Ngeri! Tapi itulah pengalaman ibu muda, Puan Erna Zuriena apabila anaknya masukkan mainan kecil ke dalam lubang hidungnya tanpa diduga. Mungkin ada mak-mak yang rasa pelik macam mana boleh berlaku situasi seperti ini tetapi beringatlah, jangan sesekali marah anak dan kalut sebab si kecil itu masih tak kenal erti bahaya.
Untuk mengelakkan kejadian ini berulang pada anak, mak-mak boleh berjaga-jaga kalau biasa belikan anak mainan kecil dan ikuti perkongsian penuh ibu ini.
Anak Masukkan Mainan Dalam Hidung
Since ramai yang tanya ibu kenapa aariz warded kelmarin so ibu nak buat kronologi pasal apa yg terjadi. Ibu bapa jadikan ni satu iktibar untuk kita semua lebih alert apa yang anak cakap dan apa yang anak kita pegang. MALANG TAK BERBAU tau.
Hari selasa pukul 3 petang , ibu sakit kepala sangat. Jadi lepas makan ibu pun rest atas katil sambil cium minyak angin, aariz macam biasa main dengan kakak. Tiba-tiba dia datang dan cakap ‘dalam hidung adik ada mainan’ sambil senyum-senyum kambing. Ibu macam blur dan tengok biasa dalam hidung, tapi tak nampak, so ibu just buat tak tahu. Tapi hati mula tak sedap, ibu panggil aariz dan baring atas katil. Ibu bukak flashlight hp dan suluh. Terus, allahuakhbar !! gigil lutut terasa tak pijak lantai kaki, terus call ayah tapi terberjawab. Nak drive sendiri rasa tak terpijak pedal minyak sebab habis menggigil, mintak tolong kak Rohana Mat Ramli hantar pergi klinik, sampai KK sendayan cerita kat nurse dan nurse mintak jangan panik, just pergi emergency HTJ. So balik dulu mandi-mandi sementara tunggu ayah aariz balik kerja, so lepas ayah aariz balik terus pergi emergency.
Sampai emergency, ambik no. pukul 5 daftar, pukul 7 baru number naik. Jadi cerita dengan doc, doc mintak MA cuba ‘keluarkan’ tapi MA tu dah tertolak benda tu ke dalam dan terus xtray. Tapi tak nampak, so dorang mintak refer kt Pakar ENT. So pergi tingkat 4, doc pakar ENT sampai.
Ads
Tak Mudah Nak Keluarkan Benda Asing
Doktor suluh memang benda tu tak nampak dari luar, dengan aariz langsung tak bagi kerjasama, meronta-ronta. Ayah sampai surender pegang dia terlalu kuat meronta sebab dia meronta-ronta hidung sampai berdarah. Pakar still tak nampak dari luar, so dorang masuk camera kecik untuk makesure benda tu ada atau tidak dan YES! benda tu ada tapi terlalu dalam. So warded untuk keluarkan benda tu esok hari, doktor minta warded sebab doktor nak pantau takut benda tu masuk kesaluran pernafasan, so doc cakap esok kena masuk dewan bedah dan kena bius sepenuhnya sebab aariz tak bagi kerjasama, start pukul 2 pagi aariz dah mula puasa.
Pagi tu tunggu punya tunggu sampai pukul 12 tak dapat masuk dewan bedah lagi sebab doc ada kes emergency, masa tu kesian kat aariz sebab dia dah lapar sangat, dia mintak susu mintak biskut. Sedih sangat kesian, tunggu punya tunggu pukul 2 petang nurse suruh tukar baju untuk ke dewan bedah. Nerves, sungguh!
Ads
Sepanjang Bilik Bedah
Sampai dewan bedah, ibu masuk dalam untuk teman aariz sampai dia betul tidur, macam-macam rasa dan perasaan. Doktor nyanyi lagu didi and friends untuk tenangkan aariz, masa prepare tu macam-macam wayar kat aariz, aariz meronta-ronta nangis. Panggil ibuuu ayah adik nak balik doktor masuk ubat bius, tengah dia meronta tetiba sunyi dan dia tidur. Allahuu… sedih sangat. Nurse mintak ibu keluar, nurse suruh cium aariz. Masa tu tak kuat rasa, berjurai-jurai air mata keluar dewan bedah.
