Assalamualaikum puan. Sebenarnya masalah yang saya ingin kongsi ini adalah berkenaan dengan sahabat baik saya, M, yang relakan dirinya ‘disimpan’ lelaki kaya demi menanggung kekasihnya. Manakala kenali saya sebagai K.
Saya dan M sebaya, berasal dari satu kampung, di sebuah negeri di pantai timur. Kami mula rapat sejak di tingkatan dua. Mak M dah lama meninggal dunia, sejak usianya 10 tahun dan dia dijaga oleh ayahnya. Sebelum menduduki SPM, ayahnya pula meninggal dunia akibat kemalangan maka M hilang tempat bergantung.
Yatim Piatu
Sebenarnya M seorang pelajar yang cemerlang namun kematian ayahnya memberi impak besar pada dirinya hingga dia tiada lagi semangat untuk berjaya. Saya tahu segala kisah suka dukanya dan menjadi tempatnya meluahkan perasaan. Keluarga saya juga banyak membantunya, mana yang kami termampu.
Dipendekkan cerita, selepas SPM, saya melanjutkan pelajaran di sebuah kolej manakala M tidak menyambung pelajarannya. Hubungan kami renggang kerana masing-masing membawa haluan sendiri.
Kami jarang jumpa kerana dia sudah tak balik ke kampung sejak bekerja. Universiti tempat saya belajar pula berlainan dengan negeri tempatnya bekerja. Hanya sesekali kami berbual menerusi telefon kerana M tak ada FB atau IG.
Kembali Rapat
Selepas tamat pelajaran, saya mendapat pekerjaan di sebuah syarikat di KL dan meminta pertolongan M yang memang tinggal di sana. Dia yang carikan rumah sewa untuk saya. Pernah saya tanya, tak bolehkah saya menyewa bersamanya, tapi dia memberi alasan dia tinggal di nurseri tempatnya bekerja.
Jika ada masa terluang, kami akan keluar bersama dan biasanya M yang akan datang ambil saya di rumah dengan kereta miliknya. Hairan juga saya kerana melihatkan kereta yang M pakai bukan murah, kereta jenama luar negara. Takkan dengan gaji guru tadika dia boleh pakai kereta sebegitu? Tapi saya bersangka baik, mungkin dia ada kerja sampingan lain.
Kekasih M
Satu hari saya diperkenalkan dengan seorang lelaki yang merupakan kekasih M. Orangnya memang handsome tapi kali pertama bersua, saya tidak menyukai lelaki itu. Saya dapat rasakan dia tidak ikhlas terhadap M. Pandangan matanya juga menakutkan saya. Tapi saya dapat rasakan M benar-benar sayangkan lelaki itu.
Pada satu kesempatan, saya mengajak M bermalam di rumah sewa kerana kebetulan waktu itu tiga rakan serumah pulang kampung. Ketika itu saya cuba selidik tentang teman lelaki M. Dia mengakui, lelaki itu sangat dicintainya dan dia sanggup berkorban apa demi lelaki itu. Malah, kepada lelaki itulah yang diserahkan kehormatan dirinya. Terperanjat besar saya dibuatnya. Tak sangka M sejauh itu.
Ads
Tanggung
Lebih membuat saya terkejut, M mengakui, dia yang menanggung teman lelakinya itu yang masih belajar di sebuah kolej swasta. Paling membuat saya tak percaya, M mengaku demi untuk mendapatkan wang lebih, dia sanggup menjadi perempuan simpanan kepada seorang lelaki kaya kerana ingin memberikan kemewahan kepada teman lelakinya itu! Mengucap panjang saya mendengarnya.
Sebagai sahabat, saya hanya mampu menasihati tapi saya tak mahu terlalu berkeras dengannya kerana cara itu akan membuatkan dia lagi jauh daripada saya.
Puan, saya sayangkan M dan anggap dia seperti adik-beradik kandung. Saya kasihankan dia yang sanggup merosakkan diri kerana seorang lelaki yang tak ikhlas cintakan dia. Saya berani katakan begitu kerana dalam diam, teman lelaki M pernah cuba menggoda saya!
Saya juga risau kalau lelaki kaya yang membela M tahu akan tembelang M, sesuatu yang buruk akan terjadi pada M pula. Bagaimana caranya saya boleh lakukan untuk membantu sahabat saya ini keluar daripada maksiat itu dan menyedarkan dia bahawa teman lelakinya itu hanya mempergunakan dia demi duit saja? Nak berkongsi dengan mak ayah saya, takut merek tak dapat terima keadaan M dan mungkin akan minta saya jauhi M pula…
Cik K, Putrajaya.
Jawapan:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Saudari adalah antara orang yang memelihara hubungan dalam persahabatan. Malah persahabatan yang saudari jalinkan sejak kecil hingga menganggapnya seperti adik beradik sendiri adalah tindakan yang mulia. Saya memahami bagaimana saudari mahu agar sahabat saudari kembali ke pangkal jalan, tidak lagi bergelumang dengan dosa dan membiarkan diri dipermainkan lelaki.
Ads
Untuk membawa insan lain ke jalan yang diredai Allah bukan suatu yang mudah. Sebagai insan yang ingin membantu insan lain, saudari hanya berusaha, yang akan menentukan dia berubah adalah hidayah dari Allah. Maka, kesabaran perlu ada untuk membawa insan lain kembali ke jalan yang diredai. Mungkin beberapa tip ini boleh membantu saudari untuk membantu rakan saudari.
Pendekatan
Pertama, anggap saudari membantunya sebagai ikhtiar untuk dia berubah, hanya Allah yang mampu mengubahnya dengan usaha saudari dan usahanya sendiri.
Kedua, dekatinya dengan santun. Dengar apa yang diluahkan. Saudari boleh jadi pendengar yang setia. Cuba lihat adakah cara berceritanya ada sedikit penyesalan tetapi tidak tahu nak atasi macam mana atau berbicara itu tanpa ada menyesal pun dengan apa yang dilakukannya.
Cara mendekatinya mungkin sedikit berbeza. Jika tidak nampak bunga-bunga penyesalan, cara dekatinya agak berbeza. Pendekatan saudari perlu dengan cara tanya persoalan-persoalan tentang erti kehidupan, biar dia menjawab soalan itu. Nasihat tidak sangat memberi kesan.
Persoalan Dan Jawapan
Beberapa soalan yang boleh tanya bergantung kepada dua keadaan yang saya nyatakan di atas. Antara soalan-soalan yang jika dia tidak nampak rasa penyesalan boleh ditanya seperti berikut:
1. Apa tujuan hidup kita?
2. Kenapa kita dilahirkan?
3. Ke mana destinasi akhir kita?
4. Adakah apa yang M lakukan itu diterima Allah? Diredai oleh ibu bapa M yang telah mati?
5. Bagaimana ibu bapanya yang telah mati. Adakah jika mereka hidup mereka suka cara hidup M begitu?
6. Bayangkan jika M jadi ibu dan anak M jadi seperti M sekarang, apakah yang M rasa?
7. Dan beberapa persoalan yang saudari rasa sesuai ditanya yang boleh menimbulkan kesedaran kepadanya untuk kembali ke jalan Allah.
Beri masa dan ruang padanya untuk menjawab soalan-soalan itu. Malah jika ditulis adalah lebih baik. Jawapannya mesti ikhlas datang daripadanya.
Ads
Jika nampak ada sedikit penyesalan dan dia mahu berubah, tetapi buntu bagaimana ingin berubah maka antara soalan-soalan yang boleh ditanya:
1. M benar-benar mencintai K (katakan kekasihnya). Adakah K setia padanya? Jika ditakdirkan K menjadikan orang lain dalam hidupnya apa M akan buat?
2. M sedar atau tidak bahawa K hanya mengambil kesempatan terhadapnya?
3. Sampai bila M akan berterusan begitu. Jika K2 (orang kaya yang menyaranya) dapat tahu apa agaknya akan berlaku?
4. M mahu berubah atau tidak daripada cara hidupnya sekarang? Mengikuti cara hidup yang lebih baik mengikut landasan agama? Jika jawapannya Ya, maka saudari perlu pandu soalan-soalan bagaimana atau apa langkah-langkah yang dia perlu buat.
5. Jika masih belum bersedia, tanyakan soalan-soalan yang boleh menyedarkan dirinya bahawa apa yang dilakukan sebenarnya amat merugikan dirinya.
Ingatkan Dia Tentang Solat…
Dekati dia dengan santun dan sering ambil berat terhadapnya. Perlahan-lahan beri dia ilmu keagamaan yang membawanya kepada kehidupan sebenar. Selalu hadiahkan sesuatu, walaupun kecil tetapi tanda ingatan. Selepas hadiah berbentuk ini, hadiahkan buku agama, telekung dan sejadah agar tanda saudari menyayanginya kerana Allah.
Bila saudari bersamanya, sedaya mungkin cuba ajak dia solat sekali, membaca ayat-ayat Allah mana yang dia tahu. Sering ingatkan dia tentang solat. Jika mampu sering ingatkan dia jangan tinggal solat. Walau buat maksiat pun sekali-kali jangan tinggal solat, yang ini selalu memperingatkan dia. Jika dia berkata, “aku buat maksiat, buat apa solat, Allah tentu tak terima”. Katakan bahawa Allah itu Maha Pengasih..Maha Pengampun…solatlah walaupun bergelumang dengan dosa. Itu pesanan yang saudari berikan padanya. JANGAN TINGGAL SOLAT.
Mohon Pertolongan Allah
Seterusnya, sering-seringlah menghantar artikel atau kata-kata melalui whatsapp yang mengajak kepada kebaikan dan kehidupan yang diredai Allah. Berbicara yang paling baik dengannya tentang erti kehidupan yang sebenar dan diredai Allah. Teruskan mengajaknya kepada kebaikan.
Saudari sendiri perlu banyakkan solat memohon Allah mengampunkan dosanya. Dan saudari perlu yakin bahawa Allah akan bantu saudari untuk membantunya jika saudari juga kuat solat dan selalu berdoa agar Allah lembutkan hatinya dan membawanya pulang ke jalan yang diredai Allah.
Moga sedikit panduan ini dan kegigihan saudari membantu membawanya pulang ke jalan Allah diperkenankan Allah.
** Persoalan ini telah dijawab oleh Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor dan Penulis Bebas, juga penulis tetap ruangan Ya Tuhan di dalam majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Hidup memang tidak sunyi dengan dugaan, masalah tidak pernah gagal bertandang dalam hidup kita. Selagi bernyawa, Allah sentiasa menguji kita sama ada ujian itu besar atau kecil. Sebenarnya ramai yang membawa diri ketika berdepan dengan masalah. Mereka menyendiri, tidak mahu berada dekat dengan keluarga mahupun teman.
Bagi saya cara ini berisiko tinggi. Jangan ‘melarikan’ diri ketika dilanda masalah. Hadapi masalah atau ujian dengan sokongan moral keluarga atau teman baik. Jangan menyendiri kerana kita akan berasa lebih stres dan sunyi.
Ketika ini, kita menjadi sangat emosional. Bahaya kerana tiada orang yang dapat menegur dan memberi semangat pada kita. Kita mungkin boleh bertindak melulu kerana tenggelam dengan masalah dan dibelenggu perasaan sedih serta kecewa.
Jangan Malu
Justeru, mulai hari ini janganlah membawa diri. Selesaikan masalah, jangan malu dan ego untuk meminta bantuan daripada orang sekeliling. Kita tidak akan nampak lemah hanya kerana meminta bantuan. Orang lain juga berbuat demikian, mana boleh hidup sendiri dalam dunia ini. Kita saling membantu dan memerlukan.
Jangan menidakkan peranan keluarga, busuk-busuk pun mereka tetap darah daging kita. Mereka yang akan membantu kita di kala susah dan mendoakan kita bahagia. Luahkan masalah yang dihadapi dan fikir cara terbaik menyelesaikannya. Tapi jangan hanya fikir ye, buat tindakan!
Analisis masalah yang dihadapi, senaraikan beberapa pilihan yang ada. Pilih pilihan yang terbaik. Kita mesti bertanggung jawab dengan keputusan yang dibuat. Bersabarlah berdepan dengan ujian.
