Melihat dari zahir, Husein kelihatan seperti manusia normal yang lain,tapi kerana perangainya yang pelik dia digelar Husein gila. Husein sering kelihatan di surau-surau, dia suka membersihkan kawasan di sekitar surau yang dikunjunginya. Apa yang pelik tentang Husein, kerjanya adalah mengutip kotoran yang ada di karpet dalam surau. Pernah ditanya jemaah surau kenapa tidak sahaja dia menggunakan penyapu, tapi jawabnya, “ Rugilah kalau aku pakai penyapu, kalau kutip guna tangan, 10 kali ganda Allah SWT bagi aku.” kenyataan itu membuatkan para jemaah surau terdiam membisu.

Bukan sahaja kotoran di karpet yang dibersihkan, malah kalau Husein membersihkan bilik air di surau, habis lantai di dinding diberusnya hingga berkilat. Husein akan ambil masa yang lama untuk membersihkan satu bilik air kerana dia tidak gunakan berus biasa, tapi menggunakan berus gigi. Menurut Husein kalau lebih lama masanya diambil untuk mencuci tandas yang ada lebih banyak hadiah dari Allah yang akan dia perolehi.

Ternyata Husein tidak pernah meminta wang balasan atas usaha yang dilakukan. Bila ada yang menghulurkan wang sebagai upah, ditolaknya kerana baginya dia masih berupaya untuk mencari makanan lebihan orang, berdosa membazir katanya. Begitulah mulia sikap Husein walaupun dirinya tidak senormal orang biasa.

IKLAN

Kepelikan Husein tidak terhenti di situ sahaja, ada satu ketika dia kutip nasi-nasi yang selerak di lantai dikumpul pada satu tempat untuk semut makan katanya. Semut juga makhluk Allah jadi jemaah surau biarkan sahaja kelakuannya itu.

Tapi Husein tidak pernah berjemaah bersama di surau, apabila diajak solat, katanya orang gila tak payah solat, tak boleh Haram! Siapa sebenarnya Husein? Ada yang mengatakan dia sebenarnya bekas pelajar pondok yang selalu didera oleh ibu tiri dan bapanya. Kerana tekanan yang dialami, dia merayau tak tentu arah. Apa yang mengejutkan para jemaah surau, pernah sekali Husein azan dan azannya itu cukup sempurna buat seorang yang tidak normal sepertinya.

IKLAN

Kini Husein telah pergi buat selama-lamanya. Saat ketika jenazahnya dimandikan tiga orang bertukar-tukar kerana tidak sanggup untuk meneruskan dek kerana sedik dan sebak melihat jenazah insan istimewa ini. Bukan kerana jenazahnya itu ada cacat cela, tapi muka arwah Husein kelihatan berseri-seri walaupun semasa hayatnya arwah hitam berdaki, gigi berkarat. Kini semuanya bertukar putih bersih dan berseri serta berbau harum setelah dia dimandikan.

Seminggu surau sunyi sepi, sebulan silih berganti imam bertukar-tukar mendoakan arwah Husein. Bayangkan 30 hari setiap kali selepas solat, mesti mendoakan kesejahteraan Husein. Hingga menitis air mata Imam rindukan Husein ‘gila’.

IKLAN

Semoga menjadi iktibar buat kita semua yang masih hidup dan mencari-cari kesempurnaan di dunia persinggahan ini. Usahlah menilai orang lain dari luarannya dan janganlah cepat menjatuhkan hukum kerana kita tidak tahu siapa kita di sisi Allah Yang Maha Esa.

ALLAH pandang Nawaitu kita, hati kita, ketulusan dan keikhlasan serta keimanan, ketaqwaan dan itu semua tidak ada pada rupa, warna kulit, status, harta, pangkat dan darjat yang sering dibangga-banggakan di dunia pada hari ini.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI