
Fesyen lestari bukan sekadar tentang memilih pakaian yang lebih mesra alam, tetapi turut melibatkan cara seseorang memahami identiti, nilai dan prinsip yang ingin dibawa melalui penampilannya.
Bagi penata gaya bebas, Inna Ddin, fesyen menjadi ruang untuk mengekspresikan diri tanpa perlu terikat dengan trend semasa.

Berasal dari Subang Jaya, Selangor, Inna yang mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang fesyen mula membina kerjaya sebagai penata gaya atau fashion stylist dan turut terlibat dalam projek reka bentuk fesyen secara sambilan.
Minatnya terhadap dunia kreatif bermula sejak di bangku sekolah apabila dia tertarik dengan seni, filem, ilustrasi dan fotografi, khususnya yang berkaitan dengan identiti Malaysia.
Kecenderungan terhadap tekstil warisan turut mendorongnya mengumpul buku serta mengunjungi muzium tekstil sebelum mengambil keputusan melanjutkan pengajian dalam bidang fesyen selepas SPM.
Baca Artikel: Fashionably Modest Asia 2026 Bakal Berlangsung 13-15 November, Himpunkan Pereka Fesyen Asia Tenggara
Memahami Makna Modest Fashion
Sepanjang perjalanan kerjayanya, perspektif Inna terhadap fesyen modest turut berubah. Jika pada awalnya dia melihat konsep tersebut sekadar sebagai pakaian yang menutup aurat, pemahamannya semakin berkembang apabila mula mendalami hubungan antara Islam, identiti diri dan kesederhanaan.
Bagi Inna, kesederhanaan bukan hanya tentang cara seseorang menggayakan pakaian, tetapi turut melibatkan amalan harian termasuk tabiat membeli-belah dan pemilihan bahan yang digunakan.
“Kesederhanaan bukan hanya tentang bagaimana pakaian digayakan, tetapi juga bagaimana ia diamalkan dalam kehidupan seharian, daripada cara kita menggunakan sesuatu hinggalah kepada bahan yang digunakan untuk menghasilkan pakaian,” jelasnya.
Dokumentari Buka Mata Tentang Fesyen Lestari

Kesedaran Inna terhadap fesyen lestari mula berkembang pada 2017 selepas menghadiri kelas antarabangsa di London dan menonton dokumentari The True Cost arahan Andrew Morgan.
Dokumentari tersebut membuka matanya tentang realiti di sebalik penghasilan pakaian, termasuk eksploitasi pekerja dan kesan amalan industri yang tidak bertanggungjawab terhadap masyarakat.
Sejak itu, Inna mula mempersoalkan jenis industri yang mahu diceburinya kerana tidak mahu hasil kerjanya menyumbang kepada eksploitasi dan penggunaan berlebihan.
Prinsip fesyen lestari tersebut turut diterapkan dalam kerjanya apabila dia memastikan kemahiran dan tenaga tukang jahit serta pembuat pakaian dihargai melalui bayaran yang sewajarnya.
Pendekatan itu diterjemahkan menerusi koleksi sulungnya, Persevering Prospects, yang dihasilkan pada 2021 ketika negara berdepan sekatan pergerakan akibat pandemik COVID-19.
Fesyen lestari ini diinspirasikan daripada filem bergenre distopia, khususnya francais The Hunger Games, koleksi tersebut mengetengahkan penggunaan material guna semula seperti kain telekung untuk lapisan dalam, kulit yang dibina semula serta fabrik poliester kitar semula.
Keterbatasan Ketika pandemik turut mendorongnya bereksperimen dengan bahan dan teknik jahitan menggunakan sumber yang tersedia. Baginya, kekurangan sumber bukan penghalang untuk berkarya, sebaliknya membuka ruang kepada idea dan pendekatan baharu.
Tidak Mengejar Trend, Sebaliknya Membina Identiti

