Cikgu Bajet Saya RM600 Untuk 3 Orang, Yuran Ini Saja Sudah RM200 Lebih..

Sungguhpun sesi persekolahan sudah seminggu berlalu, hakikatnya masih ada ibu bapa yang berkeluh kesah. Kerana masih ada lagi yang tertangguh mahu menyelesaikan yuran persekolahan anak.

Bila 3 orang anak yang bersekolah, lagi-lagi ada yang sudah masuk menengah malah kolej, pastilah peruntukan mak ayah makin menyusut.

Kesusahan mak ayah ini diselami dalam dalam oleh Guru Bimbingan dan Kaunseling, Kementerian Pelajaran Malaysia yang juga Kaunselor Sekolah SMK Sungai Besar, Abdul Muiez Ruslee.

Sungguh, kos pembelajaran untuk memandaikan anak-anak semakin mahal harganya.

Hampir Separuh Mak Ayah Minta Bayar Yuran Runcit Runcit

Tahun ini saya berpeluang untuk menjaga meja pendaftaran pelajar tingkatan tiga. Jika sebelum ini, saya hanya mendengar sahaja tentang kesusahan pelajar, tetapi bila sudah berada di meja pendaftaran, masa inilah saya dapat melihat situasi sebenar mereka.

Jujur saya katakan, bayaran untuk kelas peperiksaan seperti SPM dan PT3 agak tinggi. Terutama untuk membayar yuran kelas tambahan. Paling tidak, pasti mencecah RM100. Itu belum masuk bayaran lain-lain lagi.

Runtuh hati saya bila melihat keadaan ibu bapa yang hadir.

Cikgu. Saya bajet RM600 sahaja untuk 3 orang. Yang ini sahaja sudah RM200 lebih. Macam mana ya? Lepas ini nak hantar akaknya pula ke kolej.”

Puan boleh bayar sikit-sikit dahulu.” Saya memberi cadangan.

IKLAN

Setelah lama berbincang, akhirnya, si ibu memilih untuk membayar penuh. Tetapi dia tidak ada duit kecil, lalu diminta pula kepada suami yang berada di sebelah. Puaslah si suami mengorek dompetnya. Dan terkeluarlah kepingan duit seringgit dengan jumlah yang agak banyak. Langsung dompetnya kosong.

Bukan itu sahaja, hampir separuh juga yang berkata,

Maaf cikgu, saya bayar nanti ya. Nak bayar abangnya punya dahulu.”

Nanti tunggu gaji ya cikgu.”

Saya bayar RM50 dulu ya.”

IKLAN

Allahu akbar.

 

Cikgu Bajet Saya RM600 Untuk 3 Orang, Yuran Ini Saja Sudah RM200 Lebih..

Dalam Kesusahan Mereka, Ada Yang Terpaksa Makan Kertas

Minggu lalu, saya menerima aduan mengenai dua orang murid yang kurang berkemampuan. Seorang masih belum membeli buku tulis dan seorang lagi rabun tetapi tidak mampu membeli cermin mata.

Di sekolah ini, unit kebajikan yang diuruskan oleh pasukan Unit Bimbingan dan Kaunseling dan jawatankuasa diletakkan di bawah pengurusan Hal Ehwal Murid. Tugas Kamilah yang membantu pelajar susah ini.

IKLAN

Yang tidak mampu membeli baju, dibelikan baju.
Yang tidak mampu membeli kasut, kami sediakan.
Yang tidak mampu membawa belanja, juga kami uruskan.
Yang kematian bapa, pun kami bantu.

Bila berada di lapangan ini, barulah saya faham erti kesusahan.

Dalam kesusahan saya, dapat juga menaiki kapal terbang setiap tahun.
Dalam kesusahan saya, dapat juga membeli kasut beratus ringgit.
Dalam susah saya, dapat juga makan sedap setiap hari.

Tetapi dalam susah mereka, ada yang terpaksa memakan kertas untuk memastikan mereka hidup sekurang-kurangnya untuk hari ini.

Allahu akbar.

MW : Sungguh, anak-anak ini pewaris masa depan negara. Jika sebegini sukar untuk mereka menimba ilmu, bagaimanalah nanti mereka mahu menyatakan rasa cinta yang mendalam pada negara yang sepatutnya memudahkan laluan pendidikan mereka.

Sumber/Foto : Abdul Muiez Ruslee, Cerita Bilik Kaunseling

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI