Berbelanja zaman sekarang memang kena bijak. Suri rumah terutamanya yang bergantung kepada duit belanja daripada suami memang pening kepala setiap kali berbelanja membeli barang dapur.
Kadang-kadang anak-anak meminta nak makan itu dan ini, tetapi sebagai kepala rumah tangga, ibu akan sebaik mungkin pastikan duit yang diberikan suami mencukupi dan semua isi rumah dapat makan setiap hari.
Jika mak-mak dapat suami yang memahami, alhamdulillah. Kalau suami yang jenis berkira dan menyoal itu dan ini setiap kali minta duit untuk beli barang dapur, memang sakit kepala.
Rutin Sabtu dan Ahad… “Ayang, barang apa dah habis? Nak beli ikan atau ayam ke? Jom abang bawak” Setiap hujung minggu, mesti akan bawa wife beli barang-barang keperluan yang dia nak… 100 peratus perbelanjaan ke atas barang-barang tersebut datang dari dompet suami.
Barang-barang makan baik mentah atau kering, itu tanggungjawab suami. Ianya ada di bawah terma memberi makan dan minum kepada isteri dan anak-anak.
Ads
Bawa beli ikan, ayam, sayur, buah, apa yang dia senaraikan, kita yang jadi suami kena beli.
Semua tu bukan masuk perut dia dan anak-anak sahaja, masuk perut kita juga. Kalau bagi RM 100 untuk dia beli, make sure RM 100 itu hanya untuk barangan yang dia nak beli. Ada suami bagi RM 100, tetapi dalam nilai itu jugalah minyak kereta, duit belanja anak sekolah dan lain-lain lagi.
Tinggal berapa baki yang isteri boleh guna?
Ads
Kalau selalu teman isteri beli barang-barang, kita akan tahu berapa harga barang. Kadang-kadang nilai yang kita bagi itu sebenarnya tidak mencukupi, tetapi isteri ini bijak, dia adjust bagi cukup. Ikan mahal dia tak ambik, dia ambik ikan biasa-biasa, udang, sotong, ketam, mungkin minggu gaji sahaja boleh beli. Time suami tengah bulan, dia tak beli.
Isteri Cekap Berbelanja
Mana ada isteri yang jenis tak fikir sebelum berbelanja. Kalau bagi RM 50, dia belanja cara RM 50. Suami bagi RM 100, dia belanja cara RM 100. Tak pesan suruh jimat pun, dia akan jimat. Dia akan bagi balik duit lebih walaupun seringgit.
Esok Isnin, sebelum pergi kerja, buka beg duit dia, letak RM 50. Bukan duit untuk beli barang lagi, tetapi duit belanja. Duit belanja ini 100 peratus atas suami, berapa yang suami nak bagi. Mungkin ada benda-benda selain dari barang-barang keperluan rumah yang dia nak beli. Mungkin dia nak singgah kedai ECO lepas ambik anak sekolah.
Macam itulah cara hidup dalam alam rumah tangga. Tanggungjawab adalah perkara utama daripada perkara-perkara yang lain. Tunaikan semua ini dahulu, bagi hak yang sepatutnya isteri dan anak-anak dapat. Selebihnya, Allah SWT yang akan mencukupkan rezeki si suami. No doubt about it.
MW: Oleh itu, suami sepatutnya fahami tanggungjawab anda dalam memberikan nafkah zahir serta perbelanjaan isteri. Nafkah zahir dan duit belanja sememangnya tak sama ye. Jadi berhati-hati kerana segalanya adalah tanggungjawab dan amanah buat anda wahai suami.
Dua kali wanita ini, Aziah Ismail bergelar ibu tunggal. Perkahwinan pertamanya tidak bertahan lama, atas sebab-sebab tertentu dia dan bekas suaminya memilih untuk berpisah. Hasil perkahwinan pertama itu, beliau dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Nur Salman Farizzi yang kini sudah pun berusia 17 tahun.
Setelah 12 tahun menggalas tanggungjawab selaku ibu tunggal, tidak pernah terlintas di benak Aziah untuk kembali berumah tangga. Wanita ini tidak menyangka dia kembali berstatus sebagai seorang isteri apabila kembali bertemu jodoh dengan suami keduanya, Mohd Taufiq Mustafa. Mereka kemudian diijabkabulkan pada 6 September 2013.
Dikurniakan seorang suami yang menenangkan hati, prihatin, penyayang, menerima anak sulungnya seperti darah daging sendiri menjadikan hidupnya diulit bahagia. Panas yang disangka bakal berpanjangan, hadir di tengah harinya badai musibah yang menguji. Siapa sangka suami yang tampak sihat dan tidak pernah mengalami masalah kesihatan serius, tiba-tiba diserang sakit dada tanpa sebab munasabah.
Menurut Aziah, ketika usia perkahwinannya menginjak ke angka enam tahun, pasangan ini dikurniakan seorang anak perempuan dan hamil anak ke dua berusia tujuh bulan. Belum pun sempat melahirkan anak ke dua, suaminya pula berhijrah selamanya ke alam abadi.
“Siapa yang tak terkejut, dia seorang yang sihat dan tidak merokok. Suami juga tidak pernah mengalami sakit serius yang mengakibatkan dia perlu dimasukkan ke wad untuk tempoh yang lama. Pada mulanya doktor memaklumkan, suami menunjukkan tanda-tanda batuk kering. Saya juga dimaklumkan sekali lagi oleh doktor, suami dirawat dengan menggunakan ubat-ubatan bagi memerangi kuman tibi.
“Ketika itu saya sedang sarat hamil anak ke dua, ujian ini benar-benar menguji kekuatan dan mental saya. Setelah beberapa rawatan susulan di hospital swasta, atas rujukan dan nasihat beberapa orang terdekat…saya membawa suami mendapatkan pemeriksaan lanjut ke hospital kerajaan. Apa yang mengejutkan, selama ini saya diyakinkan oleh pakar perubatan suami saya mengalami tibi, punya peluang untuk sembuh tetapi mengambil sedikit masa.
“Menggunung harapan disandarkan kepada suami. Saya sentiasa bisikan di telinga suami, kuatlah demi saya dan anak-anak termasuk anak dalam kandungan ini. Saya mengharapkan suami kembali pulih dan dapat menemani saya melahirkan zuriat keduanya kelak. Tetapi impian saya musnah sebaik doktor mengesahkan suami saya bukan mengalami penyakit batuk kering, sebaliknya disahkan sedang mengalami kanser paru-paru dan di tahap empat,”kongsinya dengan getar suara hiba.
Khabar ini amat sukar dihadam Aziah. Apa yang menyedihkan dan merisaukan sejauh mana masa yang bersisa untuk suaminya terus bertahan. Doktor memberi sela masa sekitar tiga ke enam bulan. Sebaliknya tanpa sempat menyusahkan si isteri menjaganya, kondisi Taufiq kian merosot. Akhirnya lelaki itu kembali ke pangkuan Illahi setelah enam hari disahkan kanser paru-paru.
“Dia bekerja dalam bidang oil and gas. Walaupun rutin kerjanya sibuk, dia suami yang amat menyantuni isteri. Sebaik dia tiba di perkarangan rumah, perkara pertama yang akan dilakukan adalah menyapu dan membersihkan laman rumah. Kemudian dia akan angkat kain di ampaian, dan tanpa disuruh dia akan mula membantu saya mengemas rumah walaupun hakikatnya kita tahu dia baru balik kerja, tentunya dia pun penat.
“Sepeninggalannya ke tempat kerja, saya akan mengambil upah katering bergantung kepada tempahan pelanggan. Lazimnya saya siapkan tempahan itu sendirian. Memori paling sukar nak dilupakan adalah cara dia menenangkan dan menghargai saya. Dengan penuh kasih sayang dia akan mengelap peluh di dahi saya, sambal mengucapkan kata-kata terima kasih kerana sanggup bersusah payah bersamanya.
