Agak sukar sebenarnya menyatukan tiga figura ini sebagai penyeri penghias hadapan Mingguan Wanita edisi Hari Malaysia. Menjalin kerjasama dengan barang kemas Poh Kong memerlukan kami di redaksi Mingguan Wanita mencari sosok yang sesuai untuk dijadikan sebagai wajah penghias.

Kolaborasi antara Amber Chia, Pushpa Narayan dan Yana Samsudin akhirnya dijayakan dengan sempurna. Ketiga-tiga mereka mewakili wanita Malaysia dari tiga etnik utama yang menjadi sebahagian daripada warganya. Bersama Mingguan Wanita, ketiga-tiga selebriti ini saling berkongsi rasa kasih dan kecintaan mereka terhadap tanah air, perkembangan karier seni masing-masing dan sisi lain kehidupan mereka selaku isteri dan ibu.

Jangan Cuba Rosakkan Keharmonian Malaysia – YANA SAMSUDIN

Norliana Samsudin atau lebih komersial dengan nama Yana Samsudin, merupakan anak kelahiran Yong Peng, Johor. Anak ketiga daripada lima bersaudara ini merupakan anak campuran bangsa. Ibunya Suhaily “Elly” Abdullah berbangsa Bidayuh berasal Serian, Sarawak. Manakala bapanya, Samsudin Jamuri adalah anak jati Yong Peng, Johor, seorang Melayu berketurunan Jawa.

Isteri kepada Fadzil Zahari dan ibu kepada Aisy Mateen ini cukup bimbang apabila adanya anasir-anasir yang cuba mengganggu gugat keharmonian Malaysia. Dengan tegas Yana berkata, jangan cuba bermain dengan isu sensitif yang boleh membahayakan negara dan merugikan kita rakyatnya.

“Apa yang saya bimbangkan apabila Malaysia yang terkenal dengan kepelbagaian etnik dan bangsa bakal kucar kacir, apabila ada parasit yang cuba memetik api perkauman. Bagi saya orang sebegitu, kelompok manusia lupa pada sejarah dan asal usul perjuangan pejuang-pejuang kita satu masa dahulu.

“Membesar di Yong Peng di mana persekitaran kami dikelilingi masyarakat Cina dan India membuatkan saya cukup menghargai keharmonian yang ada. Perbezaan bangsa bukan subjek utama dalam kawasan kejiranan kami. Apabila tiba musim perayaan, lazimnya kami saling berkunjungan dan bertukar-tukar juadah. Malah saya juga masih menjalin hubungan baik dengan kenalan rapat berlainan bangsa ketika di bangku sekolah hingga ke hari ini.

“Jangan memperjudikan keharmonian Malaysia dan jangan biarkan Malaysia bergolak kerana isu-isu sensitif dan perkauman. Jaga dan pelihara keamanan yang kita kecapi hari ini. Tanpa adanya pejuang bangsa yang bermati-matian menyatukan semua bangsa di bawah satu negara, tidaklah wujud tanah air kita, Malaysia,” tegas Yana.

Elakkan Sentimen Perkauman – PUSHPA NARAYAN

Keramahan suri hati kepada Richard Frederick Robless yang merupakan naib juara Pencarian Dewi Remaja 2004; Pushpa Narayan membuatkan sesiapa sahaja cukup senang berurusan dengannya. Anak kelahiran Jerantut, Pahang ini cukup selesa apabila berada di studio Karangkraf baru-baru ini. Ujarnya lagi, mana mungkin dia melupakan tempat yang berjaya mencungkil bakatnya sekali gus menaikkan namanya sebagai salah seorang ikon dalam program ikonik Pencarian Dewi Remaja anjuran majalah Remaja.

Hadir meluahkan rasa rindunya, dia awal-awal lagi melapangkan diri bagi memenuhi undangan sebagai salah seorang penghias wajah edisi kolaborasi tiga bangsa. Ibu kepada Rhea Rosa Robless (8) dan Robert Richard Robless (6) anggun mengayakan sari berona biru lembut ketika diminta menggayakan busana kebangsaan. Berbicara perihal persahabatan yang terjalin berbeza bangsa, Pushpa cukup sensitif dan menerapkan nilai murni dalam persahabatan lain bangsa bersama anak-anaknya.

“Saya mendidik mereka untuk menghormati perbezaan dan lebih menghargai nilai persahabatan. Saya tak galakkan anak-anak bergaul dalam satu kelompok bangsa sahaja. Saya mengesyorkan mereka untuk meluaskan pergaulan tanpa terikat pada satu bangsa sahaja.

“Saya juga mengelakkan penggunaan perkataan kaum. Contohnya saya tidak akan menyebut kawan Melayu, kawan Cina atau kawan India merujuk kepada sahabat saya ataupun anak-anak. Saya lebih suka menggunakan nama sahabat-sahabat anak sebagai rujukan yang lebih jelas apabila bertanya berkenaan teman mereka. Sekiranya timbul soalan dari anak-anak terutamanya hal budaya dan agama, saya dan suami akan menjelaskan sebaik mungkin.

“Membesar di Malaysia membuatkan kita terdedah dengan campuran budaya. Saya selalu menerapkan nilai-nilai murni terutamanya dalam mendidik anak-anak yang tinggal di persekitaran masyarakat majmuk. Mungkin kita ada perbezaan identiti melibatkan agama dan bangsa, tetapi itu bukan subjek utama dalam kita menjalin persahabatan. Saling memahami, lengkap melengkapi dan jangan mencetuskan provokasi bagi memastikan keharmonian yang dirasai hari ini, terus berkekalan hingga ke generasi hadapan,” kongsi wanita yang cukup menggemari juadah signature Malaysia, Nasi Lemak bersama ayam rempah.

AMBER CHIA Bangga Bawa Nama Malaysia

Siapa sangka anak kelahiran Tawau, Sabah ini hanya bergelar penjual ikan di pasar 20 tahun yang lalu. Namun impian besarnya untuk menjadi seorang supermodel akhirnya membuka jalan yang luas untuk dia mencipta nama. Bertahan selama 20 tahun bersandarkan pada bakat sepanjang dua dekad juga membuktikan kemampuan model Asia ini.

Amber Chia, 39 tahun, merupakan seorang figura yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Dia sendiri teruja apabila kehadirannya diterima umum selama ini. Apatah lagi dia merupakan model berbangsa Cina, jadi dia berasa bertuah dengan jalan hidupnya kini.

Selain berpeluang ke luar negara atas dasar tugas, Amber sememangnya gemar mengembara ke seluruh dunia sebagai seorang peragawati terkenal. Walaupun merantau jauh ke luar negara, tetapi nama Malaysia tidak pernah lekang dari bibirnya.

Malahan dia terlalu lama berada di luar negara, dia sentiasa berasa rindu dengan tanah air. Biar pun terpisah beribu batu dari negara sendiri, Amber pasti memilih untuk memesan atau mencari masakan Malaysia di luar negara. Jika bersama rakan-rakan dari negara luar, dia juga akan menceritakan kelebihan negara Malaysia dari segi makanan dan rakyatnya.

“Saya sendiri memang suka nasi lemak dan satay. Jika keluar negara, saya cuba mencari dua makanan ini kerana mudah didapati dan makanan kita sudah terkenal di luar negara. Saya rasa bertuah menjadi rakyat Malaysia yang hidup berbilang bangsa dan harmoni.

“Pergi ke mana pun, di hati saya hanyalah Malaysia kerana bukan sahaja dari segi cuaca yang buat kita selesa, makanan yang sedap pun ada di Malaysia kerana kita mempunyai terlalu banyak makanan. Saya boleh merasa masakan Melayu, India dan banyak lagi.

“Oleh itu, sempena Hari Malaysia, saya mengharapkan Malaysia terus maju dan dapat mengekalkan keharmonian antara bangsa,” jelasnya lagi.

*********************************************************************

Banyak lagi cerita menarik yang dikongsikan oleh Yana Samsudin, Amber Chia & Pushpa Narayan, baca sambungannya didalam edisi khas Hari Malaysia, Majalah Mingguan Wanita isu September, volume 2 yang kini telah berada di pasaran.

Teks & Penyelaras : Mastura Burhanuddin & Nur Syazwani Mehat
Foto : Tuan Azman Tuan Muda
Video : Nor Yanti Saharuddin
Solekan: Pushpa (Anne Karim), Yana Samsudin (Noor Zaleha Mohd Sharif), Amber Chia (Pinky Chia Amber Chia Academy Makeup Coach)
Busana : Terima Kasih Butik Qamilla Sacc Mall, Shah Alam, Saree By Jansri Sarees, Saree Blouse By Amisha Fashion House & Tailoring, Zara Malaysia
Tajaan Pakaian Amber Chia : Maglifestyle Officialaksesori : Poh Kong
Hijab : Butik Radiusite, Seksyen 7, Shah Alam