Saya seorang wanita yang berusia 33 tahun, belum berkahwin. Saya buntu kerana dilamar sahabat karib sendiri untuk jadi madunya!
Tunang Meninggal Dunia
Saya mempunyai pengalaman pahit dalam hidup apabila tunang yang saya sayangi telah meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya hanya beberapa bulan sebelum kami melangsungkan perkahwinan. Ketika itu saya berusia 25 tahun. Arwah cinta pertama saya dan kami berhubungan sejak di universiti.
Kehilangannya teramat saya rasai walau pun sudah lapan tahun peristiwa itu terjadi. Hati saya tertutup untuk menerima cinta lelaki lain walau pun ramai yang cuba mendekati. Saya bersyukur, mak, abah, abang dan kakak-kakak (saya anak bongsu empat beradik) amat memahami dan tidak pernah mendesak soal jodoh.
Walau pun masih bujang, tapi saya tak rasa hidup sunyi, saya ada anak-anak saudara yang umpama anak sendiri dan mak abah yang sentiasa di sisi. Kalau ada cuti, sering kali juga saya bawa mak abah bercuti bersama termasuk ke luar negara. Bagi saya, berbakti kepada mereka berdua sudah cukup buat saya bahagia.
Sahabat Sejak Universiti
Puan, saya ada beberapa orang rakan yang saya anggap umpama adik-beradik. Salah seorang, saya kenalkan sebagai M saja. Kami rapat kerana satu kelas ketika di universiti. Dia sudah berkahwin hampir 10 tahun namun belum dikurniakan zuriat. Saya juga kenal suaminya yang saya panggil abang K, baik dan warak orangnya. Seorang doktor gigi. Saya agak rapat dengannya yang memanggil saya ‘adik’, nama manja saya dalam keluarga. M pula pensyarah seperti saya.
Sejak kebelakangan ini, M kerap mengusik saya, katanya nak jadikan saya madunya. Boleh juga saya lahirkan zuriat untuk suaminya. Saya hanya ketawa besar kerana tahu M memang jenis yang suka bergurau. Pernah saya tanya, tak takut saya nak rampas suaminya? Jawabnya, dia kenal saya macam mana.
Lagi pun katanya, daripada bermadu dengan wanita yang tak kenal hati budinya, baik dia bermadu dengan sahabat baik sendiri. Saya hanya ketawa dan tak pernah simpan dalam hati.
Serius
Sehinggalah baru-baru ini, M tiba-tiba saja berjumpa saya sebaik saya kembali daripada mengerjakan umrah bersama mak dan abah. Kali ini, bersama abang K. Saya tak syak apa-apa kerana mungkin dia nak menziarahi saya yang baru balik umrah. Ternyata kedatangannya mengejutkan saya bila dia dengan serius ‘merisik’ saya untuk dijadikan isteri suaminya!
Ads
Saya tak tahu nak cakap apa, apatah lagi abang K ada bersama. Tapi abang K hanya diam. Kata M kalau saya sudi, dia sendiri akan datang merisik dengan mak dan abah saya secara rasmi. Waktu itu, saya hanya mampu minta M beri saya masa. M pula tak memaksa, dia berikan saya sebanyak mana masa yang saya perlukan.
Tertunggu-tunggu
Sudah sebulan lebih berlalu dan saya masih tak tahu nak cakap apa. Saya sedar tak boleh biar M tertunggu-tunggu. Abang K pernah hubungi saya, katanya dia pun tak bersetuju dengan hasrat M tapi dia ikutkan saja kerana dia sedar M sebenarnya stres kerana masih belum dikurniakan zuriat.
Puan, terus terang saya tak pernah termimpi untuk bermadu dengan M. Madu itu manis, tapi ‘bermadu’ itu pahit. Apa patut saya lakukan puan? Apa cara terbaik untuk menolak hasrat M?
Ms J, Ipoh.
