
Wahai suami, tolonglah jangan lupa tanya keadaan isteri bila anda keluar mencari rezeki. Paling tidak, mesej tanya pun isteri dah rasa lega. Dalam sibuk-sibuk uruskan rumahtangga, ada juga orang ingat pada dia.
In shaa Allah cara ini boleh kurangkan emosi yang kadang tak terurus dek kesibukan harian. Macam yang saudara Firdaus Shakirin kongsikan, tak susah pun suami nak hilangkan penat isteri. Sekurang-kurangnya suami ingat pengorbanan isteri.
Rutin Harian Isteri
Kita keluar rumah nak ke tempat kerja, isteri hantar kita smpai depan pintu, salam dengan kita, berdiri di pintu tu sampai kita hilang dari pandangannya. Baju seluar kita, dia iron, stokin kita, dia cari… sarapan kita, dia sediakan.
Dalam hati, dia berdoa,
“Ya Allah, Kau peliharakanlah suamiku dari segala bala bencana, kejahatan dan kemungkaran, Kau permudahkan lah urusannya hari ini dan hari-hari yang seterusnya, Kau berikanlah dia kekuatan dan kesihatan yang baik untuk dia terus mencari rezeki demi keluarga kecil kami…”
Kita balik kerja, dia dah tunggu kita, sambut kita… air dah dihidang siap dengan makanan lagi.
“Abang penat tak hari ni, ok tak kerja…?”
Lembut saja pertanyaan dia dengan penuh senyuman dan muka ceria. Ada yang cakap “OK”, ada yang sekadar “Hmmm” sahaja, ini respon kita dengan muka tak senyum, kelat, pahit, tawar. Kita mandi, uruskan diri, solat, makan, minum, tengok tv, main dengan anak dan kemudian kita tidur.
Lupa Tanya Keadaan Isteri
Satu benda kita terlepas pandang… kita lupa nak tanya, macam mana isteri kita hari tu. Kita lupa nak tanya, dia ok ke tidak… dia letih ke tidak… kita lupa nak suruh dia cerita apa yang dia lalui hari tu. Itu yang kita lupa.
Ya, kita lupa…
Tapi, jika kita ingat, dan kita tanya, kita pasti akan dengar ceritanya panjang lebar dan jangan risau, dia tak mintak kita untuk faham semua yang dia cerit. Kita tanya dan dengar itupun dah cukup untuk buat dia rasa lega, hilang letih, hilang penat dan keesokkannya dia akan lalui hari itu seperti hari sebelumnya, tapi dengan lebih kuat dan sabar lagi sebab kita hargai dan ambil tahu apa jua yang dilakukan dia untuk keluarga kita.
Isteri tak minta banyak pun sebenarnya… cukup dengan jadi pendengar yang setia. Tempat dia nak mengadu dan bercerita, pada siapa lagi dia nak mengadu dan cerita kalau bukan pada kita, suami dia?
Lumpuh Sebelah Muka, Wanita Ini Dedah Punca Dan Cara Rawatan Strok Buat Anda Yang Senasib Dirinya

Bellpalsy atau lumpur sebelah muka ini orang kata macam strok kecil juga. Namun serangan ini berlaku pada sebelah muka yang mana boleh mengakibatkan lumpuh atau lemah di bahagian sebelah muka sebab kerosakan saraf muka.
Dan ini pengalaman pesakit sendiri, Abaya Fiona yang berkongsi cerita macam mana dia boleh diserang lumpuh sebelah muka dan apa punca sebenar.
Rasa malu nak kongsi gambar tapi memandangkan ramai kawan-kawan yang tak kira umur dah kena strok di usia muda. Fiona nak kongsi Punca dan Cara rawatan strok.
Fiona anggap ini ujian dari Allah Taala fiona Redo tak perlu malu, mungkin pengongsian ini dapat membantu orang lain yg senasib fiona.
Punca Yang Boleh Buat Lumpuh Sebelah Muka
1. Demam berpanjangan lebih dari seminggu
2. Darah tinggi
3. Stress
4. Tak cukup rehat
5. Banyak berfikir
6. Kolestrol tinggi
7. Sakit dalam perut
Jangan pandang rendah dengan demam, demam lebih dari seminggu sila rujuk ke hospital. Dikhuatiri darah anda akan dijangkiti bakteria, ini akan memudahkan lagi anda untuk mendapat strok.
TEMPOH MASA UNTUK SEMBUH
1. Doktor cakap 6 bkn 1 tahun
2. Kawan-kawan yg dah kena ada yang setahun masih belum sembuh jangan sedih jangan give up kena kuat sayang semua.
.
USIA YANG BOLEH MENGHIDAP BELLPALSY
1. Tak ada limit usia, paling muda setakat ni umur 6tahun sebab obes.
CARA RAWATAN
1. Turun kan panas badan dan darah tinggi secepat mungkin
2. Ambil ubat hospital cuma seminggu
3. Terus berurut traditional saraf secara kampung dalam tempoh 2/3 kena, jangan tunggu lama2 nanti saraf dah keras susah nak betul .
4. Mulut tu banyakkan selawat zikit buka mulut tu. Dokter akan suruh exercise sebut (a e I o u ) kita percaya pada Allah kita banyakkan sebut Allah di mulut.
5. Senaman lidah nanti fiona akan buat vedio tunjuk senaman yg betul.
6. SIMPAN ALLAH DALAM HATI ALLAH JAGA KITA SAMPAI MATI.
7. KUAT KUAT KUAT FIONA SANGAT KUAT. KEKUATAN DALAMAN LAGI KUAT DARI KEKUATAN FIZIKAL. FAHAM NI.
KESAN
1. Mata tak dapat pejam
2. Mulut herot
3. Sukar bercakap makan minum
4. Penglihatan fiona dah kabur
5. Pendengaran kurang
6. Saraf tak dapat lagi merasa deria.
Sesungguhnya fiona tak pernah kesali dengan apa yg terjadi. Tidak sedih walaupun sedikit suami banyak bagi sokongan fiona jadi semakin kuat. Cuma bila doktor cakap dia tak dapat buat apa-apa fiona mungkin akan begini dalam tempoh setahun baru menitis sedikit air mata. Tapi fiona berazam pada diri sendiri aku kena kuat aku kena sembuh cepat.
Alhamdulillah sekarang tak sampai 2 minggu fiona dah 60% sembuh ni semua kuasa Allah taala mata pun dah dapat pejam mulut dah tak herot sangat cuma minum air masih meleleh.Dan juga pergi berubat pada tempat yg betul.
Tok sah p tok bomo tipu semua tu. Nanti boleh check dekat wall Abaya Fiona akan share tempat urutan saraf.
Tak Pernah Bernikah Dan Hamil, Tapi Ini BONUS Daripada Allah

Jangan pandang sebelah mata pada wanita yang tak pernah bernikah dan belum hamil sebab setiap perjalanan hidup seseorang pasti terselit hikmah yang kita sendiri tak tahu dan boleh jangka.
Ini kisah seorang wanita yang tak pernah bernikah tapi dia tetap merasa ada anak dan lebih membahagiakan bila tahu cara dia membahagiakan hati ibunya. Apa yang baik daripada perkongsian saudari Aminahtul Marrdiah ini, eloklah kita cuba hayati dan renungkan…
Cerita Dari Hati Seorang Wanita
Bila seorang anak perempuan yang berusia 34 Tahun itu masih belum berkahwin, ketahuilah hidup matinya hanyalah untuk seorang ibu tunggal yang kehilangan suami secara tiba-tiba.
Hari ini aku nak kongsi sesuatu. Mana tahu apa aku tulis akan dapat bagi sesuatu pada ramai orang. Panjang sikit tapi aku jamin korang takkan menyesal kalau baca sampai habis cerita aku ni.
Aku perempuan yang dah masuk 34 tahun. Tak pernah bernikah dengan mana-mana lelaki dan tak pernah juga hamil. Tapi aku ada seorang anak lelaki berusia 4 tahun. Bakal menyusul, seorang lagi anak InshaAllah kalau diizinkan pada September 2017. Aku anak kedua dari 10 adik beradik. Kakak aku dah bernikah dan 3 orang adik aku dah selamat jadi bini orang. Adik lelaki tunggal aku dah termasuk kategori jadi Ayah pada baby Nur yang umur nak masuk 2 tahun. Aku ada 4 lagi adik yang masih belajar dan seorang IBU yang umurnya dah hampir 60 tahun. Tangan tak berapa kuat sangat. Belakang sakit. Biasalah orang dah tua kan. Tapi mak aku chillex je.
Aku dah tak ada Ayah. Ayah Aku pergi tiba-tiba. 2 minggu sebelum Ayah meninggal, Ayah demam panas sampai kurang air dan masuk wad. Tahu-tahu je lepas aku bawak Ayah baring kat katil dari tandas, Allah kata DIA nak kami pulangkan Ayah. Ayah pergi dalam laungan “Allahuakbar” awal pagi 30 Oktober 2014, masa hari jadi adik Aku wardah yang tengah kat asrama masa tu.
Masa Ayah hidup lagi, Ayah dah berenti tanya aku pasal kawin. Menyampah agaknya dia bila ditanya aku buat melawak sepanjang masa. Nak buat macam mana, aku bukannya Janda beranak satu tapi Aku ni belum janda dah ada anak satu. I come with a package. Package aku bukan saje anak aku yang umur 4 tahun tu, tapi dengan keluarga aku yang secara “kasar” nya aku ada tolong.
Sebelum Ayah pergi aku tolong gaklah sehabis baik aku. Buat bisnes itu ini, kena tipu sana sini dan still aku manage bagi keluarga aku duit. Lepas Ayah dah tak ada, Aku terpaksa jual kereta Ayah, tutup firm Ayah dan banyak lagilah. Jadi, life aku makin sibuk. Aku makin kuat kerja dan cari duit. So memang tak adalah lelaki yang nak kot.
Dengan kerja hakiki aku yang memang sibuk dan dengan meniaganya lagi, dengan komitmen aku dengan family dan anak lagi, ko rase ade masa aku nak cari SUAMI dan ade ke LELAKI yang berani?
So cerita aku kawin ke tak ni dah patut tamat dah sebaik Ayah meninggal sebab literally orang tahu aku tonggeng tebalik cari duit. Aku jenis ape Mak aku, adik-adik aku even kakak aku nak, aku usahakan. Tapi aku belum berjaya buat satu benda yang bertahun mak aku sebut. Nak RENOVATE rumah. Rumah kami tu dah banyak tahun. Yang buat jadi lagi tak best bila atap dapur bocor, air habis masuk kena kabinet dapur, bau jadi tak best lah kan dan tikus mula lepak macam rumah dia plak kat situ. Kau pernah rasa?
Jujur memang rasa tak best sikit kalau balik rumah. Bukan ape, kitorang semua dah besar-besar kan. Aku cam kalau boleh nak sumorang lek-lek ada bilik sendiri. Lagilah kalau yang balik bawak laki bawak anak-anak. Tapi ok je, sebab sumorang akan berlambakan di mana-mana sudut yang boleh selit. Best je kumpul reramai tapi aku lah rasa kesian tengok laki bini takde privacy kan?
Korang jangan cakap pasal bersyukur ada tempat berteduh. Ini soal Aku sebagai anak tapi belum boleh balas jasa mak yang lahirkan 10 orang anak dari RAHIM dia.
Tiap tahun kalau aku ada lebih aku cuba tambah baik rumah. Tahun lepas selesaikan ruang tamu. Tukar apa yang patut sebab ada lebih sikit. Saje happykan mak. Tahun ni, lepas hantar mak aku Umrah, kakak aku dengan aku tengok dapur memang aku sedih sebab aku anak yang tak mampu. Aku anak yang belum boleh bantu.
Aku kira duit dalam bank. Kira bajet yang perlu dan tambah sehelai baju melayu untuk anak aku. Cukuplah. Baju melayu je yang tak muat dah. Yang baju lain ada lagi. Aku tak ajar Anak aku mewah macam putera raja. Kena sedar kami bukan keturunan bangsawan. Aku bagi duit dekat kakak aku dan Alonglah yang urus cari orang nak buat dapur. Korang faham tak betapa Aku sedih sebab aku kerja siang malam tapi belum boleh tunaikan apa Mak aku nak? Sekurang-kurangnya mula dengan dapur rumah, mungkin REZEKI akan bertambah.
Mana Tahu Allah bagi BONUS kan?
Along hari-hari hantar update dekat aku. Nak beli rak itu ini dekat ikea, pegi sana sini tengok harga. Mulanya nak cabut je kabinet kayu reput tu ganti dengan rak-rak biasa so lebih hygiene dan selesa nak masak bagai. Tapi satu hari tu kakak aku sembang dengan mamat yang tengah renovate rumah jiran, diorang cadangkan buat kabinet batu. Tahan sikit kalau hujan. Atap tu kan tampal bagai pun masih bocor. Lagipun selesa sikit sebab Mak Aku ni jenis suka sangat masak ayam bagai yang kena potong pakai parang. Selalu kami potong kat lantai je. Alas papan potong tu. Kesian tengok Mak aku tebongkok-bongkok.
Maka aku dengan Along atas perbincangan adik beradik, setuju buat kabinet batu. Mak aku memang tak tau apelah sebab dia tengah buat UMRAH.
Hebat gila kontraktor tu buat dalam masa 5 hari je dan sempat siap sebelum Mak aku sampai dari Mekah. Memang menitik air mata aku bila Along hantar Video Mak aku tekejut tengok dapur. Mak aku tak tanya ape pun. Mak aku Mesej gini je:
“Banyak dah Angah belanja Raya ni. Hari tu duit belanja Umrah lagi. Baju anak lagi. Adik-adik lagi. Untuk Angah nak belanja, nak simpan untuk KAWIN ade ke?”
Aku tak reply sebab Aku sebak. Aku hantar smiley je lepastu aku tidur sambil nangis. Buat Kabinet Bajet pun Kau boleh buat Mak kau Happy. Tak faham aku dengan orang yang memang berkira dengan Mak Bapak sendiri. Mak Aku bukan sihat sangat. Tangan dia tak boleh guna sepenuhnya. Tapi dia memang kuat semangat. Dan sebab kabinet tu, tangan Kanan jadi gagah sebab semangat dia nak masak datang bila tengok dapur cantik. Aku sumpah tak menyesal berabis duit untuk Keluarga.
Kau jangan sembang nak zakat sana sini, nak tolong orang sana sini bila tak boleh tolong family sendiri.
Banyak aku tengok orang ni yang bila dengan kengkawan, dengan bini, dengan tunang, dengan laki, dengan BFF tak pernah nak berkira. Tapi bila famili susah, dia punya kedekut macam boleh mati je bila kena hulur duit dekat famili.
NAK SIMPAN UNTUK KAWIN ADE KE?
Soalan ni aku sampai hari ni tak boleh nak tapau masuk kepala. Aku punya ujian hidup bukan takat persisiran pantai je. Terlampau banyak sampai LELAKI pun takut nak nikah dengan Aku. Disebabkan UJIAN Tuhan yang Maha banyak tulah agaknya Allah gantikan keperluan MENIKAH untuk dapatkan anak tu dengan hadiahkan aku EUSOFF.
Ada sesetengah orang memang dari dalam alam roh dia dah ada keturunan kaya. By the time umur masuk 25 tahun, dah boleh kawin dengan sesama keturunan dan hidup bahagia macam tak ada masalah. Lepas tu kena troll dengan Netizen sana sini sedangkan orang tak pernah tahu di sebalik baju mahal yang dia tayang dalam IG dalam Facebook diorang, entah apa UJIAN Tuhan bagi pada diorang. Orang letak gambar sweet couple, letak gambar cuti sana sini, letak gambar bermewah sana sini tak bermakna orang tu taka da DUGAAN dia.
Sama jugak dengan keadaan yang mana ada orang memang Tuhan kata Jodoh dia lambat. Kau tak boleh nak kata dia Andartu ke, Perempuan tak laku ke ATAU Ambik anak sebelom kawin tulah punca orang tak nak dia ke dan macam-macam lagi yang otak sempit manusia ni boleh reka.
Korang kena faham semua benda perlu di nilai dengan mata hati. Bukan sesuka hati. Ada beza antara keduanya.
Kau jangan jadi Tuhan untuk tentukan dan simpulkan kisah hidup manusia lain.
Kadang, Perempuan umur 40 tahun yang masih tak menikah lagi tu mungkin dia ada amanah lain yang dia pegang sampai tak ada kesempatan nak menjadi isteri. Kadang ada Perempuan yang memang dah ready nak jadi isteri. Life goal memang nak jadi Educated Housewife tapi belum jumpa lelaki yang sesuai. Kadang-kadang ada Perempuan yang memang nak kawin sangat tapi banyak fobia dan trauma yang dia pendam sampai dia simpan je perasaan nak menikah tu jauh di sudut hati. Kadang Perempuan tu dah kawin banyak kali pun masih jugak tak jumpa tenang.
Dan aku adalah anak Perempuan yang belum Berkahwin di Usia 34 Tahun ni. Sikit aku tak kesal. Satu, jodoh aku belum sampai. Dua apa jaminan kalau aku bernikah suami aku nanti boleh jaga Mak aku dan adik-adik aku yang masih berjuang nak hidup? Tiga, Sejarah hitam hidup aku bukan sebarang sembang. Susah untuk aku brain perkahwinan.
Hanya Allah mampu mengubah hati aku dan membawa aku bertemu SUAMI yang mungkin dah lama menanti aku. Buat masa ini, Hidup Mati aku hanyalah untuk Mak aku. Ibu Tunggal yang kehilangan Suami secara tiba-tiba sekelip mata.
Dan korang sekali lagi aku ingatkan. Jangan jadi TUHAN dan menghukum sesiapa pun. Kerana di mata Tuhan kita semua sama.
PERKAHWINAN itu Sunnah tapi TIDAK BERNIKAH dan TIDAK BERSUAMI itu bukanlah sebab untuk kau melabelkan sesiapa sebagai PENDOSA.
Dalam apa juga keadaan, hanya Allah yang mampu menggerakkan setiap zarah dan membawa Suami Soleh untuk Wanita-wanita yang Solehah. Rezeki Allah bukan hanya pada yang memiliki SUAMI sahaja. Berbaliklah pada Allah sebab Allah saja yang boleh berikan kita rezeki yang lebih dari PERNIKAHAN dan PERKAHWINAN. Yakinlah bahawa Rezeki Allah itu luas dan tiada putusnya.
Pandang Anak Tanpa Persepsi, Kita Tak Tahu Doa Ikhlas Siapa Allah Pandang

Sebagai mak ayah yang diberikan amanah membesarkan anak-anak, pandanglah mereka tanpa ada persepsi, melabel itu dan ini mahupun sangsi dengan kebolehan mahupun kekurangan mereka.Terimalah sikap mahupun perangai anak seadanya dengan hati terbuka. Ini kerana kita tak kan tahu doa ikhlas siapa yang Allah pandang.
Coretan perkongsian daripada Puan Nur Haslaily ini semoga menjadi panduan buat kita.
“Anak nombor 2 ye?”
“Anak nombor 2 memang macam tu…”
Itu ayat biasa yang ibu selalu dengar.
Kebanyakan orang suka labelkan anak kedua ini lain daripada anak-anak yang lain. Pelik, unik atau aneh.
Malam ni, Allah izinkan ibu melihat anak kedua ibu ini dengan pandangan berbeza.Usai solat Maghrib, ibu minta angah bacakan doa.
“Baca slow-slow boleh ke ibu?”
Dia cuba mengelak. Seperti kebiasaannya.
“Bacalah kuat-kuat angah. Ibu nak aminkan. Angah nak minta apa? Along dengan adik pun nak aminkan. Malaikat pun nak aminkan.”
“Ala, tak pandai. Malu,” sambil dia tersipu-sipu.
“Doalah angah kan nak lego,” along pula menyampuk.
“Bacalah ngah. Bahasa Melayu pun tak apa. Angah anak syurga. Doa angah makbul, Insya Allah.” Ibu pujuk lagi.
Dia tarik nafas dalam-dalam sambil menadah tangan.
“Ya Allah tambahkanlah ilmu kami.”
“Ya Allah tambahkanlah rezeki kami.”
“Amin. Amin.” Ibu sambut.
“Ya Allah, bagilah abang aku dapat A dalam semua subjek dia. Janganlah ada B dan C.”
“Ya Allah, bagilah abang aku dapat nombor 1 dalam peperiksaan-peperiksaan dia.”
“Ya Allah, jadikanlah adik Mu’az ni baik dan bijak.”
Kuat dan jelas. Ibu aminkan satu demi satu doanya. Waktu itu mata ibu dah jadi seperti air terjun. Tak mampu ditahan-tahan.
Dalam kepala ini automatik terbayang drama dalam TV yang pernah ditonton beberapa tahun dulu. Kisah abang yang hebat, kaya dan berjaya tinggal di kota raya. Adiknya OKU, buta huruf yang tinggal di kampung. Abangnya bila berjaya pandang rendah kepada adiknya yang dilihat serba sederhana. Katanya doanya sentiasa Allah makbulkan.
Berbeza dengan adiknya berdoa pun perlu baca pada kertas. Ditakdirkan Allah, adiknya kembali ke Rahmatullah. Ketika abangnya mengemas rumah selepas kematian adiknya, Allah temukan dengan kertas yang terselit di songkok arwah. Teresak-esak abangnya membaca kertas itu. Rupanya doa adiknya. “Ya Allah makbulkanlah segala doa abangku….”
Angah Mus’ab masih khusyuk dalam doanya.
“Ya Allah banyakanlah rezeki ayahku dan ibuku.”
“Ya Allah mudahkanlah kerja ayahku.”
“Amin Ya Robbal Alamin.”
Terus dipeluk ciumnya ibu.
Pelik agaknya melihat airmata ibu yang masih lebat menitis-nitis laju.
“Terima kasih angah doakan kami. Nanti angah doa untuk diri angah juga ye.”
Pandang Anak Dengan Kelebihan & Kekurangan Masing-Masing
Hari ini Allah didik ibu. Pandanglah anak-anak dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing.
Tanpa label.
Tanpa persepsi.
Tanpa sangsi.
Kata ulama,
“Segemuk-gemuk ikan pasti ada tulangnya.Sekurus-kurus ikan pasti ada isinya.”
Begitulah juga kita manusia.
“Sebaik-baik manusia pasti ada kekurangannya.Seburuk-buruk manusia pasti ada kebaikannya.”
Kita tak tahu doa ikhlas siapa yang Allah pandang.
Barangkali doa anak kecil yang kita selalu rasa banyak ragamnya. Mungkin juga doa anak yang kita rasa banyak menduga. Ataukah doa anak yang kita rasa biasa-biasa sahaja pencapaiannya. Boleh jadi doa tulus suci anak yang kita selalu marah-marah.
“Ya Allah ampunilah kami. Kami ini ibubapa yang serba kekurangan, yang banyak silap dalam mendidik anak-anak. Tapi mereka ada Engkau, Allah yang Maha Penyayang. Dengan rahmat dan kasih sayangMu, sayangi anak-anak Syurga kami semuanya selama-lamanya..”
Nur Haslaily
Ibu yang sentiasa menumpang doa anak-anak.
MW: Semoga perkongsian yang dikongsikan ini bermanfaat buat mak ayah dalam membesarkan anak-anak. Memang ada benarnya, pandanglah anak dengan mata hati bukan memberikan pelbagai persepsi. Kita sebagai mak ayah tak kan tahu doa ikhlas anak yang mana yang Allah pandang.
Sumber: Nur Haslaily