Hannah Fong suka berinteraksi dan bertemu dengan orang ramai. Malah ketika kecil, apabila cikgu bertanyakan apa cita-citanya, jawapan Hannah sudah pastilah seorang jururawat. Dia memang suka jadi jururawat.
Sebab itu jugalah setelah tamat persekolahan menengah Hannah telah memilih kerjaya sebagai jururawat. Siapa sangka kerjaya pilihannya ini bukan sahaja mendekatkan Hannah dengan masyarakat tetapi ia turut membantunya cemerlang dalam pekerjaannya.
Wanita berusia 45 tahun ini berpengalaman luas dalam bidang kejururawatan. Sebelum ini kerjaya dalam bidang kejururawatan juga telah membawanya berkhidmat ke serata hospital swasta di Kuala Lumpur dan Singapura. Jawatan yang dipegangnya ketika di hospital-hospital tersebut juga tidak kurang hebatnya.
Daripada seorang jururawat biasa, dia telah berkembang dalam kerjaya antaranya dengan menjadi Pengajar Jururawat, Jururawat Perbidanan, dan Pengurus Jururawat. Di hospital tempatnya berkhidmat kini, Hannah berjawatan Chief of Nursing atau Ketua Kejururawatan. Columbia Asia Puchong adalah hospital terkini tempatnya berkhidmat.
Seronok
Tanggungjawabnya amat berat namun Hannah tidak pernah merasakan itu satu beban. Dia seronok dengan tugas yang diamanahkan kepadanya itu.
“Tugas saya kini merangkumi segala-galanya berkaitan perkhidmatan dan penjagaan yang diberikan oleh jururawat di sini kepada pesakit yang mendapat rawatan di hospital.
“Walaupun saya tidak lagi dapat melakukan tugasan sebagai jururawat kerana dengan jawatan yang diberikan ini saya tidak ada lagi masa untuk mengurus dan merawat pesakit. Namun begitu saya masih boleh melawat dan melihat pesakit yang ada di hospital ini.
“Saya berpuas hati dengan jawatan yang saya pegang ini kerana saya boleh melakukan perubahan. Kuasa untuk mengubah itu amat besar. Saya boleh melakukan perubahan bagi memastikan pesakit dapat dirawat dengan baik. Paling penting saya boleh menguatkan lagi sesetengah hal berkaitan penjagaan pesakit oleh jururawat.”
Dengan jawatan yang dipegang juga telah membolehkan Hannah untuk mengetuai pasukan di bawah seliaanya.
“Kebolehan untuk mengetuai adalah amat bermakna dan memberi kepuasan dalam diri saya terutamanya apabila semua orang dalam arah yang sama dengan saya dalam memastikan penjagaan pesakit dapat dilakukan dengan baik.”
Berpegang Pada Janji
Untuk menjadi seorang jururawat yang cemerlang, perlulah seseorang itu berpegang pada janji. Ini adalah pesan Hannah kepada semua jururawat di mana sahaja mereka berada.
“Kalau janji hendak buat, kena buat juga. Tidak kira apa pun. Kadangkala apabila kita mahu melakukan sesuatu tetapi menjangkaui kebolehan diri, kita perlu cari jalan melakukannya. Cuba dekatkan diri dengan orang yang ada pengalaman bagi belajar mencari jalan penyelesaian.
“Dalam bidang kejururawatan ini ia memerlukan kerjasama berpasukan. Ini kerana di hospital bukan hanya jururawat sahaja yang ada. Pelbagai bidang kerja ada di hospital. Oleh itu jururawat perlu berkerjasama dengan setiap pihak.”
Pesannya lagi, kalau seseorang itu tidak ada sikap suka kepada manusia dan orang ramai, janganlah pilih kerjaya sebagai jururawat.
“Jururawat perlu suka membantu orang lain kerana jururawat itu perlu banyak berkorban demi mahu membantu pesakit yang memerlukan. Sekali lagi saya ingatkan, salah satu perkara penting mengenai kerjaya jururawat ini adalah diri perlu bersedia untuk berkhidmat kepada orang ramai.”
Tidak Pernah Lupa Jaga Diri
Tambahnya lagi, sikap sabar juga perlu ada dalam diri seorang jururawat kerana setiap hari mereka akan berjumpa dengan pelbagai perangai dan karenah orang sakit. Tanpa kesabaran sudah pasti akan menyukarkan lagi kerja jururawat itu setiap hari.
Sasaran Hannah dalam kerjayanya adalah untuk membina pasukan yang mampu melakukan kerja sebaik mungkin.
“ Peranan saya sudah lain kerana saya berada di kedudukan sebagai pemimpin Saya tidak boleh kerja 24 jam seminggu. Oleh itu saya perlu membentuk satu pasukan pertengahan yang kuat untuk membantu saya menguruskan perkhidmatan kejururawatan di sini.”
Walau sibuk dengan kerja dan tanggungjawab di hospital, Hannah tidak pernah lupa untuk menjaga dirinya sendiri.
“Rehat dan tidur adalah cara saya menghilangkan stress. Saya cuba untuk mengamalkan gaya hidup seimbang dalam hidup bagi memastikan diri saya sentiasa sihat dan bertenaga untuk melakukan kerja yang saya suka ini.”
MW: Srikandi adalah ruangan yang terdapat di dalam majalah Mingguan Wanita. Banyak lagi cerita menarik mengenai wanita yang bekerja di dalam sektor kesihatan, pertahanan, dan keselamatan negara yang boleh dibaca di dalam majalah ini.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI