Atiya & Irdina rapat dengan arwah ibu

Tanggal 18 Mei pasti menjadi sejarah yang akan terpahat di minda setiap rakyat Malaysia. Pemergian Pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad, 40 yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Pattani, Thailand amat dirasai oleh semua orang.

Kematian yang cukup dicemburui kerana berlaku dalam bulan yang pernuh Berkah, iaitu bulan Ramadan. Sebuah pengakhiran yang cukup mulia kerana arwah dalam perjalanan untuk menyampaikan sumbangan zakat ke beberapa buah pondok agama di Pattani, Thailand.

Buat Persiapan Raya Awal, Siapa Sangka Faziani Tinggalkan Keluarga Dalam Bulan Yang Mulia
Kenderaan yang dinaiki Faziani dan suami ketika kemalangan

Dalam kemalangan tersebut, suami Faziani, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42 cedera parah apabila kereta Toyota Estima yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori. Memetik laporan sebuah akhbar tempatan, menurut Ahmad Shah, dia dan isterinya sememangnya berada dalam keadaan penat sewaktu bergerak meninggalkan kediaman mereka di Tumpat pada hari kejadian. Namun kerana arwah sudah berjanji, Ahmad Shah bersetuju untuk menemani isterinya itu dan mengambil keputusan memandu sendiri kerana pemandu peribadi mereka ada hal keluarga.

“Sebelum kejadian, saya tertidur di lampu isyarat, dia (Faziani) tidur di sebelah saya. Saya beritahu Allahyarham saya nak berhenti di stesen minyak depan itu untuk tidur atau basuh muka sekejap sebelum meneruskan perjalanan.

“Lepas itu, saya tidak sedar dan dalam masa dua saat sahaja dia kejut saya, kemalangan berlaku,” imbasnya kembali mengenai kejadian yang berlaku.

Memang menjadi rutin mereka berdua untuk ke tahfiz tersebut Cuma kali ini dia memandu sendiri demi memenuhi permintaan isteri tersayang. Namun siapa sangka itulah permintaan terakhir Faziani sebelum kembali ke dunia abadi.

Mama pesan jangan rebut harta

Mempunyai empayar perniagaan yang cukup Berjaya, Dnars Skincare satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Malah baru-baru ini Allahyarham Faziani baru sahaja mengembangkan lagi perniagaan produk kecantikannya itu ke negara jiran, Indonesia. Sikapnya yang cukup pemurah dan sering melakukan amal kebajikan memang perlu dicemburui oleh semua orang. Ternyata kekayaan yang dimiliki tidak menjadikan dirinya alpa dari terus melakukan kebaikan yang dapat memberi manfaat kepada orang lain.

Meninggalkan lapan orang anak, pastinya kehilangan bonda tersayang amat dirasai oleh kesemua anak-anak Faziani. Sempat bersahur bersama sebelum ibu dan ayahnya bertolak ke Pattani pada hari kejadian. Menurut Ainul Atiya Ahmad Shah Rizal, 18, ibu dan ayahnya itu memang kelihatan penat kerana baru sahaja pulang dari Jakarta pada hari sebelumnya.

Buat Persiapan Raya Awal, Siapa Sangka Faziani Tinggalkan Keluarga Dalam Bulan Yang Mulia
Arwah Faziani bersama lapan orang anaknya

“Pelik hari ini papa nak pandu sendiri kereta ke Thailand, biasanya pemandu peribadi yang bawa kalau ada urusan kerja luar. Mereka turun seawal jam 7 pagi, biasanya kalau nak ke mana-mana antara jam 9 pagi hingga 10 pagi baru turun dari rumah.

“Mama dengan papa nampak penat sangat, baru semalam mereka pulang dari Jakarta dan hari ini ke Thailand pula memandu sendiri kereta,” ujar Ainul Atiya yang masi bersedih dengan kehilangan ibu tersayang.

Selain Ainul Atiya, anak perempuan arwah Faziani, Irdina Hakim Jasman, 16 juga sangat rapat dengan arwah ibunya Faziani. Kehilangan ibu tercinta sangat memberi kesan kepada dirinya. Sehingga kini Irdina masih lagi bersedih dengan pemergian bunda tercinta yang meninggalkannya bersama adik-beradiknya yang lain secara mengejut.

“Mama ada berpesan kepada kami lapan beradik, sekiranya berlaku apa-apa kepadanya, jangan bergaduh berebut harta. Seingat saya tiada petanda awal yang arwah tunjukkan bahawa dia bakal pergi meninggalkan kami, Cuma Mama ada meluahkan rasa rindunya terhadap arwah atuk saya iaitu ayah kepada mama. dia cerita ada bermimpi bertemu dengan arwah atuk.

“Kami adik beradik memang tak syak apa-apa, ingatkan itu luahan biasa memandangkan mama sejak akhir-akhir ini penat sangat uruskan perniagaan.” Ceritanya tentang hari-hari terakhir arwah mamanya.

Menurut Irdina juga adik-beradiknya seramai lapan orang termasuk empat adik beradik tiri memang tinggal bersama ibunya di kediaman mereka yang terletak di Paloh, Tumpat, Kelantan.

Kematian Allahyarham Faziani ternyata memberi kesan kepada semua orang. Kebaikan yang dilakukan olehnya terus menjadi bualan ramai. Sikap pemurahnya turut diakui oleh para pekerjanya.

Menurut salah seorang pekerjanya yang dikenali sebagai Mohd Mahzam Ismail, walaupun arwah tegas dalam urusan kerja tetapi dia seorang majikan yang sangat baik dan pemurah. Menurutnya lagi sepanjang bulan Ramadan, arwah akan menyediakan lauk pauk serta kuih muih untuk dibawa balik oleh para pekerja untuk dinikmati bersama keluarga. Bukan itu sahaja, malah mereka turut diberikan beras dan juga barang keperluan dapur yang lain.

Buat Persiapan raya sejak awal Ramadan

Luluh hati seorang ibu tatkala mendapat perkhabaran duka pemergian anakanda tercinta. Sangkanya dialah yang akan pergi dahulu namun perancangan Allah SWT tiada siapa yang tahun. Allahyarham Faziani merupakan anak ketiga kepada Khatijah Mirdin, 67 tahun. Reda dengan apa yang terjadi, namun kejadian ini amat memberi kesan kepadanya sebagai seorang ibu. Khatijah sempat berkongsi cerita mengenai arwah yang sudah membuat persiapan awal untuk menyambut Aidilfitri pada tahun ini.

Buat Persiapan Raya Awal, Siapa Sangka Faziani Tinggalkan Keluarga Dalam Bulan Yang Mulia
Khatijah sangat terkesan dengan pemergian anak ketiganya, Faziani

“Arwah dah buat semua persiapan untuk sambut Aidilfitri. Daripada pakaian raya, duit raya, juadah dan biskut raya, semua dah dibuat awal untuk keluarga. Memang menjadi kebiasaan kami dari raya pertama hingga ketiga, semua juadah sudah ditempah awal. Sambutan raya diteruskan seperti yang dirancang arwah, tetapi hati kami sedih beraya tanpa dia.”

Mengenang kembali arwah anaknya yang suka menjamu orang makan, menurut Khatijah keluarganya memang suka berkumpul beramai-ramai di kediaman baru Faziani yang terletak di Paloh, Tumpat.

“Kami masuk rumah ni pada 15 Ramadan tahun lalu dan keluarga kami sentiasa berkumpul beramai-ramai kerana arwah suka sangat jamu makan. Kami akan beraya mengikut perancangan dia, berkumpul anak beranak di rumah ini pada raya pertama nanti, seperti permintaannya walaupun dia sudah pergi meninggalkan kami semua,” katanya penuh sebak.

Gambar: Ihsan Sinar Harian

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI