Kekurangan yang ada pada diri Muhammad Afiq Afify Rizan, 22 tahun, tidak pernah dijadikan alasan untuk dia terus berdaya maju. Malah atlet berbasikal tendem (cacat penglihatan) yang sudah beberapa kali menyumbang pingat dalam acara sukan bertaraf dunia sekali gus mengharumkan nama negara ini, ingin terus berusaha sehingga mencapai kejayaan tertinggi dalam hidupnya.

Akibat Demam Panas

Anak sulung daripada lima beradik yang berasal dari Pengkalan Chepa, Kelantan ini mengalami cacat penglihatan sebelah mata sejak berusia empat tahun lagi. Tidak disangka demam panas yang dialaminya ketika usia tersebut menyebabkan dirinya yang dahulu normal berubah sekelip mata.

Namun dalam usia yang masih muda, apalah yang diketahuinya. Afiq meneruskan kehidupan seperti kanak-kanak biasa seusianya. Ketika umurnya tujuh tahun dia bersekolah seperti kanak-kanak lain, tetapi dengan kekurangan yang ada, Afiq agak ketinggalan dalam pelajaran disebabkan kekangan guru yang tidak dapat memberikan perhatian yang khusus buat murid istimewa sepertinya.

“ Pada umur empat tahun saya mengalami demam panas yang teruk. Akibat daripada demam itu, saya perlu menjalani pembedahan mata kerana saraf saya rosak teruk. Mungkin sudah tersurat ini nasib saya, mata sebelah kanan saya tidak dapat melihat sepenuhnya manakala mata kiri pula rabun. Memang menurut doktor mata saya itu tidak lagi boleh dirawat lagi.

“Kehidupan saya diteruskan seperti biasa, masuk umur tujuh tahun saya memasuki sekolah seperti kanak-kanak lain. Memandangkan kekurangan yang ada pada diri saya, hal tersebut membuatkan saya agak ketinggalan dalam pelajaran. Tiga tahun saya bersekolah di aliran biasa sehinggalah masuk darjah empat saya ditukarkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kg Sireh, Kota Bharu, Kelantan dan mengikuti Program Pendidikan khas Integrasi (masalah penglihatan) di sekolah tersebut. Seterusnya saya menyambung pula persekolahan di peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Setapak (B), Kuala Lumpur,” cerita Afiq tentang persekolahannya.

Atlet Para Berbasikal Trek Negara

IKLAN

Meskipun mempunyai kekurangan dan tidak dapat melihat seperti kanak-kanak lain, itu sedikit pun tidak menghalang Afiq untuk tetap aktif. Sejak dari sekolah rendah, anak muda ini terlibat dengan sukan olahraga dan pernah mewakili negeri Kelantan untuk acara tersebut bagi sukan paralimpik peringkat negeri.

Cacat Penglihatan Sebelah Mata, Tak Halang Afiq Rangkul Tempat Ketiga Kejuaraan Dunia

“Walaupun tidak normal seperti kanak-kanak lain, saya tetap aktif sejak di sekolah rendah lagi. Saya merupakan atlet untuk sukan olahraga dan merupakan wakil negeri bagi acara larian 100 Meter dan 200 Meter di sekolah rendah dan juga menengah. Selepas tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya dipanggil oleh Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mencuba di dalam bidang berbasikal trek.”

Ternyata telahan MSN bahawa ada potensi besar dalam diri Afiq untuk acara berbasikal trek menjadi kenyataan. Sejak dipanggil untuk mengikuti latihan sehingga kini sudah empat tahun dirinya melibatkan diri dalam sukan tersebut, setiap tahun Afiq yang merupakan atlet paralimpik Berbasikal Trek terus mengharumkan Negara.

IKLAN

“Sudah empat tahun saya menyertai sukan para basikal ini. Alhamdulillah selama tempoh itu sudah banyak acara sukan bertaraf dunia yang telah saya sertai. Antaranya Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017, Sukan Para Asia 2018, di Gold Coast dan banyak lagi acara sukan yang terdahulu. Antara pencapaian terbaik saya sepanjang empat tahun menjadi atlet para basikal negara adalah mendapat tempat ketiga di Kejohanan Dunia di Los Angeles, Amerika Syarikat tahun lalu untuk acara pecut 200 meter Basikal Trek,” tambahnya.

Turut berkongsi rutin hariannya sebagai atlet para basikal, menurut Afiq setiap hari dia akan berlatih dan sentiasa bersedia untuk pertandingan yang akan datang untuk rekod pencapaian peribadinya sendiri. Merupakan atlet untuk sukan Berbasikal Trek acara sprint 200 meter dan juga ujian masa 1 KM Individu dan pecut 4 KM, Afiq mempunyai impian untuk beraksi di Sukan Olimpik suatu hari nanti dan seterusnya menjadi pelumba para basikal trek nombor satu di dunia.

Selain menumpukan sepenuhnya dalam sukan berbasikal trek, Afiq turut mengakui meminati sukan bina badan. Justeru sibuk dengan latihan yang ada, dia turut meneruskan hobinya dengan sukan bina badan yang diminatinya dalam satu masa.

IKLAN

“Saya suka juga aktiviti bina badan, walaupun saya seorang atlet berbasikal trek negara saya masih boleh fokus dengan hobi saya sebagai ahli bina badan. saya dapat lakukan kedua aktiviti yang saya minat ini dalam satu masa.”

Keluarga Beri Sokongan Dan Dorongan

Tanpa dorongan dan sokongan dari keluarga dan rakan-rakan terdekat, Afiq akui mungkin kejayaan yang dikecapnya hari ini tidak akan terlaksana. Usaha dan juga minat terhadap bidang yang diceburinya kini turut menyumbang kepada kejayaan atlet muda ini membuktikan walaupun diri tidak sempurna dia juga boleh berjaya seperti insan lain yang normal.

Cacat Penglihatan Sebelah Mata, Tak Halang Afiq Rangkul Tempat Ketiga Kejuaraan Dunia

“Keluarga memang banyak menyokong saya dalam hidup dan juga sukan yang saya ceburi ini. Tanpa sokongan dan dorongan mereka  pasti sukar untuk saya berjaya. Rakan-rakan juga banyak membantu memberi sokongan moral untuk saya terus berjuang dalam sukan yang saya sertai. Alhamdulillah dengan adanya mereka semua di samping usaha yang berterusan, saya dapat kecapi kejayaan pada hari ini.

“Walaupun saya tidak sempurna seperti insan lain, saya dapat buktikan saya juga boleh berjaya seperti manusia normal. Bagi saya, sekiranya anda mempunyai minat dan rajin berusaha serta berdisiplin dan tidak pernah mengeluh dengan kekurangan anda. Anda pasti dapat lakukan apa yang anda inginkan malah lebih lagi daripada apa yang disangka,”akhirinya dengan kata-kata semangat.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI