Cara Betul Siang Kupang Hijau Segar, Paling Penting Kena Buang Rambutnya!

Kupang hijau segar ada penggemarnya. Namun begitu tahukah kalian bagaimana untuk siang dan bersihkan kupang hijau ini sebelum memasaknya?

Boleh Ikut Tip Cara Memilih Dan Menyiang Kupang Oleh Muhammad Azmi Mahmud.

Muhammad Azmi telah menjual kupang secara sambilan di hadapan rumahnya selama 4 tahun. Dia bermula dengan menjual isi kupang frozen atau sejuk beku. Namun kini dia turut menjual kupang hijau segar secara cash on delivery (COD) dan secara atas talian atau online.

Jelas #mrkupang ini lagi, dia mengambil kupang segar daripada sepupunya di Melaka. Sepupunya memiliki tempat memproses kupang di sana. Kupang yang dibekalkan oleh sepupunya ini diambil dari Johor.

Siang Dengan Betul

“Kupang hijau atau green mussel adalah sejenis haiwan bercengkerang yang sangat sedap bila dimakan. Terdapat banyak jenis kupang ini di seluruh dunia. Dan ia boleh hidup di sesetengah kawasan perairan laut.

“Di Malaysia, kupang sangat popular di selatan tanah air. Jenis kupang banyak di sini adalah kupang hijau. Kupang hijau terbahagi kepada 2 jenis tempat pembiakannya iaitu pusat ternakan (kelong); dan hidup secara liar (batu-batu atau tiang-tiang).

“Kupang sangat unik. Sebab itu kita kena siang kupang secara betul sehingga benar-benar bersih, tidak seperti kerang yang boleh terus dimasak dan dimakan.”

Cara Betul Siang Kupang Hijau Segar, Paling Penting Kena Buang Rambutnya!
Kupang segar dan isi kupang frozen siap dibungkus

Tip Pilih & Siang Kupang

1-Pastikan kupang itu benar-benar segar dan hidup. Kupang yang hidup kita boleh tahu bila kita lihat ia terbuka dan kita ketuk sikit, ia akan tertutup rapat.

Hendak tahu kupang itu segar, kita boleh lihat dari pandangan mata. Kalau melalui deria hidung, kita boleh bau air laut itu. Kalau ada bau busuk yang kuat dan kupang ternganga, lebih baik buang sahaja kupang tersebut.

Cara Betul Siang Kupang Hijau Segar, Paling Penting Kena Buang Rambutnya!
Ini rupa kupang segar yang masih ada rambut (lihat anak panah)
Cara Betul Siang Kupang Hijau Segar, Paling Penting Kena Buang Rambutnya!
Tarik dan buang gumpalan rambut daripada kupang.

2-Basuh kulit kupang hingga bersih daripada sebarang benda asing. Dan yang paling penting, gumpalan rambut yang ada pada kupang tersebut haruslah dibuang.

Caranya mudah sahaja. Kita hanya perlu tarik sahaja rambut tersebut. Rambut ini kalau tidak dibuang boleh menyebabkan kita sakit perut setelah memakannya.

Kalau nak lebih mudah, sampai sahaja di rumah, terus masukkan kupang ke dalam freezer selama 15 hingga 20 minit. Biarkan kupang mati dalam freezer.

Kemudian basuh kupang tersebut. Rambut akan mudah tanggal bila ditarik sebab kupang itu telah mati.

3-Setelah dicuci sehingga bersih, bolehlah masak kupang mengikut menu yang diinginkan.

Artikel Berkaitan:
Pensyarah Kimia Jelaskan Ini Cara Sebaiknya Bila CUCI Sayur & Buah!
PENTING Bersihkan Darah Beku, Buang Urat Atas Tulang Perut Ikan Siakap!

Menu Kupang

“Kita boleh pilih samada nak masak sekali dengan kulit atau hanya masak guna isi kupang. Jika mahu masak kupang dengan kulitnya sekali, kita boleh terus sahaja masak.

“Dan jika kita mahu masak tanpa kulit, apa yang boleh dibuat adalah rebus kupang separuh masak, kemudian barulah kopek isi daripada kulitnya.”

Berikut adalah antara menu yang boleh kita buat dengan kupang.
Cara Betul Siang Kupang Hijau Segar, Paling Penting Kena Buang Rambutnya!
Pelbagai menu boleh dimasak menggunakan kupang

1-Kupang rebus cicah sos kicap cili.
2-Kupang tumis cili bawang serai.
3-Kupang masak lemak cili padi.
4-Sambal kupang (nasi lemak)
5-Rendang kupang.

Sumber/Foto: Muhammad Azmi Mahmud #mrkupang

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI