
Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selamat diijab kabul dengan suri hati Baginda, Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Binti Dato’ Abdul Aziz di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang pagi ini.
Istiadat pernikahan yang sarat makna itu disempurnakan oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Selangor, YAD Dato’ Setia Dr. Haji Anhar Opir, dengan disaksikan oleh YAM Tengku Panglima Raja Selangor, Tengku Ahmad Shah Alhaj serta YAD Tengku Indera Pahlawan Diraja, Tengku Dato’ Setia Putra Alhaj.
Akad nikah dimetrai dengan sekali lafaz tepat jam 10.08 pagi, diiringi dengan 11 das tembakan meriam yang bergema sebagai tanda penuh kebesaran dan restu istana.
Suasana Diraja Penuh Adat
Upacara ini turut disaksikan oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj serta DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, yang hadir menyaksikan putera sulung baginda menunaikan janji suci.
Walaupun berlangsung dalam suasana tertutup, istiadat ini tetap meriah dengan kehadiran kerabat Diraja Selangor, keluarga pengantin perempuan serta sahabat handai kedua-dua belah pihak.
Suri hati Baginda, Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Binti Dato’ Abdul Aziz anggun mengenakan persalinan putih di majlis akad nikah tersebut. Solekan pengantin diraja sentuhan Ahma Dani, rambut oleh Ckay Liow manakala busana pula mendapat sentuhan Adila Long.
Busana Pengantin Diraja: Anggun, Sopan & Mengakar Tradisi
Pada pagi penuh bersejarah itu, Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Binti Dato’ Abdul Aziz tampil mempersona dalam busana pengantin diraja yang menggabungkan sentuhan tradisi Melayu beradat dengan kehalusan rekaan moden yang penuh eksklusif.
Beliau mengenakan baju kurung moden berinspirasikan klasik, berpotongan terletak indah pada tubuh dengan siluet ringkas namun berwibawa.
Sebagai pelengkap, tudung rona senada dihias dengan veil panjang yang dijahit halus, menambahkan seri wajahnya yang ayu. Rias wajah dipilih lembut dan natural, menonjolkan seri tanpa menenggelamkan keindahan busana.
Keseluruhannya, penampilan YM Datin Paduka Seri Afzaa Fadini pada hari pernikahan bukan sekadar busana pengantin, tetapi sebuah pernyataan elegan tentang tradisi, kesopanan dan keanggunan seorang wanita Melayu berdaulat.
Penyatuan Kasih Dalam Keagungan Adat
Perkahwinan diraja ini bukan sahaja melambangkan penyatuan dua hati, bahkan menyerlahkan keindahan adat istiadat Melayu yang terus dipelihara. Ia menjadi saksi kepada sebuah ikatan yang diharap menyemai cinta, tanggungjawab dan keberkatan, bukan sahaja buat pasangan diraja ini tetapi juga sebagai teladan buat rakyat.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE

Sama Cantik, Sama Berseri
Tampil sedondon dengan kurung bridesmaid yang direka khas untuk memeriahkan majlis bahagia sahabatmu.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI