Biasanya Yong Taufu dijual di pasar-pasar malam. Jika beli boleh tahan juga harganya, berpuluh ringgit boleh ‘terbang’. Sebenarnya lebih jimat, puas hati makan dan terjamin bersih jika mak-mak buat sendiri Yong taufu di rumah. Boleh pilih nak kuah sup atau sos hitam.
Boleh ikut resipi kuah sup dan sos hitam daripada Puan Nor Husma Husin ini sebagai panduan.
“Ada penggemar yong taufu? Setiap kali teringin nak makan, saya akan masak sendiri. Ahli keluarga saya ramai, kalau beli di luar tak puas makan, kos pun tinggi.”
“Saya nak kongsikan resepi sos (sos hitam) dan kuah sup (hidangan yong taufu dengan kuah sup terkenal di sebelah Johor). Saya mention begini sebab ramai kenalan saya dari negeri lain agak pelik bila tahu yong taufu dimakan dengan sup.”
“Saya kongsikan bahan penyediaan yang sangat jimat dan berpatutan. Anggaran harga bahan memasak hanya RM50 saja (termasuk bahan isian yong taufu ya).”
BAHAN A – SOS HITAM
6 sudu makan taucu
4 sudu makan tepung jagung.
1 cawan kicap cair (kicap lemak manis)
8 sudu sos tiram
8 sudu gula pasir
6 cawan air (3 cawan untuk dikisar sekali, 3 cawan masukkan ke periuk untuk dikacau bersama selepas bahan-bahan tadi dikisar)
2 ketul kiub ikan bilis
Garam secukup rasa
Ads
**Jika nak rasa pedas, tambahkan 3-4 sudu cili kering kisar ya. Cara Membuat:
1.Kisar semua bahan di atas. Kemudian masak kesemua bahan kisar tadi sehingga sebati.
2.Kuah perlulah sentiasa dikacau bagi mengelakkan kuah menjadi berketul-ketul.
3.Jika terlalu pekat, tambahkan sedikit air panas hingga menampakkan ‘texture’ kuah menjadi sempurna.
Kalau sos hitam ni tak habis makan, boleh disejuk bekukan ya.
Ads
BAHAN B – KUAH SUP
3 ulas bawang putih – dititik
3 hiris halia
2 ketul kiub pati ikan bilis
Garam secukupnya
Sedikit gula (terpulang pada citarasa masing-masing)
Daun bawang
Bawang goreng
Air masak (anggaran 1 jug setengah)
Cara Membuat:
1.Tumis bawang putih dan halia dengan sedikit minyak panas.
2.Kemudian masukkan air masak diikuti kiub pati ikan bilis.
3.Tambahan sedikit garam hingga cukup rasa. Masak hingga mendidih.
Kuah sup ini juga sesuai dijadikan air rebusan bahan isian yong taufu.
MW:Jadi buat mak-mak yang suka makan Yong Taufu, boleh buat sendiri kuah nya di rumah. Lebih menjimatkan dan puas hati makan dengan anak-anak berbanding beli di luar.
Kata empunya resepi ini, Noorastella Muhamma tutorial step by step menghasilkan nasi lemak yang dikongsikan ini, boleh menghasilkan nasi yang banyak untuk nasi lemak dalam masa satu jam, dan sambal nasi lemak yang sedap dan tahan lama.
“Ini juga cara mudah menghasilkan sambal yang sedap, warna sambal yang menarik dan tahan lama.” Punya lengkaplah tutorial ini sampai 39K sharingnya.
Kita mulakan dengan cili kering. Bagi 200 bungkus nasi lemak, saya gunakan 2 mangkuk cili kering yang halus dan 6 mangkuk cili kering yang besar. Saya gunakan 2 jenis cili kering agar sambal yang terhasil seimbang rasa pedasnya kerana cili kering yang halus/kerinting lebih pedas dari cili kering besar.
Gunting cili kering halus-halus. Bertujuan cili cepat lembut ketika di rebus.
Rebus cili kering dalam kuali. Tambahkan satu senduk minyak masak bertujuan supaya cili kering cepat lembut dan masak.
Rebus cili kering sampai kembang. Sentiasa kacau untuk pastikan cili kering masak dengan seimbang.
Bila sudah cukup kembang, tapis cili kering dan cuci bersih. Di dalam jeraian tapisan, biarkan air paip mengalir sambil gaul cili kering menggunakan senduk. Ini bagi mengelakkan jari pijar.
Blend cili kering sampai betul-betul hancur dan halus. Mengikut kuantiti 8 mangkuk cili kering yang saya gunakan, proses blender saya sebanyak 5 kali. Simpan dalam besen dan ketepikan.
Sukatan air untuk blender : Cili kering 2/4 jug blender. Air 3/4 jug blender.
Kemudian, sediakan bahan-bahan untuk menumis sambal. Saya gunakan :
Bawang besar 8 biji
Bawang putih 3 labu
Serai 6 batang
Kunyit hidup sebesar jari kelingking
Halia sebesar ibu jari
Belacan 1 1/2 inci dibakar
Serbuk cili 6 sudu makan
*Bawang Bombay lebih manis *Belacan yang bagus adalah belacan yang agak lembut. Bakar dengan cara letak atas dapur gas guna penyepit atau garpu. Atau pun goreng.
Potong halus semua bahan-bahan tumis supaya memudahkan proses blend.
Untuk blend bahan-bahan tumis, saya tidak menggunakan air sebaliknya menggantikannya dengan minyak masak. Ini bertujuan agar bahan tumis cepat garing.
*cara cuci blender yang berminyak tu : masukkan cecair cuci pinggan dalam blender, masukkan air sedikit dan blend. Pastu bilaskan.
Masukkan sekali serbuk cili. Serbuk cili tak perlu tambah air. Bila blend semua akan jadi sebati. Kemudian blend sampai halus. Penggunaan serbuk cili akan mantapkan rasa dan cantikkan warna sambal.
Sekarang kita boleh mulakan proses menumis sambal nasi lemak. Saya gunakan minyak bekas goreng ikan bilis untuk menumis. Inilah rahsia sambal yang sedap dan wangi. Pastikan minyak banyak supaya cili masak sempurna dan sambal tahan lama.
Anggaran minyak : sebesar pinggan alas cawan kopi. Tak perlu banyak sebab bahan blend tumis tu pun dah mengandungi minyak.
Masukkan bahan tumis yang di blend halus. Masukkan beberapa helai daun pandan yang disimpul. Ini akan menghasilkan aroma sambal yang maveles!
Tumis sampai garing dan terbit minyak/pecah minyak.
Kemudian masukkan cili kering yang sudah di blend awal tadi. Ambil setengah bungkus asam jawa dan ramas dalam semangkuk air. Masukkan air asam jawa yang ditapis. Kemudian masukkan gula, garam dan aji. Sambal yang terhasil adalah sambal yang manis-manis pedas. Bagi saya, itulah definisi sambal yang terbaik.
Masak sambal sampai terbit minyak. Kepekatan sambal mengikut citarasa masing-masing. Jika terlalu pekat, tambah air sehingga mencapai kepekatan sambal yang sesuai. Sambal yang sedap adalah sambal yang di masak dengan waktu lama. Kebiasaan saya, sambal ini saya sediakan pada waktu malam. Jadi sebelah subuh sambal hanya perlu dipanaskan dan fokus pada nasi pula.
*Gunakan api slow bagi mengelakkan sambal hangit.
Inilah sambal yang telah siap. Merah kegelapan dan berkilat. Sambal ini cantik warnanya hasil dari penggunaan kunyit hidup, serbuk cili, gula dan proses masak yang lama. 3-4 jam.
Sekarang beralih pada penyediaan nasi pula. Kualiti gambar sedikit gelap kerana nasi ini saya sediakan pada waktu subuh.
Saya gunakan 10 mangkuk beras untuk sekali masak. 10 mangkuk beras ini dapat menghasilkan 100 bungkus nasi lemak mengikut sukatan saya. Setiap hari saya akan masak 20 mangkuk beras (guna beras biasa). Bermakna, saya masak sekaligus menggunakan 2 kuali dan 2 periuk kukusan. Harap kawan-kawan jelas bahagian ini.
*guna mangkuk cili kering tadi.
Cuci beras berkali-kali sampai betul bersih. Petua agar nasi lemak tahan lama sampai ke malam adalah sewaktu cuci beras pastikan cuci sampai air beras jernih. Buangkan air cucian beras yang berwarna putih kerana itu adalah kandungan kanji yang selalu melembabkan nasi.
Untuk nasi, saya gunakan:
Halia sebesar ibu jari
Serai 4 batang
Beberapa helai daun pandan yang disimpul
Tuang beras dan bahan-bahan lain dalam kuali besar. Masukkan air 2 inci dari permukaan beras.
Untuk 10 mangkuk beras (anggaran 5kg) ini, saya gunakan 1 liter santan kara. Santan ini memang best sebab ianya pati santan yang sangat pekat.
Masukkan 2 senduk minyak masak. Bertujuan supaya nasi lembut, berkilat dan berderai sebiji-biji. Kemudian masukkan garam dan gula.
Sukatan : garam, 3 sudu, gula 2 sudu
Kuali tak perlu tutup sepanjang proses memasak nasi dalam kuali.
Masak sehingga air kering. Sentiasa kacau nasi supaya tidak hangit. Selalunya proses ini memakan masa 20 minit. Ketika ini, nasi hanya masak 40% sahaja. 60% lagi akan masak di dalam periuk kukusan.
Sementara menunggu nasi kering di dalam kuali, panaskan periuk kukusan. Saya suka taburkan beberapa helai daun pandan di bawah permukaan periuk untuk aroma nasi yang wangi.
Periuk kukus saiz besar : Periuk macam ni banyak dekat Sabah. Macam-macam kualiti ada. Ada yang tebal ada yang nipis. Saya beli terus yang tebal sebab pakai hari-hari untuk berniaga. Alhamdulillah periuk memang tak meragam. Setia menemani bertahun-tahun.
Bila nasi sudah kering, gunakan pinggan untuk transfer ke dalam periuk kukusan yang sudah dipanaskan.
Transfer nasi dari kuali sampai habis.
*Kalau tak nak kukus, boleh terus masak dalam periuk nasi.
Inilah nasi lemak yang telah masak. Selalunya masa mengukus adalah 40 minit.
Ini sedikit contoh hasil jualan harian saya.
Lagi sedikit petua dari saya :
– Timun yang di gunakan untuk nasi lemak.
Selepas potong, masukkan ke dalam peti sejuk. Ini bertujuan mengelakkan timun dari berair yang akan merosakkan nasi. Keluarkan timun apabila tiba waktu untuk menggunakannya.
– Kacang goreng.
Jemur kacang di bawah matahari. Ini kerana kacang yang terbungkus dalam plastik akan berbau hapak dan agak lembab. Bila kacang di jemur sebelum goreng, kacang yang terhasil sangat rangup
– Ikan bilis.
Ketika ingin menggoreng ikan bilis, masukkan beberapa hirisan bawang putih. Petua ini berguna untuk mengetahui samada ikan bilis cukup masak atau belum. Bila hirisan bawang putih sudah garing, maknanya ikan bilis pun sudah cukup masak.
– Telur rebus.
Selepas siap merebus telur, ketika sudah matikan api, masukkan beberapa sudu cuka masakan dan tutup sekejap periuk. Ini bagi memudahkan proses pengupasan telur.
MW : Kalau tak buat niaga pun, boleh guna resepi ini jika nak masak untuk kenduri atau majlis.
Bagi mak-mak yang suka makan terung boleh cuba resipi simple Kerabu Terung Bakar ni. Bahan-bahan yang digunakan tak banyak pun, tapi sangatlah mudah nak buat nya. Bakar terung pun atas api dapur je dan pastikan santan dimasak sekejap. Bahayanya… punyalah sedap boleh buat makan bertambah-tambah! Rosak diet.
“Resipi ni kan dari sahabat Kekna dari nogori nismilan yang bagi ni tau. Selalu nampak dia buat tak boleh tahan anak tekak bergelora ni. Sekali terai buat perghhh terangkat lidah ni sampai tak boleh nak stop nak makan. Hahaha jaga jaga la untuk orang nak diet tu.”
“Serius cakap memang sedap giler lah buat selera makan bertambah tambah.”
“Meh Kekna nak share resipi. Bahan bahan tak ada lah susah mana pun yang penting masih bawah budget lagi la ye.”
Terung
Santan
Bawang merah (dipotong halus)
Cili api yang (dipotong racik halus-halus)
Cili api yang (diblender bersama belacan)
Garam
1. Terung tu pertama kali basuh dahulu dan lepas tu baru lah dibakar. Macam Kekna bakar je atas api dapur tu. Biar sampai nampak kehitaman kat luar tak apa. Apa perlahan ye karang terbakar rentung pula.
2. Lepas dah bakar tu sejuk kan. Buang kulit dia yang dekat luar tu sampai jadi bersih. Yang ni memang kena kesabaran yang tinggi tau. Hahaha.
3. Dah bersihkan baru lah boleh potong potong kecil ikut lah macam mana suka la kan.
4. Campur dengan bawang merah dan cili api dan cili yang blender dalam satu bekas sekali.
5. Santan tu masak sekejap atas dapur lepas tu campur dengan garam sikit dan tambah air masak dalam tu. Curahkan masuk la dalam bekas terung tadi tu semua.
6. Dah siap. Ha senang kann.
Di persilakan #SHARE resipi ni supaya dapat membantu la geng geng mak yang tak ada idea nak masak tu ye.
Dah dapat pahala berganda-ganda kan bantu memudahkan orang lain tau.
Bagi mak-mak yang suka makan kuih tradisional Melayu, boleh cuba buat kuih puteri ayu yang sedap, lembut dan gebu ni. Bila buat sendiri memang puas hati, sekali buat ikut sukatan resipi ni boleh dapat 45 biji.Kalau nak buat makan-makan, ada kenduri, jamuan sekolah anak, atau untuk minum petang boleh buat kuih ni. Sesuai sangat.
“Kuih Puteri Ayu @ Seri Ayu. Kuihnya lembut bak sutera. Hari ni ariana nak share cara ariana buat kuih lembut bak sutera ni”
3 cawan gandum
4 biji telur (gred B)
1 1/2 cawan gula halus
1 1/2 cawan santan (1 kotak santan kara + 1/2 cawan air)
1 sudu besar ovallete
1 sudu kecil baking powder
1 sudu kecil perisa pandan
2 sudu kecil pewarna hijau
1 biji kelapa (warna putih sahaja)
1 sudu kecil garam
1 sudu besar tepung ubi
1.Mula-mula mix telur, ovallete, perisa pandan, gula halus dan pewarna hijau sehingga sebati.
2.Pastikan adunan masih cair.
3.Masukkan pulak baking powder dan tepung yang telah di ayak. Mix sampai sebati.
4.Adunan ni memang likat. Bila mix dah sebati terus matikan mixer.
5.Masukkan pula santan dan mix sebati.
6.Pastikan adunan licin dan tak terlampau pekat.
7.Untuk senang letak dalam acuan, ariana letak dalam pipping bag.
8.Untuk bahagian kelapa, masukkan garam dan tepung ubi. Kacau bagi sebati.
9.Kalau xcukup masin boleh tambah garam.
10.Sapu acuan dengan minyak dulu. Ariana letak kelapa dalam 3/4 sudu besar. Nak letak kurang pun boleh. Jangan membukit pulak.
11.Untuk bagi padat. Ariana tekan dengan acuan lain bahagian atas kelapa. Dan tekan pula dengan jari kat atas kelapa supaya padat.
12.Ni yang dah siap tekan dengan acuan dan jari.
13.Lepas tu kukuslah adunan selama 10 minit. Taknak letak dalam loyang pun takpe. Pastikan letak adunan paras acuan je @ kurang sikit.
14. Kuih dah masak. Naik dengan gebunya. Dah suam sikit bolehlah keluarkan dari acuan.
Sekarang bolehlah dihidang.
Kuih ni paling senang nak buat. Lagi tak sabar nak makan bila bahagian dalam lembut dan gebu.