KISAH ini berkenaan parkir seram yang letaknya dibelakang pejabat lama kami. Kebetulan di situ hanya ada ruangan parkir, yang hanya akan diisi dengan kenderaan staf bila parkir di bahagian hadapan pejabat penuh.

Selalunya kalau musim kerja menimbun, ada staf yang terpaksa balik lewat kerana mengejar ‘deadline’. Ralit menyiapkan kerja, membuatkan ada yang terlajak hingga ke jam 2 ke 3 pagi. Fenomena sebegitu sudah biasa buat warga kerja disitu. Bahkan ada juga kakitangan perempuan yang terpaksa mengheret sama anak ke pejabat hingga lewat pagi kerana masih ada baki tugas yang perlu diselesaikan.

Bagi yang parkir kereta di hadapan pejabat, tidak ada apa yang nak ditakutkan kerana lampu parkir disitu terang benderang. Sebaliknya, malanglah bagi mereka yang terlupa kereta parkir di bahagian belakang pejabat. Sebab ada masanya ‘ada yang menumpang sama’ dalam keadaan kita tak sedar. Seram bukan?

Penumpang tak diundang

Kisah yang menimpa Rania, sehingga dia demam panas seminggu membuatkan kami benar-benar mengelak untuk parkir kereta di belakang pejabat. Jika perlu balik lewat, sebelum menjelang jam 7 petang…awal-awal lagi kami alih kereta ke hadapan. Zara dan tunangnya, Syed mengajaknya sama-sama menaiki kereta mereka, untuk ke parkir belakang. Sebaliknya Rania yang meyakinkan mereka, dia boleh sahaja ke belakang sendirian.

Rania budak baru yang kebetulan baru sahaja ditukarkan dari cawangan Damansara, ke pejabat kami di Semenyih. Tanpa mengetahui kisah seram yang wujud di parkir, Rania selamba sendirian tanpa ditemani sesiapa, turun melalui pintu belakang pejabat untuk ke keretanya.

IKLAN

Menurut Rania, angin malam itu dirasakan sejuk sekali. Sesekali bunyi katak dan cengkerik berlagu riang. Impak dari hujan lebat yang menderu petangnya, menyebabkan laluan nak ke keretanya digenangi lopak air hujan.

Jam menunjukkan angka 2 pagi. Kiri kanannya tiada lagi kenderaan yang ada. Hanya kereta Honda Jazz miliknya yang ada di situ satu-satunya.  Ketika itu sambil ditemani limpahi cahaya bulan,yang tidak secerah mana…Rania berjaya memasuki perut keretanya. Sebaik menghidupkan enjin kereta, Rania terus menghidupkan radio bagi memecahkan keheningan pagi yang sunyi itu.

Berlagak berani sungguh perempuan ni…belum pun sampai di depan pagar utama pejabat. Radio yang Rania pasang bersuara aneh dan kejap-kejap bertukar siaran tanpa arah. Mungkin dah tiba masanya diganti baru, sebaik palang automatik diangkat, Rania meneruskan pemanduannya ke Damansara. Bingit dengan ‘kelakuan’ radionya yang bukan-bukan, Rania terus mematikan sahaja dan fokus kepada jalan raya di hadapannya.

IKLAN

Sesekali keretanya bersaing dengan beberapa kenderaan lain…tetapi yang peliknya apabila berselisih dengan kenderaan lain, kesemuanya mengelip-gelipkan lampu seolah-olah ingin memaklumkan sesuatu padanya. Perjalanan untuk ke Damansara terasa terlalu lama dan jauh. Ada waktunya dia menguap, tanda matanya sudah terasa berat benar untuk terus bertahan.

Ada yang menumpang

Menjelang 20 minit lagi ke persimpangan kediamannya, Rania berhenti kebetulan lampu merah di simpang di hadapannya. Sejurus kemudian ada sebiji motosikal yang ditunggangi dua lelaki India berhenti di sisi keretanya. Sesekali mereka menjeling ke arah dalam kenderaan, dan masing-masing mempamerkan riak muka terkejut dan terperanjat.

IKLAN

Rania yang merasakan keselamatannya terancam, berdoa agar mereka tidak mengapa-apakannya. Sambil tangannya menekan kekunci automatik cermin sebelahnya agar lebih rapat…sebaik lampu bertukar hijau, keretanya memecut laju ke hadapan, manakala dua lelaki itu membelok ke kanan.

Ahhh lega kata Rania, tetapi kelegaannya tak bertahan lama. Entah dari mana bauan hanyir tiba-tiba datang menerjah hidungnya. Bau itu datang dari bahagian tempat duduk belakang. Cukup busuk dan sukar digambarkan. Masa berbaki 15 minit lagi, seperti yang dimaklumkan Waze untuk dia tiba di rumahnya. Rania tidak berani memandang cermin, takut-takut ada yang menanti dan merenungnya. Bulu roma meremang sentiasa dan Rania teringat kembali gelagat aneh dua lelaki yang ditemuinya di persimpangan jalan besar tadi.

Mungkin ini maksud renungan mereka berulang kali. Isunya siapa di belakang Rania sekarang. Sebaik melewati pagar depan rumahnya, sambil diiringi bauan busuk luar biasa, Rania cuba untuk keluar dari keretanya secepat mungkin. Malangnya kunci rumahnya tertinggal di dalam kereta, dan mahu atau tak dia perlu kembali semula ke kereta. Dengan penuh rasa debaran, Rania membuka pintu keretanya, dan tak semena-mena ada yang bersuara, 

“cari ni ke?”…sambil ada satu sosok berbaju lusuh bermuka hodoh lagi menyeramkan muncul di dalam keretanya. Rania serta merta pengsan dan rebah di tepi pintu keretanya.

Khabarnya Rania ditemui esok paginya oleh jiran yang kebetulan bersiap untuk ke tempat kerja. Rania demam panas selama seminggu, dan peristiwa seram yang dialaminya itu membuatkan dirinya memohon cuti rehat selama hampir dua minggu untuk memulihkan dirinnya.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI