Anak merupakan satu rezeki yang mampu menjadi penyeri didalam rumahtangga. Namun, bukan semua pasangan bertuah dikurniakan cahaya mata di awal perkahwinan. Ada yang menunggu bertahun-tahun lamanya untuk memperolehi zuriat sendiri.
Apa yang penting adalah tidak berputus asa berusaha dan tidak berhenti berdoa. Ini kerana percayalah kuasa doa, tuhan akan berikan pada waktu yang benar-benar dirasakan paling sesuai buat kita.
Umrah Bersama Keluarga
Baru-baru ini, pelakon wanita Siti Elizad Mohamad Sharifuddin, 35 atau lebih ringkas dipanggil Elizad ada berkongsi cerita, berkesempatan menunaikan umrah bersama suami dan keluarga tersayang.
“Assalammualaikum wahai kesayangan-kesayanganku semua. Kami dengan rasa rendah hati ingin memohon maaf kepada mereka yang ada terguris atau terkasar bahasa dalam bergurau.”
Ads
“Ku panjatkan rasa syukur ini kepada Mu Ya Allah, kali ini dapat membawa keluarga pula bersama-sama ke tanah suci.Moga semuanya dipermudahkan. Doakan kami sekeluarga ya semua. Amin Amin Amin Ya Rabbal Alamin”
Doa Dikurniakan Anak Walaupun Seorang
Untuk makluman, Elizad telah mendirikan hampir 4 tahun mendirikan rumah tangga dengan duda dua anak, Shamsul Baharin Rahman, 46, pada 11 Januari 2015. Kunjungan pelakon drama Teman Lelaki Upahan ini tanah suci kali ini, memohon doa agar dikurniakan anak yang sihat, sempurna dan sangat berharap agar dikurniakan cahaya mata walaupun seorang. Elizad juga mendoakan buat para isteri yang lain senasib dengannya juga dikurniakan rezeki anak.
Ads
“Wahai Tuhanku , Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik . Sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan dari hamba-hambamu. Doakan kami punya zuriat yang sihat, cantik & sempurna ya semua, dapat sorang pun dah memadai sangat.Saya juga mendoakan buat para isteri seperti saya. Moga punya rezeki buat kita semua”.
Ads
MW: Semoga segala doa dan permintaan Siti Elizad dimakbulkan. Dikurniakan zuriat sebagai penambah seri dalam rumahtangga. Buat wanita lain juga jangan berhenti berdoa dan berputus asa, percayalah pasti ada rezekinya nanti dan Allah akan berikan pada waktu yang paling sesuai buat kita.
Pernahkah anda berada dalam situasi ini. Pulang dari kerja, terkejar-kejar nak memasak hidangan makan malam. Bila anak-anak nak bercakap dan berkongsi sesuatu, akan diabaikan saja. Lagi teruk jika anak itu dimarahi kerana menganggu fokus anda yang tak menang tangan nak buat itu dan ini. Tanpa sedar, ia memberi kesan tidak elok untuk perkembangan diri anak-anak. Ayuh hayati perkongsian daripada Dr. Nurul Asiah Fasehah Muhammad, pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia yang juga penulis tetap ruangan Permata Hati di dalam majalah Mingguan Wanita.
Dalam mengharungi kehidupan sehari-hari, tidak dapat dinafikan kita letih dan amat penat. Keberadaan kita di rumah terkadang hanya tinggal jasad yang longlai dan tidak ada tenaga. Sedangkan pada ketika itulah anak-anak ingin mendapatkan perhatian kita bagi mengubat rindu setelah seharian tidak bertemu. Suara manja mereka sentiasa kedengaran inginkan perhatian, pelbagai persoalan yang diajukan, pelbagai cerita ingin diberitahu.
Begitulah hakikat kehidupan yang kita jalani sehari-harian. Hanya pada Allah tempat mengadu kelelahan dan tempat memohon bantuan. Ya benar, sememangnya kita keletihan namun, usah lupa ada Allah bersama kita yang mampu meringankan bebanan yang kita tanggung. Justeru, bermunajatlah dan mengadulah segala kesukaran itu kepada-Nya yang Maha mendengar. Usah dilemparkan rasa letih dan penat itu kepada anak-anak yang tidak bersalah pasti kita lebih sakit melihatnya menangis kesayuan akibat herdikan kasar ibu yang dinanti sedari pagi. Pasti itu memeritkan.
