Buat mak ayah,didiklah anak sebaiknya dengan cara yang betul. Kawallah emosi tatkala berhadapan dengan anak-anak. Tegurlah dan perbaikilah sikap anak-anak mengikut peringkat usia mereka.Seharusnya ketegasan mak ayah itu perlu, namun hendaklah bertempat.
Tidak dapat dinafikan sebagai mak ayah, adakalanya kelakuan anak-anak memang mampu menguji kesabaran yang maksima.Ketika ini, pertimbangan dan kewarasan fikiran harus didahulukan berbanding mainan emosi.Anak-anak perlukan teguran melalui kasih sayang, secara baik, bukannya melalui herdikan mahupun tengkingan yang mampu mencalar emosi dan perkembangan mereka.
Semoga secebis perkongsian oleh Ustaz Ws Adli W Muhammad ini mampu dijadikan pengajaran dan iktibar buat kita.
Ada orang tanya saya, bagaimana cara terbaik untuk mendidik anak. Saya tidak layak menjawab soalan begitu. Yang saya boleh katakan, saya bukanlah bapa yang baik, yang boleh dijadikan contoh kepada yang lain.
Ada satu peristiwa yang benar-benar sehingga kini mengganggu diri saya. Setiap kali dikenang, saya tidak malu katakan bahawa saya menangis. Pernah juga saya teresak-esak tidak dapat menahan betapa sesalnya saya berbuat perkara tidak baik dalam mendidik anak saya, Safiyyah. Apalah beban yang perlu ditanggung pada usianya yang hanya berumur empat tahun ketika itu.
Ceritanya begini.
Sejak Safiyyah mempunyai adik, dapat dilihat bahawa dia banyak cemburu. Safiyyah ini sejak lahir tidak pernah meragam besar, hanya kecil-kecil sahaja ragamnya seperti mahukan susu, mahu tidur dan mahu berjalan di luar rumah. Budaknya diam, tidak banyak bercakap. Melainkan apabila diacah oleh kami dan saudara mara.
Di dalam rumah kami, Safiyyah mempunyai motor beroda tiga berkuasa bateri yang boleh ditunggangnya di dalam rumah. Yang saya perasan, apabila adiknya Riyadh, ketika itu sudah berusia 2 tahun mahu bermain bersama, akan ditolak adiknya. Yalah, padanya itu harta dia. Budak-budak. Banyak kali saya lihat, Safiyyah suka menolak adiknya itu apabila cuba menaiki motornya.
Sampailah suatu hari pada waktu senja, mereka bergaduh pasal motor tu. Safiyyah seperti biasa akan jadi pemenang, menolak adiknya sehingga jatuh terduduk. Riyadh menangis besar.
Kata Kasar Dengan Anak Usia 4 Tahun
Saya yang masa itu mahu ke bilik air untuk mandi, naik marah. Memarahi Safiyyah sunguh-sungguh dengan mengatakan padanya, dia seorang kakak yang kedekut, suka cari pasal, bencikan adik dan paling saya ingat sampai sekarang “Abah tak akan cakap lagi dengan Safiyyah”.
Kau bayangkan kawan, saya berkata kasar begitu kepada anak kecil yang baru berusia empat tahun. Safiyyah menangis. Tersedu-sedu dan membawa diri ke bilik wan (nenek) nya. Berjalan penuh sayu, menunduk sambil tangan kanan mengesat-ngesat air mata yang jatuh berjurai di pipinya. Sayu, teramat sayu dan pilu.
Saya terus dalam keadaan marah masuk ke bilik air. Mulut masih lagi membebel. Selesai mandi saya kembali ke bilik. Sudah sahaja memakai pakaian, saya pun bersedia untuk keluar dari bilik menuju untuk bersolat maghrib di ruang tamu. Ketika mahu keluar,di dinding, bersebelahan pintu bilik, Safiyyah duduk di situ.
Ads
Dengan kedua-dua tangan memeluk lutut yang mana lututnya itu di paras dadanya, kepalanya tertunduk, dan dia kemudian memujuk saya dengan mengangkat kepala memandang ke arah saya, perlahan suaranya tersedu-sedu memanggil “Abah, abah, Safiyyah ni”.
Itulah Safiyyah. Kena marah macamana pun, tak sampai seminit dia akan cuba mengambil hati saya dengan menunggu di pintu bilik. Banyak kali sudah dibuatnya begitu.
Ego Dengan Anak
Itulah perkara paling bodoh saya lakukan dalam hidup saya hari itu. Saya langsung tidak menyahut panggilan Safiyyah, dan lebih malang bagi Safiyyah, saya tidak langsung menghiraukannya. Terus membentang sejadah dan bersolat maghrib, dalam keadaan marah hanya reda sedikit.
Safiyyah pula, kekal duduk bersandar di dinding, dengan harapan saya akan memujuknya.
Tidak. Saya terus tidak melayannya. Keluar dari rumah, untuk ke masjid pula, saya terus dengan ego bodoh saya terhadap anak kecil itu, tidak memandang dan melayannya.
Ketika saya bergerak ke masjid dengan menaiki motorsikal, saya sempat memandang ke arah pintu cermin, kelihatan Safiyyah memandang sayu ke arah saya. Saya pula, kekal tidak pedulikannya.
Kalian tahu, hari itu anak kecil bernama Safiyyah ini diuji perasaannya pada usia begitu dengan sikap sombong dan bodoh bapanya, iaitu saya.
Ads
Sungguh, pandangan sayu Safiyyah hari itu, masih kekal dalam ingatan saya.
Di masjid, sebelum Ustaz Jauhari memulakan kuliahnya, beliau suka bermula dengan mukadimah berkaitan isu-isu semasa. Entah kenapa hari itu, beliau memberi peringatan dan pengajaran berkaitan mendidik anak dengan betul.
Katanya:
1. Mendidik anak bukan seperti mendidik orang dewasa, perlu belaian dan kasih sayang yang berlebihan daripada walinya dan ibunya.
2. Tarik minat anak-anak dengan ilmu agama, sirah nabi.
3. Tegur anak dengan baik, bukan menengking, memboikot malah menarik muka mahupun tidak bertegur sapa beberapa hari.
4. Rujuk cara nabi Muhammad melayan anak-anak.
5. Anak kalau bergaduh sesama, itu biasa. Bagi masa untuk mereka suaikan diri, bagi peluang semua merasa dan bagi menang-menang, bukan sorang menang, sorang kalah.
6. Anak merajuk, ambil hati anak. Bukan dibiarkan begitu sahaja dengan dunia rajuknya.
7. Dengarkan anak dengan bacaan al Quran dari bibir kita sendiri, perlahan-lahan anak ini akan jadi anak yang patuh pada arahan kita, lembut hatinya mendengar kata.
Saya termenung. Semasa itulah saya sedar, betapa bodoh dan sombongnya tindakan saya terhadap Safiyyah. Tindakan paling bodoh diambil untuk budak seusia begitu. Ya Tuhan, ampuni aku.
Mengikut marah saya, saya lupa perasaan Safiyyah yang masih kecil. Saya lupa betapa dia perlukan kasih sayang saya. Saya lupa, betapa dia suka duduk di atas riba saya. Saya lupa, bahawa umurnya ketika itu baru empat tahun. Saya silap, bukan itu didikan untuk Safiyyah pada usianya begitu. Saat itu, hati saya mendesak untuk pulang segera, bertemu dan memeluknya erat sepuas-puasnya.
Selesai solat isyak, saya lekas pulang. Hati saya memberontak, mahu terus berjumpa dengan puteri si jantung hati saya. Sesampainya di rumah, isteri membuka pintu, kemudian berkata pula dalam sayu,
“Kasihan Safiyyah. Dia sudah tidur, menangis tidak henti-henti. Abang ni, nak marah ke budak pun, janganlah sampai begitu sekali sikapnya. Tak layan ke dia, tak pandang ke dia, tak tegur ke dia. Apalah yang dia tahu pada umurnya begitu. Dunianya hanya kegembiraan, dunianya hanya penuh permainan yang menyeronokkan. Dunianya, sudah pasti ada cemburu pada adik-beradiknya. Kita pun begitu kan dulu-dulu?”
Tegas Tidak Bertempat
Saya terduduk di atas sofa. Menghadap wajah Safiyyah yang sedang lena di atas toto, dibentang di ruang tamu. Wajah comel itu, sayu dan menyimpan rindu buat ayah yang baru sahaja memarahinya tanpa memikirkan tahap usianya, tanpa memikirkan bahawa Safiyyah itu anak perempuan, yang memerlukan kelembutan dalam asuhan berbeza dengan lelaki.
Saya, bertegas tidak bertempat. Itu semua mencipta tindakan bodoh dari diri sendiri.
Ads
Saya perlahan turun dari sofa dan merapati Safiyyah. Mengusap-ngusap kepalanya, menyentuh lembut pipinya. Ketika jari saya menyentuh tapak tangannya, seakan dia tahu ketika itu saya yang menyentuhnya, cepat dia menggenggam dengan jari kecilnya. Erat. Lama bagai tidak mahu dilepaskan.
Saya sebak. Menyesal dengan tindakan melulu saya, menyesal dengan dosa yang telah saya lakukan kepada Safiyyah. Entah kenapa saya hari itu, menuruti kata syaitan memenuhi nafsu amarah, meninggi ego kononnya saya betul lakunya.
Kawal Emosi Dengan Anak
Wahai kawan,
Anak ini anugerah agung kurniaan Allah. Didiklah mereka dengan jalan dan ajaran yang betul dan benar. Tegurlah mereka, perbaikilah sikap mereka mengikut usianya, berikanlah kasih dan sayang sepenuhnya selagi berpeluang. Kawal emosi kita ketika berhadapan dengan mereka. Berikan masa untuk mereka bermanja dengan kita, luangkan masa untuk bersama bergurau senda bermain.
Saya pernah tersasar dalam memperbaiki sikap anak. Betapa sakitnya dan perasaan sesal itu kekal terpahat dijiwa sehingga sekarang. Tak pernah pudar walau sesaat.
Anak menghadirkan berkat dan rahmat buat kita, menambah rezeki keluarga. Tidak pula mereka membebankan kita, apatah lagi menyusahkan hidup kita.
Hadir mereka membawa keindahan dalam kehidupan berkeluarga. Indah jugalah hendaknya cara didikan kita, kelak harapannya apabila membesar setiap tahun, mereka mengikut segala didikan dan ajaran yang baik-baik, dan dapat menempuh alam kehidupan penuh cabaran dengan berpandukan jalan-jalan disukai agama dan masyarakat.
Mereka, pengirim doa bahagia kita di sana, asuhlah sebaiknya.
WS Adli,
Belajar dari kesalahan dan kesilapan diri.
Memang menjadi tanggungjawab isteri atau mak-mak memasak dan menghidangkan menu berbuka untuk seisi keluarga. Setiap hari fikir menu dan kemudian ambil masa untuk masak dari satu hidangan ke satu hidangan memang penat.
Jadi bila mak-mak masak, kemudian rasa kurang sedap atau menu tak kena tekak, janganlah komplen itu dan ini. Prihatin sikit dengan penat lelah mak habiskan masa di dapur untuk kenyangkan setiap perut dalam satu rumah.
Ikuti perkongsian, Nurul Haslinda ini dan berhenti komplen itu dan ini ya:
Puasa bujang vs puasa dah berkeluarga
Dulu zaman bujang bila tiba bulan puasa, tak kisah nak berbuka dan bersahur makan apa sebab isi perut kita seorang saja. Dah tu tak kisah makan kat mana-mana pun janji dapat berbuka dan bersahur. Kerana bila kita seorang, tidak ada masalah dan makan apapun tak kisah janji kenyang.
Tetapi bila dah berkeluarga ni, bila bulan puasa masa nak berbuka dan bersahur ni mulalah pening kepala fikir nak masak dan makan apa? kerana bukan perut kita seorang je tapi ada lagi 2, 3 perut yang lain nak makan juga.
Selepas itu menu pula ikut tekak dan selera masing-masing. Lagilah pening kepala mak ni ooi.. Sebab hendak memenuhi kehendak selera orang lain. Jadi terpaksa berfikir supaya ianya menepati kehendak mereka.
Kadang-kadang rasa nak menangis bila memikirkan menu untuk di masak hari-hari. Malah ada yang sampai bergaduh kerana menu yang di masak tidak kena dengan selera. Adoii… memang haru laa.
Ada yang jenis orang masak, dia makan saja tanpa komplen dan cerewet asalkan kenyang dan bersyukur sebab ada orang yang sudah masakkan dan sediakan makanan untuk mereka. Tetapi ada juga yang cerewet nak mati, asyik perlekehkan masakan orang saja, konon dia chef no.1 dekat dunia ini.
Lain Orang Lain Ragamnya
Macam-macam ragam orang. Apapun sepatutnya setiap kita perlu ada peri kemanusiaan. Hargailah orang yang memasak untuk mereka itu. Kalau boleh bagilah kerjasama kalau apa yang tekak anda hendak makan ‘request’lah atau anda boleh masak sendiri.
Jangan bila orang sudah masak, lepas itu komplen dan marah-marah. Prihatin sikit pada yang tukang masak tu. Penat lelah dan masa dia. Dia dah masak pun kita sepatutnya bersyukur dan ucap terima kasih.
Macam aku, kalau orang masak dan sediakan semuanya aku suka sangat dan bersyukur atas rezeki untuk hari ini. Buat apa nak komplen, Allah dah tetapkan itu rezeki kita hari ini maka makanlah dengan berselera dan ucap Alhamdulillah.
Cuba fikirkan diluar sana ramai saudara kita yang kebuluran dan kelaparan. Malah ada yang sanggup mengutip sisa-sisa makanan orang yang telah dibuang dan juga memunggah tong sampah untuk sesuap makanan bagi mengisi perut mereka yang kosong.
Langsung tidak fikir makanan tersebut bersih atau elok lagi. Bahkan apa yang kita tahu semestinya makanan tersebut sudah basi dan ada yang sudah berbau busuk.
Belajarlah Bersyukur
Tidak bersyukur lagikah kita? Dalam dunia ini jangan kita hina makanan kita, jika kita menghina ibarat kita hina rezeki yang Allah bagi. Jangan menyesal jika suatu hari nanti Allah tarik rezeki kita dan nikmat selera kita. Fikirlah sedalam-dalamnya dan renungkanlah sebaiknya.
Maaf jika coretan aku ini ada yang terasa. Kita hidup didunia ini, kena banyak bersyukur. Apa yang berlaku dalam kehidupan kita seharian sama ada apa yang kita makan atau apa yang kita buat sebenarnya tanpa kita sedari ianya telahpun di tentukan oleh Allah.
Jadi jangan sesekali kita menyalahkan rezeki dan apa juga yang berlaku. Banyak-banyakkanlah muhasabah diri dan bersyukur dengan apa yang kita makan dan terjadi. semua itu adalah rezeki.
Jadi bila kita dah berkeluarga, bila bulan puasa atau tidak. Makan dan minumlah apa yang disediakan asalkan ianya boleh mengenyangkan kita. Jangan dikomplen dengan rezeki kita kerana kita kena hargai orang yang sudah masak tu.
Jadi sama-samalah bertolak ansur. Dulu zaman bujang lain, duit makan untuk kita seorang saja tetapi bila dah berkeluarga duit makan kena berkongsi.
Bujang Tak Sama Dengan Bekeluarga
Dulu bujang boleh makan dekat restoran mahal sebab bayar untuk kita seorang saja. Tetapi sekarang kalau hendak makan kat restoran mahal-mahal, banyak yang kita kena fikir dan jika mampu tidak kisah sekali sekala untuk melepaskan keinginan kita dan bawa keluarga bersama.
Makan ini kita tak boleh pentingkan diri dan perut kita saja bila sudah berkeluarga, ingat sama keluarga kita adakah mereka juga nak makan macam kita atau sebaliknya. Sedikit boleh dikongsi banyak boleh di rasa semua. Betul tak?
Terima kasih sudi membaca. Coretan hanya suka-suka kebetulan baru siap masak ni. Tengah-tengah duduk idea datang menjengah. So, Apalagi jari jemari ni pun rancak nak menaip dan otakpun seiring dengan idea yang datang.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua. Yang baik datangnya dari Allah dan yang tidak baik itu datangnya dari kelemahan diri kita sendiri. Sekian. Wasalam.. #kisahcikgulinda #catatankupengalamanku #akupejuangkanser
MW: Hargailah setiap makanan yang dihidangkan, ucapkan terima kasih. Rasa hilang penat memasak bila ahli keluarga berterima kasih dan suka dengan makanan yang dimasak. Belajarlah bersyukur dengan setiap rezeki yang telah Allah tetapkan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Di usia lima tahun, Maleeq Dragster atau nama penuhnya Wan Ayden Maleeq Wan Muhd. Muzri telah mencipta sejarah gemilang sebagai jaguh pushbike yang mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
Prestasi luar biasa kanak-kanak ini telah diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) apabila dinobatkan sebagai juara terbanyak kejohanan pushbike kanak-kanak di luar negara dalam tempoh setahun.
Dengan 14 kejuaraan hebat dalam genggaman, termasuk gelaran juara dunia kategori lima tahun di RCS Championship, Tokyo, Jepun, Maleeq membuktikan bahawa usia muda bukan penghalang untuk mencipta nama besar.
Inspirasi dari Keluarga
Bapanya, Datuk Seri Wan Muhd. Muzri, menyifatkan kejayaan ini sebagai bukti potensi sukan pushbike dalam membentuk generasi muda yang tangkas dan berdaya saing.
“Sebagai ibu bapa, kami berbangga dengan Maleeq. Dia juga memberi inspirasi kepada adik-beradik serta rakan-rakan seperjuangan untuk lebih berdaya saing. Semoga ini menjadi pemangkin untuk melahirkan seorang ahli sukan negara yang berjaya pada masa hadapan.
“Maleeq bukan sahaja mencipta rekod baru untuk Malaysia, malah mengangkat martabat sukan pushbike tempatan ke peringkat lebih tinggi agar setanding dengan sukan kanak-kanak lain di dunia. Semoga dia terus mengekalkan prestasi cemerlangnya dan menjaga nama baik Malaysia di persada antarabangsa,” katanya.
Selain mempertahankan kejuaraan dua tahun berturut-turut di Jepun, Maleeq turut mencatat kemenangan di beberapa negara termasuk Thailand, Indonesia, Filipina, Hong Kong, dan Singapura.
Pelumba muda itu juga merangkul pelbagai kejuaraan tempatan, antaranya M8 Malaysia International Pushbike GP Series 2 2024 Langkawi, M8 Malaysia International Pushbike GP Series 4 2024 Petronas, dan M8 Magnificent Race 2024.
Selain itu, Maleeq berjaya menewaskan pelumba-pelumba cilik antarabangsa dalam Rockfish Cup International Championship 2024 yang berlangsung baru-baru ini.
Dorongan dari ibu, Datin Seri Nursyafira Mohd. Zain sentiasa berada di belakang kanak-kanak berusia 5 tahun ini.
Ibunya, Datin Seri Nursyafira Mohd. Zain, mendedahkan bahawa Maleeq sentiasa menunjukkan semangat juang yang tinggi walaupun pernah tercedera semasa latihan.
“Dia memang kanak-kanak yang kuat semangat. Begitu juga kakak dan abangnya, Mikael dan Mikayla, yang sentiasa menunjukkan prestasi terbaik walaupun pernah tercedera semasa perlumbaan.
“Kami sebagai keluarga sentiasa memberi sokongan padu, termasuk menyediakan pusat latihan khas di rumah agar anak-anak dapat mengimbangi akademik dan sukan dengan baik,” katanya.
Tiga beradik ini banyak mengharumkan nama negara dalam sukan pushbike di luar negara. Maleq bersama kakaknya, Mikayla dan abangnya, Mikael.
Bermula Di Rumah
Menyentuh soal bagaimana membahagikan masa antara minat dan pelajaran, baik ibu serta bapanya meletakkan keutamaan terhadap pelajaran terlebih dahulu dan memastikan ia tidak menjejaskan akademik anak-anak.
“Semuanya bermula di rumah. Kami melihat kesungguhan mereka, lalu mengambil jurulatih dan membina pusat latihan sendiri. Latihan hanya dilakukan pada waktu malam, manakala hari persekolahan sepenuhnya untuk belajar. Perlumbaan pula hanya pada hujung minggu agar tidak mengganggu pembelajaran mereka,” katanya.
Menurut Wan Muzri, yang juga Presiden The M8 Cycling Club, Maleeq akan terbang ke Jepun sekali lagi pada Januari depan bagi menyertai Kejohanan Run Bike Series (RCS).
“Maleeq akan membawa nama negara bersama abang dan kakaknya, serta tujuh pelumba lain — Fayyadh, Raziq, Izz Fast, Amni, Rafif, Ilyas, dan Dayyan. Saingan kali ini dijangka sengit, tetapi kami yakin dengan persiapan rapi, pelumba Malaysia mampu mencapai keputusan terbaik,” ujarnya.
Mengenai masa depan Maleeq selepas sukan pushbike, Wan Muzri berkata anaknya berhasrat meneruskan langkah sebagai pelumba sukan permotoran Mini GP, hasil kerjasama antara M8 Malaysia dan ZK Racing.
“Program ini memberi peluang kepada kanak-kanak berbakat untuk melangkah lebih jauh. Aktiviti sukan seperti ini bukan sahaja membina keyakinan diri tetapi juga membantu mereka bergaul dengan rakan sebaya,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.
Cantiknya lahai tengok Datin Seri Zizie Izette lepas bersalin. Biar pun baru-baru ini beliau berkongsi gambar simple OOTD, ibu anak kembar ini tetap mantain cantik malah sentiasa berseri-seri.
Kata isteri kepada Datuk Seri Bung Moktar Radin, ahli parlimen Kinabatangan ini, sejak adanya anak kembar, Aadam Zac Izette (abang) dan Aaleph Zeke Izette (adik) dirinya semakin sibuk menguruskan mereka.
“Sejak dah ada anak berderet-deret ini, nak keluar pun dah main sarung je. Apa-apa yang ada. Muka pun togel je.
“Nak siapkan anak-anak pun dah makan masa.”
“Last-last mommy asal siap je dah.”
Ini kerana akuinya, bab menguruskan anak-anak kebanyakannya diuruskan sendiri. Dan tak bergantung sepenuhnya dengan pembantu.
“I dont depend 100% on my helpers.”
“Mostly semua buat sendiri bab menguruskan anak-anak melainkan tak cukup dua kerat tangan ini.” Baguskan ibu anak kembar ini. Bermakna kasih sayang anak-anak akan tertumpah sepenuhnya dekat ibu.
Bonding dengan anak-anak pun akan terbina jika ibu dan ayah uruskan sendiri anak-anak mereka sejak dari bayi lagi.
Datin Seri Zizie Izette juga mempunyai anak perempuan, Naila Nur Jenna berusia 3 tahun.
Demi Kembar, Lepas Ini Dan Seterusnya.. Ini OOTD Paling Ringkas
Akui Datin Seri Zizie lagi,
“This is my simplest ootd. It will be this way from now on.”
“Yang penting ada gambar. Jadilah..”
Apa pun yang Datin Seri Zizie pakai tetap cantik di mata para peminatnya. Baca komen-komen peminat ni..
Pantang 44 Hari
Tengok bentuk tubuh Datin Seri Zizie yang kembali langsing selepas melahirkan anak kembar sememangnya menjadi idaman mana-mana mak-mak yang alami berat badan naik mendadak sepanjang kehamilan.
Beliau berpantang selama 44 hari dan menggunakan khidmat Kimporo postnatal. Antara artis lain yang pernah menggunakan khidmat ‘postnatal rejuvenation retreat’ ini adalah pelakon dan pengacara Yasmin Hani.
Aadam Zac Izeete dan Aaleph Zeke Izette (sebutannya Alif) dilahirkan pada hari Jumaat, 29 Disember 2017 pada jam 5. 48 pagi (Aadam) dan 5.50 pagi (Aaleph) dengan berat masing-masing 2.74 KG dan 2.78 KG.
Kes Syamsul Haris: Bedah Siasat Kedua Kesan Kecederaan Mencurigakan-Peguam Keluarga. Bedah siasat kali kedua terhadap Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, mendedahkan wujud kecederaan mencurigakan yang menuntut siasatan lebih terperinci berkaitan kematian pelatih kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor pada 28 Julai lalu.