Bila sudah ada anak, suami kenalah faham komitmen isteri bukan untuk dia seorang saja tetapi untuk anak-anak juga. Sudah pasti layanan untuk suami akan terkurang sikit berbanding masa berdua dahulu.
Sebaiknya sebagai suami anda perlu lebih memahami keadaan isteri, bantu apa yang patut. Ini tidak salah isteri tak sama macam dulu dan asyik utamakan anak. Bayangkan seorang anak pun, tugas isteri sudah bertamabah inikan pula empat, lima orang anak.
Tapi sekiranya dia membiarkan isteri keseorangan dalam menguruskan pertambahan ahli dalam keluarganya, maka dia tak akan faham…
Dia hendak makanan ada on time, dia nak rumah sentiasa kemas dan teratur, dia mahu semua kerja-kerja rumah selesai sebelum dia balik…
Jika tidak, akan keluar ayat…
“Awak duduk rumah goyang kaki…?”
Ya, goyang kaki sebab anak-anak pergi sekolah, jiran yang hantar… Anak-anak makan tengahari, ketua kampung yang masak… Pakaian yang penuh sebakul, siak masjid yang jemur dan lipatkan… Rumah yang bersepah, adik-beradik yang datang kemaskan…
Rumah tangga yang baik ialah bila kita faham apa yang dilalui pasangan kita dan kita boleh bersama-sama dengannya untuk melaluinya…
MW: Bila saling membantu dan bekerjasama dalam menguruskan rumah tangga barulah suami lebih memahami apa yang dilalui isteri setiap hari, Isteri juga manusia biasa yang tahu erti penat, namun kadang-kadang dia ketepikan perasaan itu untuk keluarga. Jadi wahai suami janganlah khianati pengorbanan seorang isteri.
Bukan dalam drama Jangan Benci Cintaku saja kes suami curang boleh berlaku tetapi dalam dunia realiti pun sama naik! Lagi teruk sampai ada yang sampai terlanjur, baik dengan isteri orang atau wanita bujang.
Para isteri yang terlibat, ada yang cuba mencari ketenangan dengan membaca pelbagai buku, blog dan laman web untuk merawat hati yang dah hancur luluh, agar mampu bangun dan menghirup udara Allah ini dengan kekuatan baru dan tidak terusan kecundang dalam penderitaan.
Dalam masa yang sama, pelbagai persoalan timbul dalam benak fikiran masing-masing, apakah mahu diteruskan perkahwinan ini? Jika tidak, bagaimana dengan nasib anak-anak?
Sebenarnya jodoh dan pertemuan adalah di tangan Allah SWT. Sekiranya jodoh kita telah tiada, maka jalan ke arah itu amat mudah dan dilorongkannya tanpa banyak onar. Namun jika jodoh masih panjang, maka usaha kita mahu memutuskannya akan dipenuhi dengan pelbagai masalah dan rintangan.
Ada isteri yang berfikir dan mengambil kira nasib anak-anak lalu berniat untuk meneruskan perkahwinan dan mahu menerima kembali suami mereka walau mengetahui kecurangan suami. Namun yang menjadi halangan untuk hidup kembali seperti dahulu adalah emosi yang tercalar dan hati yang dah terluka. Bagaimana mahu merawatnya?
Setiap sesuatu yang berlaku dalam kehidupan kita, Allah SWT telah menjadikan atas sesuatu asbab dan punya hikmah yang tertentu. Tidak ada suatu pun yang dijadikan-Nya dan yang ditakdirkanNya berlaku itu dengan sia-sia dan tanpa perancangan.
Kita merancang, Allah juga merancang dan perancangan Allahlah yang hebat dan yang pasti berlaku. Kita merancang untuk hidup bahagia, daripada mula bercinta sehingga ke akhir hayat. Namun Allah merancang untuk menjadikan perkahwinan kita sebagai medan ujian untuk melihat sejauh manakah kita mengaku menjadi hamba-Nya.. Namun dosa dan kebaikan yang kita lakukan adalah dengan pilihan kita sendiri dan akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti. Allah mengizinkan dan Dia yang Maha Mengetahui.