Tulus
Usah kita lupa bahawa anak-anak kita memiliki hati yang tulus. Kasih sayangnya juga tulus tiada berselindung. Panggillah dia dengan namanya dengan penuh kasih sayang pasti itu amat menggembirakannya. Hadiahkan dia sekuntum senyuman yang manis walaupun kita sudah tidak berdaya untuk memberikan respons kepada ceritanya yang panjang. Ketahuilah juga anak-anak kita amat memahami. Dia juga tidak mahu kita kelelahan cuma berikan dia sedikit masa untuk memberitahu kita tentang perkara itu.
Ayah dan ibu yang dihormati, respons bukan sekadar dengan perkataan, boleh terjadi dalam pelbagai bentuk seperti sentuhan dan senyuman. Malah respons seperti ini memiliki auranya yang tersendiri. Apabila anak memanggil kita, jawablah panggilannya dan jika dia sedang memandang kita angguk dan senyumlah kepadanya. Ini menunjukkan kita amat mengalu-alukan dirinya.
Dalam banyak hal, kita harus terlebih dahulu membuat komitmen untuk tampil sebagai contoh kepada anak. Jika kita gagal menjawab panggilan anak dengan baik, maka contoh tersebut yang kita tunjukkan kepada mereka. Maka tidak hairanlah jika mereka juga menggunakan cara yang kasar atau lambat menyahut sapaan dan panggilan kita.
Jadi Contoh
Tambahan pula di zaman ledakan teknologi. Di mana aktiviti di dalam telefon bimbit tidak pernah berhenti. Ada sahaja mesej yang masuk, ada sahaja kerja baru yang sedang menanti. Ketika ini lebih lagi kita harus menunjukkan contoh yang baik kepada mereka. Dengan apa yang kita praktikkan, pastikan anak boleh belajar bagaimana untuk menguruskan teknologi dalam kehidupan mereka. Hal ini kerana mereka adalah generasi high-techonology. Jika tidak diberikan panduan sudah tentu mereka akan hanyut di dalam arus derasnya yang deras.
Dalam pada itu, mereka masih lagi sedang belajar untuk membina perisai diri dengan agama. Maka bantulah mereka dengan menunjukkan contoh teladan yang terbaik. Agar mereka dapat menyeimbangkannya dengan tanggungjawab sebagai hamba Allah.
Ayah dan ibu sekalian, bagi meneguhkan hal itu, kita harus berperanan sebagai pemandu arah dengan menggunakan sentuhan insaniah yang baik bagi menyentuh rohani mereka. Antaranya ialah dengan mengusik emosi mereka dan merantai sanubari mereka dengan agama. Mereka harus didedahkan dengan perkara-perkara yang perlu diutamakan sebagai umat Islam. Maka keperluan emosi mereka harus disantuni dengan baik. Mereka perlu rasa diri mereka disayangi dan dihargai kemudian, insya-Allah pendidikan dan nasihat kita mudah untuk menyelinap di dalam hati.
Akhirnya, sebagai orang kepercayaan dan kesayangan mereka, penuhilah impian mereka untuk berbual mesra, bergelak ketawa dan bergurau senda sementara kita diberikan peluang dan ruang itu. Ketepikanlah sebentar keletihan kerana apa yang sedang kita lakukan dalam menyantuni mereka hakikatnya ada Rahmat dan Kasih sayang Allah di dalamnya. Jadi, jawablah panggilannya dengan baik dan penuh kasih sayang, insya-Allah kita juga bakal menerima keadaan yang sama di waktu kita memerlukannya kelak. Wallahualam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kata pakar, umur anak dua tahun gigi susunya dah lengkap. Sebab itu, ibu bapa memainkan peranan utama dalam menjaga gigi si kecil. Paling penting mulakan ia dari awal supaya menjadi rutin yang boleh diamalkan sehingga mereka meningkat usia. Nak tahu macam mana cara untuk jaga gigi anak sejak usia muda mereka? Ikuti tip di bawah ini.
Untuk bayi yang belum tumbuh gigi, sebaiknya ibu membersihkan gusi bayi setiap kali selepas minum susu atau sekurang-kurangnya dua kali sehari.
Bagi bayi yang menyusu pula, jangan biarkan anak-anak anda menyusu terlalu lama kerana ia boleh mengakibatkan rampant caries ( gigi berlubang dan hitam pada bahagian atas)
Selepas minum susu (untuk bayi berumur enam bulan ke atas), berikan anak minum air putih. Tujuannya untuk membilas mulut daripada bakteria sebelum ini. Jadikan juga amalan untuk anak-anak yang lain supaya kerap minum air putih.
Bagi si kecil yang berusia dua tahun dan lengkap gigi susunya, berikan berus gigi yang sesuai dengan usia mereka. Gunakan juga ubat gigi tanpa fluorida kerana mereka masih belum pandai meludah.
Berus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari. Setiap pagi selepas bangun tidur dan juga sebelum masuk tidur.
Bawa berjumpa dengan doktor gigi setiap enam bulan sekali.
Kurangkan makanan bergula.
* Ajar Teknik Memberus Gigi Dengan Betul:
Kredit foto : martinsouthondentist.co.uk
Dengan meletakkan berus gigi 45 darjah pada permukaan luar gigi belakang sebelah kiri, gerakkan berus gigi dalam gerakan membulat. Pastikan memberus gigi dan terutamanya di mana gigi bertemu gusi.
Dengan gerakan membulat ini, perlahan-lahan gerakkan berus gigi sehingga ke gigi hadapan. Jangan terlalu cepat dan pastikan anda ambil masa hingga hilang semua plak dan kotoran. Teruskan memberus sehingga ke gigi belakang di sebelah kanan. Ulang cara yang sama untuk gigi bawah.
Beruskan bahagian belakang gigi yang berdekatan lidah untuk gigi atas dan bawah.
Seterusnya berus bahagian gigi yang mengunyah makanan
Bersihkan berus gigi, letak pada lidah dan berus lidah secara lembut kerana lidah juga tempat banyak mengumpul bakteria.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Normal sekiranya terbit rasa cinta di hati antara pasangan dara dan teruna. Anak-anak remaja zaman sekarang, susah nak halang mereka daripada bercinta sebelum nikah. Mereka ingin memilih sendiri pasangan hidup mereka dan tidak mahu mak ayah yang carikan.
Normal Jika Jatuh Cinta
Jika begini keadaannya, mak ayah wajib pantau siapakah jejaka/gadis pilihan hati anak agar hubungan yang terjalin itu patuh syariah.
Namun, ada juga mak ayah yang sangat tegas dalam soal ini. Anak-anak terutamanya anak gadis tak dibenarkan bercinta sebelum nikah dan mereka berhasrat untuk mencarikan jodoh untuk anak gadis mereka kelak. Normal bagi mak ayah yang takut anak-anak terjerumus dalam perkara yang tak elok jika diizinkan bercinta.
Normal Bila Nak Sembunyikan Aib Diri
Berpasangan sebagai kekasih sebelum kahwin itu haram! Bercinta selepas nikah itu sunnah! Betulkah pandangan sebegini?
Bagaimana jika proses berkenalan itu belum sempurna, terburu-buru, tidak selidik betul-betul bakal suami atau isteri? Biasanya disebabkan sangka baik yang terlalu baik akhirnya kecundang jua. Tudung labuh serban besar bukan jaminan yang memakainya memiliki iman sempurna dan akhlak mulia. Tiada siapa tahu rahsia yang disembunyi, aib yang sengaja ditutupi dan kemunafikan yang dihias indah!
Malang sungguh, disebabkan mahu menjaga diri dari berpacaran yang tidak patuh syariah maka seorang anak dara patuh suruhan ayahnya untuk menerima pinangan lelaki yang tidak dikenal. Tak sampai setahun bercerai walaupun lelaki itu berkelulusan agama dan warak kononnya tapi rupa-rupanya menyimpan syaitan dalam jubahnya. Kaki pukul, tak bagi nafkah batin, seorang gay yang sengaja mahu menyembunyikan seksualitinya yang sebenar.
Suami Rupanya Bukan Lelaki Normal
Demi mengaburi mata masyarakat ramai lelaki gay yang sengaja kahwin untuk menutupi identiti asli mereka. Akhirnya yang merana adalah wanita-wanita yang masih dara lagi harus menjadi janda.
Lagi teruk kisah isteri yang terpaksa bersaing dengan lelaki yang ‘diminati’ suami, suami biseksual yang tak nampak kepondanannya tapi mempunyai kelaian seks yang teruk, kenapakah mereka tidak mencium kelainan suami sebelum bernikah lagi? Apakah ini bahana cinta sebelum nikah?
Kita tidak nafikan dalil-dalil dalam al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w tentang haramnya bergaul bebas tetapi ia bukan bermakna langsung tiada pergaulan dalam urusan proses sebelum kahwin. Sehinggakan menutup mata terhadap segala kelemahan dan aib manusia yang mungkin disembunyikan bakal pengantin.
Ikhtiar Tak Salah….
Sangka baik itu dituntut dalam agama tapi selepas ikhtiar meneliti asal usul dan keperibadian sebenar sebagaimana yang diketahui orang-orang rapat kepada bakal pengantin. Bukankah Ummul Mukminin khadijah RA mengutuskan sahabatnya, Nafisah binti Muniyyah untuk menjadi ‘mata dan hatinya’ mencari maklumat yang cukup sempurna tentang Muhammad s.a.w.
Bercinta selepas nikah kadang dicampuri unsur riak, mahu menunjuk suci walaupun ia perbuatan hati yang tiada seorang boleh menilainya selain Allah tetapi perlu diteliti apa niat sebenar orang yang mengabaikan asal usul bakal suami atau isterinya itu. Padahal agama menyuruh seorang lelaki melihat wanita yang akan dinikahinya .
Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:“Jika salah seorang di antara kalian melamar seorang wanita, maka jika kamu mampu untuk melihat apa yang bisa membuat tertarik untuk menikahinya maka hendaknya dia lakukan”. Jabir berkata, “Maka sayapun melamar seorang wanita lalu saya melihatnya dengan sembunyi-sembunyi (tanpa sepengetahuannya) sampai akhirnya saya melihat darinya apa yang membuat saya tertarik untuk menikahinya maka sayapun menikahinya”. (Hadis riwayat Abu Daud dengan sanad yang hasan)
Pergaulan Patuh Syariah
Tidak bermakna bercinta selepas nikah itu tidak mengikut syariat bahkan jika kedua bakal pengantin telah meneliti latar belakang dan akhlak kemudian menjalani proses pergaulan patuh syariah sebenarnya ia lebih menepati keadaan masyarakat sekarang.
Kita hidup dalam sistem maklumat dan komunikasi paling canggih yang memudahkan pergaulan yang halal ini dilakukan secara tanggungjawab. Selagia tidak berdua-duaan, tidak menyentuh, tidak merayu dengan suara yang memikat, tidak memandang dengan syahwat maka pergaulan cara Islam ini dihalalkan.
Jangan Abaikan Latar Belakang Bakal Pasangan
Pada pokok pangkalnya jangan abaikan latar belakang bakal pasangan, minat dan sikap, sumber pendapatan dan harta bendanya, latar belakang keluarga dan pendidikanya, kawan-kawan karib dan hobinya, sifat dan tabiat negatifnya, semua ini kerja besar yang perlukan pertolongan spy profesional.
Malang jika rasa cinta yang membuak-buak boleh menutupi segala kejahatan yang sudah pun nampak di mata. Hati kata sayang maka mata jadi buta, cinta buat mabuk kepayang! Namun beitu jangan pula terlalu cerewet memilih dan menyusah-nyusahkan proses perkahwinan kerana terlalu fobia, bukankah dalam setiap ikhtiar itu ada satu kewajipan untuk tawakkal kepada Allah SWT?
Mesti Dengan Niat Nak Bernikah
Mengapa gerakan cinta selepas nikah ini menjadi trending? Apakah disebabkan masyarakat sudah marah melihat kemaksiatan yang mengotori pergaulan lelaki dan wanita sehingga mereka yang menyokongnya bersungguh-sungguh mengamalkan proses pernikahan sebegini.
Pergaulan sebelum menikah itu halal, jangan haramkan apa yang tidak diharamkan Allah, ia sama seperti merosakkan kuasa veto Tuhan. Jangan pula mengambil kesempatan dengan melambat-lambatkan proses pernikahan padahal sebenarnya tidak berniat mahu menikah. Pergaulan yang disyariatkan adalah pergaulan yang berakhir dengan matlamat pernikahan bukan untuk main-main cinta.
Tak Semudah Dilafazkan
Cinta selepas nikah memang indah dilafaz tapi terlalu berat dipikul. Bukan mudah untuk memahami orang yang tidak pernah bercakap dan melihat satu sama lain. Apatah lagi jika mereka ada masalah komunikasi, masalah moral yang sebelumnya tidak diketahui, masalah kewangan seperti isteri terpaksa membayar hutang suami sewaktu bujang, masalah penyakit, masalah keluarga mentua dan pelbagai cabaran lainnya.
Wahai wanita, perkahwinan adalah ujian maka eloklah bersedia melihat kejutan yang tak dijangka!
Artikel ini telah dikongsikan oleh Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding Undang-Undang Keluarga Islam dan juga penulis jemputan di dalam majalah Mingguan Wanita. https://www.facebook.com/juanda.jaya.9
Ibu kepada Allahyarham Mohd Fuad Fahmie berkongsi kesedihan apabila arwah yang maut ditembak di Sungai Golok tidak sempat menimang cahaya mata sulung yang dijangka lahir pada hari kelahirannya.