Berita Sosial

Dua Beradik Hilang Kaki Kanan, Bangkit Berniaga Cendol Demi Abah

Share

Dua beradik hilang kaki kanan tetapi semangatnya untuk bangkit langsung tidak pernah ‘patah’ malah semakin ‘menyala’ dalam bisnes. Inilah kisah yang tular di media sosial baru-baru ini, kehilangan kaki kanan bukanlah penamat, sebaliknya menjadi titik permulaan untuk mereka bangkit lebih kuat.

Dua Beradik Hilang Kaki Kanan

Kisah dua beradik, Nik Haziera Saffiya, 18, dan kakaknya, Nik Haznita Saffiya, 20, dari Kampung Seri Lebak melalui detik paling perit apabila motosikal yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori pada 7 Februari tahun lalu.

Akibat kecederaan yang terlalu parah, kedua-dua mereka terpaksa menjalani amputasi dan kehilangan kaki kanan.

Walaupun berdepan dugaan yang sangat berat, mereka enggan terus meratapi nasib. Sebaliknya, kedua-duanya memilih untuk kembali berniaga cendol bagi membantu meringankan beban keluarga.

Bangkit Berniaga Cendol Demi Abah

Menurut Haziera, sebelum kemalangan mereka sering membantu abang mengusahakan perniagaan cendol. Selepas kejadian itu, mereka nekad meneruskan perniagaan tersebut kerana tidak sanggup melihat bapa mereka, Nik Husmadi Ismail, yang bekerja kampung, terus berhempas-pulas menyara keluarga enam beranak.

“Kami kasihan melihat abah bekerja kampung untuk menyara kami sekeluarga. Dengan keadaan ekonomi sekarang, beban abah semakin berat. Sebab itu saya dan kakak sepakat bangkit semula untuk membantu keluarga.”

Lebih menyentuh hati, Haziera yang baru menamatkan SPM kini turut bergelar atlet pelapis lawan pedang kerusi roda negara.

Namun perjalanan sebagai OKU bukanlah mudah. Jika dahulu mereka mampu mengangkat barang, memasang kanopi dan menguruskan perniagaan sendiri, kini banyak perkara memerlukan bantuan orang lain.

BACA ARTIKEL INI JUGA: Dua Beradik Pernah Viral Tahun Lalu Dipukul Ayah Kerana Mahu Bersekolah, Terkini Terima Nasib Malang Dihalau Waris Penjaga

Haziera juga masih menanggung kesan kecederaan pada tangan kanan yang hampir dipotong akibat kemalangan. Tangan itu masih lemah, sering sakit dan kebas, menyebabkan dia memerlukan bantuan kakaknya ketika menyediakan cendol.

Malah, cabaran paling besar ialah apabila pelanggan meminta perkhidmatan pandu lalu kerana mereka tidak lagi mampu bergerak sepantas dahulu.

Walaupun begitu, kasih sayang dan sokongan orang ramai menjadi kekuatan mereka untuk terus bertahan.

Ramai pelanggan hadir membeli cendol bukan sekadar mahu menikmati rasanya, tetapi juga untuk memberikan semangat kepada dua beradik yang luar biasa tabah ini.

Sepanjang tempoh pemulihan, Haziera turut aktif membuat siaran langsung di TikTok. Kata-kata semangat, doa dan sokongan daripada keluarga, rakan-rakan serta masyarakat menjadi pembakar semangat untuk terus melangkah ke hadapan.

Paling mengagumkan, kedua-dua mereka mengakui tidak pernah mengalami kemurungan walaupun kehilangan anggota badan. Bagi mereka, setiap ujian adalah ketentuan Allah yang perlu diterima dengan hati yang reda.

Di akhir perkongsiannya, Haziera menitipkan pesan yang sangat menyentuh hati:

“Jangan mudah mengalah kerana hidup masih panjang. Anggap setiap ujian sebagai cabaran untuk diteruskan, bukan penghalang.”

Tiada apa yang membanggakan ibu ayah selain dapat anak yang tidak kenal erti mengalah dalam hidup. Apa pun, didoakan semoga dua beradik perempuan ini terus berjaya dalam hidupnya dan dapat banggakan kedua ibu ayah mereka dengan cara luar biasa!

SUMBER GAMBAR: Media Sosial

Published by
Nadia Mohamad