Untukmu isteri…
Paling utama untuk semua isteri bagi merawat hati yang terluka di atas tindak tanduk suami adalah memikirkan dahulu dosa sendiri. Jangan fikir dosa suami dan dosa orang lain. Nampakkan ‘peranan’ kita dalam ‘mendorong ‘suami yang berdosa untuk muhasabah diri kita, kenapa Allah SWT uji kita begitu.
Tiada guna kita asyik fikir kenapa suami sampai hati melakukan dosa, tidak takut kah dengan Allah, tidak ingat kah pada anak-anak. tidak sayang kah pada kita dan pelbagai.-bagai lagi. Ini kerana ia bukan penyelesai masalah. Malah makin mengeruhkan suasana dan membuatkan kita semakin menderita sedangkan kita tidak mampu berbuat apa-apa.
Muhasabah diri kita, apa yang tidak beres dalam hubungan dengan suami. Apa yang dia benci tapi kita tetap buat walau telah ditegur atau ada suami yang pendiam tidak bersuara walau tidak berkenan dengan perangai isteri.
Adakah kerana mulut yang kuat berleter dan menjawab?
Adakah kerana muka yang mudah masam dan memuncung?
Adakah kerana lidah yang lincah mengeluarkan kata-kata yang pedih, penuh sinis dan sindiran?
Anggaplah itu kerana kafarah dosa kita sendiri atau sebagai ujian dari Allah untuk menaikkan martabat kita.
Apa Yang Perlu Buat
Untuk merawat hati yang terluka, kita perlu fokus pada diri kita, dosa kita dan hubungan kita sendiri dengan Allah SWT Tidak boleh sekali-kali kita merasionalkan hati kita bahawa kita perlu fikir tentang dosa dan tindak tanduk suami. Tidak akan terubat hati kita kerana fikirkan dosa suami, hanya akan menarik bisikan syaitan, hawa dan nafsu yang tidak pernah menjanjikan penyelesaian sebaliknya kemusnahan yang besar.
Nampaklah Allah SWT dalam segala hal. Anggaplah ini sebagai kasih sayang Allah SWT agar kita tidak terusan lalai, agar kita tersedar daripada tipu daya dunia yang tak pernah alpa menarik manusia untuk terusan melupakan kehidupan yang sebenar di akhirat nanti.
Insya-Allah, carilah ilmu atau rawatlah diri dari belenggu emosi dan bisikan buruk dalam hati kita. Sesungguhnya dunia ini hanya sementara. Anak dan suami adalah tempat kita berbakti sebagai bekal di akhirat nanti.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
“Bagaimana caranya untuk saya yakinkan hati untuk mempercayai kembali suami yang pernah curang?”
“Saya telah memaafkan segala perbuatan curangnya terhadap saya tetapi masih tidak berjaya untuk melupakannya terus. Saya sedaya upaya cuba untuk mempercayainya semula tetapi perasaan curiga itu tetap ada.”
Jawapan :
Persoalan dikongsi pada awal perbincangan kali ini adalah luahan klien yang bertemu janji bersama saya menerusi e-mel.
Ingin saya menarik perhatian para pembaca semua untuk memahami satu perkara: Minda atau daya ingatan kita sebagai manusia tak sama seperti memori komputer – bila tak nak, boleh delete dan masuk recycle bin, kemudian delete terus. Langsung payah nak dicari semula.
Sebaliknya memori kita tak mungkin dapat bertindak seperti itu. Memang sukar melupakan setiap detik yang dilalui dalam kehidupan kita. Saat gembira, detik kecewa, pengalaman manis, tragedi pahit, selalunya akan tetap kekal dalam ingatan.
Paling tragis bila hadapi luka kekecewaan berpunca daripada pasangan. Ramai yang berusaha untuk melupakan cerita kecewa dan duka tersebut tetapi hampa, ia tetap kekal malah bertambah segar.
Realitinya, usaha anda untuk melupakan sesuatu sebenarnya adalah usaha anda untuk terus mengingati perkara tersebut. Ingat lawannya adalah lupa; ia berpunca daripada satu sumber iaitu minda anda.