Jawapan:
Tidak dinafikan penyeri dalam sebuah perkahwinan adalah kehadiran cahaya mata untuk pasangan suami isteri. Pada saya M adalah seorang yang hebat dan baik, pun memiliki suami yang baik. Seorang isteri yang baik dan memiliki suami yang baik akan cuba membahagiakan suaminya.
Bukan mudah untuk menerima wanita lain untuk dijadikan isteri kepada suaminya yang merupakan madunya. Mungkin satu dalam sejuta. Kebaikan yang ada pada dirinya iaitu mahu membahagiakan suami membolehkan M membuat pengorbanan yang amat jarang boleh dilakukan oleh kebanyakan wanita.
Ads
Meskipun mustahil kepada wanita lain untuk mengizinkan suami berkahwin lagi, tetapi M mencari wanita untuk suaminya. Dan dia yakin saudari adalah calon yang sesuai untuk suaminya.
Persepsi
Poligami masih belum menjadi budaya di Malaysia. Malah persepsi terhadap orang yang berkahwin lebih daripada satu kadang-kadang dipandang sinis oleh masyarakat. Kalau budaya di negara seperti Nigeria, kahwin lebih daripada satu adalah lumrah. Ada yang memenuhi kuota, iaitu empat, malah tinggal serumah. Anak-anak seperti adik beradik dan layanan ibu-ibu sama sahaja. Itu yang pernah saya dengar daripada seorang berbangsa Nigeria.
Untuk isteri pertama menerima madu bukan suatu yang senang. Dia mengizinkan, namun hatinya Allah sahaja yang mengetahui. Namun perasaan sedih dan kecewa akan hilang sedikit demi sedikit jika hatinya baik.
Masa Depan
Saudari, dalam hidup ini kita tidak tahu apa yang terbaik untuk kita. Kita juga tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Perkahwinan bukannya statik, kerana manusia boleh berubah, perasaan juga boleh berubah, malah karakter seseorang juga boleh berubah.
Untuk memberi pandangan bagaimana untuk menolak juga sukar kerana hajat seseorang mungkin besar buatnya. Mana tahu jika ditakdirkan saudari berkahwin dengan suaminya akan menjadikan M lebih bahagia? Mungkin saudari boleh memberi beberapa pertimbangan dan jalan penyelesaian.
Pertama, tanya pandangan keluarga, bagaimana pandangan mereka? Kedua, untuk menolak hasratnya perlu bersebab. Maka dalam hal ini saudari perlu mencari jodoh. Mungkin juga saudari boleh minta keluarga yang carikan atau kawan yang carikan selain daripada suaminya.
Ads
Mohon Petunjuk
Ketiga, jika benar sahabat saudari mahukan anak, maka carikan anak angkat untuk M. Berapa ramai pasangan yang tiada anak tetapi mengambil anak angkat buat penyeri hidup.
Akhir sekali buatlah solat hajat dan istikharah mohon petunjuk dari Allah. Beri masa pada diri dan sahabat. Jika saudari menolak hasrat M bersesuaian dengan masa dan M pula bersetuju untuk mengambil anak angkat dan saudari pula telah ada jodoh, maka keadaan ini akan lebih harmoni.
Jika sebaliknya, ditakdirkan saudari jadi madunya, maka berserahlah kepada ketentuan Allah. Moga saudari dan M beroleh kebahagiaan dengan apa jua perancangan yang dibuat. Mohonlah petunjuk dan kekuatan daripada Allah.
** Persoalan ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor, yang juga penulis tetap ruangan Ya Tuhan di dalam majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Stres yang melingkari kehidupan, membuatkan seseorang itu terlalu serius dalam hidup. Muka ketat je, orang buat lawak dan berjenaka pun dia anggap itu serius! Urat senyum pun dah putus agaknya. Ikuti perkongsian daripada: HM TUAH ISKANDAR al-Haj (www.drtuah.com) ini.
Cuba Fahami Tersirat, Jangan Stres Dulu
Terbukti wanita itu fikirannya berubah-ubah. Usia 20, mereka ingin lelaki tampan; usia 25, mereka ingin lelaki matang; usia 30, mereka ingin lelaki berjaya; usia 40, mereka ingin lelaki gagah; usia 50, mereka ingin lelaki setia.
Sebaliknya lelaki fikirannya sangat sederhana dan tak berubah-ubah. Usia 20, mereka ingin gadis muda yang cantik; usia 25, mereka ingin gadis muda yang cantik; usia 30, mereka ingin gadis muda yang cantik; usia 40, mereka ingin gadis muda yang cantik, dan usia 50 mereka tetap masih ingin gadis muda yang cantik. Kesimpulannya lelaki itu istiqomah dan tetap pada pendirian!
Jangan Stres Terima Secara Jenaka
Kenyataan itu sudah tentu mengukir senyum pada jiwa yang selamba, tetapi tidak pada hati yang ketat, keras membatu. Rata-rata orang lelaki akan tersenyum, tetapi wanita akan mengetap bibir. Lelaki berasa menang oleh konklusi yang diberikan itu tetapi wanita akan menganggap itu ‘miang hingga ke sudah’.
Sebenarnya, hidup ini perlu dilalui dengan selamba apabila unsur-unsur jenaka dibawakan kepada kita. Jangan ketat sangat, anda akan kehilangan deria ceria nanti. Pada semua humor, berikan reaksi yang sesuai, mungkin senyum, tertawa kecil mahupun tertawa berbahak-bahak. Ia adalah reaksi sponton manusia normal. Jika seorang itu menangis sedang orang lain semuanya tertawa, jiwa siapakah yang silap? Demikian juga jika sebuah kisah sedih diperdengarkan dan semua orang tunduk menangis, tetapi ada seorang tiba-tiba ketawa, siapakah yang tak betul?
Elakkan Stres Keluarkan Emosi
Artikel kali ini bermaksud mengajak anda selamba dan setara dengan apa juga yang dilalui. Usah cuba-cuba melawan arus, kelak anda akan diberikan pangkat ‘manusia pelik’.
Jika sesuatu itu menyentuh emosi kita untuk berasa lucu, lampiaskanlah, mungkin dalam bentuk senyuman, mungkin dengan ketawa kecil sebagaimana orang lain juga. Usah dibiarkan emosi anda memenjara diri.
Orang Negatif Kurang Bahagia
Orang yang berkeadaan ‘berlawanan’ selalunya bukanlah seorang yang ceria. Dia lebih banyak bernegatif dalam hidupnya. Orang negatif sememangnya kurang bahagia.
Unsur-unsur humor memang diperlukan dalam hidup. Sesiapa mengatakan dia tidak perlu, dia sebenarnya sudah kehilangan sebahagian daripada mutiara kehidupan itu sendiri. Bukankah hidup wajar dilalui dengan gembira?
Bentuk-Bentuk Emosi
Cetusan perasaan seperti suka sudah sedia ada dalam diri seseorang, hanya memerlukan sentuhan ‘suiz’ untuk ia tercetus dalam bentuk-bentuk seperti senyum, ketawa, berwajah manis dan sebagainya. Bayangkan suiz sudah dipetik tetapi cetusan yang sepatutnya timbul masih tidak terbit.
Apakah yang menyebabkan seseorang itu memberikan reaksi berbeza daripada yang sepatutnya? Sekurang-kurangnya ada tiga;
Sengaja mereka falsafah hidup untuk kelihatan asing, unik atau luar kebiasaan
Orang ini dengan sengaja mencipta satu falsafah diri dan menjadikan falsafah itu pegangan dalam hidupnya. Katalah, dia meminati seni, dia akan sentiasa mempamerkan ciri-ciri berlainan yang sentiasa menghala kepada genre seni yang diperjuangkannya itu.
Dia mungkin mempamerkannya melalui pakaian, cara bercakap yang bernada dan berintonasi menyerupai puisi mahupun reaksi spontan yang bertentangan dengan umum dalam semua keadaan.
Sememangnya Alami masalah jiwa
Orang ini pada asalnya tidaklah mengalami masalah jiwa yang berat sangat tetapi apabila dia asyik melayan perasaannya yang celaru itu, akhirnya ia benar-benar bermasalah. Masalahnya kadang-kadang bermula daripada sikap memendam rasa apabila berdepan dengan masalah, misalnya si suami sengaja mengusik akan berkahwin lain, tetapi isteri mengambilnya dengan serius serta kerap menjadikan itu alasan untuk merajuk.
Sikap begini akhirnya menjadi perangai sebenar. Akibatnya, semua unsur humor tidak mendatangkan apa-apa kesan lagi kepada jiwanya. Dia dikira orang yang paling rugi kerana berjenaka itu tanda suburnya jiwa. Bukankah Nabi s.a.w juga berjenaka dan gemar berjenaka?
Sengaja mengasingkan diri dan terlalu perasa
Orang ini mengambil langkah menyendiri konon orang lain semuanya tidak memahami dirinya, atau orang sengaja mahu mempersenda-sendakannya. Oleh terlalu perasa, dia tidak gemar berkomunikasi, sebaliknya lebih kerap bercakap dengan diri sendiri serta menganggap dirinya sentiasa betul. Dia boleh berhalusinasi akhirnya.
Jika anda ada ciri-ciri ini, berubahlah kerana anda sedang dalam fasa ‘jiwa kacau’. Si jiwa kacau selalunya tidak membahagiakan melainkan bermasalah semata-mata. Elakkan ye…
Paut lengan suami orang tanpa rasa bersalah semasa bergambar, wanita ini dikecam netizen kerana bertindak luar batas.
Bayangkan jika isteri lelaki itu mengetahui hal sebenar, apa perasaannya. Sudah tentu dirinya rasa terhina dan kecewa dengan tindakan wanita ini.
Paut Lengan Suami Orang Tanpa Rasa Bersalah
Aksi seorang wanita yang mempamerkan kemesraan dengan lelaki dipercayai berstatus suami orang menerima kecaman netizen dengan ramai yang mengutuk tindakan wanita itu, lapor laman berita Suara.com semalam.
Menerusi satu video yang pada asalnya dimuat naik dalam aplikasi TikTok, wanita tersebut kelihatan memaut lengan seorang lelaki yang tidak ditunjukkan wajahnya.
“Menghadiri acara pejabat atau berjumpa rakan-rakannya. Kebiasaannya untuk acara umum seperti ini, dia membawa saya dan bukan isterinya.
“Katanya saya berbau wangi sedangkan isterinya berbau seperti bawang. Jadi, saya memiliki kelebihan, bukan,” tulis keterangan dalam video itu.
Wanita Ini DiKecam Netizen
Video tersebut dikongsikan semula di akaun Instagram @komentatorpedas dengan ramai yang mengecam tindakan wanita berkenaan.
“Kalau cantik, takkan dapat suami orang. Tidak laku dalam kalangan lelaki bujangkah?” komen seorang netizen.
“Ya Allah, semakin hilang rasa malu. Bagaimana anda tergamak membuat kandungan video seperti itu?” komen seorang lagi. – Agensi
Mingguan Wanita : Sebagai seorang wanita yang masih bujang, jagalah tidak laku dan adab dalam pergaulan. Jangan melebihi batas, apatah lagi dengan suami orang.
“Nak suruh berhenti, tumbuk pintu sampai berdarah.” Mak ayah elak bergaduh depan anak. Kadang-kadang anak cuba buat sesuatu untuk menarik perhatian mak, ayah.
Sebelum timbul perkara lebih teruk, mak ayah cuba elak bergaduh depan mereka. Anak-anak ini walaupun masih kecil mereka merekod setiap perkara yang mereka lihat.
Ikuti perkongsian Ustaz Firdaus Mokhtar ini dan hadam baik-baik:
Nak Suruh Berhenti
Ada seorang puan ini, mesej ke saya. Beritahu ada masalah dengan suami.
Suami dia ada hubungan dengan isteri orang. Akibat huhungan itu, isteri orang tu bercerai. Sebab nak kahwin dengan suami puan ini lah.
Itu satu hal. Si suami ini punyalah hendak kahwin lagi, tapi tak dapat persetujuan isteri, habis dia amukkan isteri ini. Dingin selalu.
Habis barang rumah dia pecahkan. Dengan isteri ini dia cekak leher, cengkam lengan, tolak ke katil, heret dari ruang tamu ke dapur. Sakit sakit lah badan puan ni.
Bukan hal ini yang saya nak sebut. Yang saya nak tulis dekat sini, pasangan ini ada anak-anak. Mata anak-anak jadi saksi semua yang berlaku.
Anak yang sulung lelaki, tingkatan 1 dah tahun ini. Sudah mula ada perasaan, dalam umur hendak membesar. Mula ada emosi marah dan benci.
Dia tak suka tengok apa yang ayah dia buat dekat mak dia. Pernah sekali, masa ayah dengan mak tengah bergaduh, dia jadi marah sangat.
Nak suruh mak ayah berhenti bergaduh, dia tumbuk pintu bilik. Banyak kali. Dengan harapan mak ayah fokus ke anak ini, tengok anak yang ada.
Luka, terbelah dan berdarah tangan anak sulung dia. Bengkak penumbuk anak dia beberapa hari. Ada gambar tangan anak ni, puan tadi bagi ke saya.
Mak Ayah Elak Bergaduh
Anak dia kecewa. Marah ke ayah yang selalu pukul mak sendiri. Dan emosi marah ini dia cerita selalu ke mak dia.
“Benci ayah! Tak suka ayah!”
Allahu. Ini yang kita takutkan. Anak sampai timbul benci pada ayah kandung sendiri.
Puncanya kita suami isteri suka bergaduh depan anak-anak. Tak peduli emosi dan perasaan anak-anak.
Berapa pun umur mereka, kecil setahun dua sekali pun, mereka ini cekap merekod apa yang mereka nampak. Setiap satunya akan melekat dalam memori mereka.
Kita semua faham, rumah tangga memang akan ada waktu diuji. Ada keadaan yang kadang jadi punca kita dan pasangan tak sefahaman. Kita rasa diri kita betul, pasangan salah.
Kita dan dia dua-dua cuba hendak tegakkan pendapat sendiri. Maka kita bergaduh, bertekak. Iya, ini biasa berlaku.
Cuma seboleh-bolehnya elaklah perkara ini berlaku depan anak-anak. Biarlah di depan anak-anak di seperti kita di muka buku ni. Nampak elok dan baik sahaja.
Jadilah Malaikat
Semua hal bertikam lidah kita dengan pasangan, biarlah kita dan pasangan kita yang tahu.
Depan anak-anak, kitalah malaikat mereka. Yang setiap masa menabur cinta dan kasih sayang.
Supaya nanti, anak-anak ini membesar dengan jiwa yang sangat baik. Anak lelaki pandai menghormati wanita yang lain, dan anak perempuan terdidik sifat malu dan lemah lembutnya.
Begitulah hendaknya.
Sekian.
Firdaus Mokhtar,
Ya Tuhan, selamatkan kami.
Mingguan Wanita : Marah sekalipun dengan pasangan, jangan dihamburkan amarah itu di depan anak-anak. Biarlah hanya kita dan pasangan saja yang tahu. Memang payah tetapi pedulilah perasaan anak-anak.
Nahas SUV di Bukit Kawah meragut nyawa sepasang bakal pengantin apabila Toyota Fortuner yang dinaiki terjunam ke dalam gaung. Baca kronologi penuh, siasatan polis dan peringatan keselamatan jalan raya.