ramadhan

Pejam celik lebih kurang dua minggu lagi umat Islam akan melalui bulan yang paling mulia iaitu bulan Ramadhan. Dalam bulan suci ini, tak lain tak bukan golongan mak-maklah biasanya yang akan jadi paling sibuk pada bulan ini. Mana kan tidak dari celik mata untuk sediakan menu bersahur untuk keluarga, kejutkan anak-anak dan suami bangun bersahur, menyediakan juadah berbuka, dan sebagainya.Bahkan lazimnya pada bulan puasa juga, mak-mak harus bersedia untuk persediaan menyambut Hari Raya.

Oleh itu, persediaan dari segala aspek diperlukan untuk memudahkan lagi kerja mak-mak, melancarkan urusan agar tidak kelam kabut  dan lebih bersedia pada bulan ramadhan nanti.

Berikut antara tip persediaan yang mak-mak boleh pertimbangkan;

1.Menu Sahur Dan Juadah Berbuka

Lazimnya bagi mak-mak, penyediakan untuk menu sahur dan juadah berbuka adalah paling penting pada bulan ini. Sebenarnya ia bergantung kepada selera keluarga itu sendiri. Ada yang memilih menu ringkas seperti buah kurma,oats dan susu.Ada juga yang memilih hidangan berat seperti nasi dan lauk pauk.Bagi memudahkan kerja, ketika masak untuk berbuka, lebihkan sedikit lauk pauknya agar boleh dipanaskan ketika waktu bersahur.

Bagi mak-mak yang bekerja pula, pada cuti hujung minggu boleh sediakan pes masakan mahupun bawang-bawang dan cili kisar lebih awal untuk memudahkan kerja-kerja memasak ketika hari bekerja nanti. Seperti pes asam pedas, kari, kurma dan sebagainya. Jadi tinggal masukkan sahaja lauk seperti ayam, udang, ikan dan sebagainya.

2. Ganti Puasa Dan Ajak Anak-Anak Puasa Sunat

Bagi wanita yang masih belum habis puasa qada tahun lepas, pastikan kewajipan puasa tersebut diganti segera sebelum tiba bulan ramadan agar tidak dikenakan fidyah.Jika sudah habis mengganti puasa, biasakan diri pula dengan amalan melakukan puasa sunat. Boleh ajak anak-anak sekali turut berpuasa sunat agar melatih diri mereka sebelum ketibaan ramadhan nanti.Tingkatkan jadual tadarrus Al-Qur’an dan biasakan anak bangun lebih awal (sejam atau setengah jam sebelum subuh) dengan mengajaknya solat bersama sebagai latihan menyambut ramadhan tidak lama lagi.

IKLAN

3.Persiapan Raya Lakukan Lebih Awal

Persiapan menyambut raya memang selalu menjadi perhatian buat golongan mak-mak. Baik dari segi pemilihan baju raya, kuih raya, tukar langsir mahupun deko rumah. Jika berhasrat untuk buat kuih raya, buat lah lebih awal ataupun lebih mudah beli sahaja.Begitu juga dengan persediaan baju raya dan dekorasi rumah. Bukan apa, Ramadahan datang hanya setahun sekali, sayang sekali jika golongan mak-mak ni terlepas masa solat terawikh apatah lagi di 10 malam terakhir yang menawarkan malam Lailatul qadar. Jadi lakukanlah semua persediaan ini lebih awal.

4.Tingkatkan Ilmu Berkaitan Ibadah Berpuasa

Sebelum tibanya bulan ramadhan waktu inilah, seharusnya mempertingkatkan ilmu-ilmu dan persiapan jiwa berkaitan ibadah berpuasa.Semak dan pelajarilah hukum-hukum semua amalan ibadah di bulan Ramadhan.Kenal pasti amalan sunat yang amat digalakkan dalam bulan Ramadan seperti Tadarus Al Quran, Solat Tarawih, Qiyamullail, bersedekah, iktikaf di masjid dan majlis ilmu agar puasa kita benar-benar diterima oleh Allah.

IKLAN

5. Berdoa Agar Diberi Kesempatan Bertemu Ramadhan

Akhir sekali meskipun ramadhan semakin menghampiri, namun tak semua berkesempatan menemuinya.Berdoalah agar Allah swt memberikan kesempatan kepada kita untuk bertemu dengan bulan Ramadhan dalam keadaan sihat wal afiat. Dengan keadaan sihat, kita dapat melaksanakan ibadah secara maksima di bulan itu, baik puasa, solat, tilawah, dan zikir.

Dari Anas bin Malik r.a. berkata, bahawa Rasulullah saw. apabila masuk bulan Rejab selalu berdoa, “Allahuma bariklana fii rajab wa sya’ban, wa balighna ramadan.” Ertinya, ya Allah, berkahilah kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikan kami ke bulan Ramadhan.
(HR. Ahmad dan Tabrani)

IKLAN

Insya-Allah, dengan semua persediaan ini, semoga golongan mak-mak lebih bersedia menghadapi bulan ramadhan dan dikurniakan ganjaran yang besar pada bulan Ramadhan nanti.

Semoga bermanfaat!

 

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI