Fitrah orang rumah ini memang banyak berkata-kata. Kalau bab meluah pun berilah pada orang perempuan. Mereka memang ‘champion’. Suami, jarang sangat kita dengar jenis yang membebel. Diam itu lebih baik bagi suami.
Sebabnya tak nak keruhkan hubungan rumahtangga. Isteri pula, membebel itu caranya meluah rasa. Sehinggalah terlalu asyik meluah, tidak sedar rupanya suami pun tahu menilai. Jika suami tak makan dalam ‘bersyukurlah’.
Pengalaman Pendakwah Bebas yang pernah bertugas sebagai Perundingcara Rumahtangga, Ustazah Asma’ Binti Harun menangani kes suami isteri dalam sesi kaunseling ini benar-benar meninggalkan kesan di hati.
Terutamanya buat para isteri, agar fikir masak-masak, renungkan dalam-dalam. Cari dan gali kenapa suami lebih banyak berdiam ketika bibir kita laju benar menghamburkan das-das ketidak puasan hati itu.
DIAM SUAMI MENDIAMKAN ISTERI
Pasangan ini masuk dengan wajah yang kelat, saya memberi salam, dipersilakan keduanya duduk lalu dimulakan dengan bacaan surah al-Fatihah.
“Baiklah, boleh sesiapa yang mulakan, saya bersedia untuk mendengar dan membantu sebaik mungkin.”
Si isteri membetulkan duduk, dilihat sangat bersedia untuk meluahkan yang terbuku, sememangnya si isteri yang membuat aduan dan menantikan tarikh temujanji ini.
“Baiklah ustazah, saya akan mulakan, jika nak tunggu suami saya memang tak menjadi apa-apa perbincangan kita ni.”
Si suami hanya diam dan mula tunduk. Nampak letih, lelah dan seperti pasrah sahaja.
“Ustazah, saya tahu saya bukan isteri yang baik sangat, tapi suami saya ni…. saya cuma harapkan…. bukan banyak pun… lagipun memang tanggungjawab dia kut…. dah banyak saya korbankan…. saya bukan tak ikhlas…. tapi… bla..bla..bla..”
Ads
Saya biarkan dalam 20 minit si isteri meluahkan sambil menjeling melihat si suami. Pandangannya kosong. Mungkin skrip yang sama dah diulang beribu kali. Kasihan pun ada.
Itulah Dia Ustazah, Asyik Tak Ada Apa-apa, Susah Bawa Berbincang
“Ok puan, saya kira dah lama puan pendam dan puan memang seorang yang kuat dan sabar,”
mulut si isteri sedikit terbuka seperti ingin menyambung lagi, cepat-cepat saya memotongnya, “baiklah saya nak dengar di pihak suami puan pula, silakan encik untuk mengatakan sesuatu.”
Si suami angkat muka, diam sekejap, lalu dengan jawapan ringkas “Saya tak ada apa-apa yang nak dikatakan ustazah.”
“Itulah dia ustazah, macam tu lah dia, susah nak bincang, asyik tak ada apa-apa, jadi kalau begitu memang betullah apa yang saya cakap, dia lah yang kena berubah kan ustazah, bukan saya.”
Aduh, laju sekali isterinya membidas. Si Suami menghela nafas berat dengan sekali hembus sambil menggeleng perlahan.
Saya hulurkan kertas A4 dan sebatang pen untuk setiap orang.
“Baiklah, saya mohon encik dan puan senaraikan, apakah yang kita tidak suka dan apakah perubahan yang diharapkan daripada pasangan, kemudian tulis juga kebaikan pasangan kita. Mungkin dengan cara ini kita boleh luahkan dengan lebih baik tanpa emosi, saya mohon fikirkan dulu sebelum tulis.”
Ads
Saya beri keduanya masa. Si isteri menulis dengan laju, beberapa minit dah penuh muka surat depan lalu meminta izin untuk menyambungnya di m/s belakang. Manakala si suami, memintal-mintal mata pen di kertas. Beberapa kali cuba untuk menulis kemudian dibatalkan. seperti menimbang-nimbang sesuatu.
Saya Tak Mampu Tulis, Walau Satu Keburukan Isteri
“Ustazah, inilah sahaja daripada saya. Saya harap suami boleh terima seadanya, inilah luahan ikhlas daripada hati saya.”
Dua muka surat penuh. Sengaja saya tidak menghulurkan lagi kertas tambahan, bimbang disambutnya. Dan ternyata kertas si suaminya hanya ada tulisan,
Abang mohon daripada sayang… (namun tulisan itu dipotong).
Itu sahaja!
“Maaf, kenapa tuan tidak menulis apa-apa?”
Kedua tapak tangannya menyapu wajah lalu disatukan keduanya, dengan nafas yang dalam si suami menyusun kata,
Ads
“Ustazah, kami dah hidup 18 tahun bersama, dikurniakan 4 orang anak dan saya sangat mengenali baik buruk isteri saya ini. Kerana itu, bila mengenangkan KEBAIKANNYA yang banyak, saya tak mampu nak tulis walaupun SATU keburukan atau kelemahannya, maaf SAYA TAK AKAN TULIS!”
Allahuakbar. Saya terpana. Isterinya di sebelah TERDIAM seribu bahasa, perlahan-lahan air matanya mengalir. Suasana sepi. Si isteri seperti ingin mengatakan sesuatu, tapi mulutnya terkunci. Saya minta izin untuk keluar sebentar. Saya tahu mereka perlukan ruang. Dari luar saya nampak si isteri memegang tangan suaminya seperti memohon kemaafan, si suami meletakkan tangannya di kepala isterinya. Tapi keduanya masih DIAM.
Duhai Isteri.. Diam Suami Mu Bukan Dia Tidak Peduli
Duhai Para Isteri,
Fahamilah ini,
DIAM Suami mu bukan semata kerana dia TIDAK PEDULI,
Dia tahu hatimu rapuh,
Untuk menerima walau satu keluh,
Bimbang hati kau akan luluh,
Lalu lidahmu tajam tanpa bersuluh,
Duhai para isteri, ingat sungguh ingatan ini,
Nabi SAW bersabda kepada para sahabatnya:
“ … dan aku melihat Neraka maka tidak pernah aku melihat pemandangan seperti ini sama sekali, aku melihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita. Para sahabat pun bertanya : “Mengapa (demikian) wahai Rasulullah?” Baginda s.a.w menjawab : “Kerana kekufuran mereka.” Kemudian ditanya lagi : “Apakah mereka kufur kepada Allah?” Baginda menjawab : “Mereka kufur terhadap suami-suami mereka, kufur terhadap kebaikan-kebaikannya. Kalaulah engkau berbuat baik kepada salah seorang di antara mereka selama waktu yang panjang kemudian dia melihat sesuatu pada dirimu (yang tidak dia sukai) nescaya dia akan berkata : ‘Aku tidak pernah melihat sedikitpun kebaikan pada dirimu.’ ” (Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari)
Muhasabah bersama.
Catatan pengalaman.
Silakan share.
Sumber/Foto : Asma’ binti Harun, Ex Perundingcara Rumahtangga, 23 Julai 2018
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Seronoknya bila tengok keluarga yang mempunyai anak ramai sekurang-kurangnya lebih 2 orang. Mesti berbeza perangai anak-anak dan cara mak nak layan karenah mereka. Mulalah terfikir, macam mana mak mampu kawal dengan karenah anak yang berbeza-beza.
Rezeki setiap pasangan. Anak ramai atau anak lebih 2 orang, tiga orang atau sepasukan bola sepak pun tak perlu mengeluh. Semuanya kurniaan dan rezeki yang telah ditetapkan. Nampak macam susah sangat bila anak ramai, nak urus dan meniti hari-hari membesar mereka.
Mungkin ada yang beranggapan, bila anak lebih 2 orang, masa untuk mak terus berubah dan ada yang tak mampu nak urus diri sebab segalanya diberikan keutamaan kepada anak. Mak tak kisah untuk dirinya asalkan anak terjaga dan terbela.
Namun, jangan ingat anak ramai ini hanya isteri saja uruskan. Suami pun kenalah beri kerjasama. Nak anak ramai tapi suami lepas tangan. Susah juga. Jangan biarkan isteri ‘terjerit’, termarah anak sebab keadaan ini boleh berlaku bila tak ada kerjasama dari suami.
Menurut perkongsian Mohd Fhais Salim, cabaran jaga anak ini lebih ekstrem daripada sukan ekstrem. Jangan terkejut kalau tiba-tiba mak mengeluarkan suara tarzan. Inilah cabaran sebenar mak-mak bila anak ramai. Suami kena faham dan tolong beri kerjasama.
Masa anak seorang kira ok lagi. Gaya hidup selesa kita masih lagi terurus.
Nak makan tak huru hara, tidur pun senang, mengantuk je terus masuk bilik bum atas katil.
Masuk dua orang, sedikit demi sedikit cabaran nak ‘survive’ hidup dengan selesa tu datang menerjah.
Makan pun kelam kabut, kadang sampai tercekik gara-gara nak urus anak sekali di waktu yang sama.
Tiba saat anak masuk tiga orang, tak ada lagi erti hidup selesa. Nescaya lifestyle mak-mak memang berubah 360 darjah.
Diri dah tak terurus, makan minun tak ikut waktu, tidur tak menentu dan rambut dulu lurus macam buat ‘rebonding’ sekarang asyik gugur setiap kali mandi.
