Dengan duit jualan kuih-muih yang dihantar di gerai, Normala bt Mohd Isa, membesarkan anak-anaknya. Kini wanita berusia 59 tahun ini mampu menarik nafas lega kerana ketiga-tiga anaknya telah mendapat pendidikan sempurna sekali gus memiliki kerjaya impian masing-masing.

Dengan Hasil Jual Kuih, Ibu Tunggal Ini Besarkan Tiga Orang Anak Hingga Berjaya, Anak Sulung Jadi Doktor Gigi

Suami Meninggal Ketika Anak Kecil

Normala tidak pernah menyangka bahawa diri akan bergelar ibu tunggal ketika anak-anaknya masih lagi kecil. Ketika suaminya meninggal dunia, anak sulungnya berusia 10 tahun. Suaminya meninggal dunia ketika berusia 39 tahun manakala Normala pada ketika itu berusia 37 tahun.

Suaminya Haji Harudin Mohd Hussin meninggal dunia setelah penyakit yang dihidapi tidak dapat disembuhkan lagi. Betapa hebatnya dugaan yang dihadapi oleh Normala yang ketika itu tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya seorang suri rumah.

“ Saya tidak bersedia dengan pemergian suami. Semasa suami meninggal, saya rasakan seperti tidak ada tempat untuk bergantung lagi. Apa yang boleh saya buat untuk menanggung anak-anak. Persoalan tersebut sentiasa bermain di fikiran ketika itu.

“ Semasa hidup, suami seorang anggota Polis. Selepas dia meninggal dunia, saya hanya dapat pencen suami lebih kurang RM200 sebulan. Sudah pasti pencen itu tidak mencukupi untuk menampung keperluan saya dan anak-anak maka saya perlu cari duit lain untuk menampung kehidupan kami sekeluarga.

“ Terus terang, saya tidak berpendidikan tinggi. Saya risau, bagaimana saya mahu cari kerja tanpa sebarang kelulusan? Kemudian saya bertanya pada kawan-kawan apa yang boleh saya buat. Daripada situ, saya mendapat idea untuk membuat dan menjual kuih-muih. Saya buat kuih dan hantar pada penjual yang menjual di gerai di hadapan kawasan perumahan tempat tinggal kami.

“ Setiap pagi saya akan bangun seawal jam 3 pagi untuk membuat kuih-muih untuk dijual. Antara kuih-muih yang saya buat adalah karipap, kuih cara, kuih cara berlauk, kuih kaswi, tepung bungkus dan kuih lapis. Kuih-muih yang rumit pembuatannya akan saya buat pada sebelah malam lagi. Saya buat kuih-muih itu seorang diri saja,” ujar Normala panjang lebar.

IKLAN

Jelas wanita berusia 59 tahun ini lagi, sebenarnya dia tidak pandai membuat kuih-muih. Namun dia memberanikan diri untuk bertanya pada kawan-kawan bagaimana cara membuat kuih-muih. Daripada beberapa kali percubaan akhirnya menjadi juga kuih-muihnya.

“ Setiap yang Allah bagi itu ada hikmahnya. Itu yang saya pegang. Saya buat kuih-muih untuk dijual sejak tahun 1997 sehinggalah anak sulung saya bekerja pada tahun 2013. Selepas itu anak-anak tidak lagi membenarkan saya membuat kuih-muih. Mereka pula yang memberi wang untuk menyara saya. Saya bersyukur dengan pemberian mereka,” tambah Normala.

Tegas Dan Tidak Manjakan Anak

Bergelar ibu tunggal satu kenyataan yang pahit untuk diterima. Oleh itu sudah pasti untuk bangun daripada kesedihan memang agak sukar untuk dilakukan. Bagi Normala, dia bergantung pada semangat yang tinggi untuk bangkit daripada kesedihan.

“ Saya berserah segala-galanya pada Allah. Saya sering bangun pada malam hari untuk buat apa sahaja yang patut seperti membaca al-Quran dan solat tahajud.