“Selalu dia ucapkan pada saya yang saya takkan bersusah-susah selamanya…dia akan bahagiakan saya seadanya. Dia suami yang baik, lemah lembut tutur kata, bagaimana dia menjaga tutur katanya dengan ibunya…begitulah dia menyantuni saya. Anak sulung saya dilayan sebaiknya macam darah dagingnya. Pada orang yang bertanya, dia menerangkan anak sulung saya anak sulung kami berdua. Tidak ada istilah anak tiri buatnya.
“Dia juga merupakan anak tunggal, kematian bapa ketika usianya masih lagi bayi. Pemergiannya secara tiba-tiba, tanpa menyusahkan saya…benar-benar meninggalkan kesan mendalam buat saya dan ibunya. Seperti mana janjinya pada saya, anak-anak dan ibunya…Alhamdulillah segala kebajikan kami dan keperluan kami dijaga baik walaupun dia sudah tiada,”kongsi Aziah tentang sisi istimewa suaminya yang di rindui.
Usai pemergian suami, tibalah masa dirinya melahirkan zuriat kedua. Jika sebelum ini kelahiran puteri pertama, Sarah Aleesya diiringi suami tercinta, kali ini hanya baju peninggalan arwah suami menjadi penemannya berjuang di kamar bersalin.
“Sedih, rindu dan sayu menjadi emosi yang bermain di fikiran ketika saya perlu berjuang sendirian di bilik bersalin. Tidak ada lagi suami yang menemani. Hanya memori dan baju peninggalan arwah menjadi peneman saya. Atas izin doktor saya membawa baju arwah dan doktor sedia maklum kondisi saya yang baru kehilangan suami. Alhamdulillah, saya berjaya melahirkan zuriat ke dua kami, anak lelaki. Saya namakan anak ini dengan nama pilihan arwah iaitu Muhammad Gibran Umar yang lahir dengan sempurna pada 13 Mac 2019.
“Sebenarnya anak ke dua ini, rezeki tak diduga. Sepanjang kehamilan ke dua saya tidak mengalami sebarang alahan berbanding kehamilan sebelum ini. Suami pernah berkata, anak ini menjadi pengikat kasih kami berdua. Benarlah, anak ini menjadi pengganti dirinya. Ketika sedang berjuang melahirkan Gibran, hanya zikir dan doa menjadi kekuatan diri. Saya pujuk diri dan sentiasa bisikan La Tahzan…Innallaha Ma’ana, yang bermaksud “Janganlah Engkau Bersedih, Sesungguhnya Allah Bersama Kita” sebagai penguat hati.
“Sebaik melahirkan anak kami, saya kemudian di tempatkan di wad sebelum di benarkan keluar. Sepanjang menetap di wad tersebut, saya akan menarik tabir di antara katil saya dengan katil di hadapan terutamanya apabila suaminya datang melawat. Saya tidak ada suami yang akan datang melawat, perasaan itu sukar digambarkan. Saya hilang tempat mengadu, meluah apa sahaja perasaan dan berkongsi rasa. Sejujurnya, sebagai seorang isteri yang kehilangan suami, pesan saya…hargailah momen istimewa semasa anda masih punya suami. Layanlah dia sebaiknya, hargai segala perih jerihnya dan bahagiakanlah dia semampunya.
“Bila rindu datang…sesekali saya akan menziarahi kuburannya. Bersama anak-anak. Sarah seperti biasa akan mengucup nisan ayahnya, setiap kali datang dan sebelum kami berangkat pulang. Ada waktunya saya menghantar mesej ke nombor telefonnya, mengemas kini khabar terkini kami.
“Ya saya tahu, mustahil untuk dia membalasnya. Sebaliknya ia satu medium untuk saya meredakan rasa rindu tak bertepi terhadapnya. Buat arwah suami, terima kasih melayan saya umpama puteri sepanjang enam tahun yang manis. Semoga Allah terus menitipkan kekuatan demi anak-anak dan ibu mertua,” kongsi dengan Mingguan Wanita yang masih lagi menyesuaikan diri dengan kehidupan baru tanpa suaminya di sisi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Keluarga desak bercerai sedangkan pasangan tersebut tidak terlintas pun nak bercerai! Bukan sedikit rumah tangga yang punah dan hancur akibat campur tangan daripada pihak keluarga si isteri atau si suami.
Wanita ini misalnya, telah menghantar e-mel untuk meminta pandangan dan nasihat daripada puan Hajah Maimunah Hj Mohamad, Kaunselor dan juga penulis ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan Wanita, berkenaan masalah yang sedang dihadapinya. Ikuti luahan hatinya.
Saya seorang isteri muda, berusia 27 tahun. Terus terang, saya seorang gadis yang agak liar ketika remaja. Mungkin kerana saya terlalu dimanjakan oleh mama dan papa. Maklumlah, saya anak perempuan tunggal dalam keluarga dan saya memiliki tiga orang abang.
Langkah saya makin panjang bila masuk ke IPT. Tinggal berjauhan daripada keluarga membuatkan saya makin bebas. Cuma sejahat saya, tak pernah minum arak dan ambil dadah.
Ketika di tahun tiga, saya mula serius dengan seorang jejaka satu universiti, S. Orangnya memang tampan dan saya rasa bertuah kerana dapat takluki hatinya. Saya sanggup menyerahkan kehormatan saya padanya. Timbul penyesalan selepas itu namun S pandai memujuk dan berjanji akan mengahwini saya kelak.
Tuhan masih sayangkan saya dan tidak mahu saya terjebak dengan lebih teruk dalam dalam lembah maksiat. Saya mengandung dan ia satu tamparan sangat hebat bagi diri saya. Yang buat saya makin hilang arah tujuan, bila S tiba-tiba menghilangkan diri dan rupanya dia menyambung pelajaran ke luar negara. Saya tahu itu cara dia nak lepaskan diri.
Saya sangat terpukul bila dibuang begitu saja oleh S. Nak tak nak, saya terpaksa berterus terang dengan keluarga kerana saya sangat buntu. Papa hampir bunuh saya malam itu namun sempat ditenangkan oleh abang-abang saya dan mama.
Dalam masa yang sama, saya ada seorang abang angkat, M, yang bekerja di sebuah jabatan kerajaan. M abang angkat saya sejak di sekolah menengah lagi. Fb menemukan kami kembali dan sejak itu sering juga kami berhubung.
Dengannya saya boleh bercerita apa saja dan dia tak pernah pandang rendah pada saya walau pun saya liar. Bahkan sentiasa cuba menasihati saya dengan lemah lembut.
Bila saya ceritakan keadaan diri pada M, dia rela memperisterikan saya demi menjaga maruah saya. Puan, saya sangat terkejut dan tak bersetuju. Tapi dia sanggup datang berjumpa keluarga dan melamar saya. Akhirnya saya menerima M apabila didesak keluarga yang ingin tutup malu.
Majlis diteruskan walau pun seminggu sebelum pernikahan, saya keguguran. Ketika itu, keluarga saya minta saya batalkan pernikahan itu tapi saya berkeras untuk teruskan kerana saya tak sanggup memalukan lelaki sebaik M dan keluarganya.
Ternyata, saya sangat bahagia selepas berkahwin dengan M walau pun saya rasa diri saya tak layak untuk lelaki sebaiknya. Sebab itu saya tekad untuk berubah menjadi wanita dan isteri terbaik untuk dirinya. Dia juga membimbing saya untuk dekatkan diri dengan Allah.
Namun yang menyedihkan, keluarga saya tak habis-habis minta saya minta cerai daripada M. Katanya saya akan dapat lelaki yang lebih kaya, apatah lagi saya kini berjawatan tinggi daripada M.
Saya sedih dan marah dengan keluarga yang tak mengenang budi dan bersyukur. Mereka lupa, M yang ‘kutip’ saya dan sanggup terima keburukan saya. Apa yang patut saya lakukan puan?
Saya benar-benar sayangkan M. Dia terlalu baik untuk saya Saya tak tahu sampai bila saya mampu bertahan. Saya juga sedang hamil anak pertama kami selepas tiga tahun berkahwin. Lebih sedih keluarga minta saya gugurkan kandungan ini kerana mereka tak nak saya terus terikat dengan M!
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Alhamdulillah, syukur pada Allah. Dalam keadaan puan yang ditimpa musibah dek kerana lelaki dan juga kesilapan yang puan lakukan, masih ada insan bernama lelaki yang sudi menjadi “pak sanggup” untuk puan dan masa depan yang puan akan lalui.
Tidak ramai orang yang bernasib baik kerana kebanyakan lelaki banyak pilihan untuk mencari jodoh yang terbaik buat mereka. Namun puan dikurniakan lelaki yang sanggup menerima puan dalam keadaan yang kritikal yang juga boleh menjejaskan imejnya juga sebagai lelaki. Tetapi dia tetap menerima puan. Alangkah bertuahnya nasib puan…
Apabila seorang wanita itu berkahwin, maka semua ketaatan dan kesetiaannya hanyalah kepada suami, selagi suaminya menjalankan tanggungjawabnya terhadap Allah, Rasul dan ahli keluarganya.
Malah jika suami tidak mengizinkan berjumpa dengan ahli keluarga isteripun, si isteri perlu mentaatinya. Begitu tingginya penghormatan terhadap suami. Berbalik kepada suami puan, kalau suami sebaik yang puan katakan itu tidak ditaati, adakah wajar puan menjadi isterinya?
Adalah keterlaluan sehingga ahli keluarga menyuruh gugurkan kandungan. Puan harus punya prinsip hidup tersendiri. Cuba beri kesedaran kepada mereka, adakah apa yang mereka suruh itu dilarang oleh agama? Pastinya berdosa bukan? Tidak mentaati suami, tanpa sebab yang kuat untuk tidak taat, berdosa kan?
Tahukah puan, hampir 25% (mungkin lebih) masalah keruntuhan rumah tangga adalah berpunca daripada campur tangan ahli keluarga. Semasa saya menjalani praktikum selama 26 tahun yang lalu di sebuah pejabat agama, hampir 60 % masalah suami isteri diperkuatkan dengan campur tangan ahli keluarga yang menyebabkan mereka sukar untuk berbaik semula.
Justeru, puan perlu ada pendirian sendiri untuk tidak mengizinkan keluarga mencampuri hal puan suami isteri. Apatah lagi sehingga ke tahap mohon cerai daripada suami hanya kerana pendapatan yang rendah daripada puan.
Puan perlu bertegas bahawa keluarga tidak boleh mencampuri urusan puan dan suami. Dengan kata lain puan perlu ada pendirian bahawa puan ada kehidupan sendiri yang keluarga tidak boleh mencampurinya.
Kebergantungan puan kepada keluarga sendiri perlu dikurangkan dan puan sendiri perlu nyatakan bahawa puan telah ada kehidupan sendiri dan puan bahagia dengan kehidupan puan bersama suami.
Minta kepada keluarga agar jangan sekali-kali mencampuri urusan puan dan suami. Puan perlu bertegas, dan jika mereka masih mendesak, puan boleh beri beberapa syarat seperti puan tidak mahu pulang ke rumah keluarga jika mereka mengeluarkan lagi kenyataan suruh memohon cerai.
Jangan takut kehilangan ibu bapa hanya kerana desakan mereka untuk memohon cerai daripada suami. Mungkin puan boleh renggangkan hubungan buat semetara waktu dengan ahli keluarga jika mereka kerap mendesak puan untuk mohon cerai. Ketaatan puan kepada ibu bapa perlu ada selagi mana mereka taat kepada perintah Allah dan Rasul.
Puan perlu nyatakan secara berhikmah dan melayani keluarga dengan cara yang baik. Paparkan tingkahlaku dan akhlak puan yang sudah berubah sejak puan berkahwin dengan suami. Cara pakaian, adab, dan lain-lain yang ada perubahan pada diri puan perlu menunjukkan ke arah yang positif. Akhir sekali banyakkan berdoa agar ibu bapa puan lembut hatinya dan menerima puan suami isteri.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kebiasaannya waktu persekolahan anak-anak ada dua sesi, iaitu sekolah kebangsaan pada waktu pagi dan sekolah agama (KAFA) pada waktu petang. Penting anak-anak diberikan didikan seimbang akademik dan agama untuk keperluan mereka.
Namun terdapat segelintir mak ayah yang ‘tak sampai’ hati dan kasihankan anak-anak untuk ke sekolah KAFA. Memandangkan anak-anak telah melalui tempoh pembelajaran yang panjang di sekolah kebangsaan, serta risau anak penat dan tiada masa untuk berehat. Malah tambahan yuran dan buku-buku juga diperlukan untuk sekolah KAFA.
Boleh tak kalau tak hantar anak ke KAFA (sekolah agama petang)?
KESIAN anak PENAT, balik Sek Keb pukul 1 tengahari.Pukul 2.30 petang dah kena ada di KAFA sehingga jam 5.45 petang.Bila MASA anak nak REHAT, buat kerja sekolah dan lain-lain.
Tak payah nak KESIAN (manjakan) anak..
Sebaliknya, KESIANkan diri kita sebagai Ibu Bapa, jika kita MENINGGAL kelak..
Anak kita JAHIL ilmu Agama.
Tak kenal 20 SIFAT WAJIB Allah.
Tak tahu BERIMAN kepada Hari Kiamat, Qada’ & Qadar.
Tak tahu 7 jenis air MUTLAK.
Silibus KAFA pun tak berat mana.Buku Teks pun nipis je.
Anak bawa beg kecik/ringan je pergi KAFA.
Jangan risaukan ‘BATERI’ anak. Kalau pemakanan mereka betul, memang tahan lama ‘bateri’ mereka, tak mudah penat atau mengantuk.
Macam mana pula dengan bayaran/YURAN?
Anak ramai, nak sediakan keperluan Sek Keb, lepas tu KAFA lagi.
Pengalaman saya, PENDAFTARAN KAFA dalam RM 100-200 seorang anak, untuk BUKU dan yuran.Bulanan hanya RM 20.
Teringat kata-kata seorang Ustaz dalam kuliahnya.JANGAN BERKIRA nak hantar anak belajar ILMU AGAMA. Orang kita, sanggup hantar anak tuisyen berpuluh/beratus RM..Tapi hantar KAFA RM 20 sebulan atau upah Guru Mengaji 2 angka sebulan.Kita rasa BERAT sangat.
Kita niatkan DUIT kita hantar anak belajar agama sebagai JIHAD.
Mudah-mudahan, Allah permudahkan/permurahkan REZEKI kita.
Saya bukan USTAZAH..Saya tak pernah (tak sempat) sekolah KAFA.
Saya tak banyak ilmu agama.Maka, saya nak anak-anak saya bukan sahaja dapat ILMU DUNIA.. tapi juga ILMU AKHIRAT yang mungkin saya sendiri tak boleh bagi.
Sekian perkongsian untuk yang pernah tertanya atau sedang buat keputusan nak masukkan anak ke KAFA.
Saya TAK KECAM ibu bapa yg tak hantar anak ke KAFA.Saya sekadar nak kongsikan, apa yang saya NAMPAK hasil daripada anak belajar di KAFA.
Anas (7 tahun) cakap, HARAM pegang perempuan. Anas pernah tanya, apa itu air MUTLAK, bersuci, Qubul dan Dubur.Semua itu, katanya cikgu ajar di KAFA.
Apabila saya belek buku Teks Darjah 1 KAFA Anas; Feqah, Akhlak, Tauhid. Ada je yang saya sendiri tak tahu atau terlupa/terlepas pandang perkara yang asas.Jadi, jangan hanya fikir, anak-anak hanya diajar SOLAT dan MENGAJI sahaja.
Seperkara lagi, anak-anak boleh MEMBACA dan MENULIS JAWI dengan LANCAR.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jadi buat mak ayah yang masih belum buat keputusan untuk menghantar anak ke sekolah KAFA kerana risaukan anak penat dan berkira-kira soal duit, semoga perkongsian ini dapat membuka mata. Biarlah anak penat sedikit, asalkan dapat ilmu yang seimbang di dunia dan akhirat.