Erra Fazira selamat bergelar isteri Mr E, terima mas kahwin sepokok bunga emas seberat 102 gram. Pelakon dan penyanyi, Erra Fazira sebentar tadi selamat bergelar isteri kepada usahawan Ezwan Zain.
Memilih keberkatan hari Jumaat, penghulu segala hari serta tarikh menarik 12.12.2025, dengan sekali lafaz tepat jam 9,19 pagi tadi, dirinya kembali bergelar isteri selepas 10 tahun hidup sendirian.
Pasangan ini sah bergelar suami isteri pada jam 9.19 pagi tadi
Penyatuan pasangan ini berlangsung di Rinjani Majestic, Kampung Melayu Subang, Shah Alam, Selangor.
Pasangan ini dinikahkan oleh jurunikah Penolong Pendaftar Perkahwinan, Majlis Agama Islam Selangor, Mohd Sabirin Noordin.
Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek tampil anggun mengenakan rona serba biru muda rekaan Rizman Ruzaini. Seri pengantin terpancar di wajah primadona tanahair ini tatkala melangkah masuk ke dewan pernikahan diiringi anak tunggalnya, Engku Aleesya Engku Emran, 16 tahun yang mengenakan persalinan rona putih.
Ads
Erra Fazira diiringi anak tunggalnya, Engku Aleesya di hari bahagianya
Menerima mas kahwin iaitu 24 dinar emas yang dibentuk menjadi sepokok bunga seberat 102 gram, kedua pasangan ini mengukir senyuman manis tatkala selamat bergelar suami isteri.
Sesuatu yang berbeza, pasangan ini meletakkan kesemua barang hantaran dalam satu talam, berbeza dengan pernikahan biasa yang mana barang hantaran diletakkan dalam bekas berbeza.
Ads
Antara lain kata Erra Fazira, dirinya mahukan sesuatu yang ringkas dan praktikal memandangkan persiapan majlis juga agak suntuk.
“Selalunya orang (pengantin) buat lima berbalas tujuh dulang hantaran. Ada juga tujuh berbalas sembilan dulang.
Ads
“Tetapi kali ini kami nak buat kelainan sikit, tak payah nak pening-pening, tak perlu nak ada dayang-dayang bawa dulang hantaran, kita satukan semua dalam talam saja. Satu dulang tetapi dulang yang agak besar boleh masukkan semua barang hantaran,” katanya.
Antara yang menjadi tumpuan pada pernikahan Erra Fazira ialah barang-barang hantaran seperti tas tangan berjenama mewah, jam tangan, kasut serta barangan kemas yang diletak di dalam talam sebagai hantaran perkahwinan.
Barang hantaran mewah yang menjadi tumpuan ramai tetamu diterima Erra pada hari pernikahannya.
Majlis diadakan secara tertutup di mana mana tema putih menjadi pilahan pasangan ini dan ianya dihadiri oleh ahli keluarga, rakan rapat serta pihak media sahaja. Sekadar info, ini adalah perkahwinan ketiga buat Erra Fazira dan kedua buat Ezwan Zain.
Berbeza usia sekitar tujuh tahun di mana Ezwan berusia 44 tahun dan merupakan pemilik Kueh Cafe, kisah cinta mereka menjadi tumpuan pada tahun ini sebelum keduanya mengikat tali perhubungan sebagai suami isteri. Di doakan agar pasangan pengantin till jannah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ismanira kekal di penjara bersalah abai Zayn Rayyan, mahkamah tolak penangguhan hukuman. Permohonan Ismanira Abdul Manaf yang mahu menangguhkan hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah mengabaikan anak sulungnya, Zayn Rayyan ditolak oleh Mahkamah Tinggi hari ini.
Keputusan menolak hukuman penangguhan dibacakan oleh Hakim Datuk Aslam Zainuddin selepas mengambil dan meneliti beberapa alasan yang dikemukakan kedua-dua pihak pendakwaan serta peguam bela.
“Selepas meneliti afidavit pemohon dan responden, juga hujahan bertulis kedua-dua pihak termasuk mendengar hujahan lisan, mahkamah membuat keputusan bahawa permohonan untuk penangguhan hukuman ditolak.
“Mahkamah mendapati tiada keadaan khas untuk membenarkannya (penangguhan hukuman),” katanya.
Pada 19 November lalu, Ismanira memfailkan permohonan bagi menangguhkan hukuman penjara atas kesalahan mengabaikan anak lelakinya itu.
Sebelum ini, ibu kepada dua anak autisme ini dijatuhkan hukuman lima tahun penjara oleh Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Hakim Dr Syahliza Warnoh atas pengabaian terhadap anak kandung sendiri.
Keputusan dibuat selepas peguam bela mewakili Ismanira gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
Beliau memerintahkan Ismanira menjalani hukuman di Penjara Wanita Kajang bermula 31 Oktober lalu, selain menandatangani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin dan cagaran RM3,000.
Ismanira turut diarah menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Mengikut pertuduhan pindaan Ismanira sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya Zayn Rayyan yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartment berkenaan antara 12 tengah hari, 5 Disember dan jam 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Pendakwaan kes dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
“Aifat sempat mengucap di hadapan saya sebelum menghembuskan nafas terakhir.”
Demikian luahan penuh sebak Ahmad Hamada Ayueman, 29, suami kepada seorang wanita penghidap kanser yang disahkan meninggal dunia pada awal pagi tadi selepas mengalami sesak nafas.
Menurut Ahmad Hamada, isterinya Siti Nuraifat Bueraheng, 25, yang lebih dikenali sebagai Aifat, menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
“Isteri tercinta bidadari saya telah kembali ke rahmatullah. Semoga Allah mengampunkan dosanya, merahmatinya dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.
Mengimbau detik-detik akhir bersama arwah, Ahmad Hamada berkata, saat itu masih segar dalam ingatannya apabila isterinya tetap menghadiahkan senyuman walaupun berada dalam keadaan sangat sukar bernafas.
“Ketika saya sampai di zon merah kecemasan, dia nampak sangat letih dan nafasnya pendek-pendek. Tapi dia masih pandang saya dan senyum. Itu senyuman paling perit pernah saya lihat,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa Allahyarhamah sebenarnya telah mengetahui tentang tahap penyakit yang dihidapinya dan sedar bahawa jangka hayatnya semakin singkat.
“Dia cakap perlahan, katanya doktor beritahu hidupnya tak lama. Masa itu hati saya hancur. Saya sebenarnya tahu lebih awal, tapi saya tak pernah sanggup beritahu dia,” katanya.
Ahmad Hamada berkata, dalam keadaan menahan emosi, beliau cuba menenangkan isterinya dengan mengingatkan bahawa soal hidup dan mati adalah ketentuan Allah SWT.
“Saya genggam tangan dia dan cakap, itu kata doktor, bukan penentuan Allah. Kita ini hamba, hidup dan mati semuanya di tangan-Nya,” ujarnya.
Menurutnya lagi, selepas doktor memberikan suntikan morfin bagi mengurangkan kesakitan, beliau setia duduk di sisi isterinya sambil membaca surah Yasin serta beberapa ayat al-Quran sekadar yang mampu dilafazkan ketika itu.
“Itu sahaja yang saya mampu buat ketika itu. Bukan untuk tunjuk apa-apa, cuma itulah satu-satunya harapan yang saya ada,” katanya.
Tidak lama selepas itu, beliau dimaklumkan oleh doktor mengenai perkembangan terkini keadaan isterinya.
“Waktu itu saya sedar, ujian ini bukan lagi soal kuat atau tidak, tetapi sejauh mana kita benar-benar berserah kepada takdir Allah,” katanya.
Menurut Ahmad Hamada, solat jenazah arwah dijadualkan dilaksanakan selepas solat Asar hari ini di Masjid Tok Guru, Bukit Cina, Kelantan.
Terdahulu media pernah melaporkan pengorbanan Ahmad Hamada yang sanggup menjual hampir semua barangan peribadi termasuk sebuah kereta BMW demi mengumpul dana rawatan isterinya yang menghidap kanser sarcoma tisu lutut tahap empat sejak tahun lalu.
Penderitaan arwah bermula apabila beliau mengalami pembengkakan kecil di bahagian lutut kanan selepas terlibat dalam kemalangan motosikal pada tahun 2021, setahun sebelum pasangan tersebut mendirikan rumah tangga.
Kisah Aifat menyentuh hati ramai kerana perjuangannya melawan kanser sarcoma berlangsung dalam keadaan yang sangat mencabar. Penyakit ini antara kanser tisu yang paling agresif, menyebabkan kesakitan berpanjangan dan perubahan besar kepada kualiti hidup. Dalam situasi seperti ini, sokongan keluarga memainkan peranan besar, dan bagi Aifat, suaminya menjadi sumber kekuatan sehingga ke akhir hayat.
Kanser sarcoma tahap empat selalunya memberi simptom yang semakin teruk dari semasa ke semasa, termasuk keletihan melampau, kesukaran bergerak serta sesak nafas seperti yang dialami arwah pada hari terakhirnya. Inilah antara faktor yang memerlukan rawatan kecemasan secepat mungkin.
Kisah perjuangan Ahmad Hamada menjaga isterinya pernah tular sebelum ini apabila beliau sanggup menjual kereta BMW serta barangan peribadi lain demi membiayai rawatan isterinya. Tindakannya bukan sekadar pengorbanan material, tetapi simbol kesetiaan dan cinta yang luar biasa terhadap wanita yang digelar bidadarinya.
Sepanjang rawatan, beliau sentiasa berada di sisi isterinya dan tidak pernah memberi peluang kepada Aifat merasa berjuang seorang diri. Ramai yang mengikuti perjalanan mereka menyifatkan hubungan ini sebagai contoh ketabahan dan pengorbanan dalam sebuah perkahwinan.
Kisah ini turut membuka mata masyarakat tentang bahaya kanser sarcoma yang masih kurang dikenali berbanding jenis kanser lain. Penyakit ini sering dikesan lewat kerana simptomnya mirip kecederaan biasa seperti bengkak atau sakit tisu. Kes seperti Aifat menunjukkan pentingnya pemeriksaan awal terutama selepas kecederaan yang berlarutan.
Bagi masyarakat, kisah ini menjadi peringatan bahawa sokongan emosi kepada pesakit kanser sangat penting. Setiap pesakit memerlukan kekuatan mental dan rohani, selain rawatan perubatan.
Aifat meninggalkan kisah perjuangan yang penuh ketabahan serta suami yang setia sehingga ke akhir hayatnya. Bagi ramai yang mengikuti perjalanan mereka, kisah ini bukan hanya tragedi, tetapi juga cerminan cinta, iman dan redha terhadap ketentuan Allah SWT.
Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman, serta semoga suaminya terus diberi kekuatan dalam menempuh kehidupan mendatang.
Tiada nikmat yang lebih besar bagi seorang suami selain melihat isteri yang diuji dengan kesakitan kembali sihat dan mampu menjalani kehidupan seperti sediakala. Demi harapan itu, seorang lelaki sanggup melakukan apa sahaja, termasuk mengorbankan harta yang dimiliki. Begitulah pengorbanan yang dilakukan oleh Ahmad Hamada Ayueman, 29, apabila berdepan ujian besar dalam rumah tangganya apabila isterinya disahkan menghidap kanser.
Kisah isteri derita kanser ini menyentuh hati ramai apabila Ahmad Hamada tanpa ragu-ragu menjual barangan peribadinya satu demi satu demi menampung kos rawatan isterinya, Siti Nuraifat Bueraheng, 25, atau lebih dikenali sebagai Aifat. Wanita itu disahkan menghidap kanser sarcoma tisu lutut tahap empat sejak tahun lalu.
“Saya tidak suka berhutang. Jadi saya jual apa yang ada termasuk emas. Sekarang, saya sedang berusaha menjual kereta BMW e90 untuk menampung rawatan isteri tercinta,” katanya dengan nada tenang, namun sarat dengan pengorbanan yang sukar digambarkan.
Bagi Ahmad Hamada, harta benda tidak lagi menjadi keutamaan apabila nyawa dan kesihatan isterinya menjadi taruhan. Apa sahaja yang mampu dijual, akan dilepaskan asalkan rawatan dapat diteruskan dan isterinya diberi peluang untuk terus hidup.
Menurut Ahmad Hamada, masalah kesihatan isterinya bermula apabila Aifat mengalami bengkak kecil di lutut kanan selepas terlibat dalam kemalangan motosikal pada tahun 2021, iaitu setahun sebelum mereka mendirikan rumah tangga.
“Tengok macam biasa, laporan X-ray pun tiada yang patah atau retak. Aifat kuat orangnya, dia cuma berurut. Tapi lama-kelamaan bengkak itu semakin besar dan sakit,” katanya.
Selepas berkahwin, perasaan tidak sedap hati membuatkan Ahmad Hamada membawa isterinya ke sebuah hospital swasta. Namun begitu, doktor masih tidak dapat mengenal pasti punca sebenar bengkak tersebut pada peringkat awal.
Pemeriksaan lanjut yang dilakukan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akhirnya mengesahkan bahawa Aifat menghidap kanser. Sejak itu, kehidupan pasangan muda ini berubah sepenuhnya. Kisah isteri derita kanser ini menjadi realiti pahit yang terpaksa mereka hadapi setiap hari.
Sehingga kini, kos rawatan yang perlu ditanggung sudah mencecah puluhan ribu ringgit. Ia melibatkan pembedahan lutut, pemeriksaan MRI, rawatan susulan serta keperluan harian seperti lampin pakai buang kerana keadaan Aifat yang semakin lemah dan sukar bergerak.
Keadaan kesihatan Aifat yang semakin merosot memberi kesan besar kepada kehidupan mereka sekeluarga. Ahmad Hamada terpaksa membuat keputusan berat untuk berhenti kerja di sebuah restoran demi memberi sepenuh perhatian kepada isterinya yang kini terlantar.
Baginya, tanggungjawab sebagai suami bukan sekadar menyediakan keperluan kewangan, tetapi juga memastikan isterinya dijaga dengan penuh kasih sayang walaupun diuji dengan penyakit yang berat.
Sejak rawatan awal di HKL sebelum dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) tahun lalu, pelbagai permohonan bantuan telah dibuat termasuk kepada Majlis Kanser Nasional. Namun sehingga hari ini, mereka masih belum menerima sebarang bantuan kewangan yang dapat meringankan beban.
“Sejak dari awal rawatan sehinggalah keadaan Aifat makin tenat hari ini, masih belum ada rezeki untuk kami. Saya faham mungkin faktor isteri saya orang luar dari Thailand, tetapi kami mempunyai sijil nikah yang sah di negara ini,” katanya.
Tambahnya lagi, Aifat juga mempunyai permit visa untuk mengikut suami selama empat tahun. Kisah isteri derita kanser ini jelas memperlihatkan betapa beratnya ujian yang perlu ditanggung oleh pasangan tersebut.
Dengan nada sebak, Ahmad Hamada merayu kepada orang ramai yang mungkin mengetahui sebarang saluran bantuan agar dapat berkongsi maklumat. Dia menegaskan tidak akan menyerah selagi isterinya masih bernafas dan akan terus berjuang demi insan yang dicintainya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Maybank milik Ahmad Hamada Ayueman bernombor 5640 9852 5536. Setiap sumbangan amat bermakna dalam membantu meringankan beban kos rawatan dan keperluan harian isterinya.
Kisah isteri derita kanser ini bukan sekadar tentang penyakit, tetapi tentang kasih sayang, pengorbanan dan kekuatan seorang suami yang sanggup kehilangan segalanya demi melihat isterinya terus hidup.