Gambar sekadar hiasan / Kredit foto : drama Pujaan Hati Kanda
Cara Kembalikan Kepercayaan Pada Pasangan Yang Curang
Anda tak mungkin dapat melupakan dalam usaha anda untuk melupakan kerana ia lebih kepada satu proses untuk menambah ingatan terhadap perkara tersebut.
1. Biarkan Saja Ingatan Itu Kekal, Anda Yang Perlu Ubah Situasi
Jalan terbaik ialah biarkan saja ingatan itu kekal. Bila ia mengganggu emosi anda, segera ubah situasi; tukarkan fokus anda kepada perkara lain. Jangan dilayan ingatan tersebut.
Ingat! Bila anda bersedia untuk memulakan hidup baru dengan pasangan anda, betul-betul mulakan buku baru, bakar terus buku lama biar jadi abu.
2. Beri Peluang Kepada Pasangan
Memang sukar mempercayai sesiapa saja yang telah diketahui pernah menipu kita sebelumnya. Terus terang, saya sendiri juga sukar percaya namun sebagai manusia, kita sewajarnya MEMBERIKAN PELUANG kepada sesiapa sahaja apatah lagi kepada pasangan sendiri.
Islam mengajar kita untuk memberi peluang kepada pasangan hidup – cerai terbahagi dua iaitu cerai rajei dan cerai bain. Cerai rajei ialah cerai yang boleh dirujuk kembali tanpa akad baru di dalam tempoh edah yang tertentu.
Terdapat dua peluang untuk rujuk kembali sekiranya berlakunya perceraian rajei. Jika cerai bain pula, tidak boleh dirujuk sebaliknya perlu nikah semula kecuali bain kubra.
Ringkasnya Islam mengajar umatnya untuk sentiasa memberi peluang kepada pasangan masing-masing demi keharmonian rumah tangga.
3. Beri Kemaafan Kepada Pasangan
Lumrah hidup, setiap manusia mempunyai kekurangan dan kelemahan serta tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan lantas BERIKANLAH KEMAAFAN kepadanya.
Anda dan pasangan anda adalah insan biasa, sama-sama mempunyai kelebihan dan kekurangan. Jika Yang Maha Kuasa boleh menerima taubat hamba-Nya, siapalah kita untuk mendabik dada enggan memaafkan insan lain.
Berikan kemaafan yang lahir daripada hati, bukan sekadar angguk atau pengakuan lisan. Saya faham anda telah memaafkan tapi tolong koreksi diri, apakah anda benar-benar ikhlas memberi maaf? Anda perlu ikhlas ketika meluahkan “saya maafkan!!” atau apa sahaja ayat yang anda gunakan dengan tujuan memaafkan tersebut.
Gambar sekadar hiasan / Kredit foto : drama Pujaan Hati Kanda
4. Syarat Maaf Yang Sebenar-benar Ikhlas
Maafkanlah walau terlalu sukar untuk anda melupakan segala luka atau derita yang diberikannya kepada anda. Memaafkan adalah amalan yang amat mulia.
Rasulullah s.a.w, seorang yang maksum dan dijanjikan dengan syurga sanggup memaafkan nenek tua yang sering memaki hamun baginda dengan pelbagai kata nista. Malah si nenek sanggup membaling najis kepada baginda ketika dalam perjalanan untuk menunaikan solat.
Kita sebagai umat baginda, sewajarnya lebih bersifat memaafkan kerana memberi kemaafan adalah dendam yang terindah, itu antara lirik lagu popular penyanyi Aishah.
Apabila anda bersedia dan ikhlas memaafkan kesalahan orang lain ataupun pasangan anda sendiri, tanpa perlu dipaksa anda akan dapat menerima pasangan anda kembali.
Menerimanya seperti biasa. Seperti tidak pernah wujud sengketa sebelumnya, insya-Allah.
5. Teruslah Doa Agar Diberi Kekuatan Diri
Saya akui, terlalu banyak masa yang perlu untuk mewujudkan keadaan tersebut, keadaan seperti tidak pernah berlaku apa-apa masalah namun, percayalah…. anda akan mampu menerimanya jika anda bersedia dan sanggup memberi peluang.
Dalam masa yang sama, berdoa agar anda diberikan kekuatan dan ketabahan untuk meneruskan hidup bersama pasangan anda.
Mohon agar pasangan anda berubah menjadi yang lebih baik, tidak lagi terlibat di dalam insiden-insiden yang boleh melukakan hati anda semula.
Mohon juga agar anda mampu membiarkan pengalaman perit yang lalu berlalu begitu sahaja tanpa anda sendiri mengungkit atau membangkitkannya semula.
Suzana Ghazali / Kredit foto : Berita Harian
Penulis : Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie, kolumnis ruangan Resepi Hidup di majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Menguruskan rumahtangga tanpa henti sudah tentu membuatkan mak-mak penat fizikal dan juga emosi. Sebenarnya bukan mudah untuk menjadi mak-mak yang sempurna, ada kalanya diuji emosi dengan ragam anak-anak dan tak kurang juga ragam suami.
Oleh itu, bila mak-mak berasa penat sangat, jangan biarkan emosi mengawal emosi anda. Sebaliknya ambil masa untuk berehat dan bagilah ruang pada diri sendiri. Setelah anda lebih tenang, barulah mak-mak mampu menjaga anak-anak dan keluarga dengan baik.
Apa akan jadi kalau mak-mak buat kerja tak henti. Tambah lagi musim PKP ini kan. Anak pulak 24 jam sentiasa ada di rumah.
Jadi, boleh bayangkan suasana itu bagaimana.
Macam-macam karenah uih. Melayan pelbagai ragam buatkan para ibu sampai lupa beri perhatian pada diri sendiri.
Mak-mak yang lupa nak rehat ini boleh bagi kesan pada diri dan orang terdekat tau.
Perkongsian dari Dr Taufiq menyatakan , ibu tidak berehat ini akan jadi :
1. Lebih mudah marah anak 2. Lebih tak stabil emosi 3. Jadi pelupa 4. Mudah tengking anak 5. Kurang bonding dengan anak
Itulah . Sangatlah dipersetujui. Apalagi akan jika ia berlaku kepada ibu yang banyak ujian hidup. Contohnya diduga dengan pasangan tak kira kasih sayang ke keharmonian ke penyakit ke. Diduga dengan penyakit berat. Diduga dengan berbagai isu yang ganggu fikiran. Lagi mudah kacau emosi.
Kesannya , anak-anak pun lagi banyak ragam. Lagi tantrum. Lagi laaa buat perangai.
Tidak Boleh Terus Beremosi
Sebaiknya, kita tidak boleh terus beremosi marah. Keadaan akan lagi teruk. Kesihatan dalaman boleh memburuk.
Jadi, seeloknya, ambil tindakan, jauhkan diri seketika. Bagilah ruang pada diri. Solat sunat ke. Mandi lama sikit . Membaca boleh juga. Makan. Eh. Bab makan suka kan. Haha.
Ibu yang bagus, akan tahu membuat penilaian sendiri. Cuba buat penilaian, masa emosi tidak stabil, anak-anak ragamnya macam mana. Masa emosi kita tenang , tingkah laku anak macam mana.
Beza. Kena rasai beza tu. Baru kita tahu macam mana nak mengatasinya.
Ayah Pun Kena Belajar
Kadang , tips ini berguna juga buat si ayah. Tidak tertakluk pada ibu sahaja. Ayah pun ada salah silap juga manusia biasa juga kan. Kekadang , laju juga tangan tampar anak.
Si ibu jenis penyabar, ayah pula jenis baran. Tetap tidak stabil juga. Akan beri kesan pada emosi keluarga.
Jadi , bapak pun kena belajar juga lah kan.
Saya kongsi ini sebagai suri. Sebagai rakan yang sama-sama berjuang membesarkan anak generasi. Insyallah.
MW: Harapnya perkongsian ini dapat memberi mak-mak kesedaran bahawa langkah terbaik dalam mendidik dan membesarkan anak-anak adalah bermula daripada mengawal emosi sendiri. Selain mak-mak, ayah juga memainkan peranan yang penting dalam bersama-sama membesarkan anak amanah Allah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ibu bapa arwah Wan Ahmad Faris tak pernah putus asa 'berjuang' tuntut keadilan. Pada Disember 2013, Wan Ahmad Faris yang juga pelajar tingkatan empat ketika itu, ditemui tergantung dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas.