“Doakan saya panjang umur dan sempat jumpa anak-anak dan keluarga di Malaysia. Sepatutnya saya nak bawa anak-anak dan mak beraya di Australia tapi tepaksa cancel bila Covid-19 mengganas. Rindunya pada anak-anak…,”ujar Nurashila Abu Hassan, 34.
Walaupun kes kematian Covid-19 di kawasan rumahnya sudah mencecah 18 orang namun ibu empat anak ini tetap bekerja demi meneruskan kelangsungan hidup. Setakat artikel ini ditulis, Australia mencatat kes positif Covid-19, 6,667 dan 76 kematian.
“Di kawasan Sydney sudah mencecah 2,982 kes. Area rumah saya 57 positif Covid-19 dan 18 kes kematian. Memang takut sebab saya kerja di mall dan jumpa macam-macam pelanggan, risiko sangat tinggi. Tapi bila fikir anak nak makan apa, saya redah je. Saya tawakal pada Allah,”ujar Norashila atau mesra dengan sapaan Shila.
Pertaruh Nyawa Demi Besarkan Anak-Anak
Inilah perjuangan seorang ibu tunggal, sanggup pertaruh nyawa demi membesarkan anak-anaknya.Selepas bercerai, Nurashila atau mesra dengan sapaan Shila tekad membawa diri ke luar negara. Anak-anak ditinggalkan buat sementara waktu bersama ibunya di Malaysia.
“Saya tak mahu hanyut dalam kesedihan, saya tekad nak bagi kehidupan lebih baik pada anak-anak. Ogos 2019, saya terbang ke Australia demi mencari rezeki. Mujur ada sepupu di sini, mereka banyak tolong saya.
“Saya kerja sebagai pembantu akaun di Roselands Shopping Centre, di sini juga ada Malaysian restaurant. Walaupun sekarang Covid-19 tengah menggila, saya tetap bekerja. Cuma waktu kerja dipendekkan.
“Mula-mula saya tengok pihak berkuasa tempatan tak ambil kisah sangat tapi bila kes kematian semakin meningkat barulah kerajaan Australia keluarkan arahan. Mulai April, semua public park, skate park, playgrounds, night club dan gym ditutup. Warga emas tidak digalakkan keluar kecuali atas urusan kesihatan. Hanya supermarkets, petrol stations, pharmacies, convenience store, freight & logistics,home delivery service dibenarkan beroperasi.
Ads
“Restoran hanya dibenarkan take away atau home delivery service sahaja. Sekolah masih dibuka untuk urusan penting sahaja. Pelajar digalakkan belajar secara online,”cerita Shila.
Walaupun begitu, kata Shila masih ramai masyarakat tempatan yang degil. Ada ibu ayah yang bawa anak ke shopping mall. Ada juga yang masih berkumpul beramai-ramai. Mereka seakan tidak gentar dengan ancaman Covid-19.
Dalam temubual itu, Shila akui begitu emosi berpuasa dan beraya sendirian di perantauan.
“Allah ja yang tahu betapa saya rindukan anak-anak, hari-hari saya buat Video Call. Saya risau keadaan anak-anak masa Covid-19 ni. Saya doa anak-anak dan keluarga di Malaysia sentiasa dilindungi Allah.
“Nak-nak bulan puasa ni memang sedih sangat berjauhan dengan anak-anak. Terus terbayang kenangan berpuasa dan sambut raya bersama family. Ikutkan plan, saya nak bawa anak-anak dan mak beraya di sini tapi terpaksa cancel.
“Memang sedih sangat, doakan saya dipanjangkan umur supaya dapat jumpa anak-anak dan keluarga di Malaysia. Saya memang nak bawa anak-anak menetap di Australia tapi banyak persiapan kena buat. Maklumlah empat orang anak. Semoga kita semua berjaya melawan Covid-19 dan dapat bersatu dengan keluarga,”ujarnya.
Ads
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kenal 5 hari, Hafiz dan Sahida disatukan. Lepas 5 bulan bernikah, suami lumpuh dan buta akibat disahkan buah pinggang bocor tahap 4. Sampai satu tahap, Hafiz rasa hidupnya itu menyusahkan isterinya, Sahida. Ketika pilu, inilah permintaan yang keluar dari bibirnya.
“Jika awak rasa penat dan berjumpa dengan orang lain yang lebih baik, pergilah awak bersamanya. Abang dah tidak punya apa-apa. Tak berharta, nak berjalan pun sudah lumpuh. Mata pun sudah tak mampu melihat. Semuanya bergantung pada awak untuk teruskan hidup.
“Abang bukannya bayi, kalau bayi bolehlah ditimang-timang. Ini sudah besar panjang tetapi menyusahkan. Kalau awak tak mampu layani abang, abang rela lepaskan awak dengan orang lain demi masa depan awak.
“Sebab abang nak lihat awak bahagia seperti orang lain. Sudah banyak awak berkorban untuk abang.”
Itulah kata-kata Mohamad Hafiz Abdul Hamid, 31 tahun setiap kali dia terasa begitu membebankan isteri tercinta, Sahida Abdul Rahman, 37 tahun.
Setiap pasangan ada jalan ceritanya yang tersendiri. Begitu juga dengan buku kehidupan Mohd Hafiz dan Sahida. Berkenalan sekadar lima hari sebelum nekad menyulam cinta yang disuburkan dari muka buku. Dalam masa lima bulan mereka disatukan sebagai pasangan suami isteri yang sah.
Setelah diijab kabulkan pada 28 Mac 2014, Sahida merasakan dirinya adalah wanita terbahagia di dunia. Mohd Hafiz seorang suami yang penyayang dan kuat bekerja. Bersama Mohd Hafiz dirinya merasai kebahagiaan luar biasa yang setiap wanita inginkan.
Tubuh Bengkak Tanda Buah Pinggang Bocor
Januari tahun lalu mengubah kehidupan pasangan ini secara total.
Mohd Hafiz sememangnya kuat bekerja, apatah lagi sejak diterima sebagai Pembantu Operasi Jabatan Audit Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), di Jalan Duta, Kuala Lumpur. Peluang pekerjaan ini amat dinantikan suami Sahida. Setiap hari, Hafiz berulang-alik ke tempat kerja dengan menaiki motosikal.
Sampailah suatu petang, ketika pulang dari tempat kerja. Hujan turun dengan lebatnya. Suaminya terpaksa merelakan tubuhnya kebasahan. Motosikal ditunggang deras meredah bumi yang menangis.
Setiba di rumah, badannya terasa lemah dan mula membengkak. Paling ketara di bahagian mata. Ketika bangun keesokan pagi, badan Mohd Hafiz terasa panas. Dia demam. Bimbang keadaan Hafiz, Sahida membawa suaminya ke klinik.
“Awalnya kami ingatkan cuma demam biasa. Mungkin juga itu disebabkan alergi. Kami jadi tertanya-tanya. Apa yang Hafiz makan sampai badan bengkak tiba-tiba. Bila dia telan ubat, bengkak mulai surut.” Hati isteri dapat merasai, ada sesuatu yang tidak kena dengan suaminya.
“Saya bawa dia ke HUKM pula, di sana baru kami tahu yang Hafiz mengalami kebocoran buah pinggang tahap empat. Hampir terduduk kerana tidak percaya dengan kenyataan.
“Selama ini Hafiz sihat sahaja dan tidak pernah mengadu sakit, saya sendiri terkejut, apatah lagi dia,” ungkap Sahida sedih mengimbau kenangan lalu.
Apabila Suami Lumpuh Separuh Badan
Mohd Hafiz ditahan di hospital untuk pemeriksaan lanjut. Bila beransur baik, dia dibenarkan pulang. Hatinya masih kuat walau kesihatan makin terjejas. Pergerakan jadi lebih terbatas. Terjatuh itu biasa. Langkahnya juga tertahan-tahan. Tapi tetap bekerja seperti biasa. Sekitar Januari sampailah April tahun lalu.
Biar pun matanya kabur, dia menunggang motosikal ke tempat kerja. Sahidalah jurupandu dan ‘mata’ kedua suaminya. Dia tak pernah meninggalkan suami dan sentiasa menemani walau cuma mahu ke tempat kerja.
Kemuncaknya, Oktober tahun lalu Mohd Hafiz tak sedarkan diri dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Dua minggu dia koma, 2 minggu kemudian dimasukkan ke wad biasa. Dan akhirnya suaminya dibenarkan pulang.
Tugas sukar Sahida pun bermula. Menjaga suami lumpuh dari pinggang hingga ke bawah. Melakukan sendiri proses dialisis di rumah. Pilihannya cuma mencuci darah dengan air. Kerana, dia tidak mampu membawa suami ke hopital untuk dialisis setiap hari. Itulah saja kaedah terbaik yang mereka ada dengan saranan doktor.
“Sejak Januari lalu, suami perlu cuci darah lima kali sehari bermula seawal tujuh pagi dan yang terakhir pada jam 11 malam. Biar pun agak penat, tetapi kesihatan suami tampak beransur baik sejak dia lakukan dialisis. Paling penting saya dapat lakukan sendiri.
“Saya bersyukur, untuk bekalan air bagi proses dialisis kami mendapat bantuan daripada pihak hospital termasuklah topeng muka. Selebihnya seperti lampin pakai buang, plaster, dan beberapa perkara lagi, kami perlu beli sendiri.
“Kami hanya bergantung kepada gaji suami, RM1300, yang masih berjalan. Tetapi itu pun mengikut majikan suami, gaji tersebut sepatutnya dihentikan pada Jun lalu. Jadi kami masih menunggu bagaimana status gaji suami, sama ada perlu bayar balik atau bagaimana.
“Selama ini pun duit yang ada masih belum cukup untuk menampung sewa rumah, bekalan lampin pakai buang, bil elektrik, tambang untuk berulang-alik ke hospital sebulan beberapa kali.
Saraf Mulai Rosak, Mata Pun Sudah Buta
Beberapa bulan belakangan ini, kesihatan mata suami makin menyusut. Hasil pemeriksaan mendapati kedua belah mata suami buta kerana saraf rosak.
“Saya tetap mendoakan agar ada keajaiban untuk kembali melihat. Saya begitu teringin menatap wajah isteri yang penat lelah setiap hari. Menguruskan keperluan saya sampai tak cukup rehat dan tidur.
“Sekarang ini pun, saya tak dapat bezakan siang dan malam. Kadang-kadang rasa dah lama sangat tidur, sebab itu bangun. Rupanya masih malam. Tengok televisyen pun dia tidak mampu, hanya dengar sahaja. Itulah hiburannya sekarang, dengar radio.
“Moga suatu hari nanti saya dapat bekerja semula biarpun tak mampu berjalan ataupun melihat. Yang penting, saya tak menyusahkan orang.” Luah Mohd Hafiz sedih.
Ujian Tuhan Takkan Buat Isteri Ini Goyah
Sebagaimana suaminya redha dengan ujian yang Tuhan tuliskan buat mereka berdua, dia juga sebegitu. Tiada langsung sekelumit perasaan menyalahkan takdir Ilahi. Kelumpuhan yang suami alami diterima dengan hati terbuka. Sahida kuat semangat dan tidak kekok menguruskan keperluan suaminya. Pengalaman menjaga orang sakit memudahkan urusannya.
“Mungkin Allah temukan kami berdua untuk saya kuat.” Lebih banyak ganjaran pahala kerana dapat menjaga suami yang perlukan belaian khusus darinya. Namun Sahida juga insan biasa. Kadang-kadang dia merasa penat. Doanya agar dikurniakan kesabaran yang tinggi sepanjang berkhidmat untuk suami tercinta.
“Sejak berkahwin dengan suami, saya banyak berjalan. Sejak remaja saya jarang ke mana-mana. Bila berkahwin, suamilah yang bawa saya ke sana, sini biar pun hanya bermotosikal.
“Kami pernah ke Genting Highlands menaiki motosikal. Paling gila dia bawa saya ke Kuantan menaiki motosikal. Kenangan-kenangan tersebut tidak dapat saya lupakan.
Sampai satu saat, ketika dia sakit walaupun matanya kabur Hafiz gagahkan diri untuk bawa motosikal dan benarkan Sahida jadi pembonceng yang tunjukkan arah. “Kadang-kadang kelakar macam orang buta tunggang motosikal. Tetapi saya sentiasa sedia untuk jadi ‘mata’ dia sampai bila-bila.”
Bantu Keluarga Kecil Ini
Sumbangan ke akaun di bawah untuk membantu Sahida dan suaminya yang lumpuh, buta dan alami buah pinggang bocor:
Maybank 114487050267 atas nama Mohamad Hafiz bin Abdul Hamid.
Kredit foto : Tuan Azman Tuan Muda
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bagi mak ayah yang telah membuat permohonan anak ke Tahun Satu dan Prasekolah bagi ambilan 2019 pada 1 Mac 2018 sehingga 30 April 2018 lalu, kini bolehlah menyemak keputusan status penempatan bagi sekolah atau prasekolah yang dimohon tersebut bermula 1 Ogos 2018.
Semakan keputusan penempatan ini, hanya untuk anak berusia 6 tahun bagi sesi persekolahan tahun 1 tahun 2019 atau anak berusia 4 dan 5 tahun untuk sesi prasekolah 2019 sahaja.
CARA SEMAKAN KEPUTUSAN PENEMPATAN TAHUN 1 SESI 2019
Caranya, log in seperti biasa dengan memasukkan nombor kad pengenalan dan kata laluan.
Jika terlupa, klik pada butang ‘lupa kata laluan’ untuk reset kata laluan dan memasukkan kata laluan baru.
Perkara Yang Perlu Dilakukan:
Semak status pendaftaran selepas berjaya log in.
Sila pastikan Nombor Sijil Kelahiran/ Mykid asal dengan Nombor Sijil Kelahiran/ Mykid di dalam surat kelulusan yang dilampirkan sama semasa membuat urusan pengesahan.
Cetak surat yang dilampirkan dan hantar ke sekolah untuk proses perakuan.
Sekiranya tidak berjaya memohon sekolah yang diminta atau ingin menukar pilihan sekolah, ibu bapa boleh membuat rayuan penempatan boleh mulai 1 Ogos hingga 31 Ogos 2018.
Ibu bapa diminta untuk membuat pengesahan penempatan anak di sekolah yang telah diluluskan mulai 01/08/2018 hingga 30/09/2018 secara dalam talian. Sebarang kelewatan boleh menjejaskan urusan sekolah untuk menyediakan kemudahan bagi persekolahan anak atau menyebabkan penempatan anak dibatalkan.
NOTA TAMBAHAN BAGI PEMOHON DI PUTRAJAYA
* Keputusan penempatan murid Tahun 1 bagi sekolah-sekolah di Wilayah Putrajaya buat masa ini ditangguhkan sehingga dimaklumkan kelak. Bagi sebarang pertanyaan, hubungi JPWP Putrajaya di talian 03-8899 0000.
** Bagi permohonan ke Tahun Satu ambilan 2019 yang telah dibuat pada tahun 2017, permohonan Tuan/Puan perlu disemak kembali, kerana mulai tahun 2018, sekolah di W.P Putrajaya hanya membenarkan penduduk di Putrajaya sahaja untuk memohon. – Jabatan Pendidikan WP Putrajaya.
CARA SEMAKAN KEPUTUSAN PENEMPATAN PRASEKOLAH SESI 2019
Ibu bapa yang telah mendaftarkan anak berumur 4 dan 5 tahun bagi sesi prasekolah secara online, semakan status penempatan prasekolah sesi 2019 boleh disemak mulai 5 Ogos 2018 di laman sesawang : https://eprasekolah.moe.gov.my/
Caranya, log in seperti biasa dengan memasukkan nombor kad pengenalan dan kata laluan.
Jika terlupa, klik pada butang ‘lupa kata laluan’ untuk reset kata laluan dan memasukkan kata laluan baru.
Perkara Yang Perlu Dilakukan:
Buat pengesahan dan cetak surat yang dilampirkan untuk dihantar ke sekolah bagi proses perakuan.
Bagi keputusan penempatan prasekolah yang tidak berjaya atau ingin diubah, rayuan penempatan prasekolah sesi 2019 boleh dimohon mulai 5 Ogos hingga 20 Ogos 2018.
Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, boleh berhubung terus dengan pihak sekolah yang dimohon.
Semoga Bermanfaat!
Kongsikan juga buat mak ayah yang bakal mempunyai anak ke darjah satu dan prasekolah pada tahun 2019 sebagai panduan!
Guru ini, Ahmad Taqiyuddin berkongsi pandangan. Tentang pandangan segelintir orang yang menyindir elaun guru yang mengajar di pedalaman. Katanya, guru yang mengajar di pedalaman elaunnya tinggi. Alangkah beruntungnya.
Hakikatnya, inilah yang sebenarnya dialami oleh guru-guru yang mengajar di kawasan jauh dari kemudahan serba canggih seperti di bandar-bandar besar. Hadamkan.
Duduk Di Pedalaman, Elaun Banyak
Ada orang cakap, dok pedalaman elaun kan banyak. Guna la elaun pedalaman yang dapat tu. Haisy, tak kan orang nak cerita satu-satu kot.
Elaun tu, cukup la untuk belanja dari pedalaman keluar ke pekan dan beli barang-barang. Ada sesetengah tempat kena sewa kenderaan 4WD kos dalam 2k sehala untuk keluar. Boleh naik 4 orang. Bermakna tambang sehala seorang RM500 atau RM1k keluar masuk.
Barang-barang pula bukan harga murah macam kita kat bandar ni. Ada Tesco, Giant, 99 Speedmart, kedai Aceh dan banyak pilihan kedai murah lain lagi.
Mereka di pedalaman, tidak ada pilihan ni semua tuan-tuan. Kedai mereka nak beli barang tu mahal, beli ja la. Belum upah angkat apa semua lagi. Kalau sanggup angkat sendiri, angkat la. Mereka ni sekali beli bukan sikit-sikit yang boleh ambil kunci motor pergi cari barang mana yang tak cukup. Ada yang stok seminggu, ada yang stok sebulan. Simpan dalam peti ais. Elektrik pula pakai generator. Kalau kena minyak generator habis, ada risiko kerosakan tuan-tuan. Jawab dia buang ja la stok-stok tu.
Sebab Kita Tak Pernah Rasa Apa Mereka Rasa..
Kita akan rasa elaun tu banyak bila kita tidak pernah rasa apa yang mereka rasa. Saya tak la posting pedalaman, tapi saya biasa ke pedalaman. Saya pernah rasa elaun pedalaman tu banyak. Bila rasa sendiri perjalanannya, tinggal sekejap di sana, saya rasa baik kita yang tak ada elaun di luar ni lagi la berbanding kehidupan mereka. Hidup yang terputus hubungan dengan yang tersayang, ancaman keselamatan, lebih-lebih lagi kalau perempuan.
*Masa pindah hujung tahun lepas, kami jual tong gas yang isinya hampir penuh dengan harga RM150.
Orang yang beli tu cakap, “Murahnya!”. Bayangkan harga biasa kalau kami tolak RM150 pun orang berebut sebab murah.
Keterangan Gambar
1. Saya bawa sekumpulan kawan berprogram di pedalaman.
2. Saya pergi jalan-jalan masa cuti pendek, terserempak dengan jejaka Hulu Terengganu bersama rombongan. Rombongan mereka adalah rombongan perkahwinan. Hulu Terengganu. Hulu Sarawak = Ngam. Dapat juga pengalaman menyertai majlis perkahwinan di pedalaman.
Gambar kereta rosak tu dalam perjalanan balik. Masa tu saya masuk dengan seorang kawan. Jalan-jalan cuti pendek juga. Nasib baik tak terlepas express balik ke pekan Kapit. Ada lagi satu 4WD belakang, tumpang mereka, bersesak hampir 20 orang di belakang bersama anak-anak sekolah yang sekolah menengah di Kapit serta orang kampung. Pengalaman berharga.
MW : Dimaklumkan Cikgu Ahmad Taqiyuddin sebelum ini pernah mengajar di Kapit, Sarawak. Kini, mengajar di Kajang.
*Artikel ini disunting dan diterbitkan dengan keizinan penulis, Ahmad Taqiyuddin
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Suami isteri pegawai Imigresen guna duit rasuah RM600k buka kedai emas. Sepasang suami isteri yang juga pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dipercayai menyalurkan wang hasil rasuah untuk membuka sebuah kedai emas dengan modal kira-kira RM600,000.