Botol minuman jenama terkenal bau “petai”, pengguna media sosial berkongsi rasa pelik di media sosial. Beberapa pengguna media sosial tampil berkongsi pengalaman mengejutkan tentang jenama air mineral popular tempatan yang dikatakan mengeluarkan bau pelik seakan ‘petai’ selepas beberapa kali dibuka dan diminum.
Pengguna Instagram, @farahhanunzaba, memulakan perbualan dengan soalan jujur namun membingungkan:-
Ads
Ads
Ads
“sekarang tengah banyak orang sharing pasai microplastic. adalah buat stock air mineral terkenal ini, kenapa lepas minum 2-3 kali, lepas tu botol tu akan keluar satu bau macam petai bila botol dibuka penutupnya. takut pulak nak minum,” kongsi Farah”
Perkongsian itu pantas mendapat perhatian ramai, termasuk seorang lagi pengguna, @rafiq, yang menyatakan kebimbangannya sebagai pelanggan setia:
“Tolong check kan kenapa this year punya air botol bila sehari dua tak minum dia start ada bau ‘petai’ (?) even tak kena mulut… Last year tak macamni ya.”
Ia menjadi tanda tanya di kalangan pembeli, ada mengaitkannya dengan isu mikroplastik, penutup kitar semula malah kesan tindak balas antara air dan udara selepas botol dibuka.Setakat laporan ini ditulis, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak jenama tersebut berhubung isu tersebut.
Namun, ramai berharap agar pihak pengeluar dapat menyiasat perkara ini dan memberikan jawapan kenapa hal ini terjadi. Sama ada benar-benar bau ‘petai’ atau hanya satu kebetulan luar biasa.
Dalam dunia glamor yang penuh sorotan, ada luka yang tidak sempat sembuh di depan kamera. Begitulah yang dirasai oleh aktres jelita, Diana Danielle, apabila menyentuh soal hubungannya dengan bekas suami, aktor Farid Kamil, selepas perpisahan mereka yang menjadi perhatian ramai.
“Saya berusaha tidak timbulkan sebarang perasaan yang tidak bagus. Sebab itulah saya pilih jauhkan diri dari hal komunikasi,” ujar Diana jujur ketika ditemui selepas kemunculannya di program Meletop kelmarin.
Bagi Diana, fasa perceraian ini masih terlalu baru. Hatinya belum sempat pulih sepenuhnya, apatah lagi untuk menjalinkan semula sebarang bentuk komunikasi yang berisiko menggugat emosi. Dia kini dalam proses menyesuaikan diri, bukan sebagai isteri, tetapi sebagai seorang ibu tunggal yang ingin membina kehidupan baru berlandaskan kekuatan dan ketenangan.
“Mungkin suatu hari nanti kami akan kembali berkomunikasi. Sekarang masa untuk kami berusaha mencari tempo dan rentak baru dalam hidup. Fokusnya kini adalah anak-anak,” tambahnya tenang.
Walaupun memilih untuk menjauhkan diri dari komunikasi peribadi, Diana tetap bersikap terbuka terhadap hubungan antara Farid dan anak-anak mereka, Muhammad dan Nur Aurora. Malah, dia lebih selesa jika bekas suaminya berhubung terus dengan anak-anak tanpa perlu melalui dirinya.
“Saya rasa lebih baik jika dia berhubung dengan anak-anak terus supaya tidak ada unsur-unsur seperti saya cuba untuk mempengaruhi anak-anak ataupun yang tidak sepatutnya,” jelas Diana.
Tiada sebarang sekatan atau halangan yang dikenakan ke atas Farid untuk bertemu anak-anak. Diana sekadar menjadi ibu yang memastikan jadual sekolah dan tuisyen berjalan seperti biasa – selebihnya terpulang kepada bapa dan anak untuk mengatur detik bersama.
Baru-baru ini, Diana menjadi buah mulut selepas muncul dalam satu sesi podcast yang menyentuh sedikit sebanyak tentang kisah rumah tangganya. Ada yang menuduh beliau seolah-olah merindui masa lalu.
Namun bagi Diana, ia hanyalah luahan yang lahir secara jujur, bukan rindu, tetapi satu bentuk penceritaan.
“Saya tidak merindukannya, sebaliknya mahu jalan terus. Ia bukan sesuatu yang menarik pun untuk dibincangkan. Tetapi apabila kita bercerita, kadang-kadang kita merasakan apa yang kita rasa,” jelasnya sambil menepis salah faham sesetengah pihak.
Percutian bertukar duka, kanak-kanak lelaki meninggal dunia selepas 16 jam bertarung nyawa. Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang sebelum ini dilaporkan lemas di kolam renang akhirnya menghembuskan nafas terakhir selepas 16 jam bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak (PICU), Hospital Melaka pada Isnin.
Berita pemergian anak kecil itu dimaklumkan sendiri oleh bapanya menerusi satu video yang dimuat naik ke akaun TikTok miliknya awal pagi Isnin.
“DOAKAN CAHAYA MATA KAMI DITEMPATKAN BERSAMA-SAMA ORANG YANG BERIMAN… ALLAH LEBIH SAYANGKANNYA,” TULIS BELIAU DI RUANGAN KAPSYEN VIDEO TERSEBUT.
