Biskut Raya Gergasi Cornflakes 15 Kg Tarik Perhatian Pengunjung FIESTA HOMEBAKERS USHA USHA BISKUT RAYA.
Fiesta Homebakers Usha-usha Biskut Raya anjuran Mingguan Wanita bersama penaja utama Central Sugars Refinery Sdn. Bhd (Gula CSR) serta penaja bersama marjerin Adela dan rakan kerjasama lain Fruttose, Ever Miracle Solutions (barangan Tupperware Brand, Cadbury dan penaja belon dekorasi, Omeiluth Party Expert berlangsung penuh meriah di Setia City Mall semalam.
Biarpun hanya sehari sahaja, namun fiesta yang dirasmikan oleh Yang Berhormat Hajjah Aiman Athirah Sabu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hadir bersama CEO NU Ideaktif, Syamil Fahim dan CFO Gula CSR iaitu Mohd Azahar Mohd Salleh bersama isteri memberi kenangan manis buat semua peserta.
Menghimpunkan 40 vendor usahawan biskut raya dengan hampir 10 ribu kupon sampel biskut raya diberikan secara percuma kepada pengunjung, dalam ucapan perasmian YB Hajjah Aiman Athirah berkata, usaha dilakukan Mingguan Wanita ini sangat disokong kerana membantu golongan wanita menerusi kempen Bangkit Wanita.
“Golongan B40 dan M40 antara yang terkesan dengan pandemik sebelum ini. Jadi usaha menghimpunkan golongan wanita dalam fiesta begini dengan bermula dari rumah menghasilkan biskut, ternyata ia satu usaha sangat baik kerana ia selari dengan usaha KPWKM yang turut mempunyai kempen Wanita Bangkit.
“Negara kita menyediakan banyak dana dalam membantu golongan wanita berpotensi untuk mencapai kejayaan dari segi ekonomi dan golongan wanita boleh merebut peluang memajukan diri dalam perniagaan menerusi dana disediakan,” katanya yang turut mengalu-alukan Mingguan Wanita datang ke Kementerian berbincang untuk program Bangkit Wanita.
Ads
Sementara itu, CEO Nu Ideaktiv, Syamil Fahim memaklumkan, selama lebih 40 tahun Mingguan Wanita berada di pasaran dengan jualan majalah dahulunya mencecah 160 ribu seminggu serta lebih 4 juta pembaca setia untuk media sosialnya terkini berjaya membawa suara wanita ke persada gemilang.
“Kempen Bangkit Wanita yang kita usahakan sejak 3 tahun lalu, dijayakan dengan pelbagai aktiviti menghimpunkan 40 pengusaha biskut raya dan moga usaha begini berterusan,” katanya semasa ucapan alu-aluan.
Dalam fiesta sehari semalam, selain promosi jualan dan tempahan biskut raya, banyak aktiviti pentas interaktif bersama pengunjung telah diadakan.
Menampilkan Hanif sebagai pengacara yang penuh lincah, penaja utama CSR turut memberikan pelbagai hadiah menarik di booth mereka. Dengan hanya follow laman sosial mereka, pengunjung menerima beg hadiah menarik di mana pelbagai produk Gula CSR diberikan secara percuma buat pengunjung bertuah.
Ads
Persembahan fiesta semalam dihangatkan dengan persembahan bertenaga dari Marsha Milan Londoh yang menyampaikan dua buah lagu iaitu Girls On Fire selain lagu popularnya, Kembali Terang.
Selain persembahan pentas dari Marsha, ada banyak aktiviti pentas berlangsung seperti demo bancuhan topping dekorasi biskut bersama pengasas Gula Cakery, Nor Arieni Adriena, pertandingan tekan-tekan semperit biskut raya, demo biskut raya kurang manis oleh pengasas Easy Bake Lab iaitu Cik Dayang, pertandingan susun-susun biskut raya, pertandingan tekan biskut semperit raya bersama Puan Hanani yang datang jauh dari Terengganu, happy hour dan banyak lagi di mana pengunjung selain membeli kuih raya dan membuat tempahan, mereka juga membawa pulang hadiah lumayan dan banyak disediakan pihak penganjur.
Turut diadakan, acara biskut raya terbesar oleh para pelajar kulinari dalam Pertandingan Biskut Raya Gergasi.
Sebanyak tiga universiti / kolej memasuki pertandingan ini terdiri dari Food Institute Of Malaysia (FIM), Saito University dan Institut Kemahiran Belia Negara Kemasek Kemaman Terengganu. 9 kumpulan telah bertanding melibatkan 36 penyertaan pelajar.
Kumpulan juri yang diketuai oleh Puan Norhayati dari Taylor Universiti, Puan Nor Arieni Adriena dari Gula Cakery dan Marsha sepakat memilih kumpulan Zucchero dari IKBN yang menghasilkan biskut Giant Golden Flakes seberat 15 kg.
