Bagi pesakit yang pernah dan sedang mendapat rawatan di Jabatan Perubatan terutamanya di wad 6F, Unit Nefrologi, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Cheras, Kuala Lumpur sudah pasti akan mengenali jururawat bernama Siti Sakinah binti Md Said. Ini kerana sejak mula bekerja sebagai jururawat pada tahun 2006, Unit Nefrologi adalah wad tempat dirinya bertugas sehingga sekarang.

Tidak pernah terlintas di fikiran Siti Sakinah untuk memilih kerjaya sebagai jururawat. Namun setelah 12 tahun berkhidmat, wanita berasal dari Kelantan ini puas hati kerana dapat menyumbang masa dan tenaga demi membantu mereka yang memerlukan. Malah minatnya terus mengalir dalam dirinya sehingga ke hari ini.

“Selepas SPM, sepupu saya yang bekerja di KL ketika itu menghantar borang permohonan kejururawatan untuk saya isi. Alhamdulillah, permohonan melanjutkan pelajaran dalam Diploma Kejururawatan (UKM) diterima. Pada masa yang sama saya turut mendapat tawaran dalam Diploma Perhutanan (UPM) .

“Setelah berbincang dengan ahli keluarga, mereka mencadangkan saya memilih kerjaya yang lebih dekat dengan masyarakat iaitu jururawat malah peluang kerjaya ini yang terbuka luas setelah tamat belajar. Saya menerimanya dengan hati terbuka sementelahan tertarik dengan uniform jururawat yang cantik dan kemas serta boleh membantu ahli keluarga apabila keadaan memerlukan.

“Tamat pengajian dalam Diploma Kejururawatan di UKM pada tahun 2003. Saya diserap terus ke hospital yang sama. Kemudiannya saya menjalani kursus kepakaran Pos Basik Renal pada tahun 2014. Kini saya sedang melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sains Kejururawatan di Universiti Mahsa secara separuh masa,” ceritanya tentang permulaan penglibatan dalam bidang ini.

Kerjaya pilihannya ini amat berbeza dengan kerjaya ibu bapanya. Arwah bapanya adalah seorang guru dan pendakwah di Pantai Timur dan Utara Semenanjung. Manakala arwah ibunya adalah seorang guru Al-Quran. Namun anak bongsu daripada 13 orang adik-beradik berlainan ibu ini yakin dia mampu membanggakan kedua ibu bapanya dan keluarga dengan kerjaya pilihannya ini.

“Keluarga sangat menyokong, malah adik-beradik banyak membantu dari segi kewangan semasa masih belajar lagi. Suami pula sangat memahami dan banyak membantu saya melakukan kerja-kerja rumah ketika saya pulang kerja pada syif malam,” pujinya.

 Lubuk Pahala Jaga Pesakit

Memilih kerjaya sebagai seorang jururawat, tentunya banyak kelebihan yang Siti Sakinah peroleh.

IKLAN

“Banyak kelebihan bekerja sebagai seorang jururawat. Lubuk pahala yang terbuka luas dan kemahiran yang dimiliki boleh digunakan di mana sahaja sepanjang hayat. Peluang kerjaya yang cukup luas dan pendidikan yang setaraf dengan kerjaya profesional lain iaitu daripada diploma, ijazah, sarjana muda hingga PhD. Malah setiap jururawat wajib memperbaharui diri dengan ilmu, kemahiran jaga rawatan dan perubatan selaras teknologi terkini.

“Jadi jururawat turut mampu memupuk kerja berpasukan, berdedikasi, menjadikan fikiran lebih kritis menangani cabaran dan mengajar erti komited dalam tugas. Selain itu, jururawat juga mampu memupuk kerja berpasukan, berdedikasi, menjadikan fikiran lebih kritis menangani cabaran dan mengajar erti komited dalam tugas.

