Syukur, apabila dapat melayari kehidupan bersama pasangan dari awal perkahwinan sehinggalah beranak cucu. Itu impian setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga. Jodoh pelakon yang juga chef selebriti, Datuk Fazley Yaakob dan isteri, Datin Azrene Ahmad bahagia bersama sehingga 14 tahun menjadi suami isteri.
Selama 14 tahun berdua empat orang cahaya mata, onak dan duri telah mereka harungi. Terharu sungguh, Fazley bila mana isteri tetap setia di sisi dalam apa juga kesukaran yang terpaksa mereka tempuhi.
Azrene yang mesra dipanggil ‘Adik’ oleh suaminya ini, menerima dirinya seadanya. Dari seorang yang dalam keadaan sehelai sepinggang, tetap isteri mencurahkan kasih sayang yang berpanjangan.
Azrene Jadi Isteri Abang Dalam Keadaan Sehelai Sepinggang.. – Datuk Fazley
14 tahun dah kita Adik Sayang!
Ads
Syukur ke hadrat Ilahi, 7 November 14 tahun yang lalu kami telah disatukan. Pelbagai onak duri, duka dan duka (bukan suka duka) dan airmata yang mengalir, namun Allah tetap izinkan kita untuk terus berdiri teguh mempertahan masjid yang satu ini. Bukan mudah untuk mempertahankan perkahwinan yang baru setahun jagung, apatah lagi memperkukuhkan masjid yang terbina 14 tahun lamanya. Moga iman kita semakin kukuh, tiang agama kita semakin utuh, dan anak2 kita yang 4 orang tu membesar dengan tersedianya ilmu dunia dan terpatrinya ilmu akhirat sentiasa.
Terima kasih di atas pengorbanan Adik sayang @azrene_ahmad selama ini. I am who I am today because of you.. Adik menjadi isteri abang dalam keadaan sehelai sepinggang, dan abang sendiri sampai tiada apa lagi yang tinggal akhirnya, namun Allah tetap memberi harta kasih dan sayang berpanjangan. Biarlah kita miskin harta, namun kekal kaya kasih dan sayang. Yang pahit tak semestinya racun, yang manis tak selalunya madu! Salam Ulangtahun kita yang ke-14 dan percintaan yang hampir ke-16 tahun.
Ads
Perkongsian Fazley ini dimuatnaik dalam instagramnya dalam bentuk paparan video beserta lagu ‘November Itu’. Yang mana, lagu dan liriknya oleh beliau sendiri.
Lumrah barisan hadapan bergadai nyawa demi memastikan keselamatan negara terjamin. Ajal, maut tidak kenal sesiapan pun malahan tidak lambat walaupun sesaat jika telah sampai waktunya.
Seorang anggota PGA telah meninggal di sempadan negara dalam kejadian tembak-menembak, walaupun isteri sedih tapi tetap berbangga suami pergi sebagai seorang wira.
“Kematiannya sangat menyedihkan, tapi saya berbangga kerana suami meninggalkan kami ketika bertugas untuk keamanan dan keselamatan negara, dia seorang wira,” kata isteri mendiang Koperal Baharuddin Ramli yang terkorban selepas terkena tembakan penjenayah di sempadan Malaysia-Thailand, awal pagi hari ini.
Relow Ko, 48, berkata beliau, dia dimaklumkan mengenai insiden menimpa suaminya itu pada 4.30 pagi oleh seorang rakan yang datang ke rumahnya di Kompleks Perumahan Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA), Bidor, di sini, hari ini.
“Sewaktu kawan sampai, dia senyap bila saya tanya kenapa. Dia tunjuk mesej WhatsApp kepada saya beritahu apa jadi kepada suami.
Mendiang yang berasal dari Bahau, Negeri Sembilan meninggalkan seorang balu dan tiga anak berusia antara 18 dan 32 tahun.
Operasi Bakal Berakhir Hujung Bulan
Menurut Relow, mendiang suaminya yang bertugas dengan Batalion 3 (Senoi Praaq), Briged Utara, PGA terbabit dalam penugasan kawalan keselamatan Op Benteng di sempadan sejak 1 November lalu dan dijadual berakhir hujung bulan ini.
Beliau berkata, mendiang suaminya yang mula berkhidmat sebagai anggota polis ketika usia 19 tahun merancang untuk bersara empat tahun lagi dan berhasrat balik ke Bahau untuk bersama keluarga.
Bercerita mengenai peribadi suaminya yang berasal dari suku kaum Semelai, Relow berkata, mendiang seorang yang suka bercucuk tanam dan tegas terhadap anak serta keluarga.
Katanya, beliau tidak nampak sebarang perubahan ketara kepada mendiang suaminya sebelum keluar untuk tugasan kali ini, sebaliknya beliau berasakan sentiasa tidak sedap hati, malah sukar untuk tidur malam.
Sementara itu, anak sulung mendiang, Shahrul Epanddy, 32, menyifatkan pemergian ayahnya sebagai wira negara.
“Saya anggap dia bukan mati sia-sia. Dia wira saya. Dia meninggal ketika mempertahankan negara. Sepupu saya yang turut bertugas di operasi sama memaklumkan ayah saya meninggal dalam keadaan tenang dengan raut wajah tersenyum,” katanya.
Berkongsi kenangan bersama ayahnya, Shahrul Epanddy berkata, kali terakhir mereka bertemu pada Ogos lalu di Bahau, namun tiada pelik tanda-tanda seakan mereka tidak akan bertemu lagi buat selamanya.
Mendiang Baharuddin akan disemadi di kampung halamannya esok.
MW: Semoga keluarga mendiang tabah menghadapi dugaan ini. Sesungguhnya jasa dan bakti mendiang terhadap negara tercinta akan dibalas dengan kebaikan.
Harga emas ini ada turun naiknya. Macam sekarang ini, harganya sedang menurun. Sebaiknya, mak ayah boleh beli emas jadikan simpanan. Ada juga persoalanan antara barang kemas dan gold bar, mana satu lebih baik untuk simpanan?
BroOhsem, Akhtar Syamir yang begitu sinonim dengan info-info dan perkongsian emasnya, memberikan pandangan. Jadi, mak ayah bolehlah buat pilihan untuk beli yang mana satu pada harga emas mudah untuk dimiliki ketika ini.
Gold Bar atau Barang Kemas? Yang mana saya patut beli?
Ini soalan yang sering saya dapat.
Selalunya soalan begini saya akan balas dengan soalan pula.
Jika untuk simpanan, kedua-duanya bagus. Beli emas tak pernah salah. Yang salah ialah ada duit tapi tak beli emas.
Jika untuk pelaburan, kedua-duanya juga bagus tetapi di dalam jangka masa yang panjang. Tidak semestinya 1 tahun. Kadang-kala 2 atau 3 tahun baru ada perbezaan. Sebagai contoh sekarang apabila harga emas kembali turun. Ini bermakna, jika anda beli emas pada beberapa bulan yang lalu, anda masih belum untung dari segi nilai duit.
Jika untuk perhiasan, orang yang senget sahaja akan pakai gold bar letak kat jari atau cuping telinga. Kalau nak buat loket mungkin tiada masalah, tapi macam takde erti. Jadi, untuk perhiasan terutamanya wanita, belilah barang kemas.
Jika anda seorang lelaki, satu soalan susulan saya perlu tanya. Adakah anda ada isteri atau tiada?
Jika anda seorang suami, saya nasihatkan anda beli barang kemas. Bagi sahaja isteri pakai. Kenapa tidak beli gold bar? Kerana barang kemas boleh beri apa yang gold bar beri, tetapi gold bar tidak boleh beri apa yang barang kemas boleh beri pada isteri iaitu kegembiraan, rasa dihargai, rasa cantik, rasa yakin dan segala rasa yang membuatkan senyuman dia meleret.
Ini bagi saya satu nilai bonus yang anda dapat apabila anda membeli barang kemas. Selain dapat menyimpan, anda juga dapat tengok pelaburan anda tergantung-gantung di sebelah sewaktu keluar atau di dalam rumah.
Jika anda beli gold bar sahaja, bagi saya anda sangat rugi kerana anda terlepas peluang percuma untuk menggembirakan isteri. Gold bar akan disimpan di dalam album dan diletakkan di suatu sudut. Mungkin sebulan sekali anda belek dan rasa puas hati kerana berjaya ada simpanan emas.
Tetapi apabila membeli barang kemas, kesannya setiap masa, setiap hari dan setiap ketika. Bayangkan masa isteri hulur nasi pun anda nampak pelaburan dan simpanan anda. Berkilau-kilau nasik lauk singgang ikan dengan budu anda.
Hebatkan?
Berapa banyak nak beli, jari ada 5 je, leher ada 1, pergelangan tangan ada 2, cuping telinga ada 2, pergelangan kaki ada 2 je. Kalau semua dah penuh, nak pakai kat mana?
Tak perlu risau bab tu, pandailah si isteri sesuaikan nak pakai yang mana, di mana dan masa bila. Tak salah pun ada pelbagai jenis dan rekaan. Belikan je kotak simpan barang kemas dan tengok simpanan anda semakin lama semakin memenuhi kotak.
Namun, ada para isteri yang “saya tak suka pakai emas“. Manusia kan diciptakan berbeza-beza? Tak salah pun kalau tak suka pakai emas.
Kalau di kategori ini, selalunya orang sebegini tidak suka rekaan yang besar atau terlalu terperinci. Jadi, nasihat saya beli barang kemas yang padu. Selalunya rekaan yang padu ini sangat ringkas tetapi berat. Contohnya rantai Gajah atau Dunhill yang padu. Beli sahaja satu yang 50 gram ke atas. Tak perlu dah nak beli yang cincin 20 bentuk untuk sampai ke 50 gram.
Ada juga yang gatal-gatal bila pakai barang kemas atau risau nak pakai emas. Ini ada dua pilihan. Sama ada beli juga barang kemas dan simpan, hanya pakai sekali sekala atau beli sahaja gold bar. Selesai masalah.
Mengenai soalan tentang jantina tadi. Jika anda seorang wanita pula, ada juga satu soalan susulan. Minat pakai barang kemas atau tidak? Jika ya, belilah barang kemas semampu yang boleh. Jika tidak, belilah gold bar dan simpan. Nak simpan dua-dua pun tiada masalah.
Jika ya, belilah barang kemas sebanyak yang boleh. Pakailah supaya anda sentiasa cantik, menarik dan gembira. Barang kemas juga boleh digunakan apabila keadaan memaksa.
Sama ada di masa yang memerlukan untuk membeli barang keperluan atau untuk membeli benda lain yang lebih penting.
Ingatlah, emas sangat berguna dan sangat mudah dicairkan tak kira barang kemas atau gold bar.
Kemudian kita masuk pula bab Zakat Emas. Zakat Emas wajib dibayar apabila sudah sampai kadar uruf yang ditetapkan mengikut negeri. Ada dua kategori iaitu, emas perhiasan (yang dipakai) dan, emas bukan perhiasan (yang disimpan atau tidak dipakai).
Kadar uruf emas bukan perhiasan untuk seluruh negeri dalam Malaysia ialah 85 gram. Gold bar secara automatiknya masuk di dalam kategori emas bukan perhiasan. Jadi, jika anda ada gold bar seberat 100g, kali sahaja dengan harga emas semasa dan darab 2.5%. Dapatlah amaun zakat emas bukan perhiasan yang anda wajib bayar.
Untuk kadar uruf emas perhiasan pula berbeza mengikut negeri. Jika anda tanya mengapa, ini ada kena mengena dengan maksud uruf itu sendiri iaitu “adat kebiasaan”. Mungkin ada negeri-negeri yang sangat sinonim dengan emas, jadi kadar urufnya lebih tinggi berbanding negeri yang lain.
Untuk negeri Selangor contohnya, kadar uruf emas perhiasan ialah 800 gram. Jadi, apa yang lebih dari 800 gram itulah yang wajib dibayar zakatnya. Sebagai contoh emas perhiasan anda ada 900 gram, jadi 900 – 800 akan jadi 100 gram. Kali sahaja dengan harga emas semasa dan darab dengan 2.5%. Dapatlah nilai zakat emas perhiasan yang wajib dibayar.
Mudah bukan? Di sini saya senaraikan kadar uruf mengikut negeri. Ada kebarangkalian kadar ini ada pindaan, sila dapatkan kepastikan di pusat zakat negeri anda.
Selangor, Kuala Lumpur = 800g Johor, Terengganu = 850g Perak, Pahang = 500g Negeri Sembilan = 200g Melaka = 180g Kedah = 170g Pulau Pinang = 165g Sabah = 152g Sarawak = 90g Perlis = 85g Kelantan = Tiada uruf
Kemudian masuk bahagian kepelbagaian. Dari segi mudah untuk menyimpan dan kepelbagaian pemakaian. Jika untuk perhiasan memang barang kemas paling mudah dipelbagaikan. Untuk kepelbagaian cara menyimpan, kedua-duanya mudah.
Untuk gold bar, boleh sahaja beli yang 1 gram. Harganya pun ikut harga semasa. Untuk barang kemas, ada sahaja cincin, subang atau charm yang beratnya kurang dari 1 gram.
Ada juga skim simpanan emas dari bank ternama yang boleh tambah ikut kemampuan dan anda tak perlu pegang emas pun. Ini pun boleh beli bawah 1 gram.
Tepuk dada tanya selera. Kedua-duanya tak salah jika anda mampu. Namun, saya secara peribadi lebih berminat untuk membeli barang kemas berbanding gold bar buat masa ini kerana ia memberi kebahagiaan dan kegembiraan buat isteri saya di samping dapat buat simpanan.
Yang penting, beli dan simpan emas. Bagus untuk simpanan, baik untuk pelaburan dan salah satu medium yang menggembirakan.
Seperti yang saya kata sebelum ini. Beli emas tak salah, yang salah adalah apabila ada duit tapi tak beli emas.
1 tip untuk kumpul barang kemas dengan nilai yang kecil. Beli cincin. Belilah banyak-banyak bentuk pun. Asalkan cincin emas dan beli di kedai yang tiada upah seperti
Gull Jewellery, Wangsa Maju dan GULL Jewellery, SHAH ALAM
Semoga dapat membantu anda membuat keputusan. Kongsikan penulisan ini jika anda rasa ianya bermanfaat.
Sumber/Foto : Akhtar Syamiryang selalu menulis mengenai hubungan suami isteri, kekeluargaan, emas dan isu semasa.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Setelah berjimat dan mengumpul duit untuk menyenangkan keluarga dengan membeli sebuah motosikal, namun akhirnya sedih apabila motosikal yang disayangi hangus di depan mata.
Setengah tahun kumpul duit beli motor, akhirnya rosak dalam perjalanan dapatkan bantuan susu anak. Sedih memang sedih, tetapi Amran Rongi bersyukur dia dan anaknya selamat.
“Saya hanya fikir mahu selamatkan anak saya,” kata Amran Rongi, 29, menceritakan kembali detik cemas motosikal yang ditunggang bersama dua anak lelakinya rosak lalu terbakar di laluan motosikal Plaza Tol Senai, di Johor Bahru, Isnin lalu.
Kebakaran itu bagaimanapun berjaya dipadam atas tindakan pantas seorang anggota polis dari Balai Polis Senai yang pada ketika itu sedang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) Plaza Tol Senai.
Menurutnya, motosikal terpakai yang dibeli pada Ogos lalu adalah hasil duit kumpul kerjanya sebagai nelayan.
“Lebih setengah tahun saya mengumpul duit bagi membeli sebuah motosikal untuk memudahkan pergerakan kami sekeluarga. Selama ini saya bekerja turun ke laut menumpang sampan atau bot ahli keluarga lain, apabila dapat hasil, saya akan dapat upah.
“Apabila dapat membeli motosikal terpakai, saya bercadang untuk mendaftarkan tiga anak saya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri, kerana dokumen seperti itu diperlukan bagi memudahkan saya untuk membuat permohonan bantuan daripada Baitulmal Johor,” katanya yang cacat tangan kiri sejak daripada lahir.
Dia yang mempunyai isteri dan empat anak berusia dua minggu hingga 10 tahun berkata demikian ketika ditemui di kediamannya di Kampung Orang Asli Kuala Masai, dekat sini, hari ini.
“Upah saya sekitar RM30 bergantung kepada hasil laut harian. Saya perlu menyara keluarga dan mencari ikhtiar untuk teruskan kehidupan.
“Maafkan saya kerana saya tiada niat mahu susahkan sesiapa. Saya buta huruf. Nak tengok arah jalan pun saya tidak tahu, mana angin bawa, saya pergi, tau-tau sampai,” katanya.
Amran berkata niatnya mahu pergi ke Baitulmal Johor kerana mahu meminta bantuan susu bagi dua anaknya.
“Saya mahu pergi ke Baitulmal Johor bagi meminta susu untuk bayi dan anak ketiga saya berusia setahun, tetapi hajat saya tidak sampai kerana saya sudah jauh dari rumah malah motosikal juga rosak teruk sehingga tidak boleh digunakan lagi.
“Niat saya untuk ubah kehidupan keluarga saya, namun mungkin belum sampai rezekinya. Saya harus kembali dengan rutin harian turun ke laut dan mengumpul simpanan semula supaya pada masa sama anak-anak saya dapat makan,” katanya.
Sementara itu, keluarga malang itu mendapat perhatian daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Johor menerusi program Foodbank YaPEIM.
Pengurus YaPEIM Johor, Tajul Ariffin Harun, berkata pihaknya menyumbang barangan keperluan asas sebagai inisiatif meringankan beban keluarga berkenaan terutama dalam menghadapi cabaran pandemik Covid-19.
MW: Setiap kali kita mengeluh susah, rupanya masih ramai di luar sana yang susah. Yang hidupnya hanya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Maka bersyukurlah dengan hidup kita seadanya.
Pelakon Wanita, Syida Melvin dilaporkan telah memfailkan cerai terhadap suaminya, Syafiq Azim di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor pada Disember tahun lalu.