Rawat hati dan emosi dengan mendekatkan diri kepada Allah. Mengadulah kepada Yang Maha Esa. Lakukan aktiviti yang membuatkan kita gembira misalnya hobi berkebun. Sekurang-kurangnya aktiviti riadah ini meredakan stres.
Jangan Hidup Dengan Kisah Silam
Move on! Jangan hidup dengan kisam silam. Perkara lepas jangan dikenang-kenang lagi, jadikan pengajaran. Hiduplah pada masa kini dan jangan lupa merancang masa hadapan.
Kita juga boleh merawat minda yang serabut dengan membaca buku-buku motivasi. Bukan tubuh sahaja perlukan makanan tapi minda juga perlu diberi ‘makan’ dengan ilmu yang memacu kita menjadi insan lebih baik. Insya-Allah.
Jangan jadi insan penakut yang sentiasa melarikan diri daripada masalah. Jadilah insan yang berani berdepan dengan apa juga dugaan. Semakin kita berani dan bersabar, semakin kental jiwa kita. Jangan biarkan masalah menjadi kudis dalam hidup kita.
Orang yang berjaya mengatasi dugaan dalam hidupnya menjadi insan lebih baik. Masalah ini mengajar kita erti sabar, usaha dan tawakal. Usaha sepenuh hati dan tawakal kepada Allah. Mohon doa yang baik-baik, insya-Allah kita akan redha dan Allah lorongkan ke jalan terbaik.
Semoga kita sentiasa diberkati Allah dan tidak tergolong dalam golongan yang hanyut dengan perasaan negatif.
Bebel sebab sayang, bebel sebab amanah. Sayang Semua.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Andai kata ada anak-anak yang tetiba terkencing dalam seluar, mak-mak patut risau dan tanya anak kenapa situasi itu berlaku. Tambah pula kalau anak itu duduk dengan orang, yang mana kita tak tahu apa berlaku waktu anak tak ada depan mata.
Haaa… paling takut kalau anak-anak itu ada terkena macam pesakit Doktor Hana ni, baru umur 6 tahun dah jadi mangsa cabul!
Allahu… rabak hati mak-mak kalau perkara ni berlaku pada anak sendiri. Apa yang patut mak ayah buat, ikuti perkongsian doktor ini.
Kes Terkencing Dalam Seluar
Satu petang tu, ada seorang ibu bawak anak perempuan datang ke klinik.
Nampak dua-dua macam sihat walafiat. Musykil jugak, sakit apa agaknya ni.
Anak dia dah 6 tahun. Comel dan montel.
Lepas tu si ibu pun mulakan bicara.
“Tadi, anak saya ni terkencing dalam seluar Dr. Dia cakap, tempat kencing dia sakit, ada anak jiran pengasuh buh jari dalam tu”
Zass.
Bagai terhiris hati saya.
Tapi depan patient, remain cool as always.
Adik cuba cerita kat Dr, tadi apa jadi?
Si adik ni senyap je. Tapi masih tersengih sengih. Mata melilau tengok sana sini.
Saya pegang dia, tanya
“Sakit ke kat tempat kencing?”
Adik angguk.
Saya sambung,
“Tadi kawan buat apa kat tempat kencing?”
Adik cakap “Dia korek”
Mak patient mencelah, “Tak taula Dr, tapi banyak kali tanya, jawapan sama jugak dia bagi. Takkan dia nak menipu, sebab duk jawab benda sama. Lagipun dah besaq ni dia tak penah terkencing dalam seluaq. Tadi tu agaknya dia tahan kencing sebab sakit. Risaulah saya Dr”
Hati ibu mana yang tak luruh, jantung mana yang tak gugur bila balik dari rumah pengasuh anak cerita “Ada kawan lelaki korek tempat kencing.”
Kisahnya, adik ni main kat rumah jiran pengasuh. Main dengan budak-budak lelaki, dia sorang je perempuan. Lepas tu anak jiran tu, budak lelaki umur lingkungan 12-13 tahun, ajak masuk bilik.
Ada ramai je lagi ahli keluarga kat ruang tamu masa kejadian tu berlaku, tapi maybe diorang ingat budak-budak ni masuk bilik nak main biasa-biasa. Rupanya ada “permainan kotor luar biasa”. Baru awal belasan tahun, tapi dah pandai mencabul. Agaknya usia macam ni korek-korek, lagi berapa tahun apa pulak yang dia buat kat anak dara orang.
Allahu rabbi.
Saya kesian.
Kesian kat adik kecil yang tak tau apa-apa tu.
Kesian kat ibunya yang penat keluar cari rezeki sampai kena tinggalkan anak pada pengasuh, tapi akhirnya ini yang terjadi.
Kesian kat budak lelaki tadi, yang mungkin tak tau benda tu salah. Mungkin dia tak pernah terima didikan sewajarnya. Mungkin dia terdedah pada benda-benda yang tak sepatutnya.
5 LANGKAH PENCEGAHAN UNTUK ELAK KEJADIAN NI BERLAKU
Apa yang kita sebagai mak ayah boleh buat untuk elakkan benda ni dari berlaku?
1. Didik Anak Sejak Kecil
Ajar anak lelaki untuk hormat perempuan.
Ajarkan anak perempuan maruah diri.
Suburkan pendidikan agama dan nilai murni sewajarnya.
Kadang-kadang kita terlalu sibuk pagi petang siang malam. Sampai tak tau anak-anak buat apa kat rumah, belajar apa dengan kawan, tengok apa kat smartphone.
Be your kids’ best friend and mentor.
2. Sentuhan Selamat Dan Tak Selamat
Ajarkan anak-anak kat mana boleh pegang, kat mana tak boleh sentuh. Ingat, bukan anak perempuan je boleh jadi mangsa. Anak lelaki pun kena ajar sama.
Bagi kanak-kanak lelaki, ini private partnya: Alat sulit, punggung, bibir dan dada.
Bagi anak perempuan: Anggota kelamin, punggung, bibir dan dada.
3. Dah Kena Nak Buat Apa
Kalau ada yang sentuh juga kawasan larangan, nak buat apa? Ajarkan anak untuk jerit, lari dan adu. Jangan diam, jangan pasif.
4. Term Mesti Betul
Ajarkan anak-anak term yang betul untuk faraj dan zakar. Jangan guna “angry bird”, “bunga”, “yu”, “pepek” dan sebagainya. Ini penting sebab kalau terjadi apa-apa dan melibatkan pihak polis/mahkamah etc, keterangan yang jelas perlu diambil.
5. Mak Ayah Pun Agak-agaklah
Mak ayah jangan buat aksi-aksi “cintan-cintun” depan anak-anak. Tunjukkan kasih sayang dan kemesraan tu boleh, tapi paham-pahamlah. Aksi yang kurang sesuai jangan ditunjuk ke anak-anak. Ada budak berumur 6-7 tahun dah pandai tiru aksi ranjang “ibu ayah” dan buat bersama kawan di sekolah tadika. Nauzhubillah.
3 PERKARA YANG MAK AYAH PERLU BUAT JIKA ANAK-ANAK MENGADU DICABUL/SEUMPAMANYA:
1. Bertenang
Cuba berlagak tenang. Memang hati kita bergelora, jantung bagai nak meletup, marah, risau, sedih semua bercampur. Of course kita sangat concern, tapi jangan panik dan kalut. Kalau mak ayah tunjukkan drama, anak-anak mungkin lebih trauma.
2. Doktor
Bawa ke doktor untuk pemeriksaan. Nak tahu jika ada kecederaan yang serius. Bukan saja kecederaan di private parts, tapi doktor juga perlu address kecederaan #emosi, kemudian rujuk kepada pakar yang berkenaan jika perlu.
3. Polis
Laporkan pada pihak yang sewajarnya. Tak perlu meroyan di media sosial. Silap haribulan yang meroyan ni pulak dianggap bersalah nanti. Padahal kita di pihak yang teraniaya. Biar pihak polis yang lakukan siasatan.
Jangan diamkan walaupun ia berlaku di kalangan keluarga sendiri. Sebab kalau kita tak report, si pelaku mungkin bebas mencari dan membaham mangsa seterusnya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bila dah jadi bini orang, wanita patut peka cara untuk pukau suami setiap hari. Ya, doa itu pemegang hati tetapi usaha pun kena selari!
Percayalah jika hilang tarikan seksual antara suami isteri, hilanglah seri rumah tangga. Jadi, jangan ambil remeh hal ini dan jangan pula cepat mengata pasangan anda sudah berubah. Sebaliknya cermin diri sendiri dan kembalikan daya tarikan diri anda untuk ‘dihadiahkan’ kepada pasangan.
Anda boleh amalkan enam cara berikut untuk kekalkan tarikan seksual antara satu sama lain.
1. Bersenam
Apabila anda selalu bersenam, badan akan jadi lebih sihat dan minda juga akan sentiasa cerdas. Jadi, mood anda untuk seks sentiasa ada kerana anda sentiasa dahagakan sensasi daripada hubungan intim tersebut. Ini kerana akibat dari bersenam, prestasi anda di ranjang juga hebat. Bersenam bukan semata-mata untuk bentuk badan ideal dan kesihatan fizikal sahaja, malahan bersenam untuk kesihatan seks anda, mengembalikan bentuk badan seksi dan keghairahan pada pasangan.
2. Fokus untuk memuaskan pasangan
Semasa bersama, anda fokus untuk memuaskan pasangan atas dasar cinta. Jadi, hubungan anda akan lebih nikmat dan tarikan seksual sentiasa ada. Apabila anda sentiasa pastikan ini dalam keadaan baik, sekali gus daya tarikan anda sentiasa ada pada pasangan. Anda dan pasangan saling mendambakan di antara satu sama lain.
3. Jaga penampilan diri tampil seksi
Ketika di rumah, pakailah pakaian yang boleh merangsang pasangan. Jika di luar rumah pula, jagalah penampilan supaya pasangan sentiasa suka dengan anda. Biasanya pandangan mata akan turun ke hati dan akhirnya perasaan ingin berseksual itu sentiasa ada pada pasangan masing-masing. Sungguhpun anda seorang suri rumah, bersiap untuk pasangan itu penting.
Pastinya anda tahu waktu bila pasangan akan pulang ke rumah dan tidak salah andai anda bersiap menyambut kepulangannya. Paling tidak pun berwangi-wangian sudah mencukupi untuk merangsang daya seksual antara anda berdua.
4. Jangan anggap diri tua
Sentiasa anggap diri anda muda untuk melakukan hubungan seks. Ada di kalangan pasangan yang hilang tarikan seksual antara satu sama lain kerana mereka rasa sudah tua untuk melakukan hubungan seks. Seks tidak terhad pada umur, anda boleh lakukannya pada bila-bila masa anda suka asalkan keinginan, semangat dan daya tarikan itu ada. Jadi kenapa perlu usia dijadikan alasan untuk tidak melakukannya.
5. Sentiasa senyum
Sentiasa maniskan wajah anda dengan senyuman manis. Kalau asyik bermasam muka apa pun tidak menjadi disebabkan gangguan pada psikologi. Mungkin pasangan menjadi takut untuk mendekati anda kerana dia sangka anda dalam keadaan mood yang kurang baik. Jadi sentiasa ukirkan senyuman manis di bibir. Bukan rugi malahan dapat mengeratkan hubungan kasih sayang antara anda berdua.
6. Ikhlas
Ikhlaskan diri melakukan apa sahaja demi kebahagiaan anda dan juga pasangan. Apabila anda ikhlas semuanya akan menjadi mudah dan anda akan kelihatan lebih seksi serta menawan disebabkan dalaman anda bersih. Secara tidak langsung akan membuatkan anda kelihatan cantik dan berseri. Menjadikan anda begitu tertarik pada pandangan mata pasangan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Seorang wanita ditemukan maut tergantung di kipas siling di rumahnya di Kulim selepas dipercayai membunuh anak perempuannya berusia empat tahun akibat tekanan emosi. Kes tragis ini disiasat mengikut Seksyen 302 dan 307 Kanun Keseksaan.