balik lewat contohnya. Cuma lama lama kita susah mula faham rentak suami. Perasaan risau dan tak yakin itu sudah kian terhakis. Cuba elak daripada fikir bukan bukan. Kepercayaan jadi teras utama.
“Apabila hidup bersama kita mula tahu sisi baik dan buruk pasangan. Kena terima, hadap dan biasakan. Saya dulu sebelum kahwin lebih serius dan dramatik. Tapi dapat pula suami yang gila gila dan penuh humor, saya mula mengikut rentaknya. Tahulah perangai dia macam kita tengok di Instagram bagaimana pula. Ada saja modal lawak dan usikan buat kita ketawa sampai terbahak bahak,” katanya yang kini begitu gembira dengan kehadiran tiga anak perempuannya, Amarra Sofea Rose, 7, Ameisya Leanne Rose, 4 dan Areisya Suri Rose, 2.
Menghargai Eira
Kata Azad, apa yang dilakukannya juga sebagai menghargai Eira.
“Saya bersyukur ditemukan isteri. Dialah ‘supermom’ kepada anak kami. Biarpun kami berbeza sikap, tapi apabila masuk dalam dunia perkahwinan, kami saling percaya.
“Kami kini lebih matang. Elakkan hal negatif dan tak perlu. Tak sangka juga perkahwinan kami sudah melepasi angka sembilan. Rasa macam baru saja kahwin dan bercinta dengannya,” terang Azad.