Bapa kepada kanak-kanak berkenaan turut merayu agar orang ramai mendoakan segala urusan mereka sekeluarga dipermudahkan.
Difahamkan, jenazah kanak-kanak itu akan dibawa pulang ke kediaman keluarga di Taman Rinting, Pasir Gudang, Johor sebelum dikebumikan.
Sebelum itu, percutian keluarga tersebut bertukar menjadi detik menyedihkan apabila kanak-kanak terbabit ditemukan lemas di kolam renang sebuah rumah inap di kondominium Taman Kota Shahbandar, Kota Laksamana pada pagi Ahad.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Zahery Mohd Zailani, kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 9.45 pagi. Tiga jentera termasuk van Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) bersama lapan anggota segera digerakkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, didapati seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun telah dikeluarkan dari kolam oleh orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Anggota bomba segera memberikan bantuan pernafasan resusitasi kardiopulmonari (CPR),” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia selepas usaha menyelamatkannya tidak berjaya.
Tragedi Sungai Korok, keluarga teruskan perniagaan roti canai arwah suami, isteri. “Kami akan teruskan perniagaan roti canai di Tanah Merah, Pendang yang baru diusahakan arwah dan suaminya sejak sebulan lalu sebab mereka susah payah cari tapak niaga,” Roswati Zainol, 52.
Tragedi meragut nyawa sepasang suami isteri selepas kenderaan dinaiki mereka terjunam ke dalam terusan di Sungai Korok, Jitra baru-baru ini meninggalkan luka mendalam buat ahli keluarga, khususnya ibu kepada arwah wanita berkenaan.
Roswati, ibu kepada Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, yang maut bersama suaminya, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, menyifatkan kehilangan mereka sebagai satu tamparan hebat buat seluruh keluarga.
Menurut Roswati, pasangan tersebut pernah menjalankan perniagaan roti canai berhampiran Hospital Lama Alor Setar namun terpaksa menukar lokasi berniaga disebabkan sambutan yang kurang memberangsangkan.
“Kebiasaannya, menantu saya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan akan singgah ke gerai sejurus selesai syif malam. Selepas itu barulah dia pulang, menukar pakaian dan uruskan anak-anak termasuk mengambil mereka dari sekolah,” katanya ketika ditemui.
Sebelum kejadian malang itu, tular satu video di media sosial memaparkan pasangan berkenaan yang gigih menjalankan perniagaan kecil demi menyara kehidupan. Video tersebut, dimuat naik di TikTok sekitar April tahun lalu, menyentuh hati netizen apabila tragedi menyayat hati itu berlaku.
Roswati berkata, anak sulungnya itu terkenal sebagai seorang yang rajin, ringan tulang dan sangat mengambil berat terhadap adik-beradiknya.
“Arwah selalu bantu adik-adik bila mereka susah. Bila dia pergi, memang terasa kehilangan sangat besar sampai kami semua rasa hilang semangat,” ujarnya sebak.
Tambahnya lagi, kereta Proton Iswara yang digunakan pasangan itu bukan sahaja untuk kegunaan harian, malah menjadi kenderaan utama dalam membantu mereka mencari rezeki.
“Kami sekeluarga cuma ada motosikal saja, jadi kereta itulah yang digunakan untuk berniaga. Tapi kereta itu tenggelam bersama mereka dalam terusan… dan kini, semuanya hanya tinggal kenangan,” katanya pilu.
Menurut Roswati, sejak Nurul Hidayah mengandungkan anak kembar pada tahun lalu, mereka sekeluarga berpindah ke rumahnya bagi memudahkan urusan harian. Sepanjang itu juga, dia membantu menjaga cucu-cucunya termasuk menghantar empat daripada mereka ke sekolah setiap hari.
“Saya sempat jaga Tuah Haydar sejak lahir sampai umur enam bulan saja. Kembar dia, Jebat Haydar, dah meninggal dunia Februari lalu sebab masalah kesihatan.
“Sekarang ni Putri Qisya, cucu sulung saya yang berumur 12 tahun, masih belajar di tahun enam di SK Seberang Perak dan belum ada keputusan untuk pindah sekolah lagi,” katanya.
Roswati turut berkongsi bahawa Nurul Hidayah tidak pernah mengecewakan dirinya sepanjang hayatnya.
“Apa yang saya minta, walaupun lambat, dia tetap usahakan. Hari Jumaat sebelum kejadian mereka tak berniaga sebab kuah roti canai tak menjadi dan masa tu dia nampak murung. Saya pun kurang sihat hari tu… mungkin mereka terlalu penat dan mengantuk,” jelasnya lagi.
Ditanya mengenai penjagaan cucunya selepas ini, Roswati berkata keputusan sepenuhnya diserahkan kepada cucunya sendiri.
“Saya tak akan paksa. Kalau dia rasa selesa tinggal dengan saya, alhamdulillah. Tapi kalau dia nak bersama ibu saudaranya pun saya izinkan. Yang penting, biar dia buat keputusan dari hati, bukan sebab nak jaga hati orang lain,” katanya dengan nada tenang namun penuh kesayuan.
Kisah ini menjadi peringatan tentang kasih sayang yang tidak pernah pudar walau jasad sudah tiada. Semangat kental pasangan suami isteri ini dalam mencari rezeki dan kasih sayang seorang ibu yang terus kuat demi cucu-cucunya, benar-benar meruntun jiwa.