Macam mana nak ada masa urus diri kalau setiap masa sibuk mengurus anak-anak.
Sebelum nak makan kena pastikan dulu anak-anak cukup makannya.
Sebelum nak mandi, anak-anak dulu kena di pastikan dulu mandi dan siap persalinannya.
Sebelum nak bergerak ke sana ke mari, barang barang ‘keperluan’ anak-anak kena sediakan dulu kalau tak huru hara sepanjang perjalanan.
Sibuk mengurus diet makan berkhasiat untuk anak-anak sampaikan diri sendiri hilang selera makan gara-gara ‘kortisol’ datang menyerang.
Anak Jadi Keutamaan
Segala berkenaan anak tak pernah lekang di fikiran, anak sentiasa jadi keutamaan dalam minda, dalam tenaga dan aktiviti harian.
Sehinggakan lupa buat ‘Self Love’ badan pun makin lemau dan tepu.
Tu baru tiga orang, kalau masuk je empat orang ke atas bermula la ‘mimpi ngeri’ setiap insan. Sehari kalau tak jadi tarzan memang tak sah!
Jaga anak ni cabaran dia lebih extreme dari sukan extreme tau!
Anak-anak bukan kerja untuk satu orang. Anak-anak kerja untuk satu pasukan yang boleh bekerjasama.
Suami dan isteri bersatu teguhlah nasib anak-anak, saatnya suami dan isteri tidak sepakat maka roboh sudahlah nasib anak-anak.
Bukan nak cakap bila suami isteri dapat bekerjasama proses urus anak-anak tu akan jadi mudah, tetap juga ada cabarannya.
Tapi risiko untuk mati akal bila mengurus anak bersama akan jadi 50 : 50, sebaliknya kalau urus seorang diri risiko ‘mati akal’ kemungkinan besar 100% comfirm.
Mingguan Wanita : Sangat perlukan kerjasama dari suami. Jangan harapkan isteri seorang uruskan anak-anak. Ada masanya isteri perlu ‘me time’ untuk dirinya.
Kasih sayang mak ayah kepada anak-anak memang tidak ada sempadan. Namun akan tiba masanya nanti, anak itu bukan lagi hak mutlak keluarganya. Apabila mereka berkahwin, maka keluarga kandung perlu berkorban perasaan apabila anak-anak terpaksa membahagikan perhatian mereka. Bagaimana jika anda baru berkahwin dan dikurniakan keluarga mentua terlalu berat untuk melepaskan anak kesayangan mereka?
Manipulasi Emosi
Cabaran ini sah kerana anak lelaki kesayangan mereka itu sebahagiannya sudah menjadi milik anda. Ada berlaku tarik tali tetapi yang menjadikan keadaan lebih mencabar apabila mentua menggunakan manipulasi emosi. Contoh kata-kata dalam strategi ini adalah seperti berikut:
“Mak tengok Man sejak kahwin ni selalu lebihkan isteri dari mak sendiri!”
“Kalau sayangkan Mak, Man kena balik tiap-tiap minggu tengok Mak”
“Mak dah tua, kalau Man tak boleh jaga Mak, siapa lagi?”
Siapa yang tidak goyang apabila berhadapan dengan strategi ini, betul tak? Walaupun kata-kata ini ditujukan kepada anaknya sendiri yang kebetulannya suami anda, tetapi siapakah yang akan paling kuat terasa bahangnya? Apa yang barangkali boleh anda cuba lakukan? Itulah yang akan saya kongsi dalam Nota Untuk Isteri minggu ini.
Tak Ada Ilmu
Pertama sekali anda perlu sedari bahawa ramai ibu sangat bergantung kepada naluri semula jadi untuk menyayangi anak sendiri.
Namun ramai ibu yang sebenarnya tidak ada ilmu bagaimana untuk menjadi ibu mentua yang baik kepada menantu sendiri. Terutama menantu perempuan. Ya, andalah tu. Sudah pasti anda tidak boleh kata kepada ibu mentua macam ini;
“Mak, Ina rasa elok mak ni masuk kelas jadi untuk belajar cara menjadi ibu mentua yang baik”
Andalah yang perlu ada ilmu bagaimana untuk menjaga emosi anda daripada terkena bahang manipulasi ini. Pertama sekali fahami keseluruhan situasi itu.
Isteri kena bijak main peranan agar suami tak rasa tersepit.
Tahap
Jangan sekadar melayan makna tajam di sebalik ayat-ayat yang ibu mentua anda sebut itu. Dalam Islam, ibu mentua itu hampir sama tahapnya dengan ibu sendiri. Apatah lagi ibu mentua itu adalah ibu kandung suami anda.
Jika ibu mentua anda tinggal seorang di kampung dan suami adalah anak tunggalnya maka anda mesti cukup matang untuk memahami situasi itu. Ingat bahawa apa yang kita semai maka itulah yang kita tuai suatu hari nanti.
Jika anda terlalu berkira maka suatu hari nanti apakah tidak berlaku keadaan menantu anda akan mengawal ketat anak lelaki anda nanti?
Hak Isteri
Situasi kedua bagaimana jika memang sahih keluarga mentua anda memang menggunakan strategi ini untuk menguasai suami anda sepenuhnya? Kembali kepada asas.
Anda sebagai isteri mempunyai hak-hak yang dijamin dalam agama. Hak ini adalah sempadan mengorbanan anda dan tidak boleh diambil oleh sesiapa sekali pun. Di sinilah seorang isteri perlu ilmu dan ketegasan. Isu ini panjang dan rumit untuk diterangkan dalam ruang singkat ini.
Namun selamat untuk saya sebutkan bahawa tempat terbaik untuk anda mempertahankan hak-hak ini adalah di Jabatan Agama atau di Mahkamah Syariah.
Tanya Soalan
Satu lagi cara yang saya boleh kongsikan ialah dengan bertanya soalan. Seorang isteri yang bijaksana ialah isteri yang bijak bertanya soalan. Bukan isteri yang banyak soalan tau! Lain maksudnya tu!
Sebagai contoh suami anda diarahkan pulang ke kampung tetapi adakah salah jika anda bertanya jika suami boleh menangguhkan dahulu sehingga anak anda sihat?
Bertindak Selepas Cukup Maklumat
Bertanya soalan juga adalah ‘pintu’ untuk mendapatkan maklumat. Seorang isteri yang bijaksana sentiasa membuat keputusan dan tindakan setelah mendapat cukup maklumat.
Cukuplah tiga situasi ini dahulu. Sebab itu, selalu dikatakan mengurus hubungan antara menantu dan mentua adalah lebih mencabar daripada menguruskan hal interaksi antara negara.
** Artikel ini telah dikongsikan oleh Dr. Syed Yusainee Yahya, Promind Training And Consultation, juga penulis tetap ruangan Nota Untuk Isteri di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Set pinggan mangkuk antara perkakasan dapur kegemaran kaum isteri. Tidak hairanlah ramai yang sanggup mengumpul pelbagai set pinggan mangkuk ini untuk dijadikan antara koleksi kesayangan.Lebih-lebih lagi yang berjenama terkenal dan berkualiti tinggi. Awas! jika ada yang terpecah mahupun hilang, memang boleh akibatkan para isteri ‘kemurungan’ sepanjang hari.
Baru-baru ini Shadila Halid,33 yang merupakan kepada isteri penyanyi Alif Satar,27 ada menerima set pinggan mangkuk putih berbunga kuning kecil jenama Corningware daripada suami tersayang. Berkongsi kegembiraannya, isteri kepada pelakon ‘Pengantin Musim Salju’ ini, telah memuatnaik gambar hadiah set pinggan mangkuk yang diterimanya itu di Insta Story nya.
Shadila meluahkan rasa amat gembira dan mengucapkan terima kasih pada Alif kerana memberi ‘lampu hijau’ untuk membeli set pinggan mangkuk idaman tersebut.
Namun perkara yang mencuri perhatian adalah respon ‘win’ yang diberikan oleh Alif pada status di insta story isterinya itu. Secara bergurau alif membalas komen “Isterinya sangat gembira dihadiahkan dengan pinggan mangkuk..janji jangan beg tangan”.
Sebenarnya pesanan begini memang selalu diucapkan oleh para suami,bila mana para isteri telah mempunyai terlalu banyak beg tangan untuk dijadikan koleksi.hihi
Guru Bahasa Inggeris
Selain itu, Alif juga sempat memuji isterinya yang dikatakan boleh menjadi Guru Bahasa Inggeris, kerana memperbetulkan kesalahan tatabahasa yang digunakan dalam insta storynya.
Terdahulu pasangan bahagia ini telah 4 tahun mendirikan rumahtangga dan dikurniakan dengan dua puteri comel, Alisha Anugerah,3 dan Ariana Mecca,1.
Bertuah dapat suami yang rajin layankan permintaan isteri macam Alif ni. Tak salah gembirakan hati isteri, tak semestinya perlu barangan yang mahal-mahal, ikutlah kemampuan yang ada.
Pengantin baharu maut kemalangan motosikal berkuasa tinggi, rempuh Proton Saga. Seorang lelaki yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan dilaporkan maut dalam kemalangan membabitkan motosikal berkuasa tinggi di Kilometer 79, Jalan Kuala Terengganu–Kota Bharu berhampiran Bukit Grebar, pagi Rabu.