Ibu ayah tunggu kat luar sementara mata tak lepas tengok lcd yang terang-terang nama aariz pembedahan sedang dijalankan, menunggu semuanya selesai. Sementara tu, ibu balik ward mandi semua tetiba ayah aariz mesej bagitau aariz dah keluar tepat jam 4 petang. Ibu pun cepat-cepat dapat kan aariz. Ibu tanya benda apa yang keluar? Dan nurse pun tunjuk, allahuu mengucap ibu tengok. Macam mana boleh masuk lubang hidung benda besar tu.
Ads
Balik ward, terus bagi dia minum susu dan makan, bersungguh aariz makan. Kesian sangat. So lepas tu aariz kena stay 1 malam lagi sebab dia kena bius penuh tadi. Bagi dia betul-betul stabil dulu dan tengahari khamis aariz discharge.
Terima Kasih Buat Semua
Thanks kawan-kawan yang tak benti ws saya tanya keadaan aariz, saya tak dapat nak jawab sesatu mana yang sempat je. Thanks jugak yang doakn aariz . So lepas ni kena lebih alert apa yang anak-anak cakap atau kena lebih alert pasal mainan apa yang kita beli untuk anak. Macam saya cakap, malang tak berbau. Budak kecik tu dia sentiasa ada perasaan ingin mencuba. Alhamdulilah semua selesai dengan mudah.
Terima kasih juga pada doc pakar ENT, nurse bahagian ENT, nurse ward 8D atas layanan yang baik.
Harap apa yang terjadi kat anak saya boleh dijadikn iktibar para ibu supaya alert apa yang anak cakap, bila yang kita buat tak tahu tu la benda akan jadi parah akan ada jangkitan. So please alert ya, mainan kecik-kecil sila buang. Budak-budak sifat selalu ingin mencuba.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kalau mak ayah masih ingat tahun lalu telatah Teacher Mok Cun ini begitu mencuit hati netizen. Dalam kelas tabika Teacher Mok Cun ajar anak-anak muridnya membaca. Dengan gaya watak Mok Cun yang dipopularkan oleh sutradara & pelakon, Erma Fatima itu. Bezanya Mok Cun yang mengajar ini adalah guru tabika KEMAS yang mengajar murid-muridnya dengan pemakaian malah loghat Kedah seakan Mok Cun.
Kata Teacher Mok Cun atau nama sebenarnya, Masturah A. Latib, 34 watak yang dipilih itu bersebab. “Watak Mok Cun ini dah dikenali tak kira usia.”
“Tujuannya pun nak dapatkan perhatian anak-anak didik saya. Saya mahu buktikan guru tabika yang tak fasih berbahasa Inggeris seperti saya juga mampu mengajar anak didik membaca bahasa Inggeris. Walaupun pdpc yang berjalan tidak menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya.”
“Watak Mok Cun dan loghat Kedah yang digunakan mampu menutup kelemahan saya di situ. Mungkin sesetengah pihak tak sependapat tentang loghat bahasa yang digunakan, Dan kenapa ajar BI tapi cakap Melayu?
“Pada saya, itu hanyalah satu pendekatan dan usaha nak memastikan objektif pdpc pada sesi itu tercapai. Tak guna juga kalau cakap oghang putih berhabuk tapi anak murid blur. Satu habuk pun tak faham. Objektif tak tercapai, Pdpc pun tak bermakna.”
Selepas 8 tahun berkhidmat sebagai Pemaju Masyarakat Tabika KEMAS (Guru KEMAS), kini Mastura mempunyai pusat membaca phonicsmart mahicphonics di Johor Bahru.
Akuinya kaedah fonik gabung bunyi (syntetic phonics) digunakan untuk mengajar anak-anak tabika membaca bukan saja bahasa Inggeris malah bahasa Melayu.
“Kaedah fonik gabung bunyi menekankan konsep belajar berdasarkan bunyi dalam bahasa pertuturan dan membaca dengan cara menggabung-gabung bunyi untuk membaca. Ia sangat mudah, cepat logik dan mengikut fitrah.
“Kaedah ini semakin dibuktikan dengan hasil kajian secara saintifik yang membuktikan otak membaca dengan cara menggabung bunyi. Pendekatan mengajar dengan kaedah ini digunakan sejak 1996 iaitu siri cepat membaca Bacalah Anakku yang sistematik dan guru yang dedikasi adalah ramuan yang paling baik mencapai objektif sifar buta huruf di Malaysia.”
Kalau mak ayah nak tahu Teacher Mok Cun ini mendapat pendidikan tertinggi di Institut Pendidikan Guru Sultan Mizan, Besut Terengganu. Dan mempunyai Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak.
Hasil penggunaan kaedah fonik semenjak 1996 sehinga sekarang, keberkesanan fonik semakin ketara. Kaedah ini telah banyak membantu kanak-kanak membaca seawal usia 3-4 tahun membaca dalam masa 3 hingga 4 bulan, membantu kanak-kanak prasekolah berusia 5-6 tahun membaca dalam masa 3 bulan, dan kanak-kanak pemulihan membaca dalam masa 2 bulan sahaja.
Beberapa faktor berikut adalah kunci kepada kejayaan mengajar membaca.
1. Kaedah yang betul dan sesuai dengan kanak-kanak dan menepati fitrah – fonik gabung-bunyi
2. Teknik mengajar yang betul untuk menguasai bunyi dan mengenalpasti huruf – teknik Bacalah Anakku
3. Teks bacaan yang sistematik, terancang dan berperingkat untuk melancarkan bacaan – Bacalah Anakku
4. Suasana belajar sambil bermain – secara kreatif untuk membina kemahiran dan fokus
5. Guru-guru yang terlatih, dedikasi dan penyayang bagi membina keyakinan diri
“Tak semua orang boleh menerima kaedah fonik pada permulaannya walaupun kaedah fonik ini telah lama bertapak dalam dunia pendidikan, lebih 20 tahun.
“Masih ramai yang tegar dengan ABC, dan menyebabkan kaedah fonik (bunyi) ini tidak dapat di terima pada permulaannya. Namun alhamdulillah, teacher mendapat sokongan daripada ibu bapa 100% pada ketika itu.
“Mereka bersama-sama dengan teacher untuk memastikan kaedah ini berjaya menjadikan anak-anak mereka mampu membaca dengan baik, malah berjaya menjadi ‘independent reader’ .
“Semenjak itu, fonik mula di terima dan dengan kehadiran Mok Cun dan Uncle Muthu, fonik mula di terima dan mereka mula yakin dengan keberkesanan kaedah fonik itu sendiri. Mok Cun dan Uncle Muthu hanya menyambung perjuangan penulis dan pengasas kaedah fonik dan buku Bacalah Anakku serta read easy yang telah berjuang lebih 20 tahun.”
“Alhamdulillah, kini fonik gabung bunyi bukan sahaja membuka mata guru, malah ibu bapa juga. Kaedah ini menjadi pilihan utama guru-guru tadika dan ibu bapa untuk mengajar anak-anak mereka membaca.”
Mak-mak mula berleter ni biasanya sebab dah tak tahan anak ulang kesilapan yang sama. Tetapi yang menyakitkan hati, leteren itu seolah-olah tak ada kesan. Umpama masuk telinga kanan keluar telingan kiri. Agaknya apa yang silap dalam situasi ini sebenarnya?
Haaa… jawapannya ada dalam kupasan Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK), Noor Afidah Abu Bakar kali ini. Jom semak…
SOALAN:
“Puan, orang cakap kalau kita mahu sesuatu itu melekat di hati dan ingatan anak, kita perlu ulang banyak kali, barulah anak ingat, barulah anak buat. Saya dah letih berleter, kadang-kadang sampai naik angin hilang sabar tetapi anak tidak buat juga. Tidak disuruh, tidak dibuat.”
*Ada yang berleter kerana kita juga dileteri suatu masa dahulu. Itu sudah menjadi budaya dan amalan keibubapaan dalam keluarga.
*Ada yang berleter sebab tidak tahu cara lain untuk menyampaikan apa yang terbuku di hati.
*Ada yang berleter untuk memberi arahan kepada anak yang tidak mahu patuh.
*Ada yang ingin menunjukkan kuasa dan otoriti walaupun berleter itu seringkalinya masuk telinga kanan keluar telinga kiri.
*Ada yang berleter sebab rasa panik, kaget dan bersalah dengan diri sendiri. Untuk menutup kegusaran itu maka leteran digunakan.
*Ada yang takut anak mengulangi kesilapan yang pernah kita dilakukan maka cara yang terbaik adalah berleter untuk menutup rasa tidak selamat yang dirasakan.
Kebanyakannya berleter kerana itu adalah cara yang paling cepat dan mudah untuk ‘memaksa’ anak menurut kata tanpa perlu banyak usaha dan perancangan.
Adakah leteran berkesan untuk jangkamasa panjang?
Seperti dalam soalan di atas, selalunya tidak. Ia hanya berkesan ketika saat itu saja.
Perangai yang sama akan diulangi. Anak akan menunggu leteran sekali lagi. Selagi tidak dileteri, selagi itulah perbuatan yang sama diulang.
Perbuatan diulang, berleter lagi. Berleter lagi, perbuatan diulang.
Ia menjadi satu kitaran yang tidak sudah, tidak efektif dan tidak produktif.
Leteran akhirnya menjadi irama dan lagu yang hanya membuai dan mendodoikan tanpa kesan pada anak.
Leteran adalah proses mencari silap bukannya proses memperbetulkan kesilapan.
Ia hanya memfokuskan pada apa yang buruk dan apa yang salah pada anak sahaja. Pernahkah dalam leteran itu kita selitkan perkara yang positif yang dilakukan anak?
Tidak bukan? Ataupun jarang-jarang sekali.
Selalunya kita hanya semburkan apa yang negatif sahaja seolah-olah tiada langsung yang baik pada anak. Selalunya kita guna istilah yang ekstrim.
“Kamu tidak pernah….” “Selalu macam ni…” ”Dah berapa kali dah…”
Semua yang ekstrim negatif sahaja dan langsung tidak ada yang positif.
Anak akan berhenti mencuba untuk berubah dan menjadi baik kerana usaha kecil mereka tidak ada nilainya di mata ibubapa di kala berleter.
Kaedah yang lebih efektif untuk membentuk tingkah laku yang baik adalah bukannya mencari silap tetapi mencari kebaikan. Semakin banyak kebaikan yang kita cari, semakin banyaklah kebaikan yang akan kita lihat dalam diri anak.
Ini adalah kitaran positif yang efektif.
Dalam leteran itu juga kita berkemungkinan membuat andaian yang tidak betul dan tuduhan yang melulu tanpa memeriksa terlebih dahulu apa sebenarnya yang menyebabkan sesuatu tingkah laku itu. Ini juga amat mengecewakan anak yang dileteri.
Mungkin harapan kita terlalu tinggi dan anak tidak dapat mencapainya dengan mudah.
Mungkin persekitaran tidak kondusif untuk fizikal anak melakukan apa yang diharapkan.
Mungkin anak tidak faham arahan yang disampaikan kerana cara komunikasi kita tidak kena dengan anak.
Jika inilah sebabnya, maka tidak hairanlah leteran kita masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Tuduhan dan andaian tidak akan terkesan di hati. Ia hanya menyakitkan hati.
Jika kita inginkan kerjasama yang berpanjangan, kita perlukan perancangan. Tidak ada penyelesaian segera dalam proses keibubapaan. Semuanya memerlukan usaha, pertimbangan yang teliti dan kesabaran yang tinggi.
Buat perancangan dengan anak. Jemput anak untuk sama-sama menyelesaikan masalah secara diplomasi. Anak-anak harus diajar kesan dan akibat perbuatan mereka ke atas dirinya, keluarga dan orang sekeliling. Tidak perlu tunggu sehingga anak remaja untuk membincangkannya. Anak kecil juga faham jika kita menggunakan bahasa yang mudah mereka fahami.
Adakan peraturan dalam rumah. Sentiasa berbincang tentang peraturan yang ada. Jika anak tidak ikut peraturan ada kesan dan akibatnya. Ini juga harus dibincangkan dari awal bersama-sama dengan anak bukannya dibuat secara rawak apabila anak melakukan kesilapan.
Kita harus berusaha menjadi ibubapa proaktif yang bersedia sebaik mungkin dengan segala kemungkinan dan bukannya menjadi reaktif dengan leteran dan hukuman yang tidak efektif untuk mendidik.
Pastikan sistem pendidikan di rumah adalah yang terbaik untuk anak menjadi seorang manusia.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tiada wanita yang inginkan penceraian berlaku dalam rumahtangga yang dibina. Namun tatkala, rasa cinta semakin hambar, maruah diri dan kehormatan bagai dipijak-pijak serta hilang segala kepercayaan buat insan yang bergelar suami, inilah nokhtah keputusan yang dirasakan paling bahagia.
Semoga perkongsian kisah benar pengalaman hidup oleh seorang wanita bernama Anisah, yang baru sahaja bergelar janda selepas diceraikan suami dengan talak 3 akibat campur tangan keluarga mertua dan kecurangan suami didalam rumahtangga, dapat dijadikan pengajaran buat wanita lain.
Assalamualaikum Admin. Terima kasih siarkan cerita ni.
Akhirnya hari ini, Jumaat, 13 April 2018, selepas 7 tahun berkahwin, saya diceraikan dengan talak tiga dan ini lah hari paling bahagia buat saya. 7 tahun bukan tempoh masa yg sekejap, tapi sebenarnya tak cukup untuk perempuan selemah saya.
Sebelum kahwin, suami dan keluarga mertua sangat baik. Ketika bertunang, saya mula nampak sikit-sikit sikap keluarga suami yang tak menyenangkan tapi saya ambil positif, saya anggap tak ada pun manusia sempurna, jadi bersabarlah. Semakin dekat tarikh kahwin, semakin ketara sikap mengawal anak yang ditunjukkan oleh mertua saya tapi saya masih positif, ibu bapa mana tak sayang anak, jadi bersabarlah.
Ujian demi ujian, saya senyum dan beritahu diri sndiri, bersabarlah. Seminggu selepas mendirikan rumah tangga, keluarga mertua sudah rancang nak buat hari keluarga. Saya okay saja, namun tak sangka pada hari nak berlangsung, ayah saya dimasukkan ke wad. Saya minta suami hantar, tapi mertua saya cakap kakak2 awak kan ada. Awak duduk sini sambut hari keluarga, biar mereka yg lain pergi hospital. Suami setuju dgn ibu bapanya. Saya mengalah, malam itu ayah saya meninggal dunia. Yup, saya bodoh.
Tahun kedua perkahwinan, alhamdulillah kami dikurniakan bayi lelaki. Puasa hari ke 28, kami bersiap nak balik ke kampung suami ( setiap tahun raya pertama wajib di rumah ibu bapanya ), ibu saya diserang strok. Saya tak mahu ulang kebodohan lalu, dan saya bertegas untuk hantar ibu ke klinik dan menjaganya, suami masih dengan alasan adik beradik awak yang lain boleh jaga. Saya berkeras, dan itulah kali pertama tangannya naik ke muka saya. Akhirnya saya mengalah kerana takut. Sebulan lebih selepas itu ibu saya pula meninggal dunia dan adik beradik memulaukan saya atas tindakan saya yang mengikut suami dan keluarganya sepanjang masa. Masih saya diam. Yup, saya bodoh.
Pada Januari 2014, usia anak kami 2 tahun, adik suami saya berkahwin dengan wanita pilihannya, lulusan ijazah kejuruteraan, bermulalah episod telinga saya berdarah dengan segala macam cemuhan, sindiran dan perbandingan. Menantu baru diangkat setinggi tingginya. Saya yang lulusan STPM hanya tersenyum sambil mendukung anak, tiap kali dibandingkan dari segi akademik. Saya masih sabar dan menganggap mereka masih keluarga suami yg mesti dihormati. Yup, saya bodoh.
2015, saya memohon melanjutkan ijazah di UiTM Shah Alam, secara jarak jauh. Kelas hanya pada hari minggu. Alhamdulillah, permohonan berjaya. Suami agak keberatan dan meminta saya bertanya pada ibunya. (Dalam hati terdetik, apa kena mengena ibunya dengsn saya nak melanjutkan pelajaran?) dan bila suami lihat saya seperti berat mengikut katanya, dia sendiri hubungi ibunya, membuat loud speaker dan meminta pendapat.
Jelas dan terang ayat ibunya, ”Hai, nak bersaing tahap akademik dengan biras ke?” Saya tetap berkeras. Walau saya takut-takut ditampar lagi, dikongkong lagi, saya juga takut sekiranya diceraikan (ibu bapa saya dah tak ada, adik beradik pula dah benci), saya sebatang kara. Kawan kawan juga dah renggang selepas saya berkahwin. Akhirnya suami beri kata putus, “Kalau awak nak sangat, yuran bayar sendiri.” saya akur.
Bermulalah kehidupan saya sebagai pelajar, pekerja, isteri, ibu, dan menantu. Walaupun anak saya baru berusia 3 tahun lebih waktu itu, dia seperti mengerti kesibukan saya. Amar anak yang baik dan tak buat perangai sangat. Pada waktu saya rasa satu dunia menentang saya, saya lihat wajah Amar dan saya tenang. Saya masih ada Amar, satu satunya manusia di dunia yang masih sayangkan saya dan hormat saya. Berulang alik ke Shah Alam menaiki bas, terpaksa bayar lebih kepada pengasuh kerana hantar Amar bukan pada hari bekerja, yuran belajar, tiket pergi balik, semuanya duit saya. Saya gagahkan diri. Saya kuatkan diri bukan untuk masa depan saya, tapi masa depan Amar.
Tahun 2016, terdengar ura-ura suami saya nak kahwin lagi satu. Saya tersentak, tapi saya pegang pada prinsip, selagi bukan dari mulutnya, maka saya akan abaikan. Sampai lah satu malam selepas tidurkan Amar, saya sedang menyiapkan assignment, dan suami cakap nak berbincang. Saya dapat rasa jantung saya berdegup sangat laju, tangan saya yang pegang pen terasa berpeluh dan menggeletar. Dan ya, dia beritahu sedang berkawan dengan perempuan lain. Saya tanya, sejak bila. Dia beritahu sudah 1 tahun.
Patutlah, dia tak kisah sangat saya ke Shah Alam, rupanya dia pun boleh dating dengan perempuan itu kerana Amar di rumah pengasuh. Tapi dia menyambung ayat “Awak jangan risau, saya belum nak kahwin dengan dia. Kami hanya berkawan. Kalau nak kahwin pun saya tak perlu minta izin awak. Tapi saya ni lelaki yang berani, jadi saya jujurlah dengan awak” Mendengar ayat ini, saya senyum dan tanya, “habis bila abang nak kawin dengan dia?” Dia jawab, “tahun depan?” Saya angguk. Saya kemaskan buku dan laptop, dan masuk tidur.
Pada jam 4 pagi, saya terjaga. Suami nyenyak tidur. Saya bangun dan solat sunat. Saya ke bilik sebelah dan tengok Amar. Saya peluk Amar dan menangis sepuas puasnya sehingga Amar terjaga tapi masih mamai. Satu ayat keluar dari mulut Amar yg mengubah hidup saya. Amar, anak yang baru berusia 4 tahun itu, dalam keadaan mamai, berkata pada saya: “Mak, Amar tak suka Babah.” Dan dia sambung tidur.
Selepas itu saya renung wajah Amar. Entah apa jadi pada saya malam itu, saya rasa saya bukan lagi perempuan yg sama. Saya rasa satu perubahan di hati saya. Di bilik Amar, sehingga ke subuh saya menimbang tara, menyusun hidup, dan membuat pilihan. Akhirnya saya nekad dengan satu keputusan terbesar dalam hidup.
Esoknya saya ke tempat kerja, saya tanya pada rakan sepejabat, ada tak apa-apa kerja part time yang boleh saya buat di rumah. Dia kata boleh kalau tolong isikan borang poslaju (dia berniaga online) dan saya bersetuju. Memang bayaran sikit, tapi dalam sebulan, lepas untuk keperluan susu Amar (update: suami tak pernah hulur nafkah keperluan saya dan Amar kerana dia tahu saya bekerja , melainkan bil-bil rumah, barang nak masak dan sewa rumah, kerana ibunya kata adik adiknya ada yang bersekolah, jadi dia yang sulung mesti bantu.)
Saya mula pergi kelas tiap-tiap minggu, sebelum itu saya pergi selang dua minggu, saya ambil subjek sehingga maximum credit hours, saya crampkan jadual saya sehabis habisnya, kerana saya nak cepat habis belajar. Saya buat kerja part time itu ini. Saya menyimpan di tabung haji. Sampai lah badan saya yang agak gempal beransur kurus. Suami masih mabuk bercinta, tapi tak apa. Misi terulung saya harus dilaksanakan.
Dengan duit simpanan, saya keluarkan RM3800, saya beli kereta kancil 2nd hand. Suami tanya kereta siapa, saya jawab sayalah. Dia tanya kenapa beli, saya cakap mudah ke kelas, abang tak nak hantarkan saya, saya pun letih naik bas, saya belilah. Dia mungkin rasa tercabar (sebab saya tak pernah buat keputusan sendri tanpa tanya dia) lalu menendang sikit tayar kereta saya sambil berkata “kancil je pun.. besi buruk atas highway”. Tak apa, saya senyum. Fokus pada misi…misi..misi…
Di tempat kerja, saya tanya ada tak yang nak sewakan bilik. Alhamdulillah, ada sorang staff baru, dia nak sewakan bilik tapi dia pelik, untuk siapa sebab saya dah berkahwin. Jadi saya jawab, kalau saya dan anak saya, cuma untuk sementara, boleh? Dia okay.
Setiap malam, saya mengira bajet. Saya mencongak, menyusun masa depan. Badan semakin susut. Baju baju zaman bujang semua boleh pakai balik.
Akhirnya, November 2017, Amar berusia 5 tahun, saya dikejutkan berita suami ditangkap khalwat. Saya masih senyum, keluarga suami sangat mempercayai bahawa dia dianiaya. Dan mereka menerima perempuan itu jika mahu berkahwin kerana perempuan itu seorang eksekutif yang bergaji besar. Ibu mertua siap berkata “Kena redha lah dimadukan. Orang suruh jaga suami, pulun nak sambung belajar.” Saya senyum. Fikirkan misi…misi…misi….
Disember 2017 mereka dikahwinkan. Saya waktu itu sibuk dengan persediaan final exam UiTM yang akan berlangsung Januari 2018. Selepas berkahwin baru, suami memang makin tak ambil tahu hal saya dan Amar. Tak apa, bila dia tak ada dirumah, saya senang menguruskan kerja part time dan Amar. Selesai peperiksaan akhir, suami ajak saya tinggal bersama dengan madu dirumah madu. Kerana dia dah tak mampu bayar sewa rumah yang diduduki saya waktu itu.
Saya menolak dengan baik dan dia kata ” kau pandai-pandai cari rumah lain, aku takkan bayar sewa rumah ni dah. Duit depo pun aku akan dapat bulan depan. barang-barang perabot aku nak pindahkan kat umah madu kau esok”. Saya hanya menjawab, “OK.”
Malam itu, saya kemas baju-baju dan barang keperluan yang penting untuk saya dan Amar. Dia tanya nak kemana hoi? Saya jawab, ke rumah sewa baru. Dia dengan mata terbeliak, berkata “kau keluar dari rumah ni malam ni, jatuh talak tiga” Saya dengan senyuman yang sangat bangga, mengambil barang-barang, Amar, dan kunci kereta. Saya terus ke rumah yang saya nak sewa bilik dengan rakan sekerja tu.
Selepas itu bertalu-talu whatsapp masuk handphone saya;
“Hoi, mana rak dalam bilik?” “Perempuan setan, kau ambil iron dan iron board?” “Betina, kenapa barang rumah banyak yang tak ada?”
Saya jawab dengan balasan ringkas, “Saya ambil semua yang saya beli dengan duit sendiri, jumpa di mahkamah.”
Sebenarnya sepanjang dia mabuk bercinta, saya persiapkan diri untuk berdikari. Saya beranikan diri memandu jauh. Saya tawakkal beli kereta 2nd hand( alhamdulillah kancil tu terbaik hahahahaha), dan lepas dia kahwin baru dan jarang balik tu, saya pindahkan sikit-sikit perabot dengan bantuan rakan pejabat.
Hari ini, selesailah urusan mahkamah selepas dua bulan lebih talak tiga dijatuhkan di rumah itu. Saya akhirnya seorang janda tapi saya janda yang sangat bahagia. Saya dah bersedia menjadi janda, physically and mentally. Financially too.
Sekarang saya nak tumpu pada Amar, dan nak cari balik adik beradik dan kawan-kawan dulu yang saya tinggalkan untuk minta maaf atas kebodohan saya. doakan saya ya.
-Anisah
Buat wanita ini, sesungguhnya anda memang seorang wanita yang kuat, cekal dan tabah! Bukan mudah untuk bangkit, membina benteng kekuatan diri untuk persiapan masa depan. Namun anda berjaya membuktikannya dan tidak mengharap simpati daripada bekas suami.
Buat wanita lain, yang mungkin senasib dan sama perjalanan seperti wanita ini, Jadikan kisah ini sebagai satu pengajaran. Berani lah untuk ‘melangkah’ lebih jauh. Sentiasalah bersedia, persiapkan diri dengan ilmu, kewangan, kerjaya dan paling penting mampu berdikari walaupun tanpa insan yang bernama suami.