Dalam kerja seharian jururawat menggunakan pelbagai kemahiran seperti kognitif skill, psycomotor skill, technical skill dan lain-lain yang akan mengaktifkan semua deria agar peka dengan keperluan pesakit. Sebagai contoh apabila pesakit tidak faham apa yang doktor telah terangkan kepadanya, jururawat akan menggunakan interpersonal skill untuk menjelaskan penyakitnya dalam bahasa yang mudah,” terang Siti Sakinah lebih lanjut.

Ujarnya lagi, jadi jururawat turut memberikan kepuasan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.

IKLAN

“Saya suka dapat melihat pesakit kembali sembuh dan mampu menjalani rutin seperti biasa. Ada pesakit yang masih mengingati dan mencari saya di wad setelah bertahun-tahun tidak berjumpa. Saya seronok dapat berkhidmat dan puas hati melihat pesakit kembali tersenyum.”

Siti Sakinah berharap semoga dapat meneroka dunia kejururawatan sehingga ke peringkat tertinggi dan merantau ke negara lain untuk menimba pengalaman serta meningkatkan taraf kejururawatan di Malaysia.

“Saya tidak akan mengalah dengan cabaran dan semoga Allah terus beri saya kekuatan,” janjinya.

Kesabaran Tinggi

Pengalaman yang dikutip sepanjang bergelar jururawat sudah pasti berguna dalam memastikan kerjaya sentiasa berkembang maju. Begitu juga dengan pelbagai peristiwa pahit dan manis yang dihadapi Siti Sakinah. Antaranya ketika bekerja syif malam.

IKLAN

“Pada malam pertama salah seorang pesakit saya tidak berhenti-henti memanggil. Banyak perkara yang sama dia minta secara berulang-ulang kali seperti buka suis kipas, tutup suis kipas, minta ambilkan air, garu dan urutkan kakinya dan lain-lain namun saya melayannya dengan sabar sehingga habis syif.

“Kadangkala ia menjadi sangat mencabar kerana menjaga 10 pesakit pada masa yang sama punya pelbagai kerenah dan ragam. Apabila saya datang bekerja keesokan harinya, saya lihat katilnya kosong, sangkaan saya, dia dipindah wad. Tetapi sama sekali meleset kerana rupa-rupanya dia telah meninggal tengah hari tadi.

“Saya terkejut kerana rupa-rupanya malam tadi adalah khidmat bakti saya yang terakhir buatnya. Sebab itu perlu letakkan tahap kesabaran yang tinggi kerana kita tidak dapat jangka apa yang akan berlaku seterusnya.

“Pada satu ketika yang lain, pernah sekali fistula pesakit bocor dan darah memancut keluar dengan laju setinggi 1 meter seperti air paip. Fistula selalunya dipasang di lengan pesakit untuk rawatan hemodialisis atau cuci darah dan selalunya mempunyai kadar tekanan arteri yang tinggi. Namun dengan kecekapan saya dan tim perubatan yang lain, kami berjaya menyelamatkan nyawa pesakit daripada kehilangan darah yang banyak atau hypovolemic shock,”ceritanya tentang pengalaman itu.

Siti Sakinah juga bersyukur kerana dengan ilmu yang ada dalam bidang perubatan berguna dalam membantu keluarganya ketika memerlukan.

“Empat tahun lalu ibu mertua sakit tenat dan selepas menjalani pembedahan dia terlantar dan mengalami kudis tekanan. Saya dan suami menjaga sepenuhnya secara bergilir-gilir. Saya  praktikkan kemahiran jagarawatan di rumah seperti sponging, feeding, positioning, hygiene, dressing luka, fisio dan lain-lain sehingga ibu mampu berjalan semula seperti biasa selepas setahun. Ini tentunya mengejutkan suami dan ahli keluarga kerana mereka tidak meletakkan harapan yang tinggi memandangkan usianya yang telah lanjut,” katanya mengakhiri perbualan.

Foto: Siti Sakinah Md Said

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI