Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu, ramai juga yang terpaksa berpisah daripada keluarga tercinta. Kebetulan PKP bermula ketika cuti penggal persekolahan, jadi ada mak, ayah menghantar anak ke kampung untuk bercuti panjang. Tetapi sudahnya terpisah beribu batu kerana akur dengan arahan.

Itu yang di dalam negara, begitu juga warganegara Malaysia yang bekerja di negara jiran iaitu Singapura. Pada peringkat awal, majoritinya akur apabila diminta tinggal di Singapura kerana majikan turut menyediakan tempat tinggal.

Tetapi setelah hampir sebulan, masing-masing tidak mampu bersabar lagi dan bertindak nekad untuk pulang ke pangkuan keluarga. Ditambah lagi ramadan yang bakal tiba.

Tekad Berjalan Kaki

Pekerja Malaysia yang bekerja di negara jiran, Singapura dijangka akan mula bergerak balik hari ini, dengan berjalan kaki merentasi tambak Johor.

Pembantu produksi sektor elektrik di Singapura, Nur Hamidah Jamal, 30, antara yang mengambil keputusan untuk terus pulang ke tanah air selepas republik itu mengambil tindakan tegas menutup sekolah dan beberapa sektor bagi menghentikan penularan wabak COVID-19.

Katanya, sebulan adalah satu jangka masa yang lama dan dalam tempoh itu segala kemungkinan boleh berlaku termasuk tiada pekerjaan.

IKLAN

“Kami bimbang kerana sebulan tempoh yang panjang, risau tersadai di negara orang serta berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi di sini (Singapura).

“Kami memang tidak mampu kerana besar kemungkinan juga hilang kerja lebih masa dan kilang akan ditutup kerana ia bukan dalam sektor perkhidmatan penting yang dikecualikan.

“Majikan ada memberitahu, kami tidak diberhentikan kerja tetapi perlu mengambil cuti tanpa gaji selama sebulan. Tempoh itu lama dan saya memang rindukan anak serta suami di Johor Bahru.

“Sebelum ini, walaupun bekerja di Singapura saya akan berulang alik dan bertemu dengan keluarga di Johor. Tetapi kami terpisah apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 17 Mac lalu dan saya menetap di Singapura.

IKLAN

“Rasanya memang tidak sanggup hendak biarkan suami dan anak menjalani Ramadan sendirian,” katanya ketika dihubungi.

Kata Nur Hamidah, dia akan berjalan kaki balik ke Johor selepas selesai urusan syarikat dan juga mendapat kelulusan kesihatan.

Katanya, mungkin ramai yang bergerak petang kerana cuaca panas untuk berjalan kaki sejauh 1.5 kilometer dengan membawa beg pakaian.

Sedang Menunggu Kebenaran Majikan

Sementara itu, penyelia rangkaian kedai di Singapura, Sofia Safie, 35, berkata masih menunggu kebenaran dan pengesahan dari majikan untuk pulang ke tanah air.

IKLAN

Katanya, jika memang tiada kerja di negara itu, pulang ke Johor adalah lebih baik.

“Keputusan untuk balik belum pasti lagi, hari ini baru dapat jawapan sama ada dibenarkan balik atau tidak, sebab belum dapat keputusan dari pihak atasan.

“Kalau dibenarkan balik, saya akan jalan kaki dari kastam Singapura ke Johor kerana memang tidak ada kenderaan susulan PKP,“ katanya.

Sumber/ Foto : Berita Harian

MW: Semoga mereka dapat kembali bersatu bersama ahli keluarga tersayang. Insyallah. Semoga dipermudahkan. 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI