
Doa kalau nak cepat dimakbulkan ada adab dan tatacara, mari kita amalkan. Berdoa adalah salah satu cara yang terbaik untuk mendekatkan diri kita kepada Allah. Berdoa juga merupakan salah satu cara seseorang memohon atau meminta sesuatu kepada Allah.
Agar keinginan kita dimakbulkan oleh Allah SWT, terlebih dahulu kita perhatikan adab berdoa atau tata cara berdoa seperti yang sepatutnya.
BERIKUT PANDUAN TATA CARA BERDOA:
1. Angkat tangan ke paras dada.
2. Rapatkan kedua-dua belah tapak tangan.

3.“Apabila urat tangan bertemu ia akan menjadi seperti huruf ba ب . Titik ba terletak di hati kita.
4. Kedudukannya rendah dari tangan yang kita tadah. Setiap huruh hijaiah di dalam al quran ada malaikat yang menjaganya. Huruf ba dijaga oleh malaikat bernama ‘har hayaail’. Malaikat ini akan mengangkat doa kita terus menghadap Allah tanpa sebarang perantara. Oleh itu berdoalah bersungguh-sungguh dengan penuh pengharapan.
5. Duduklah dalam keadaan sopan seperti duduk iftirasy dan duduk tahiyat akhir. Jika berdiri, tegakkan badan betul-betul dan jangan menyandar/bersandar.

6. Sepanjang berdoa, banyakkan memuji kebesaran Allah dan menyebut nama-nama Allah yang lain yang bersesuaian dengan keperluan doa kita pada masa itu. Contohnya jika berdoa mohon dipermudahkan rezeki, sebutlah nama Allah ar-razaq dan disusuli juga dengan berselawat kepada Nabi SAW.
7. Berdoalah bersungguh-sungguh dari hati. Gunalah bahasa yang dapat difahami kerana Allah Maha pengasih dan sangat memahami dan mendengar segala bicara tulus hamba-hambaNYA.
8. Ajarkanlah adab berdoa kepada seluruh ahli keluarga sejak dari usia kecil kerana In sha Allah ia akan dapat membentuk peribadi yang baik dalam kehidupan.
Moga perkongsian ini dapat membantu meningkatkan amal ibadah kita agar menjadi lebih baik.
Sumber: JAKIM Cawangan Sabah
Kredit foto (top image): Pexels
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Boleh Solat Jemaah Di Masjid, Surau TAPI Kena Ikut Garis Panduan

Setelah melalui beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kini akhirnya Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akhirnya membenarkan masjid dan surau terpilih untuk menunaikan solat jemaah. Namun ianya perlu mengikut garis panduan dan sop yang telah ditetapkan.
Solat Jemaah Di Surau Terpilih
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memberi kebenaran kepada masjid, surau Jumaat dan surau terpilih di zon hijau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dibuka bagi menunaikan solat Jumaat dan berjemaah termasuk solat sunat tarawih dan solat sunat Hari Raya Aidilfitri bermula hari ini.
Pengarahnya Mohd Ajib Ismail berkata, ia berdasarkan pengumuman oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri dan keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 14 Mei lalu melalui perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Tertakhluk Kepada Bilangan Jemaah
Katanya, ketetapan ini juga dibuat susulan pengumuman kerajaan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat sehingga 9 Jun depan.
"Kebenaran ini juga tertakluk kepada garis panduan yang ditetapkan selaras dengan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.
"Jawi juga ingin mengingatkan agar segala garis panduan dan SOP berkaitan hendaklah dipatuhi bagi mengelakkan kebenaran bersyarat ini ditarik semula," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, umat Islam diharap dapat meningkatkan amalan ibadah pada 10 malam terakhir Ramadan dan berdoa agar penularan wabak Covid-19 dalam negara segera berakhir.
Sumber: Harian Metro
MW: Biarpun solat jemaah telah dibenarkan di masjid dan surau tertentu, namun diharap kita semua menjaga keselamatan dan kesihatan diri masing-masing. Ambil langkah pencegahan sebaik mungkin.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Berpuasa Penuh & Berhijab Sebelum Peluk Islam Gadis Mualaf Ini Disayangi Ramai, Kisahnya Cukup Unik

Nur Khayra Adra Low Abdullah, 21 merupakan anak kelahiran Melaka dan kini menetap di Klang, Selangor. Kehidupan gadis ini cukup unik dan berbeza dengan masyarakat Cina yang lain. Nur Khayra bersama kakak dan abangnya dijaga oleh keluarga angkat beragama Islam sejak dari kecil.
Dek kerana masalah yang dihadapi oleh ibu bapa kandung, ketiga-tiga mereka dijaga dan dibesarkan oleh keluarga angkat namun hingga kini mereka masih berhubung dengan ibu bapa kandung cuma mereka sudah menetap di rumah keluarga angkat.

Akui tidak banyak bezanya kehidupan sebelum dan selepas memeluk Islam, Nur Khayra sebenarnya sudah dilatih sejak dari kecil cara hidup orang Melayu dan agama Islam.
“Saya tidak kekok untuk berkawan dengan sesiapa sahaja kerana saya sangat fasih berbahasa Melayu berbanding Mandarin. Soal makan dan minum juga tidak menjadi masalah. Solat dan puasa juga sudah menjadi kebiasaan sejak kecil lagi. Alhamdulillah saya besyukur dapat dikurniakan hidayah dari Allah SWT yang tak semua orang perolehi. Saya juga sangat besyukur diketemukan dengan keluarga angkat yang menjaga saya tiga beradik dengan penuh kasih sayang. Mereka juga memberi tunjuk ajar mengenai ilmu agama. Sekarang saya masih duduk dengan keluarga angkat dan akan pulang ke Melaka melawat mummy dan daddy (panggilan ibu dan bapa kandung) jika cuti panjang atau raya Cina. Saya juga menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha bersama keluarga angkat di Klang,” ungkap Nur Khayra yang rasa sangat bertuah kerana turut dikelilingi rakan-rakan yang sangat memahami.

Pilih Mata Pelajaran Pendidikan Islam
Gadis yang masih menuntut di POLISAS, Kuantan ini bercerita sewaktu zaman persekolahan rendah dia mengambil mata pelajaran pendidikan moral dan dek kerana tidak mahu berpisah dengan rakan-rakan Islam yang lain di dalam kelas dia bersetuju untuk mengambil mata pelajara agama Islam.
“Semasa di sekolah hanya saya dan adik beradik saja yang berbangsa Cina. Pada mulanya saya mengambil mata pelajaran Pendidikan Moral dan disebabkan oleh kawan-kawan saya kebanyakkannya Melayu, mereka akan berpisah kelas dengan saya jika mata pelajaran agama terdapat pada jadual. Jadi, disebabkan oleh hal itu, ada seorang ustazah yang bertanya kepada saya mahu ke saya mengambil mata pelajaran agama Islam? Dan saya sangat seronok serta mempersetujuinya.
“Kata usatazah Pendidikan Islam hanyalah mata pelajaran umum yang boleh di pelajari oleh semua tak kira agama. Dari situ saya mula hendak bertukar uniform sekolah juga kepada baju kurung dan mula bertudung seperti kawan-kawan Islam yang lain. Semasa darjah tiga saya mula memakai baju kurung dan bertudung ke sekolah. Saya juga mempelajari pelajaran agama Islam di sekolah dan tidak mengambil Pendidikan Moral lagi . Setiap kali kelas agama, ustazah pasti menyuruh kami membaca doa belajar dan membaca Tahiyyat Akhir. Disebabkan oleh itu ia menjadi bacaan harian sehingga menyebabkan saya menghafalnya. Saya masih tidak pandai membaca dan menulis jawi ketika itu . Seterusnya, seperti aktiviti solat, saya hanya ikut sahaja pergerakan yang diajar sehingga menghafalnya tetapi bacaan masih belum lancar. Pada bulan Ramdan, saya juga berpuasa tetapi hanya berpuasa pada setengah hari sahaja sehingga darjah lima, apabila darjah enam saya sudah mula berpuasa penuh. Saya juga sering mengikut famili angkat saya ke surau untuk menunaikan solat Terawih.
“Saya sering diberi galakkan dan dibimbing oleh pelbagai pihak terutamanya famili angkat saya sendiri dan juga guru-guru di sekolah. Mereka juga sering memberi nasihat dan menceritakan keindahan Islam kepada saya tanpa paksaan untuk saya memeluk Islam. Pada raya Aidilfitri dan Aidiladha juga, saya akan sambut dengan famili di Klang. Saya akan ikut sama solat sunat raya.
“Ketika saya berusia 12 tahun, saya hendak memeluk Islam tetapi ibu bapa kandung saya masih melarang kerana katanya tidak cukup umur dan masih budak , belum berfikiran matang. Pada usia tersebut, saya telah pun pandai mengucap dua kalimah syahadah. Jadi mengikut JAIS pula, jika ibu bapa tidak setuju pada usia 18 tahun ke bawah, masih tidak boleh memeluk Islam. Jadi ketika umur saya 18 tahun, dengan segera saya memeluk Islam kerana bimbang jika terjadi apa apa, tidak sempat untuk menukar agama. Jadi pada 22 Feb 2017 saya telah memeluk islam di Jais Klang ditemani oleh famili angkat saya.

Menangis Kegembiraan
“Alhamdulillah, setelah selesai mengucap dua kalimah syahadah, ibu bapa saya menangis kerana gembira dengan keputusan yang saya dan kakak saya lakukan ini. Kakak saya juga telah memeluk Islam pada umurnya 18 tahun, jadi dia telah memeluk agama Islam terlebih dahulu dan barulah saya. Tetapi abang kami masih beragama Buddha. Mummy saya beragama Kristian dan Daddy saya beragama Buddha. Jadi setelah saya memeluk agama Islam, mummy dan daddy saya masih tidak mengetahui hal tersebut, jadi saya dan kakak mencadangkan untuk memberitahu mereka dengan pulang ke melaka dengan memakai pakaian yang menutup aurat. Saya dan kakak telah pun memakai tudung dan menutup aurat ketika sebelum memeluk agama islam lagi. Kami mempraktikan diri kami dengan menutup aurat sebelum betul-betul memeluk agama Islam dengan itu kami lebih selesa dan rasa selamat dari pandangan orang ramai.
“Kami pulang berjumpa dengan kedua ibu bapa kandung dan mereka terkejut dengan apabila memberitahu kami sudah memeluk Islam. Kami juga menerangkan dengan secara baik kenapa kami memilih agama Islam iaitu kerana didikan awal yang telah diberikan oleh para guru serta keindahan cara hidup orang Islam. Lama kelamaan mereka menerima kami dengan hati yang terbuka yang mana mereka selalu berpesan agar sentiasa balik dan melawat mereka walaupun sudah berlainan agama. Pada setiap kali raya Cina dan cuti yang panjang, saya dan kakak akan pulang ke Melaka,” ujar Nur Khayra.
Disayangi Ramai
Gadis ini juga turut menerangkan kehidupannya sebagai seorang Mualaf sangatlah bahagia. Dikelilingi oleh orang yang baik-baik.
“Saya juga lebih mudah dikenali dan disayangi ramai kerana tertarik akan cerita kehidupan saya sebagai seorang mualaf. Saya juga lebih gemar bercerita dan berkongsi untuk pengetahuan semua agar dijadikan pengajaran hidup. Selepas saya memeluk Islam, saya mengikuti kelas agama anjuran JAIS. Dari situ saya belajar untuk membaca iqra dan menulis jawi serta ilmu agama seperti fardhu ain, surah, aqidah dan sebagainya,” akhiri gadis yang cukup peramah ini.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Terpaksa Menguris Hati Ibu dan Memilih Islam, Kini Nur Amira Bersyukur Diberi Hidayah

Hidayah itu milik Allah, namun ia perlu dicari dan bukan dinanti. Malah hidayah juga datang dalam pelbagai cara seperti yang dilalui oleh Nur Amira Ann Lee Abdullah, 32 tahun. Bermula dengan rasa ingin tahu yang mendalam tentang Islam membuatkan anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan mulai mendekati agama Islam.
Di fikiran Nur Amira adalah lebih baik dia mencari ustaz atau orang yang lebih arif untuk mengetahui tentang agama Islam. Oleh itu, dirinya mengambil keputusan untuk ke Pusat Islam. Rezekinya barangkali, dia diajak untuk mengikuti kursus yang dianjurkan oleh Pusat Islam kepada saudara baru dalam tempoh lima hari.
“Walaupun pada awalnya saya kurang percaya untuk ikuti kursus tersebut kerana ketika itu masih belum bergelar muslim, tetapi segalanya ada hikmahnya. Selepas tiga hari menjalani kursus tersebut, saya telah mengetahui pelbagai perkara tentang Islam. Saya banyak bertanya itu dan ini tentang apa yang sangsi tentang Islam.
“Segala kekeliruan saya mulai terjawab, sepatutnya pada hari keempat saya perlu bekerja keranasaya hanya mengambil cuti selama tiga hari sahaja. Oleh kerana rasa ingin tahu dan keseronokan dengan ilmu baru saya dapat, saya habiskan kursus selama lima hari itu.
“Selepas seminggu, saya ambil keputusan untuk mengucapkan dua kalimah syahadah. Memang terlalu cepat, tetapi apa yang saya takut ketika itu jika saya berlengah lagi, saya tak sempat peluk Islam bagaimana pula nasib saya,” ungkapnya yang memeluk Islam pada 18 November 2009 ketika berusia 22 tahun.

Respon Keluarga
Sesungguhnya bukan mudah buat Amira untuk menerangkan tentang niatnya untuk memeluk agama Islam kepada ahli keluarga terutamanya ibu tercinta. Apatah lagi Amira merupakan anak “mak” dan dia sangat rapat dengan ibunya. Segala-galanya dia berkongsi dengan ibu, jadi apabila ibunya tidak merestui keputusan membuatkan Amira jadi pilu.
Menurutnya, seumur hidup dia tidak pernah mengingkari perintah atau arahan ibunya tetapi saat memeluk agama Islam, dia terpaksa melukakan hati ibunya yang sangat dia sayangi.
“Saya memang sendirian ke pejabat agama Islam untuk mengucap syahadah. Sebelum saya keluar rumah, saya beritahu perkara sebenar dan ibu saya terus menangis. Saya juga sedih kecilkan hati mak ketika itu tetapi saya terpaksa juga lakukan tindakan ini kerana percaya tindakan saya betul.
“Saya juga terangkan kepada mak bahawa Islam bukanlah apa yang kami fikirkan selama ini. Saya janji dengan mak yang saya memang tidak akan berubah, saya tetap anaknya. Cuma agama sahaja yang berubah.
“Tidak dinafikan pada peringkat permulaan, muncul beberapa masalah seperti isu makan, tempat solat dan mengenakan hijab. Ia memakan masa lapan tahun untuk saya terangkan agar mak faham dan tidak memandang serong tentang Islam. Ia bukan satu hal yang mudah buat saya,” jelasnya lagi.
Tambah Amira dugaan terbesar buatnya setelah bergelar seorang Muslimah adalah dalam mengenakan hijab. Kakaknya sendiri menyoal itu dan ini apabila dia perasan ada sahaja muslim yang tidak mengenakan hijab dan mengapa pula perlu berhijab padahal baru menganut Islam.
Dalam masa yang sama, Amira tahu betapa berdosanya dia jika tidak mengenakan hijab, akhirnya Amira tekad mengenakan hijab setelah menerangkan bahawa apa yang Amira lakukan adalah menurut ajaran Islam dan bukannya mengikut orang.
Belajar Agama
Menurut Pensyarah di Admal Aviation College ini lagi, setelah mengucapkan syahadah, dirinya telah mengikuti pelbagai kelas untuk mendalami ilmu agama antaranya kelas fardhu ain, bengkel solat, bengkel menguruskan jenazah yang dianjurkan untuk saudara baru oleh Majlis Agama Islam, Negeri Sembilan.
“Masa awal-awal dahulu, saya memang banyak ikuti kelas yang dianjurkan, maklumlah banyak perkara yang masih saya jahil serta tidak tahu. Alhamdulillah kini hanya sesekali saya mengikuti majlis agama kerana semua kelas asas telah saya ikuti.
“Sudah tentu, menjadi harapan terbesar saya untuk melihat salah seorang ahli keluarga saya mengikut jejak langkah saya menganut agama Islam terutamanya mak saya. Setiap hari saya pasti berdoa dan saya juga harapkan semua pembaca Mingguan Wanita mendoakan ibu saya mendapat hidayah.
“Selain itu, harapan untuk diri saya untuk menjadi seorang Muslimah yang lebih baik. Saya juga tanam niat untuk menjadi lebih baik dari semalam. Dalam masa yang sama, saya memasang impian untuk melahirkan pendakwah satu hari nanti yang mampu berbahasa mandarin bagi memudahkan kefahaman di kalangan bangsa Cina tentang Islam.
“Oleh sebab itu saya dengan bantuan rakan baik saya membuka tadika Islam Mindacerah Mandarin untuk melatih khalifah kecil dalam berbahasa Mandarin dan suatu hari mereka mampu berdakwah dalam bahasa Mandarin,” ungkapnya Amira satu-persatu.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