Dalam industry fesyen yang sentiasa berubah, Inna mempunyai pendekatan tersendiri untuk mengekalkan identiti kreatifnya. Dia mengakui cuba mengehadkan pendedahan kepada terlalu banyak rujukan visual di internet kerana bimbang ia boleh mempengaruhi proses kreatif secara tidak sedar.
Sebaliknya, dia lebih gemar mendapatkan inspirasi daripada kenangan, pemerhatian peribadi, filem dan pengalaman hidup.
Baginya, keaslian tidak semestinya bermaksud menghasilkan sesuatu yang belum pernah wujud, tetapi bagaimana pengaruh sedia ada ditafsirkan semula melalui perspektif dan identiti seseorang.
Prinsip sama turut diterapkan dalam cara dia melihat pakaian. Inna percaya seseorang tidak memerlukan almari yang dipenuhi pelbagai koleksi untuk kelihatan menarik kerana gaya peribadi lebih bermakna daripada sentiasa mengejar trend.
Malah, dia bersyukur apabila pendekatan tersebut mula mempengaruhi orang sekeliling, termasuk kakaknya yang kini lebih berhati-hati ketika membeli pakaian, memilih pakaian terpakai dan menghargai setiap pembelian.
Fesyen Juga Tentang Membina Keyakinan Wanita
Bagi Inna, tugas seorang penata gaya bukan sekadar memastikan seseorang kelihatan menarik, tetapi turut membantu mereka berasa selesa dan yakin dengan penampilan sendiri.
Pengalamannya bekerjasama dengan kru wanita sepenuhnya untuk Fashionably Modest Asia tahun lalu menjadi antara kenangan bermakna apabila dia berpeluang membuka ruang kepada wanita daripada pelbagai latar belakang termasuk ibu, suri rumah, pekerja sambilan dan pekerja bebas untuk mengetengahkan kebolehan masing-masing.
“Apabila kita saling mengangkat dan memperkasakan antara satu sama lain, keyakinan itu bukan sahaja berkembang dalam diri sendiri, malah mampu memberi inspirasi kepada orang lain untuk mengenali potensi mereka,” ujarnya.
Impian Meneroka Dunia Perfileman Malaysia
Walaupun sudah membina ruang tersendiri dalam industri fesyen, Inna masih menyimpan hasrat untuk meneroka bidang reka bentuk kostum dalam industri perfileman Malaysia.
Anda mungkin berminat dengan
Baginya, pakaian memainkan peranan penting dalam penceritaan sesebuah filem kerana setiap perincian mampu menggambarkan karakter, latar geografi dan suasana zaman yang ingin dipaparkan.
Antara filem tempatan yang dikaguminya ialah Puteri Gunung Ledang kerana ketelitian kostum daripada pemilihan fabrik dan potongan pakaian hinggalah pengaruh budaya serta sejarah.
Mengakhiri perkongsian, Inna menitipkan pesanan ringkas buat wanita yang masih mencari keberanian untuk mencuba sesuatu di luar kebiasaan.
“Trust your intuition.“
Sebagai seorang Muslim, dia percaya Allah sedang menyusun perjalanan setiap hamba-Nya dengan indah melalui niat dan doa yang dipanjatkan. Baginya, tidak salah untuk terus meneroka peluang baharu dan mencipta laluan sendiri selagi berpegang pada niat serta kepercayaan diri.
Saksikan Inna Ddin Dan Jeff Yeong Di Pentas Fashionably Modest Asia

Buat peminat fesyen, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan kreativiti Inna Ddin di pentas runway Fashionably Modest Asia.
Menariknya, Mingguan Wanita turut membawakan Inna Ddin bersama Jeff Yeong untuk mempersembahkan sentuhan dan identiti rekaan masing-masing dalam acara berkenaan.
Saksikan sendiri keunikan karya mereka di pentas fesyen dan nantikan pengalaman yang pastinya menarik buat pencinta dunia fesyen!

download sekarang!