Ads
Kumpulan Zucchero memenangi hadiah utama sebanyak RM700 serta nilaian RM10,000 bagi artikel mengenai sekolah masakan terbaik, hadiah iringan serta sijil penyertaan.
Pemenang kedua dan ketiga dimenangi oleh pelajar dari Food Institute Of Malaysia yang menerima wang tunai RM500 dan RM300. Bagi saguhati, hadiah sampingan dan sijil disediakan buat kesemua pelajar yang bertanding.
Fiesta diteruskan dengan pelbagai aktiviti bermula seawal jam 10 pagi dan menghampiri kemuncak acara pada jam 9 malam bila mana penganjur utama Gula CSR menawarkan hadiah lumayan sebanyak 36 kg gula Better Brown kepada vendor yang memenangi tiga kategori yang dipertandingkan iaitu vendor Paling Aktif Promosi Di Sosial Media, vendor Sampel Biskut Paling Laris dan vendor Booth Tercantik.
Yums Delicacies telah memenangi vendor paling aktif promosi di media sosial, diikuti Ayu Bakery bagi kategori sampel biskut paling laris sementara pemenang vendor booth tercantik jatuh kepada The Kelopak Bakes. Masing-masing teruja membawa 36 kg gula Better Brown yang sememangnya digunakan dalam pembuatan biskut raya untuk menambah rasa enak pada biskut.
Fiesta yang penuh kemetiahan dan warna-warni ini dijangka akan dianjurkan sekali lagi dengan tema yang berbeza pula. Hingga jumpa lagi di fiesta akan datang.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Musim ke-4 rancangan realiti amal yang dinanti-nantikan, Kongsi Kasih, kembali dengan episod pertamanya yang mengundang rasa sebak dan keinsafan. Mengangkat tema ‘Kongsi Kasih, Jejak Jalanan, episod ini menampilkan kisah sebuah keluarga yang berjuang meneruskan kehidupan di sebalik cabaran ekonomi dan kesihatan.
Suami & Anak-Anak Perlu Perhatian Khusus
Episod pertama membawa penonton menyelami kisah Puan Saliza, seorang suri rumah yang berhadapan dengan komplikasi penyakit darah tinggi dan kencing manis namun perlu menumpukan perhatian dan penjagaan terhadap dua orang cahaya matanya orang kelainan upaya atau OKU berusia 11 tahun dan 5 tahun yang turut berdepan dengan masalah kesihatan.
Keadaan kesihatan Saliza juga sebenarnya tidaklah begitu baik apatah lagi dirinya mempunyai penyakit asma kronik. Setiap bulan dia perlu menjalani rawatan pemeriksaan kesihatan di Hospital Serdang dan Hospital Kuala Lumpur bukan sahaja untuk dirinya, malah untuk pemeriksaan anak-anaknya.
Kesempitan dari sudut kewangan kadang-kala menyebabkan dirinya terpaksa menunda temujanji rawatan di hospital apatah lagi hanya berharap menunggang motorsikal untuk membawa anak-anak ke hospital.
Sokongan Perfume Paradise
Menerusi episod ini, pasukan Kongsi Kasih bersama penaja, Perfume Paradise tampil memberikan sokongan moral dan bantuan kepada keluarga Puan Saliza.
Menurut pengasas Perfume Paradise, Nur Afiqah Amran, dia sebenarnya terkesima dengan kehidupan Puan Saliza yang kuat semangat meskipun terpaksa berhadapan dengan dugaan kehidupan.
Pihak Perfume Paradise juga turut membuka peluang dan ruang untuk keluarga ini menjana pendapatan sampingan melalui Perfume Paradise di samping memberikan sokongan secara menyeluruh dari bimbingan pemasaran hingga produk berkualiti yang mudah dijual.
Pengacara rancangan Kongsi Kasih musim ke 4, Haze Huzir berkongsi momen berkunjung ke kediaman Puan Saliza yang terletak di Bandar Kinrara, Puchong yang menyentuh hati pengacara ini apabila melihat kanak-kanak berusia 5 tahun yang berhadapan dengan masalah kesihatan iaitu kepala besar ini menyambut kedatangan tetamu dalam suasana penuh gembira.
“Kami percaya bahawa setiap insan yang menghadapi kesukaran berhak diberikan peluang kedua. Melalui Kongsi Kasih, kami bukan sahaja ingin membantu, tetapi juga memberi inspirasi kepada masyarakat untuk saling membantu dan menyokong antara satu sama lain,” ujarnya.
Menurut Puan Saliza, sejak Fatimah berada di dalam kandungannya, keadaan tumbesaran Fatimah telah dikesan tidak normal. Doktor mengesahkan otak Fatimah nipis dan dipenuhi air.
Malah sejak bayi lagi, perlu berhati-hati memegangnya kerana kepalanya besar dan badannya semangat. Tetapi sebagai ibu, sudah tentu saya beranikan diri untuk menguruskannya sehingga kini,”ujar Saliza memulakan bicara.
Meskipun berhadapan dengan masalah kesihatan, Saliza sentiasa memanjatkan doa semoga suami dan anak-anak berada di dalam lindunganNya apatah lagi suami juga berhadapan dengan masalah kesihatan yang kronik.
Selain diuji masalah kesihatan anak, Puan Saliza turut perlu menguruskan emosi dan tingkah laku anak perempuannya yang mempunyai masalah lembam dan sering dibuli di sekolah akibat kekurangannya itu. Anak kedua beliau juga merupakan pemegang kad OKU, masalah pembelajaran dan hyperakftif.
Berkat kesabaran dan kerjasama dari pihak guru, Puan Saliza berharap anaknya itu memulakan sesi persekolahan baharu dengan lebih tenang dan bersemangat.
Episod 1 turut menyaksikan kesusahan hidup tidak mematahkan semangat, malah memberi dorongan kepada insan-insan ini untuk bangkit dan meneruskan kehidupan dan bersabar menghadapi setiap dugaan dalam kehidupan.
Sokongan Penguat Semangat
Selain kisah keluarga Puan Saliza, episod pertama juga memaparkan kisah bekas penyampai radio, Kieran atau nama sebenarnya, Maskiran Jakiran yang menghidap kanser prostat dan kanser itu kini sudah mula merebak ke bahagian perut dan paru-paru.
Kieran terharu apabila ramai rakan artis tampil membantu apabila dirinya ditimpa musibah. Hatinya tersentuh kerana ramai teman masih ingat kepadanya biarpun sudah 10 tahun meninggalkan dunia penyiaran.
“Ramai yang prihatin, Alhamdulillah Allah kurniakan saya sahabat yang baik-baik. Terima kasih kepada semua,” katanya yang beroleh semangat yang kuat untuk pulih.
Saksikan tayangan episod Kongsi Kasih Jejak Jalanan di Astro Prima, setiap
Jumaat jam 7 malam bermula 14 Februari, dan hayati kisah-kisah penuh
inspirasi yang menyentuh hati. Mari bersama kami menyebarkan kasih dan kebaikan
kepada komuniti yang memerlukan.
Dalam dunia digital yang penuh drama, kritikan tajam dari selebriti media sosial biasanya mampu menggoncang emosi sesiapa pun, apatah lagi bila disampaikan oleh YouTuber sensasi dunia, James Charles, yang memberi hanya 3/10 untuk snek tempatan popular, NIMS Crispy Choco Tub.
Namun, yang mengagumkan, pengasasnya Tengku Norhanim Tengku Othman atau mesra disapa Hanim, langsung tidak melatah. Sebaliknya, beliau mempamerkan kematangan, kebijaksanaan dan semangat juang luar biasa sebagai seorang wanita usahawan.
“Tak semua tekak sama. Biasalah kalau ada yang tak suka. Tapi ramai rakyat Malaysia bagi rating 10/10 untuk NIMS. Kita sudah tembus pasaran 18 negara, termasuk Amerika Syarikat,” ujar Hanim dengan tenang dan berhemah.
Di sebalik ulasan “kurang enak” itu, Hanim memilih untuk melihat sudut yang lebih luas — “Bad marketing, big impact”.
“Saya tak ambil hati. Malah, saya bersyukur sebab dapat publisiti percuma dari seorang bintang global. Itu bukan perkara mudah,” katanya, membuka mata ramai wanita tentang erti sebenar berjiwa besar dalam bisnes.
Hanim tidak hanya berhenti di situ. Beliau merancang menghantar satu set kombo khas kepada James Charles dan bahkan berhasrat untuk berkolaborasi dengan ikon kosmetik tersebut.
“Kalau dia terkenal dengan gambaran bersifat fruity, kami pula penuh warna-warni! Mana tahu James boleh reka kombo ikut citarasa dia. Packaging pun biar dia tentukan. Siapa tahu, NIMS X James Charles akan jadi kenyataan,” katanya berseloroh, tapi penuh visi.
James Charles dalam video “Trying Viral TikTok Snacks” mengkritik bahawa coklat NIMS tidak cukup ‘kick’, walaupun memuji kerangupan bijirin. Namun, Hanim memilih untuk tidak melihat komen itu sebagai tamparan — sebaliknya sebagai pintu peluang.
“Walaupun boleh makan hati dengan komen jujurnya, itu sama sekali tidak mematahkan semangat kami. Malah kami lebih terbuka untuk buat sesuatu yang lebih berani, berbeza dan mendunia,” katanya lagi.
Untuk rekod, jenama produk NIMS bukan calang-calang! Ia pernah mendapat pengiktirafan hebat. Selain pernah diangkat sebagai Nona Best Crispy ChocoTub Award dalam NONA Superwoman Award 2022, jenama itu cemerlang di pengiktirafan lain.
Antaranya The Best Brandlaureate, Top 500 Trusty Brand Award (Majlis Tindakan Pengguna), AWEN AWARD (Asean Women Enterpreneur Network), IKSNITA Award (Women Young Enterpreneur), Bumiputera Business Excellence Award (BBEA) serta The 100 Top Young CEO.
Hanim pernah menyertai pameran Sweet & Snacks Expo, Indianapolis, Amerika Syarikat bulan lalu
Produk ini diakui mempunyai piawaian antarabangsa, selain dikeluarkan di kilang yang ada tanda Halal dan mendapat pengiktirafan IS02200.
Di sebalik semua ini, rata-rata ramai tumpang bangga kerana produk tempatan mendapat perhatian antarabangsa. Sekalipun mendapat kritikan dan ulasan tak manis, pendedahan itu cukup berharga.
”Saya bukan ‘genius’, perlu bekerja keras.” Pelajar Malaysia CGPA 4.0 raih tempat pertama di Virginia Tech. Menurut pelajar cemerlang ini dirinya bukan seorang ‘genius’ secara semula jadi.
“Saya tidak ponteng kelas, mengambil nota dengan tekun. Yang lebih penting saya mengambil inisiatif untuk berhubung dengan profesor dan rakan sekelas saya, yang benar-benar meningkatkan pemahaman saya tentang subjek itu,” katanya.
Benarlah, mencapai keputusan yang cemerlang dalam pelajaran adalah pencapaian yang diidam-idamkan oleh semua yang bergelar pelajar.
Lebih membanggakan lagi apabila pencapaian cemerlang diukir di luar negara, ia membuktikan pelajar Malaysia juga setanding di peringkat antarabangsa.
Perlu Bekerja Keras
Baru-baru ini pelajar Malaysia, Irdina Shahriman, 24, melakar kejayaan hebat apabila muncul berada di tempat pertama dalam kalangan hampir 10,000 pelajar di Virginia Tech (VT), Amerika Syarikat.
Berikut 10 info menarik kejayaan membanggakan yang diraih anak muda ini:
Pelajar Malaysia CGPA 4.0
1. Irdina adalah pelajar Program Pertukaran Sarjana Muda Amerika (ADTP) Yayasan Tenaga Nasional meraih Kelas Pertama (CGPA 4.0) Sarjana Muda Kejuruteraan Kuasa Elektrik Pengkhususan Tenaga dan Sistem Kuasa Elektronik.
2. Anak muda dari Subang jaya, Selangor itu dianugerahkan pingat Phi Kappa Phi untuk Kolej Kejuruteraan iaitu anugerah yang diberikan kepada graduan senior dengan pencapaian akademik tertinggi.
3. VT ialah universiti penyelidikan yang menduduki tempat ke-75 di AS dan antara 100 teratas dalam lapan mata pelajaran.
Raih Tempat Pertama Di Virginia Tech
5. Dia malah meraih ranking pertama di VT, kolej dan bidang pengkususan bagi tahun akademik 2019-2020 dan 2018-2019.
6. Irdina bukan sahaja cemerlang akademik, malah turut aktif dalam aktiviti luar. Dirinya pernah memegang jawatan Naib Presiden Persatuan Pelajar Malaysia, Virginia Tech.
7. Semasa di INTEC, Irdina pernah menggondol Anugerah Ketua Eksekutif (2017 & 2018).
8. Dia turut dinamakan sebagai penerima Anugerah CEO untuk pencapaian akademik cemerlang dengan PNGK 4.0 ketika menamatkan Program Ijazah Yayasan Amerika (39 jam kredit) dan menjadi penerima Anugerah CEO dengan pencapaian PNGK 3.90 bagi Program Ijazah Pemindahan Amerika (40 jam kredit).
9. Selain bahasa Melayu dan Inggeris, dia turut mempunyai kemahiran asas dalam bahasa Jepun dan Cina.
10. Difahamkan, setelah pulang ke Malaysia, Irdina kini sedang menunggu penempatan di Tenaga Nasional Berhad.
Mingguan Wanita : Ternyata untuk berjaya bukanlah sesuatu yang mudah. Namun kisah Irdina ini cukup memberi inspirasi serta membuktikan bahawa usaha yang keras membuktikan seorang wanita mampu berjaya di mata dunia.