“ Saya tidak ada perasaan murung pada awal bergelar ibu tunggal kerana dalam hati hanya ada semangat untuk membela anak-anak. Apabila tengok muka mereka, saya rasa semangat semakin berkobar-kobar untuk membesarkan mereka,” ulas Normala lagi.

IKLAN

Tanpa suami, di bahu Normala jugalah tempat anak-anak mengharap kasih dan bimbingan. Normala bersyukur kerana anak-anaknya ikut cakap. Dia juga tegas dalam mendidik mereka.

“ Saya tidak mengikut sangat kehendak anak-anak. Apa yang anak-anak hendak mereka tidak akan dapat dengan mudah kerana saya tidak ada duit seperti ibu bapa lain. Kalau mereka hendak sesuatu mereka perlu belajar pandai-pandai. Kelak apabila mereka sudah besar barulah boleh mereka dapatkan sendiri apa sahaja yang mereka mahu.

“ Saya memang tegas, tidak manjakan  anak-anak. Ketika anak-anak membesar, saya selalu kawal pergerakan mereka. Kerja sekolah mesti disiapkan dengan baik. Bab agama terutamanya solat lima waktu memang saya tekankan. Apa yang saya buat ini semuanya untuk masa hadapan mereka,” kongsi Normala lagi tentang cara mendidik anak-anak.

Dengan Hasil Jual Kuih, Ibu Tunggal Ini Besarkan Tiga Orang Anak Hingga Berjaya, Anak Sulung Jadi Doktor Gigi
Normala bergambar kenangan bersama tiga orang anaknya.

Normala bersyukur dengan pencapaian anak-anaknya. Anak sulungnya Mohd Hafizal kini bergelar doktor gigi dan bakal menyambung pelajaran di luar negara tidak lama lagi. Anak keduanya Nur Hanim seorang eksekutif akaun. Manakala anak ketiganya Nur Hidayu bekerja di sebuah universiti tempatan.

IKLAN

“ Kejayaan anak-anak ini, selain hasil usaha mereka sendiri, saya boleh katakan ia adalah berkat doa seorang ibu juga. Saya masih ingat lagi setiap kali anak-anak akan menghadapi peperiksaan, mereka akan telefon dan beritahu saya. Masa itu mereka semua duduk di asrama.

“ Apa yang saya buat setiap kali masa mereka tengah periksa itu adalah saya baca surah Yassin dan solat hajat. Mungkin Allah telah mengabulkan permintaan saya ketika itu,” tambahnya lagi.

Jadi Cikgu Mengaji

Normala bahagia dengan kehidupannya kini. Dia tidak lagi menjual kuih-muih. Ini bermakna kini masanya lebih banyak digunakan untuk melakukan perkara yang bermanfaat. Antara aktiviti yang diikutinya adalah belajar kelas fardu Ain dan belajar mengaji.

Kini Normala menggunakan ilmu yang ada untuk mengajar mengaji kepada kanak-kanak yang tinggal di Flat Sri Sabah tempat tinggalnya.

Setiap hari pukul ada dua sesi mengajar dilakukan. Ramai ibu bapa menghantar anak-anak belajar mengaji dengannya.

“ Saya tidak boleh tengok permintaan mereka kerana ini ilmu yang Allah beri pada saya. Cuma saya perlu pandai membahagikan masa. Saya minat mengaji sebab itu saya jadi cikgu mengaji. Saya jadi tenang jadi cikgu mengaji kerana masa saya itu digunakan dengan penuh bermanfaat.

“ Jika tidak ada kelas mengaji saya akan ikut juga program Persatuan Ibu Tunggal Bandar Tun Razak, Cheras. Sebelum ini saya pernah jadi bendahari persatuan tersebut. Seronok juga dapat menyertai persatuan sebegini kerana kita boleh bertemu dengan ibu-ibu tunggal lain,” akhirnya menutup bicara.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI