Kisah dua beradik yang kehilangan kasih sayang ibu pada Mei lalu, diuji sekali lagi apabila bapa mereka pula ditemukan lemas di Sungai Pahang.
Dua Beradik Hilang Mak Ayah Tahun Yang Sama


Anak yatim piatu tersebut, Nurul Izni Zafirah Muhamed Hanifa, 17, dan adiknya, Muhamad Aif Izzuddin, 13, mendapat perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Nurul Izni Zafirah merupakan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Tualang, Temerloh, manakala Muhamad Aif Izzuddin pelajar tingkatan satu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Mersing, Johor dihubungi oleh Asyraf Wajdi dan perbualan tersebut turut dikongsikan di media sosialnya.
Dalam perbualan itu, Muhamad Aif Izzuddin memaklumkan, ibunya merupakan suri rumah dan meninggal dunia pada 25 Mei lalu susulan kanser paru-paru dan masalah buah pinggang, manakala bapanya bertugas sebagai polis bantuan di Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri, Temerloh.
Dapat Perhatian Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki


Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, Yayasan Pelajaran Mara (YPM) akan mengambil Nurul Izni Zafirah sebagai Anak Angkat YPM dan membantu kos pembelajarannya sehingga tamat pengajian.
“Kalau perlu kelas tambahan atau tuisyen khas, saya tanggung kos tersebut sampai SPM. Pastikan dapat yang terbaik untuk SPM dan lepas SPM, kita bantu dia,” katanya.
Beliau berkata, untuk Muhamad Aif Izzuddin yang sedang menuntut di MRSM Mersing, dia akan menerima Bantuan Budi bagi membantu keperluan persekolahannya.
“Saya akan minta supaya Aif dimasukkan untuk Bantuan Budi. Jadi akan ada duit poket. Bagitahu saja kalau ada masalah.
“Aif anggaplah saya sebagai ayah Aif sendiri,” katanya.
Asyraf Wajdi berkata, kehilangan ibu bapa pada usia masih muda bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui.
“Justeru, Mara akan memastikan kedua-dua adik beradik ini akan dibantu sehingga mereka berjaya tamat pengajiannya.
“Mudah-mudahan sedikit bantuan ini dapat meringankan beban dan memberi ruang kepada anak-anak Allahyarham untuk terus melangkah mengejar masa depan.
“Kita doakan agar Allahyarham Muhamed Hanifa ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh serta dikurniakan ketabahan buat anak-anak dan seluruh keluarga yang ditinggalkan,” katanya.
Sekadar info, seorang lelaki, Muhamed Hanifa Mammu, 47, yang terjatuh bot ketika memancing ikan di Sungai Pahang berhampiran Kampung Lebak Seberang di Temerloh kelmarin, ditemukan lemas.
Apa pun, semoga bantuan ini membuka rezeki dan jalan hidup yang lebih baik walau diuji kehilangan ibu bapa.